Showing posts with label Sirah. Show all posts
Showing posts with label Sirah. Show all posts

Tuesday, April 5, 2011

Sirah 9 – “Siapakah Yang MengIslamkan Bangsa Monggol…”

Kita biasa dengar mengenai Islamnya bangsa Monggol, tapi kita jarang dengar siapakah yang mengIslamkannya. Hari ini kita akan berkongsi kisah seorang yang sangat berjasa di dalam dunia Islam, orang yang berusaha mengIslamkan bangsa Monggol, dia adalah Syeikh Saifuddin al-Buharzi.

Syehikh Buharzi berasal dari wilayah Horasan (kini di bawah Negara Iran). Dia seorang yang sangat alim dan tinggi ilmunya. Jiwa muda yang dahagakan ilmu menjadikannya sentiasa merantau dari satu tempat ke satu tempat, dari satu guru ke satu guru hinggalah beliau bertemu dengan guru yang menjadi pembimbingnya iaitu Syeikh Najmuddin al-Kubra di Khuraizm (kini di bawah Turkeminstan).

Syeikh Buharzi belajar dan mendapat bimbingan dari gurunya ini hinggalah ketika monggol mula menyembelih umat Islam di Negara mereka.

Ketika Monggol mula sampai ke Khuraizm, dia member amaran agar penduduk meninggalkannya. Syeikh Najmuddin memilih untuk keluar berjuang hingga syahid dari meninggalkan dari tanahairnya. Dia kemudia memilih dua orang anak muridnya, salah seorangnya ialah Syeikh Saifuddin al-Buharzi.

“Aku perintahkan kamu agar keluar dari Khuraizm ini, pergilah kamu ke Bukhara dan di sana, ada tanggungjawab besar yang kamu akan laksanakan” kata Syeikh Najmuddin al-Kubra kepada muridnya ini.

Dengan hati yang berat, mentaati perintah gurunya, Syeikh Buharzi meninggalkan guru dan rakan seperguruannya menuju ke Bukhara. Tentera Monggol kemudiannya memasuki Khuraizm dan ramai ulama keluar berjuang dan akhirnya syahid. Syeikh Najmuddin al-Kubra syahid pada tahun 1221 masihi dan dimakamkan di Konya Urgench di Wilayah Dashoguz di Turkmenistan

Syeikh Buharzi tinggal di Bukhara sehinggalah Asia Tengah ini diperintah oleh cucu Gengis Khan, dari anaknya Chagatay iaitu Bayan-Quli Khan. Umat Islam ketika itu melihat pentingnya mengIslamkan pemerintah Monggol ini. Banyak utusan dirancang dan setiap kali utusan dakwah sampai ke Bayan- Quli Khan, pasti pulang dengan badan yang bercerai dari kepala.

Syeikh Buharzi merancang dan menghantar lagi utusan-utusan dakwah ini, hinggalah akhirnya, beliau membuat keputusan untuk memimpin sendiri rombongan dakwah ke Istana Bayan-Quli Khan.

Ketika Bayan-Quli Khan melihat wajah Syeikh Buharzi, terasa sejuk dihatinya. Dan ketika itu, untuk pertama kalinya, Bayan berkenan untuk bertanya kepada Syeikh Buharzi...

“Terangkan padaku, siapakah Tuhan?”

Surah Ikhlas di bacakan di hadapan Bayan Quli Khan, dan dengan muqaddimah soalan ini, banyak lagi soalan yang diajukan hingga kerap syeikh Buharzi mengunjungi Istana Bayan Quli Khan.

Akhirnya, tertarik dengan setiap jawapan yang diberikan oleh Syeikh Buharzi, Bayan Quli Khan mengucapkan dua kalimah syahadah, ikrar yang sama bagi setiap umat Islam di dunia ini.

Benarlah kata, Syeikh Najmuddin al-Kubra, hari itu, Syeikh Buharzi telah menunaikan satu tanggungjawab yang besar untuk umat Islam yang sebelum ini berjuang dengan darah ketika berhadapan dengan tentera Monggol ini.

Selepas membawa Bayan Quli Khan memeluk Islam, tidak lama selepas itu, syeikh Buharzi pulang bertemu Rabbnya.

Bayan Quli Khan menjadi pemerintah pertama dari kerajaan Monggol yang memeluk Islam. Setelah gurunya meninggal, dia menjadi pengembang Islam di dalam Negara-negara jajahan Monggol terutama daerah-daerah di kawasan Rusia.

Ketika hujung hayatnya, dia berpesan agar diwaktu kemangkatannya, penggantinya hendaklah memakamkannya di bawah kaki gurunya Syeikh Buharzi dan pada tahun 1358, ketika Bayan Qui Khan mangkat, dia disemadikan di Fathabad, di bawah kubur gurunya.

Berbahagialah ketiga tokoh ini, Syeikh Najmudin al-Kubra yang telah mendidik muridnya syeikh Buharzi,

Syeikh Buharzi yang telah berjasa mengIslamkan kerajaan Monggol dan Bayan Quli Khan yang akhirnya menjadi pengembang Islam di Negara-negar jajahan Monggol hingga akhirnya kerajaan Monggal menjadi Islam.

Semoga Allah berikah semangat mereka pada kita agar kita memelihara dan memperjuangkan agamaNya di akhir zaman ini, amin...

Al-fatihah buat diri kita, ibu dan ayah kita, keluarga kita dan khas untuk ketiga tokoh ini, Syekh Najmuddin, Syekh Buharzi dan Bayan Quli Khan......

“Sirah, Perjalanan Membina Sejarah”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Tashkent Palace Hotel, Tashkent Uzbekistan

2 Jamadil Awal 1432/5 April 2011 jam 7.30 pagi

IMG_7842

Masjid Sayfiddin Boharzi

IMG_7843

IMG_7853

Makam Syeikh Boharzi

IMG_7860

Makam Bayan Quli Khan, pemerintah Monggol yang Islam di tangan Syeikh Buharzi

IMG_7876

IMG_7858

Kenangan jemaah rombongan di hadapan masjid Buharzi

Wednesday, September 2, 2009

Sirah 8 - Kisah Salman al-Farisi

29 Ogos 09, jemaah dibawa melawat tapak peperangan khandak (perang parit).

“Ustaz, mana khandaknya” kata salah seorang jemaah pada saya.

“Dah tak ada kak, dah jadi jalan” jawab saya ringkas.

Tapi nak tengok ialah kesan beberapa masjid di sini.

Yang atas bukit tu, masjid al-Fateh (Masjid Kemenangan). Orang Islam memenangi peperangan ini pada 1 Syawal.

Yang bawah tu masjid Salman al-Farisi. Salman adalah seorang sahabat berdarah Parsi. Beliau yang mencadangkan agar digali parit sebagai strategi peperanga kali ini.

