Pengalaman di hutan Gunung Berlumut agak mencabar, dengan ular dan kala jengking yang boleh muncul dengan tiba-tiba.
Ketika saya diberitahu kami akan bergerak keluar, hati ini merasa lega, lebih-lebih lagi ketika mendapat tahu destinasi seterusnya bukan di dalam hutan, tetapi tepi pantai laut lepas iaitu Laut China Selatan.
Kami rombongan Media agak beruntung kerana tidak kena melalui jalan yang dilalui oleh peserta, iaitu hutan berpaya Tenee.
Tapi dari segi pengalaman mungkin agak rugi kerana alang-alang kami sudah berada di sini, sudah tentu perlu mengambil pelung untuk melalui bersama.
Rupanya keadaan di dalam hutan berpaya Tenee memang cukup mencabar, dengan paya separas pinggang dan dada, nak jalan pun susah apatah lagi nak meredahnya dengan menggunakan kenderaan 4x4, rombongan paling cepat ialah 12 jam dan yang paling lambat, hampir dua hari suntuk baru dapat keluar.
12 Disember 2010, penerbit rancangan “Usrah”, Rozimalini mengajak semua krew ke dalam hutan Tenee untuk membuat satu episod usrah bertajuk “Ibadah Pengembara”. Bersama kami ketika itu beberapa orang tentera dan peserta.
Baru masuk setengah kilometer sahaja, kami telah melalui beberapa lopak paya sedalam pinggang. Bertatih perlahan-lahan di tepi lopak ini, kami perlu masuk dalam sikit lagi untuk merasai apa itu hutan berpaya.
Jalan di dalam hutan berpaya seperti ini memang tidak menentu. Badan kita tiba-tiba boleh terbenam dan terjerlus di dalam lumpur. Walaupun cukup berhati-hati, tetapi tenggelam separas lutut dan pinggang boleh terjadi bila- bila masa.
Kami menyiapkan pengambaran di dalam hutan Tenee ini, tiba-tiba dari kejauhan terdengar deruman pacuan 4x4. Rupanya, ada ramai lagi peserta belum berjaya keluar dari hutan ini sejak mereka masuk jam 3.00 petang hari sebelumnya. Saya membelek jam, jarum jam menunjukkan pukul 12.00 tengah hari.
“Ya Allah, hampir sehari semalam pun belum berjaya keluar?” kata saya pada semua.
“Ustaz, dalam tu, sepanjang-panjang air lumpur separas pinggang dan dada, ada dekat 30 kereta lagi belum keluar, dan ada yang dah “kong” tak boleh jalan dah” kata salah seorang tentera yang bersama kami.
“Abis kalau tak boleh jalan macam mana?” tanya saya lagi.
“Dia orang akan tarik sesama dia orang, kalau tak pun, pihak penganjur memang ada team penyelamat” kata Abang Ismail, ahli Kelab Lipan Bara yang biasa menyertai sukan lasak ini, cuma tahun ini dia ditugaskan untuk membawa pihak Media.
Memang di antara kelebihan sukan ini ialah pembinaan semangat kerja berpasukan. Bukan sahaja kepantasan itu di nilai untuk memang, tetapi nilai-nilai murni seperti bantu membantu dan tolong menolong lebih dihormati walaupun tidak ada kiraan markah.
Tidak lama selepas itu, hampir sepuluh kenderaan 4x4 melintasi kami, melalui paya-paya akhir di dalam hutan Tenee ini, ada yang masih gagah menderum dan ada yang telah rosak, ditarik oleh kawan-kawan lain atau pasukan penyelamat.
Selepas semua kenderaan ini melintasi kami, tiba-tiba ada sebuah kenderaan 4x4 datang dari arah songsang, begitu laju dan garang terjun ke dalam paya dengan penuh kemahiran. Begitu teruja saya. Rupanya dia bukan peserta, tetapi dari kelab Belentara yang juga membawa pihak Media. Dia membawa krew rancangan “Majalan Tiga” yang membuat liputan mengenainya.
Krew Majalah Tiga turun di sisi kami, membuat ulasan pada hutan paya Tenee ini, ketika kenderaan berpatah balik, dia betul-betul berhenti di hadapan saya.
“Boleh saya cuba?” tanya saya bergurau.
“Ahh, boleh, naik-naik” kata tuan punya kenderaan ini.
“Eh, saya bergurau aje, tak pandai saya” jawab saya semula.
“Tak apa ustaz, saya ajar” katanya lagi.
Wah, bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, pintu dibukakan dan saya dipersilakan naik.
“Ok ustaz, bawa dengan gear dua, waktu nak sampai dekat paya, terus tukar gear satu dan tekan minyak habis-habis, jaga stering agar kereta tidak terbalik” katanya.
Saya meneguk air liur yang sudah mulai kering, secara peribadi agak risau juga, tapi satu ilmu yang memang Allah nak beri.
Saya mula membawa, tayar bergesut ketika terbenam, berpusing dan berpusing lagi, naik dari terbenam seakan melompat dan yang paling mendebarkan……
“Ok ustaz, tukar gear satu sekarang, tekan minyak habis!…..” katanya mengajar saya ketika kami mahu terjun ke dalam lopak paya sedalam pinggang.
Saya mengecilkan lopak mata, mengetap gigi dan tidak putus mengucapkan nama Allah di dalam hati, dan…..
