Saturday, July 11, 2009

al-Ijabah 11 - “Ustaz, bagaimana ingin membantu ye?”

“Dari Pihak MAIS, kita nak tengok dulu dokumen dan akaun. Jika tidak ada yang bantu, barulah nanti kami pertimbangkan permohonan bantuan,” Kata Ustazah Hafizah, pegawai dari bahagian Riqab, MAIS.

Saya memahami prosedur yang perlu diikuti untuk sesuatu permohonan. Walaupun agak ketat, ia bagi tujuan menjaga ketelusan amanah orang ramai. Tetapi, saya juga yakin, di hati kecil sahabat-sahabat kita dari MAIS, mereka juga mahu mengusahakan saudara-saudara seIslam kita dikeluarkan dari gereja ini secepat mungkin.

Kalau tidak masakan di akhir pertemuan, ketika semua ahli NGO tidak ada, Ustazah Hafizah berkata pada saya:-

“Ustaz, kalau ustaz yang jaga, insyaAllah saya akan sokong permohonan ini, saya tahu ustaz akan jaga amanah ini,” katanya.

Kalau tidak, masakan Ustazah Nurhani Salwa tiap-tiap hari ke sana kemari, bertemu dari yang atas hingga ke bawah untuk sama membantu. Hari ini, dia dan Ustazah Noraini Nordin, Ketua Audit Dalam, bahagian Audit MAIS, hampir sejam menelifon sana dan sini, membuat temu janji dan merancang, bagi menjayakan usaha ini.

Masa terus berlalu untuk maruah umat Islam.

Minggu depan 16 Julai 09, pihak gereja dengan kerjasama Majlis Aids Malaysia akan mengadakan satu program memperingati Hari Aids sedunia. Program akan dirasmikan oleh "orang besar" dari Kementerian Kesihatan di gereja ini. Adakah ini satu pengiktirafan buat mereka?

Masa terus berlalu. Apa yang kita buat?

Mmm, masih terus saling salah menyalah?

Masih terus mempertahankan diri dan berkeras bahawa, kita sudah buat banyak perkara?

Masih terus tidak merasakan ini satu perkara penting bagi maruah umat Islam.

“Ya Allah, apa kemampuan yang aku ada” bisik hati saya.

Anak Yatim al-Ijabah sendiri memerlukan komitment yang banyak. Sebulan tidak kurang dari RM 30 000 untuk itu.

Beberapa kedai yang saya ada hanya cukup untuk rumah anak yatim al-Ijabah. Jika mahu tambah lagi, saya pun tak tahu bagaimana.

Sahabat-sahabat yang ada? Ya, mereka juga bukan dari orang yang senang.

“Saya hanya penjual karipap dan barangan bundle” kata seorang kakak yang bersama mengusahakan perkara ini sambil air matanya mengalir.

Suasana dalam mesyuarat 7 Julai 09 lepas tiba-tiba menjadi sayu. Semua yang hadir terdiam dan tunduk.

“Tak apalah, Allah akan bantu”, kata saya menenangkan keadaan.

“Kita mulakan dengan mencari rumah dahulu” kata saya pada sahabat yang hadir.

“Abis, perbelanjaannya macam mana ustaz? “ salah seorang dari mereka bertanya saya.

“Cari rumah dulu kak, nanti kita akan usahakan,” jawab saya walaupun secara jujur, saya juga tidak tahu dari mana sumbernya.

Masa terus berlalu.

Alhamdulillah, hari ini, saya dan beberapa sahabat, kami telah menyetujui sebuah rumah. Sewanya RM 2300. Setakat ini, ruang rumah Semi-D ini, cukup untuk memulakan usaha ini.

Hari ini juga, Ustazah Noraini dari MAIS telah cuba mendapatkan katil-katil hospital dari PUSRAWI. Mudah-mudahan berjaya.

Ramai yang bertanya:-

“Ustaz, bagaimana ingin bersama-sama membantu?”

Setiap kali soalan itu diajukan, saya akan merenung panjang. Renungan itu kerana saya tidak mahu satu stigma,

"Kalau ustaz aje derma"

Tetapi akhirnya, saya rasa, patut juga ia diwar-warkan bersama.