Di sebelah kanan terdapat masjid Umar dan masjid Saidina Ali.

Kita nak cerita sedikit mengenai sejarah Salman al-Farisi ini.

Ketika peperangan Khandak, beliau mencadangkan supaya dibina sebuah parit besar atau khandaq di sekeliling kota Madinah untuk mengelakkan kota tersebut dari serangan orang-orang Quraisy.

Bila Abu Sufyan, pemimpin orang-orang Quraisy itu melihat parit tersebut, dia berkata:

“Strategi seperti ini tidak pernah dilakukan oleh orang-orang Arab sebelum ini.”

Salman al-Farisi terkenal dengan panggilan “Salman Yang Baik.” Beliau adalah alim yang hidup sederhana dan gemar beribadah. Beliau memiliki sehelai jubah yang dipakainya dan dijadikan alas tidur.

Beliau tidak akan mencari perlindungan di bawah bumbung namun tinggal di bawah pokok atau di tepi dinding. Seorang lelaki pernah berkata kepadanya:

“Adakah aku boleh membina sebuah rumah untuk tempat tinggal engkau?”

“Aku tidak perlukan rumah,” katanya.

Lelaki itu tetap berkeras dan berkata:

“Aku tahu bentuk rumah yang sesuai untuk kamu.”

“Terangkanlah padaku,” kata Salman.

“Aku akan membina sebuah rumah yang jika engkau berdiri di dalamnya, maka bumbungnya akan terkena kepalamu dan jika menghulurkan kakimu, maka dindingnya akan terkena ia.”

Tidak lama kemudian, beliau dilantik sebagai gabenor di Al-Madain yang terletak berdekatan Baghdad. Salman mendapat gaji sebanyak lima ribu dirham. Semua wang tersebut disedekahkannya kepada fakir miskin. Beliau menyara hidup dengan bekerja sendiri. Bila beberapa orang datang ke Madain dan melihat beliau bekerja di sebuah kebun kurma, mereka berkata:

“Tuan adalah amir di sini dan rezeki tuan sudah dijamin, tetapi tuan masih melakukan pekerjaan ini!”

“Aku suka memakan hasil dari kerjaku sendiri,” jawabnya.

Diriwayatkan bahawa suatu ketika beliau pernah menziarahi Abu Darda’, yang dipersaudarakan oleh Nabi dengannya ketika sampai di Madinah. Beliau dapati isteri Abu Darda’ berada dalam keadaan tidak terurus lalu beliau pun bertanya:

“Mengapa dengan engkau ini?”

“Saudaramu tidak lagi menghiraukan dunia ini,” jawabnya.

Bila Abu Darda’ datang, dia menyambut kedatangan Salman dan menjamunya makanan. Salman menyuruhnya makan tetapi Abu Darda’ berkata:

“Aku sedang berpuasa.”

“Aku bersumpah tidak akan makan kecuali engkau juga memakannya.”

Salman bermalam di rumah Abu Darda’. Pada waktu malam, Abu Darda’ bangun tetapi Salman memegangnya lalu berkata:

“Hai Abu Darda’! Tuhanmu mempunyai hak ke atasmu. Keluargamu mempunyai hak ke atasmu dan dirimu juga mempunyai hak ke atasmu. Maka berikanlah hak kepada masing-masingnya.”

Pada waktu subuh, mereka solat berjamaah. Kemudian, mereka keluar menemui Rasulullah SAW dan menceritakan kisah yang telah berlaku. Rasulullah SAW menyokong perbuatan Salman itu.

Sebagai seorang yang terpelajar, Salman terkenal kerana ilmunya yang luas dan hikmah kebijaksanaannya. Ali berkata mengenainya bahawa beliau seperti Luqman Al-Hakim.

Kaab Al-Akhbar berkata:

“Salman dipenuhi dengan ilmu dan kebijaksanaan – seperti lautan yang tidak pernah kering airnya.”

Menurut riwayat yang sahih, beliau meninggal dunia pada tahun 35 Hijrah, di zaman Khalifah Uthman bin Affan, di Madain. Beliau meninggalkan tiga orang anak perempuan, yang seorang tinggal di Asfahan, manakala dua orang lagi tinggal di Mesir.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW pernah berkumpul dengan para sahabat baginda termasuk Salman Al-Farizi. Sambil memegang bahu Salman, Rasulullah SAW bersabda:

“Jika iman itu tergantung di bintang Suraya di langit, pasti akan dicapai oleh seorang lelaki dari bangsa Farsi ini.”

“Sirah, Perjalanan Membina Sejarah”

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Hotel Fairuz Shattah
Madinah al-Munawwarah
30 Ogos 09, jam 8.00 pagi

Di post dari al-Marwa Hotel Mekah al-Mukarramah 2 September 09, jam 11.00 pagi

*** rujukan kitab Qasas as-Sahabah
Tapak parit khandak sekarang telah menjadi jalan

Masjid Fateh, masjid kemenangan Nabi dan para sahabat di dalam peperangan khandak
Masjid Saidina Ali
Masjid Saidina Umar
Masjid Salman al-Farisi
Masjid Salman al-Farisi

Friday, July 3, 2009

Sirah 7 - Kenangan Abu Ayub al-Ansari Bersama Baginda SAW

Tak kenal maka tak cinta, begitulah pepetah Melayu memberi kiasan. Saya banyak kali menyebut mengenai Saidina Abu Ayub al-Ansari ini tetapi belum pernah menulis mengenainya lagi. Kesempatan kali ini, mari kita kongsikan sedikit sirah mengenai Abu Ayub al-Ansari

Nama sebenar beliau ialah Khalid bin Zaid bin Kulaib dari Banu Najjar. Beliau merupakan salah seorang sahabat yang utama dan paling rapat kepada Nabi SAW.


Ketika Rasulullah SAW sampai di Madinah di dalam peristiwa hijrah, baginda disambut dengan gembira oleh orang-orang Ansar di Madinah. Hati mereka berada bersama-sama baginda dan mata mereka sentiasa mengikuti pererakan baginda dengan rasa penuh cinta dan kebaktian. Mereka ingin memberi baginda sambutan yang amat baik sekali pernah diberikan oleh seseorang.

Pada mulanya, Rasulullah SAW berhenti di Quba yang terletak dekat pinggir kota Madinah dan tinggal di sana selama beberapa hari. Perkara pertama yang dilakukannya ialah membina sebuah masjid sebagaimana dijelaskan dalam al-Qur’an:

“Masjid yang didirikan atas dasar taqwa.” (At-Taubah: 108)

Nabi SAW memasuki kota Madinah dengan menunggang untanya. Para pemimpin Madinah berdiri di sepanjang jalan, setiap orang berharap untuk mendapatkan penghormatan dari Nabi SAW agar baginda ingin singgah dan bermalam di rumahnya. Seorang demi seorang berdiri di jalan yang dilalui oleh unta baginda. Mereka semua berkata:

“Tinggallah bersama kami, hai Rasulullah.”