Boooom….., kenderaan ini masuk ke dalam paya, tayar bergesut.
“Ok ustaz, tukar gear undur dan tekan minyak habis-habisan. Kali ini saya menekan minyak dan menukar gear undur, berdesup kereta melompat ke belakang.
“Ok tukar balik gear satu” katanya lagi, kali ini melompat pula kereta kehadapan. Beberapa kali undur dan maju akhirnya satu paya berjaya di atasi.
Dari rasa berdebar kepada rasa semangat ketika berusaha mengeluarkan kenderaan 4x4 dari dalam paya, dan rupanya, itulah kepuasan yang ada, ketika berjaya memacu kenderaan ini keluar dari paya.
Beberapa paya di lalui dan saya sudah mula biasa mengendalikannya.
“Ok ustaz, keluar ni nanti boleh join kelab” katanya bergurau.
Satu perasaan yang tidak dapat digambarkan, gembira bercampur puas kerana berjaya mengendalikan kenderaan mengatasi cabaran bentuk muka bumi yang berbagai.
Kenapa kepuasan ini terbit dalam diri seseorang. Ia akan terbit apabila kita berjaya mengatasi cabaran yang menghalang kita.
Sebenarnya di dalam kehidupan ini pun sama, banyak cabaran dan ujian datang dan pergi di dalam hidup kita, dan cabaran ini datang dengan alasannya tersendiri, kita juga perlu mengatasi cabaran ini dengan alasan yang lebih kuat yang terbit dari hati kita.
Jika kita tidak mempunyai alasan yang kuat untuk mengatasi cabaran, kita akan lemah semangat dan berputus asa.
Di dalam Islam, kita diajar dengan alasan yang cukup kuat, sebab itu orang beriman tidak akan pernah putus ada di dalam hidup, kalau gagal sekalipun, mereka akan tetap bangun dan bangun untuk terus berjuang mengatasi cabaran tanpa gentar dan takut.
Cuba lihat sahaja semangat yang ditunjukkan oleh Nabi SAW, walaupun dihina, dipukul, difitnah, dicaci dan dipulau, tetapi baginda tetap datang pada orang yang menghina itu untuk menyampaikan Islam sehingga kejituan semangat baginda menghairankan orang kafir yang akhirnya mengatakan Muhammad ini seorang yang gila.
Kenapa di gelar gila? Pada mereka seolah tidak ada perasaan, tapi pada Nabi, kerana baginda tidak kenal putus asa.
Apakah sebab dan alasan yang kuat untuk mengatasi cabaran. Alasan yang begitu ampuh itu ialah iman, menyakini tiga perkara:-
1. Allah menjadikan sesuatu ujian untuk manusia pada perkara yang mampu dilaluinya, bermakna, kalau ada ujian, sebenarnya ujian itu kita pasti mampu mengatasinya. Di dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud:-
Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekedar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan. (Surah at-Talaq ayat 7)
2. Allah memang sulamkan hidup ini dengan ujian untuk kita berusaha mengatasinya, kerana Allah nak lihat usaha kita itu, dengan usaha yang baik, maka Allah akan berikan kehidupan yang baik di dunia dan kehidupan yang baik di akhirat.
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya (al-Baqarah ayat 286)
3. Allah tidak pernah mensia-siakan kita, setiap ujian, pasti ada kesenangan selepas itu, oleh itu, ketika diuji, maksimakan usaha untuk mengatasinya kerana pasti selepas itu ada kesenangan. Di dalam al-Quran Allah menyatakan yang bermaksud:-
5. oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
6. (sekali lagi ditegaskan): Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
(Surah al-Insyirah ayat 5-6)
Tiga sebab ini menjadikan orang beriman akan mengatasi ujian hidupnya dengan gembira dan tenang, sekalipun kadang kala agak tertekan dengan ujian itu, dia tetap akan balik pada Allah untuk berdoa. Firman Allah yang bermaksud :-
Dan Tuhanmu berfirman: "Berdo'alah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu (Surah al-Ghafir ayat 60)
Semoga kita menjadi orang beriman yang akan sentiasa mempunyai kepuasan di dalam menghadapi cabaran hidup, dan semoga Allah sentiasa bersama kita di dalam apa yang kita usahakan. Percayalah, sesusah mana hidup di dunia ini, jika tidak membuat amalan, di akhirat lebih susah lagi dan percayalah….. “Yesterday Was An Easy Day”
“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam
19 Muharram 1431/ 25 Disember 2010 jam 8.30 pagi
Kita boleh terjerlus di mana sahaja
Bersama anggota tentera membincangkan Ibadah Sang Pengembara
Bersoal jawab mengenai isu fiqh bagi seorang pengembara hutan
kenderaan yang terperangkap
ada yang terpaksa di tarik kerana telah rosak di dalam hutan ini
Tiba-tiba berhenti sebuah kenderaan di sebelah saya.
Saya diberi peluang untuk memandu
Berdegup juga jantung ni, tapi “cover” tetap senyum…
Ada teknik tersendiri untuk tidak terbalik
Gear di mainkan antara satu dan dua
tayar bergesut untuk melepaskan kenderaan ini dari jalan lumpur
Melintasi paya, Satu pengalaman yang diberi Allah, dan saya dapat memahami isu-isu fiqh di dalam hutan dan semuanya ada di bahaskan oleh al-Quran atau hadis, syumul dan indahnya Islam….