Tuesday, August 18, 2009

Universiti Kehidupan 106 - Pengomen Di Sekellilig Kita

“Kita bersyukur kerana pada hari ini, kita dapat siapkan tambahan bagi masjid ini” kata Dato’ Haji Nik Farid Mohd Kamil, pengerusi Masjid Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Bangsar

Hari ini 13 Ogos 09, jam 8.00 malam, saya memenuhi undangan ceramah Israk dan Mikraj di masjid ini. Walaupun sudah melepasi bulan Rejab, saya masih diundang kerana masyarakat mahu mendengar secara langsung mengenai peristiwa di sana.

Selepas ceramah, ada majlis penyerahan kunci oleh kontraktor kepada pengerusi masjid. Masjid ini membuat tambahan untuk keselesaan jemaah pada bulan Ramadhan. Kos penambahan ini menelan belanja sebanyak 400 ribu.

Dato’ pengerusi meneruskan ucapakan.

“Kita telah merancang membuat penambahan ini dan masa yang diberikan kepada kontraktor adalah tiga bulan”

“Ketika itu, ada yang berkata, mana boleh siap dalam tiga bulan, percayalah” beliau menyambung.

“Ketika pembinaan ada sahaja yang komen, kenapa tak buat tingkap kat sini, kenapa tak buat pintu kat sini, ini lantai perlu guna yang lebih baik, ini diding perlu lebih tertutup” beliau menambah lagi.

“Dah nak siap, ada yang berkata, ini tak sesuai, kena ubah ni, ini pokok kena tukar ni, ini kena tambah lagi itu dan ini, tapi tak seorang pun datang dekat saya bertanyakan, bajet dah cukup ke?” kata Dato pengerusi menyimpulkan ceritanya.

“Walaupun banyak yang komen, tapi Alhamdulillah, akhirnya, tambahan ini dapat disiapkan dengan baik oleh kontraktor yang dilantik. Mereka juga banyak membuat sumbangan untuk pembinaan ini” tambah beliau lagi.

Ketika habis berucap, Dato’ Pengerusi, duduk di sebelah saya. Orang lain yang ada bersama di dalam satu meja kami mencuit tangan Dato”,

“Syy, siapa yang komen, dia ada tak kat sini malam ni” kata salah seorang dari mereka.

Saya hanya memerhatikan sahaja dengan senyuman.

Di dalam hidup kita, ramai orang yang suka memberi komen. Jika hendak dibahagikan komen itu pada dua iaitu komen membina dan komen meruntuh, tetap masih banyak komen yang meruntuh dari komen membina.

Itu yang jadi di banyak tempat.

Antara AJK masjid, banyak ahli yang mengomen dari yang membantu.

AJK persatuan, banyak yang membuat kerja sorang-sorang, tapi itu yang paling teruk kena komen.

Dalam PIBG sekolah, ibu ayah mengomen guru dan guru pula mengatakan ibu ayah tidak membantu sekolah.

Orang yang banyak mengomen ini pula, kalau disuruh dia yang buat, dia tak boleh buat pun. Dia tak reti pun malahan akan lebih teruk dari orang yang dikomen.

Ini kerana, komen memang terlalu mudah dibanding membangunkan sesuatu.

Bagi kita yang bersifat sebagai pengomen, perhatikan apa yang kita komen. Adakah komen kita itu membina, member kebaikan atau sekadar ingin menceritakan bahawa:-

“Sebenarnya aku lebih baik”

Bagi kita yang kena komen, sabarlah. Memang fitrah kehidupan, apa keadaan kita akan dikata orang. Baik pun akan dikata, jahat pun akan dikata. Lebih baik kita dikata di dalam keadaan kita baik dari kita dikata, kita memang jahat.

Ramai orang yang kecewa kerana dikomen, akhirnya meninggalkan amalan yang telah lama dia buat.

Kalau dia AJK surau dan masjid, dia akan letak jawatan kerana kecewa.

Kalau dia AJK persatuan, dia akan tinggalkan persatuan.

Kalau dia orang kuat PIBG, akhirnya buat tak tahu sahaja dengan program sekolah.

Akhirnya yang menang nanti bukan pihak A, yang menang bukan pihak B, yang menang syaitan.

Sebab itu di dalam al-Quran Allah menyatakan,

“janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah”

Sesungguhnya, jika kita tahu kita berbuat sesuatu kerana Allah, maka kita akan tetap beramal, walau apa pun keadaan kita.

Beramal dan berbuatlah, biarkan orang mengomen kita, sesungguhnya, Allah yang menyaksikan, Rasul akan menyaksikan dan orang mukmin akan menyaksikan apa yang kita buat.

Kita berjaya bukan kerana kehebatan kita. Kita berjaya sebab Allah izinkan sesuatu itu berjaya. Kita gagal bukan kerana penghinaa orang lain, kita gagal kerana Allah tangguhkan dahulu kejayaan kerana Allah ingin berikan kejayaan yang lebih hebat.

Oleh itu tenanglah, Allah bersama orang yang sabar.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam 18 Ogos 09 jam 9.54 malam
Dalam Masjid Abu Bakar as-Siddiq Bangsar
Masjid ini dilengkapi dengan peralatan multi media
Jemaah lebih khusyuk dengan mendengar dan melihat
Majlis serahan kunci binaan tambahan masjid ini.
Syy.. siapa yang komen, kata salah seorang dari mereka di meja. Walau apa pun, tahniah pada AJK masjid Abu Bakar as-Siddiq

1 comment:

Hunny said...

Salam Ustaz,

Moga sentiasa tenang dan sabar :)

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...