Rasulullah SAW akan menjawab:

“Biarkanlah unta ini berjalan semahunya.”

Unta itu terus berjalan, diikuti dengan rapat para penduduk Madinah. Setiap kali ia melewati sebuah rumah, tuan rumah tersebut merasa sedih dan kecewa manakala orang-orang yang rumahnya menunggu giliran untuk dilalui oleh unta itu sentiasa mengharap-harap agar ia berhenti di depan pintu mereka. Unta itu meneruskan perjalanannya dengan diikuti oleh orang ramai sehingga ia berhenti di atas sebidang tanah di depan rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Namun, Rasulullah SAW tidak turun dari untanya itu.

Selepas beberapa ketika, unta itu berjalan semula, Rasulullah SAW membiarkan tali kekangnya terlepas. Walau bagaimana pun, tidak lama kemudian ia berpusing semula dan berhenti di atas tanah tadi. Hati Abu Ayyub dipenuhi dengan kegembiraan. Beliau keluar mendapatkan Nabi SAW dan menyambutnya dengan ghairah sekali. Beliau mengangkat barang-barang Nabi sambil merasakan bahawa beliau sedang membawa harta yang paling berharga sekali di dunia ini.

Rumah Abu Ayyub memiliki dua tingkat. Beliau telah mengosongkan tingkat atas dan semua milik keluarganya supaya Nabi SAW boleh tinggal di situ. Namun Nabi SAW lebih suka tinggal di tingkat bawah. Malam pun sampai dan Nabi SAW berehat. Tetapi apabila mereka telah menutup pintu, Abu Ayyub menoleh ke arah isterinya lalu berkata:

“Celakalah kita! Apa yang telah kita lakukan? Rasulullah SAW berada di bawah dan kita ada di atasnya! Adakah kita berjalan di atas Rasulullah SAW! Adakah kita menghalang wahyu?! Jika benar, maka binasalah kita!”

Pasangan suami isteri itu menjadi bertambah bimbang tidak tahu apa yang harus dilakukan. Mereka hanya dapat sedikit akal bila mereka bergerak ke tepi rumah supaya tidak betul-betul berada di atas Nabi. Mereka juga berhati-hati supaya berjalan di tepi-tepi sudut lantai dan tidak di tengah-tengahnya. Pada keesokan paginya, Abu Ayyub menemui Rasulullah SAW lalu berkata:

“Demi Allah, kami tidak dapat melelapkan mata sedikit pun malam tadi, begitu juga dengan Ummu Ayyub.”

“Mengapa hai Abu Ayyub?” Tanya Rasulullah, hairan.

Abu Ayyub pun menerangkan kebimbangan mereka kerana berada di atas manakala baginda pula berada di bawah, dan mungkin mereka juga boleh menghalang wahyu.

“Janganlah bimbang, hai Abu Ayyub,” kata Nabi SAW, “Kami lebih suka tinggal di tingkat bawah kerana ramai orang yang akan menziarahi kita.”

“Kami akur dengan kehendak Rasul,” jawab Abu Ayyub.

Abu Ayub ada menceritakan satu kisah:-

“Pada suatu malam yang sejuk, sebuah kendi kami telah pecah dan air mengalir di atas lantai atas. Ummu Ayyub dan aku memandang air tersebut. Kami hanya memiliki sehelai kain baldu yang kami gunakan sebagai selimut. Kami pun menggunakannya untuk mengelap air itu kerana bimbang ia menyerap ke bawah dan terkena pada Nabi SAW. Pada waktu pagi, aku mendapatkan baginda lalu berkata:

`Aku tidak senang berada di atasmu.’

Dan memberitahunya apa yang telah terjadi. Baginda menerima keinginanku dan kami pun berpindah tempat.”

Rasulullah SAW tinggal di rumah Abu Ayyub selama hampir tujuh bulan sehingga masjid yang dibinanya telah siap di atas tanah tempat unta baginda berhenti. Baginda berpindah ke bilik yang dibina di sekeliling masjid tersebut untuk diri dan keluarganya. Dengan demikian, baginda menjadi jiran Abu Ayyub. Alangkah beruntungnya kerana mendapat jiran semulia itu!


Abu Ayyub sangat mencintai Nabi SAW dengan seluruh hati dan nabi SAW juga amat mencintainya. Tidak ada peraturan rasmi di antara mereka. Nabi SAW terus menganggap rumah Abu Ayyub seperti rumahnya sendiri.

Pada suatu hari, Abu Bakar keluar dari rumahnya di waktu tengahari yang terik lalu pergi ke masjid. Umar terlihatnya lalu bertanya:

“Hai Abu Bakar, apa yang membuat engkau keluar pada waktu begini?”

Abu Bakar mengatakan bahawa dia terlalu lapar, lalu Umar pun turut mengakui dirinya juga kelaparan. Rasulullah SAW terserempak dengan mereka lalu bertanya:

“Apa yang membuat kamu berdua keluar dari rumah pada waktu begini?”

Mereka memberitahu baginda lalu baginda berkata:

“Demi Tuhan yang jiwaku di tanganNya, hanya laparlah yang membuat aku keluar juga. Marilah bersamaku.”

Mereka pun pergi ke rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Kebetulan, Abu Ayyub sedang bekerja di kebun kurma berdekatan. Beliau mendengar suara Nabi SAW lalu segera datang.

“Selamat datang kepada Rasul dan siapa saja yang bersamanya,” katanya lalu meneruskan, “hai Rasulullah, biasanya engkau tidak datang pada waktu begini.”

Abu Ayyub selalu menyimpan sedikit makanan untuk Nabi setiap hari. Jika Nabi tidak datang, maka Abu Ayyub memberikan makanan tersebut kepada keluarganya.


Abu Ayyub keluar dan memotong setandan kurma yang di dalamnya ada kurma masak dan ada kurma yang setengah masak.

“Aku tidak mahu engkau memotong yang ini,” kata Nabi, “Mengapa engkau tidak bawakan kurma yang masak saja?”

Abu Ayyub berkata:

“wahai Rasulullah, silakanlah makan kurma yang telah masak dan yang setengah masak ini. Aku akan menyembelih seekor kambing untukmu.”

“Kalau begitu, jangan sembelih kambing yang ada susu,” pesan baginda.

Abu Ayyub menyembelih seekor anak kambing, memasaknya separuh dan memanggang yang separuh lagi. Beliau juga meminta isterinya supaya membuat roti kerana isterinya pandai dalam hal itu.

Bila makanan telah siap, ia dihidangkan di depan Nabi SAW dan kedua-dua orang sahabatnya itu. Nabi mengambil sekeping daging, meletakkannya ke atas roti lalu berkata:

“Wahai Abu Ayyub, bawakanlah ini kepada Fatimah, dia tidak makan seperti ini selama beberapa hari.”

Apabila mereka selesai makan dan merasa puas, Nabi SAW berkata:

“Roti dengan daging, busr dengan rutb!”

Kemudian air mata mengalir dari kelopak matanya. Baginda berkata lagi:

“Ini adalah nikmat yang akan ditanyakan kepada kamu pada hari kiamat kelak. Maka jika kamu makan nikmat itu, ucapkanlah bismillah dan bila selesai katakanlah Alhamdulillahillazi huwa ashba’na wa an’ama a laina (Segala puji bagi Allah yang telah mencukupkan kami dan menganugerahkan nikmat ke atas kami). Ini adalah baik.”

Itulah imbasan terhadap kehidupan Abu Ayyub sehari-harian. Beliau juga mempunyai karier ketenteraan yang tersendiri. Banyak dari masanya dihabiskan sebagai seorang pahlawan sehingga dikatakan mengenainya:

“Beliau tidak terlepas dari semua pertempuran yang disertai oleh kaum Muslimin sejak dari zaman Nabi SAW sehinggalah zaman Muawiyah melainkan beliau terlibat semuanya.”


Misi ketenteraan terakhir yang disertainya ialah yang disediakan oleh Muawiyah dan dipimpin oleh anaknya, Yazid untuk menentang Konstantinopel. Pada waktu itu, Abu Ayyub sudah sangat tua, hampir berusia lapan puluh tahun. Tubuhnya kurus kering kerana diserang sakit malaria. Tetapi hal itu tidak menghalangnya daripada menyertai pasukan tentera dan menyeberangi lautan untuk berjihad di jalan Allah. Tidak lama selepas terlibat dalam peperangan itu, Abu Ayyub jatuh sakit dan terpaksa berundur dari berjihad. Namun begitu, beliau tetap berada di atas kudanya dalam keadaan seperti melekat.

Yazid datang mendapatkannya lalu bertanya:

“Wahai Ayahanda Abu Ayyub, adakah ayahanda memerlukan sesuatu?”

“Hai Yazid, sampaikanlah salamku kepada tentera Muslimin dan katakan kepada mereka bahawa Abu Ayyub menyuruh kamu supaya menyerbu masuk ke dalam kawasan musuh sejauh yang boleh, bawalah dia dan kebumikan dia di bawah dinding kota Konstantinopel, kerana aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa seorang lelaki yang soleh akan syahid dan dikebumikan di bawah dinding tersebut.”

Kemudian beliau menghembuskan nafas yang terakhir.

Tentera Muslimin melaksanakan keinginan sahabat Nabi yang agung itu. Mereka berjaya mengundurkan tentera musuh dalam serangan demi serangan sehingga mereka sampai ke dinding kota Konstantinopel. Di sana, mereka mengebumikan jasad beliau.

Kaum Muslimin mengepung kota tersebut selama empat tahun tetapi akhirnya berundur.

Rupanya, janji Nabi mengenai kemenangan ke atas kota Konstantinople ini benar. Ia disempurnakan oleh Sultan Muhamad al-Fateh.


"Sirah, Perjalanan Menbina Sejarah"
Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
3 Julai 09, jam 3.12 pagi

Wednesday, June 17, 2009

Sirah 6 - Jaringan Maklumat Parti Komunis Malaya

Sesuatu pertubuhan ada kaedahnya teknik dan caranya tersendiri. Kesempatan kali ini, saya ingin kongsikan sistem komunikasi Parti Komunis Malaya (PKM) yang pernah tumpas pada sekitar tahun 50an.

Pihak Bristih telah berusaha untuk menjejaki organisasi Komunis di Tanah Melayu. Salah satu caranya ialah dengan menembusi sistem maklumat mereka.

Dalam usaha menembusi maklumat PKM, pihak Cawangan Khas yang telah ditubuhkan perlu memecahkan sistem perhubungan mereka.

Sistem perhubungan dan kurier maklumat PKM sangat kompleks. Seorang pembawa maklumat hanya dapat mengetahui sekurang-kurangnya dua lokasi meletakkan maklumat sahaja. Bagi tujuan ini, seorang Detektif-Inspektor bernama Irene Lee telah dipilih untuk tugas ini.

Petunjuk pertama terbongkar apabila signal pengesan yang dipasang pada sebuah radio milik PKM dikesan. Penemuan ini membawa kepada penyerbuan terhadap kem PKM di Selangor.

Tidak ada sesiapa tertangkap. Polis hanya menemui sebuah beg yang mengandungi beberapa dokumen dan maklumat PKM. Salah satunya mendedahkan nama seorang wanita Cina yang beroperasi di Singapura.

Irene Lee ditugaskan untuk menjejaki nama Ah Shu seorang guru sekolah Cina. Usaha itu membuahkan hasil apabila Irene berjaya menjejaki wanita ini yang sedang membeli belah di Robinson, sebuah gedung yang besar dan tersibuk di Singapura waktu itu.

Irene mendapati bahawa wanita tersebut telah menukar maklumat dengan cara menukar beg beli belah yang sama dengan wanita kurier lain. Setelah mengetahui teknik ini, Irene memulakan operasi dan berjaya menangkap wanita ini.

Setelah diperiksa, maklumat bertulis didapati disorokan di bawah bedak bayi jenama Baby Johnson. Setelah itu, wanita ini dipaksa memberi kerjasama dan Cawangan Khas menawarkan wang kepadanya. Bagi memastikan wanita ini tidak melarikan diri, gambarnya dengan dua orang anggota Polis telah diambil dan diugut akan disebarkan kepada pihak Komunis.

Irene telah memperolehi kerjasama fasa pertama. Fasa kedua, Irene telah menemui kurier berikutnya di Yong Peng Johor. Irene telah berjaya memperdayakan wanita ini untuk bekerja sama dengan Cawangan Khas.

Maklumat seterunya membawa Irene ke sebuah estet Jeredak di Jerantut. Irene telah menyamar sebagai penoreh getah. Kurier PKM di sini dikenali sebagai Chen Lee. Irene mendapati, Chen bukan sahaja sebagai Kurier di sini malahan membekalkan ubat dan makanan kepada aggota PKM sekitar Jerantut. Chen Lee ditangkap dan maklumat yang diperolehi membawa Irene ke sebuah kedai buku di Batu Road Kuala Lumpur.

Usaha untuk mendapatkan maklumat dari kedai buku ini sangat sukar. Ini kerana ia terletak di kawasan yang sibuk. Walau bagaimanapun, Cawangan Khas telah berjaya memecahkan maklumat rahsia dari kedai buku ini dan dua perkara penting ditemui.

1. Pusat Jaringan Maklumat PKM bukannya terletak di Kuala Lumpur tetapi terletak di Ipoh
2. Ia diketuai oleh seorang wanita.

Maklumat ini membawa Irene ke Ipoh dan Irene sekarang berhadapan dengan ketua jaringan komunikasi PKM iaitu Lee Meng.

Lee Meng adalah bekas seorang guru berumur 24 tahun. Tempat kediamannya menjadi pusat koordinasi jaringan perhubungan PKM.

Akhirnya, di ketika sedikit kelalaian dari Lee Meng, rumah itu diserbu tanpa tentangan pada 24 Julai 1952.

Pemeriksaan yang dijalankan menemui dokumen yang sedia untuk dihantar ke "jungle post".

Penahanan Lee Meng mendapat perhatian dari negara-negara blok Komunis.

Di Kuala Lumpur, usaha membela Lee Meng terus dilakukan termasuklah usaha dari pemimpin MCA, Tan Cheng Lock. Dia telah bertanggung jawab menghatar surat rayuan kepada Sultan Perak untuk memohon perkenan mengampunkan kesalahan Lee Meng.

Kes Lee Meng telah menarik perhatian antarabangsa apabila Hungry telah menawarkan pertukaran antara Lee Meng dan Edgar Sanders. Hungry merupakan negara satelit kuasa Komunis utama dunia pada masa itu.

Sanders adalah ahli perniagaan British berumur 49 tahun yang telah ditangkap di Budpest atas tuduhan pengintipan. Sanders telah dijatuhkan hukuman penjara.

Tawaran itu disifatkan sebagai tindakan negara blok Komunis membela komrad mereka di Asia.

Tawaran itu telah mendapat liputan meluas media di Britain dan turut menarik perhatian Perdana Menteri Winston Churchill.

Keluarga Sanders telah mendesak British Foreign Office untuk menerima tawaran tersebut namun Churcill enggan menerimanya.

Dalam masa yang sama, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu turut menentang sebarang pertukaran. Ini kerana peranan Lee cukup besar di dalam PKM Tanah Melayu.

Lee Meng kekal dipenjarakan sehingga tahun 1964 apabila kerajaan memutuskan untuk menghantarnya ke balik ke China.

Demikianlah, bagaimana salah satu sistem perhubungan yang berjaya dipecahkan oleh Cawangan Khas di Tanah Melayu.

Sesuatu rangkaian yang bersifat global, mempunyai kaitan antara satu sama lain. Seorang yang ditangkap, bangkit semua untuk membela.

Adakah kita orang Islam masih menjiwai ukhwah Islamiah terhadap saudara-saudara kita di Palestin, Selatan Thai, Afghanistan dan sebagainya.

Jika Komunis membela komradnya di atas dasar perjuangan ideologi, kita orang Islam sepatutnya lebih dari itu. Ini kerana, perjalanan kehidupan muslim, bukan sahaja untuk tujuan kemenangan di dunia, malahan kemenangan hingga akhirat.

Islam bukannya ideologi, Islam adalah ad-Din yang diturunkan Allah, dan ad-Din itu artinya cara hidup.

Sirah, Perjalanan Mencipta Sejarah"
Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam
17 Jun 09 jam 6.15 petang

Tuesday, June 16, 2009

Sirah – Parti Komunis Malaya (PKM)

Perbincangan mengenai Parti Komunis Malaya (PKM) hangat diperkatakan. Saya ingin mencatatkan sedikit sejarah mengenainya dari ringkasan 15 buah buku yang sempat dibelek. Semoga catatan ringkas ini memberi gambaran kepada kita mengenai isu PKM yang sedang dibincangkan sekarang

Fahaman Komunis dicetuskan oleh Karl Marx telah menjadi orde baru melangkau batas geografi. Di Asia, idelisme Komunis dipelopori oleh negara China.

Kesatuan Soviet yang ditubuhkan menginginkan kuasa Komunis melebarkan sayap hingga ke seluruh negara Asia.

Selepas berlakunya Revolusi Bolshevik Rusia pada tahun 1917, satu biro telah ditubuhkan. Biro Timur Laut Komitren ditubuhkan bagi mengawal selia perjalanan parti-parti Komunis di rantau Asia.

Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan pada 30 April 1930 di Singapura dengan dihadiri oleh pemimpin Parti Komunis Vietnam, Ho Chi Minh. Ia sebagai kesinambungan dari penubuhan Parti Komunis Nanyang yang ditubuhkan di Singapura pada tahun 1922.

PKM diarahkan melebarkan fahaman bukan sahaja kepada orang Cina malahan juga orang Melayu bagi tujuan menubuhkan Republik Soviet Malaya

Akhirnya, lahirlah tokoh Komunis dari kalangan orang Melayu seperti Abdullah CD, Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh. Lahirlah satu rejimen yang diberi nama rejimen ke 10 iaitu pasukan tentera Melayu di bawah pimpinan Abdullah CD yang berpusat di Temerloh dan Mentakab dan mengandungi 500 anggota.

PKM menggunakan taktik pemogokan pekerja, boikot, sabotaj, demontrasi dan akhirnya pemberontakan bersenjata untuk mencapai matlamatnya. PKM menyusupkan aggotanya ke dalam kesatuan-kesatuan sekerja.

Ketika Jepun menjajah tanah Melayu, British telah memberi pelbagai kemudahan dan bantuan seperti senjata, latihan ketenteraan, kemudahan logistik dan perubatan. PKM bekerja sama dengan British melalui perjanjian di antara John Davies dan Lai Tek serta Chin Peng.

PKM menubuhkan pasukan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) dan membantu British di dalam perang gerila bersama-sama Force 136.

Setelah kekalahan Jepun, PKM telah diterima sebagai sebuah parti politik yang sah di Tanah Melayu. Peluang itu digunakan oleh PKM untuk meluaskan lagi pengaruhnya. PKM telah menguasai 75% kesatuan sekerja dan banyak melakukan mogok bagi melemah dan menjatuhkan pengaruh British.

Bagi mengekang kegiatan PKM, British telah memperkenalkan Ordinan Kesatuan Sekerja dan serba sedikit telah menyekat pengaruh PKM dalam kesatuan sekerja.

Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang menggantikan Malayan Union dilihat sebagai merosakkan peluang untuk PKM menubuhkan republik komunis. Keadaan ini mendorong PKM mengubah dasarnya kepada dasar yang lebih agrasif. Pada awal tahun 1948, PKM telah mengambil keputusan melancarkan perang secara terbuka di atas nama pembebasan Nasional.

PKM menyingkirkan pemimpin mereka Lai Teck dan digantikan dengan Chin Peng yang lebih agresif. Pada 17-21 Mac 1948, Chin Peng dan ahli PKM telah bersetuju untuk menjayakan matlamat menubuhkan Republik Soviet Komunis Tanah Melayu dengan cara kekerasan.

Sebagai permulaan, ekonomi Tanah Melayu dan pengawasannya mesti dilemahkan. Oleh itu PKM telah melancarkan serangan ke atas ladang-ladang dan kawasan lombong, melakukan pembunuhan ke atas pengurus ladang dan lombong, menyerang balai polis, pusat kawalan, pasukan keselamatan, mengugut, menculik orang ramai dan merosakkan kemudahan awam. Ramai orang Melayu, India dan Cina diancam dan dibunuh bagi memaksa mereka meninggalkan pekerjaan mereka. Mereka juga menyerang sistem perhubungan dan menawan pengkalan pasukan keselamatan di kampung-kampung dan pekan kecil.

Maka pada 18 Jun 1948, Sir Edward Gent, Pesuruhjaya Tinggi British telah mengisytiharkan darurat. Undang-undang darurat diperkenalkan secara rasmi pada 32 Julai 1948 iaitu sesiapa yang disyaki terlibat dengan kegiatan komunis akan dihukum.

Keadaan agak reda menyebabkan darurat ditamatkan pada tahun 1960. Melihat keadaan ini, PKM menyusun kembali anggotanya dan pada tahun 1968, mereka sekali lagi melancarkan pemberontakan bersenjata kali kedua di Tanah Melayu.

Perkara ini berterusan hinggalah kerajaan bersetuju mengadakan rundingan perdamaian dengan pemberontak komunis bermula pada tahun 1988. Abdullah CD mewakili Rejimen ke-10 dan Tun Ghaffar Bab mewakili negara. Akhirnya pada 2-3 Febuari 1989, perjanjian damai telah berjaya dipersetujui yang mana pihak komunis bersetuju meletakkan senjata dan menamatkan pemberontakan selama lebih kurang 41 tahun. Pada 2 Disember 1989, di Lee Gardens Hotel, Hadnyai, uapacara menandatangani perdamaian dapat dilaksanakan.

Kerajaan Thailand telah menyediakan penempatan bagi bekas-bekas ahli komunis di satu kawasan dikenali sebagai Kampung Perdamaian Betong, Kampung Perdamaian Banlang, Kampung Perdamaian Shkhirin dan Kampung Perdamaian Yaha.

Sepanjang peristiwa yang membabitkan PKM dari 16 Jun 1948 hingga 31 Julai 1960, korban mencatatkan seramai 2947 Pasukan Polis Tanah Melayu, 1478 Pasukan Keselamatan, 4668 orang awam, dan 10699 anggota PKM.

Di atas adalah bilangan yang mati, ini tidak masuk ribuan yang cedera, yang cacat, yang hilang upaya dan sebagainya.

Kita mungkin boleh melupakannya begitu sahaja. Tetapi, apabila doktrin komunis mula dilagang kembali, propaganda mengenainya telah mula wujud kembali, ia menyentuh banyak pihak, bermula dari isu keselamatan hingglah imbauan kisah silam keganasan mereka. Isu yang dibangkitkan bukanlah isu pulangnya Chin Peng sangat, tetapi doktrin yang pernah menumpahkan ribuan darah di Tanah Melayu ini cuba ditiupkan semula.

Jika sebelum pulang pun telah menimbulkan kontroversi, bagaimana agaknya jika ia berada di negara ini?

Apa pun, masih banyak lagi perkara yang boleh kita usaha dan bangunkan bersama. Isu sosial masyarakat, kemiskinan dan sebagainya.

Kita cuma bimbangkan, ada orang yang cuba menangkuk di air yang keruh, di dalam membahaskan isu ini.

Sama-samalah kita berdoa, agar Allah terus memberi kebaikan pada kita di negara ini. Semoga, Islam akan terus berkembang dan dihayati ditanah air ini. amin..

"Sirah, Perjalanan Mencipta Sejarah"

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam
16 Jun 09, jam 8.25 malam

Friday, April 24, 2009

Sirah 4 - Salahuddin al-Ayubi

Islam hadir ke Palestin pada zaman sahabat lagi iaitu kurun pertama hijrah bersamaan dengan kurun ke 7 masihi. Walau bagaimana pun, orang Islam membenarkan dan tidak banyak campur tangan dalam urusan perjalanan jemaah Kristian ke tempat-tempat suci mereka. Orang Islam juga tidak menganggu keselamatan rumah ibadah mereka.


Walaubagaimana pun, tentera salib mulai ingin mengusai tempat suci ini. Maka bermulalah siri peperangan antara tentera salib dan pejuang-pejuang pencinta syahid dari pihak Muslimin

Gambar ialah kubu Salahddin al-Ayubi di Muktah Jordan


Perang Salib ialah beberapa siri peperangan di antara kaum Muslimin dan Kristian.pada kurun ke-11 hingga ke-13 Masihi. Tujuan asal tentera salib adalah menawan Baitul Maqdis di Juruselam dan kawasan sekitarnya daripada orang Islam.


Peperangan ini didominasikan oleh pihak salib hinggalah Salahuddin al-Ayubi, seorang berbangsa Kudish dapat menyatukan Mesir dan Syria dibawah satu panji.

gambar : kereta yang digunakan di waktu perang Salib oleh Salahuddin al-Ayubi di Masjid Umawi Damsyiq Syria.


Pada peringkat awal, Salahudin telah memeterai perjanjian damai dengan Raja Baldwin IV, Perjanjian antara kedua raja ini retak akibat hasutan Reynald the Chatillon, salah seorang pembesar kaum Frank yang sangat membenci Islam.


Reynald mengundang kemarahan umat Islam, apabila dengan terang-terangan menyatakan keinginan menghancurkan kota-kota suci umat Islam, Mekkah dan Madinah serta tindakannya menyerang kafilah-kafilah Islam sewaktu perjanjian damai.


Salahudin mengirim pasukan Islam untuk menyerang kaum Frank di Kerak, tempat Reynald tinggal. Balwin juga mengirim pasukannya ke Kerak setelah mendengar Salahudin hendak menyerang salah satu wilayahnya. Peperangan ini berhenti dengan perjanjian damai dan jaminan Reynald akan dihukum sendiri oleh tangan kaum Frank.


Setahun kemudian, Baldwin IV meninggal dunia dan digantikan oleh Guy the Lusigna. Dengan Guy, yang merupakan teman rapat Reynald the Chatillon, maka perjanjian antara Islam dengan kaum Frank telah berakhir.


Salahudin, menngumpulkan pasukan umat Islam. Dia menyampaikan khutbahnya di masjid Umawai di Syria dengan melancarkan perang jihad. Maka berlakulah Perang Hittin, salah satu perang besar dalam sejarah.

Masjid Umawi di Damsyiq Syria
Gambar :Menara tempat di mana Salahuddin memberikan khutbah dan melacarkan perang Jihad



Maka pada bulan Rabiulakhir tahun 583 Hijrah bersamaan bulan Julai tahun 1187 Masihi, tentera Islam telah melancarkan peperangan jihad di persisiran pantai berhampiran dengan Tasik Tiberias di Palestine.


Peperangan ini berlaku di perkampungan Hittin, di sebelah barat Tasik Tiberias dan di sebelah timur bandar Akko dan Haifa. Baitulmaqdis dapat dibebaskan semuanya 1099.


Guy dan Reynald ditawan dan dihadapkan ke hadapan Salahudin. Reynald dibunuh oleh Salahudin dan Guy diseret Salahudin ke Jerusalem.

Ketika memenangi peperangan Hittin, Salahuddin telah membina sebuah masjid dinamakan sebagai Masjid Nabi Musa di Palestin. Ia sebagai mengingatkan Nabi Musa a.s yang berusaha membawa kaumnya kembali beriman dan kembali ke Juruselam. Masjid itu masih digunakan hingga sekarang.


Papan tanda ke Masjid Nabi Musa
pemandangan masjid dari jauh
masjid dari ruang dalam
pokok anggur yang menghiasi masjid
Menara masjid Nabi Musa. Masjid yang didirikan sempena kemenangan di dalam peperangan Hittin



Salahuddin meninggal dunia pada 4 Mac 1193 ketika berusia 55 tahun dan dimakamkan di sebelah masjid Umawi di Damsyiq Syria. Semoga akan lahir lebih banyak lagi muslim-muslim bersemangat Salahuddin.


“Sirah, Perjalanan Mencipta Sejarah”


Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Bethlehem 23 April 09

Jam 10.45 malam


makam Salauddin al-Ayubi

Saturday, December 13, 2008

Sirah 3 - Gambaran Umum Politik Cambodia

Saya ingin berkongsi secara ringkas mengenai politik Cambodia. Tujuannya biar kita mendapat gambaran umum apa yang berlaku di negara ini.

1. Kita mulakan sejarah pada tahun 1953 iaitu ketika Raja Norodom Sihanouk meminta kemerdekaan Cambodia dari Prancis. Sihanouk pada ketika itu cukup popular.

2. Masalah bermula pada tahun 1960 apabila perang berlaku di Vietnam di antara Komunis dan Amerika. Komunis menggunakan Cambodia sebagai tapak untuk menyerang Selatan Vietnam.

3. Suasana ini berterusan hingga pada tahun 1970 apabila General Loon Nol yang pro Amerika dan anti-Komunis mengambil alih keajaan ketika Sihanouk berada di luar negara dan menamakan negara sebagai Republik Khmer.

4. Sihanouk yang pada ketika itu disingkirkan bergabung dengan Komunis. Bermulalah perang dari 1970 hingga 1975.

5. Lahirlah pejuang Khmer Rouge (Khmer Merah) di bawah pimpinan Pal Pot di hutan yang menentang Republik Khmer.

6. Pada 17 April 1975 Pnom Penh jatuh ke tangan Khmer Rough. Sejarah mencatatkan bahawa dua juta mati di antara 1975 hingga 1979.

7. Pada Disember 1978, Hun Sen meminta bantuan dari Vietnam untuk mengalahkan Khmer Rouge dan pada 1979 Khmer Rouge dapat dikalahkan.

8. Pada tahun 1988 Vietnam mengundurkan tenteranya. Perang saudara masih berterusan di sini. Negara berada di bawah kuasa Hun Sen.

9. 1991 semua pihak-pihak yang bertelagah menandatangani sebuah perjanjian di Prancis iaitu, Paris Peace Accords.

10. Perjanjian ini mengakhiri perang saudara dan mereka semua bersetuju untuk menerima tentera bersekutu – United Nations Transitional Authority in Cambodia (UNTAC) yang akan menyerahkan rakyat memilih kerajaan dengan pilihan raya.

11. Negara yang masih di bawah Hun Sen pro Komunis mengisytiharkan bahawa partinya Cambodian People's Party (CPP)

12. Pilihan raya pertama berjalan pada July 1993 dan parti yang menang ialah parti FUNCINPEC yang diketuai oleh Norodom Ranaridh anak kepada Norodom Sihanouk.

13. Hun Sen tidak puas hati dengan keputusan pilihan raya. Akhirnya mereka semua bersetuju melantik dua Perdana Menteri iaitu Norodom Ranaridh.Perdana Menteri Pertama dan Hun Sen Perdana Menteri kedua.

14. Ia hanya berjaya selama empat tahun sahaja apabila berlaku perang di Pnom Penh pada tahun 1997.

15. Akhirnya Norodom Ranaridh dapat dikalahkan dan Hun Sen kembali berkuasa penuh.

16. Pada tahun 2008 ini , Parti Hun Sen, CPP (Cambodian People's Party) masih memerintah dengan mendapat 90 kursi, Ranaridh Party mendapat 2 kursi, FUNCINPEC mendapat 2 kursi, Human Rise Party mendapat 3 kursi dan Sam Rainsy Party mendapat 26 kursi.

Dalam 50 tahun kebelakangan, Cambodia menghadapai masa-masa genting dan perang saudara. Kita bersyukur kerana Allah memberi keamanan di negara kita. Sifat orang Melayu yang bertoleransi antara faktor rantau ini aman. Tetapi jangan jadikan kelembutan Melayu sebagai peluang untuk memijak mereka. Ini kerana, air yang lembut boleh menjadi ais yang keras. Kekalkanlah keamanan dengan semangat jihad Islam. Agar lembutnya disayangi dan tegasnya dihormati.
Hun Sen yang memerintah Cambodia sekarang ini.
Raja Norodom Sihanouk, bapa kemerdekaan Cambodia

Pal Pot yang menjadi pemimpin Khmer Rough. Bezanya dengan Hitler ialah, Hitler membunuh bangsa lain, sedangkan Pal Pot membunuh 2 juta bangsa sendiri.

Sebagai iktibar, setinggi mana kuasa seseorang, akhirnya terbenam dibawah bumi juga. Oleh itu, berbaktilah sementara ada kuasa, jangan sampai dikenang dengan kejahatan ketika mati. Ini kerana, kuasa tidak menentu tetapi mati adalah pasti.
Rujukan:-
Ben Kiernan (1986)How Pol Pot came to power: A history of communism in Kampuche, 1930-1975, The Thetford Press Limited.
Amit Gilboa (2000) Off The Rails In Phnom Penh, Asia Books Co. Ltd, Bangkok.

Monday, October 6, 2008

Sirah 2 - Secebis catatan Islamnya Nusantara

Ada enam negeri di Thailand yang berbatasan dengan laut mempunyai masyarakat Islam. Negeri itu Patani, Satun, Krabi, Phang Ha, Trang dan Phuket. Negeri ini mendapat Islam hasil dakwah orang Melaka, orang Acheh dan pendakwah Islam dari tanah Arab sendiri. Di Patani, kita akan dapat melihat, kitab-kitab jawi berbahasa Melayu dibaca, kemudian disyarahkan oleh tuan-tuan guru di dalam bahasa Thailand. Bahasa Melayu seolah-olah seperti bahasa Arab yang dibaca tulisannya kemudian disyarahkan ke dalam bahasa ibunda.

Di sebelah atas Thailand yang bersepadan dengan China seperti Chiang Mai juga terdapat masyarakat Islam. Mereka mendapat Islam dari orang Arab yang berada di China.

Ada empat orang sahabat Nabi yang dimakamkan di negeri China. Mereka mengembangkan Islam ke China dan negara bersebelahan dengan China. Utusan-utusan dakwah ini meliputi Nusantara ini.

Baru-baru ini, ada satu makam yang ditemui di Barus Indonesia. Makam ini tertulis wafatnya pada tahun 48 hijrah. Kita masih menunggu lagi apa kata ahli sejarah mengenai makam ini. Jika benar makam ini wafat pada tahun 48 hijrah, maka pemiliknya, jika tidak sahabat, pasti Tabi'in. Ini juga akan menafikan kajian Orentalis yang mengatakan bahawa Islam hanya sampai ke Nusantara pada kurun ke 15 masihi sahaja.

Apa yang penting ialah, dengan mengetahui sejarah, kita akan lebih mengenali diri kita. Orang yang mengenali dirinya akan terus mempertingkatkan dirinya. Orang yang sentiasa mempertingkatkan dirinya, insyaallah akan terus berjaya samada hidup di dunia mahupun akhirat.

Sunday, October 5, 2008

Sirah 1 - Srikandi yang dilupakan


Hari ini 5 Oktober, hari kedua saya berada di Phuket Thailand. Saya menziarahi kawan lama sempena hari raya ini. Seperti biasa, pertemuan dengan anak tempatan akan membincangkan mengenai sejarah dan masyarakat Islam tempatan. Semasa berjalan di bandar Phuket saya terlihat dua patung perempuan yang memegang pedang. Melihat patung ini, saya bertanya kepada sahabat saya, Ustaz Hussain, mengenai siapakah tokoh yang dijadikan tugu di tengah bandar ini.

Ustaz Hussain mula bercerita kepada saya sejarah Phuket ini.

Sebelum perang dunia kedua iaitu pada sebelum 1940, Thailand mempunyai raja-raja kecil yang bernaung pada raja utama di Bangkok. Mereka semua raja dari Dinasti Cakri. Di Phuket juga terdapat raja kecil yang bernaung di bawah Bangkok.

Segalanya bermula ketika raja Phuket ingin mencari bakal permaisurinya. Dia pernah menyamar menjadi rakyat biasa dengan melihat kehidupan masyarakat. Pencariannya berakhir apabila dia berkenan kepada seorang perempuan Muslimah bernama Fatimah. Fatimah seorang yang kuat memegang ajaran agama. Jika Raja benar-benar ingin memperisterikannya, raja mestilah memeluk Islam. Jika tidak, maka Fatimah rela mati dari menjadi isteri seorang yang tidak menyembah Allah.

Kelebihan dan keutamaan yang ada pada Fatimah menyebabkan raja akur dengan syaratnya. Raja memeluk Islam dengan disaksikan oleh masyarakat setempat. Islamnya raja Phuket dirahsiakan dari pengetahuan pusat iaitu raja agung di Bangkok.

Pada tahun 1940an, meletuslah perang dunia kedua. Siam tidak ketinggalan dari menjadi sasaran Jepun. Bagi mempertahankan Bangkok, seluruh raja kecil dan tenterannya diarahkan naik ke Bangkok untuk menghadapi kemungkinan serangan Jepun.

Tanpa disangka, Jepun telah melabuhkan kapalnya di Krabi dan Phuket. Ketika itu, pahlawan-pahlawan Phuket tidak ada di sini. Mereka semua telah berangkat ke Bangkok.

Bagi mempertahankan negeri Phuket pada ketika itu, Pemaisuri Fatimah telah menyusun dan memimpin sendiri tentera. Tentera permaisuri terdiri dari orang-orang perempuan. Hanya sedikit orang lelaki yang ada pada ketika itu. Mereka memakai pakaian lelaki, mengangkat pedang, dan berjuang mempertahankan Phuket.

Selama dua hari mereka mempertahankan Phuket sebelum tentera suaminya tiba kembali dari Bangkok. Peperangan kemudiannya berlalu selama sebulan dengan menyaksikan kemenangan di pihak Phuket. Ramai yang terkorban termasuk permaisuri Fatimah.

Islamnya raja Phuket hasil dakwah Fatimah telah lama dirahsiakan. Ia hanya terbongkar pada tahun 2004 apabila ketua Islam negeri Phuket, Bamrung Sampaurat atau nama Islamnya Abu Bakar ingin mengadakan sambutan Maulidur Rasul. Sambutan kali ini akan mengetengahkan sejarah Islam di Phuket. Dia telah membentuk satu jawatankuasa bagi mengkaji sejarah Islam di Phuket. Di antara ahli panel jawatankuasa ini ialah sahabat saya Ustaz Hussain.

Ustaz Hussain telah menemui makam Permaisuri Fatimah dan adindanya Maimunah. Dia juga telah menemui makam sebenar Raja Phuket yang Islam itu. Makam yang sebenar tidak didedahkan pada masyarakat umum. Ada sebuah makam lain yang dibina untuk Raja ini dengan binaan yang tidak Islam. Ini supaya generasi akan datang tidak mengetahui Islamnya raja ini. Sejarah permaisuri Fatimah juga telah disasarkan dengan hebahan bahawa Permaisurilah yang memeluk Buddha bukannya raja yang memeluk Islam. Dengan penemuan makam-makam ini, masyarakat Thailand agak gempar kerana sejarah sebenar telah terbongkar.

Sesungguhnya, ahli sejarah memang boleh menipu sejarah. Sebab itu, dalam membicarakan mengenai Islam, umat Islam sendiri perlu mengkajinya. Kita banyak membaca sejarah umat Islam terutamanya di Nusantara hasil dari penulisan orang yang bukan Islam. Ramai juga yang lebih percaya kepada Orentalis.

Sudah sampai masanya kita perlu memperdalamkan sejarah Umat Islam terutamanya di Nusantara ini dengan kajian dari Umat Islam sendiri. Sesungguhnya, orang yang mampu mencipta sejarah adalah orang yang mahir di dalam sejarah.

Semoga banyak lagi yang boleh kita kaji di masa akan datang.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...