“Beginilah. tolong bantu anak yatim al-Ijabah kita, agar saya boleh berikan tumpuan pada hal ini. Lebih baik perkara ini kita panjang-panjang bersama. Jika ada keperluan mendesak, saya akan war-warkan di dalam blog ini” kata saya.

InsyaAllah, untuk ketelusan, program perlindungan saudara seIslam kita yang HIV ini juga akan diletakkan di bawah naungan Yayasan al-Ijabah.

Bagaimana caranya?

InsyaAllah, dalam waktu dekat ini, saya akan memaparkan nombor akaun Yayasan al-Ijabah. Saya akan paparkan di blog ini jumlah terkumpul di dalam akaun setiap minggu. Dan saya akan tuliskan juga ke mana wang ini dibelanjakan. Agar seluruh dunia tahu secara telus.

Yang mungkin mahu poskan cek, boleh berbuat demikian di atas nama "Yayasan al-Ijabah". Nanti saya akan beritahu, alamat untuk diposkan.

Saya juga memerlukan sukarelawan bagi progam anak-anak Yatim al-Ijabah dan juga sukarelawan bagi program tempat perlindungan HIV ini.

Paling kurang, yang tidak mampu bersama-sama, doakan kami semua. Saya amat yakin dengan keajaiban doa dan telah banyak kali merasainya.

Sesiapa yang berminat, mari sama-sama kita usahakan. Jika Allah beri kemampuan untuk kita bersama-sama, sama ada dari sudut kewangan atau tenaga, kita juga memohon agar Allah berikan kita keikhlasan.

Jika usaha yang kita buat ini menjadikan kita rasa hebat dan sombong, semoga Allah menggantikannya dengan peluang amal yang lain, yang lebih menjadikan kita tawadhuk.

Kita mahu bertemu dengan Allah dengan sedikit usaha mencari keredhaannya, padahal, segala usaha juga di atas kehendakNya.

Semoga Allah memudahkan segalanya, untuk Islam dan umatnya, amin…

“Mencari Kepulangan Yang Diredhai”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
11 Julai 09, jam 1.00 pagi.
Alhamdulillah, hari ini, kita sudah menyetujui sebuah rumah untuk saudara-saudara seIslam kita
Rumah ini cukup untuk usaha permulaan. Semoga terus dipermudahkan Allah.

Thursday, July 9, 2009

Universiti Kehidupan 94 –“ Ustaz, berdosakah kami menghantarnya ke gereja ini ustaz?”

“Ustaz, boleh tak kami nak jumpa. Ada hal penting ni” kedengaran suara seorang kakak dari telifon saya.

“InsyaAllah, nanti kak jumpa saya selepas saya habis mengajar hadith di Yayasan Restu ye,” jawab saya.

Hari ini selepas kelas hadith bersanad di Yayasan Restu, telifon saya sekali lagi berbunyi:-

“ustaz, dah ada kat ofis ke?, kami dah nak sampai ni” katanya.

“Oh, ingatkan, nak jumpa dekat Yayasan”, bisik hati saya.

Ye ye.. sekarang juga saya bertolak kak. Dalam lima minit lagi, insyaAllah, saya sampai” kata saya pada kakak yang tidak saya kenali ini.

Sesampainya di ofis, sudah ada seseorang yang menunggu saya. Saya mempersilakan orang ini masuk. Dia membincangkan mengenai anak yatim al-Ijabah yang diusahakan.

Lima minit kemudian, dari cermin ofis, saya melihat, masuk dua orang perempuan. Pekerja saya mempersilakannya duduk sebentar.

Saya cepat-cepat menghabiskan perbincangan dengan orang pertama tadi.

Selepas orang ini meminta diri, saya mempersilakan kedua-dua orang kakak ini masuk ke dalam ofis.

“Ye kak, apa yang boleh saya bantu? Kata saya.

“Ustaz, saya dengar, ustaz sedang usahakan untuk mengeluarkan orang-orang Islam tu dari gereja ye.” Salah seorang dari mereka memulakan perbualan.

“Bukan saya kak, tapi sahabat-sahabat semua,” kata saya.

“Abis, ustaz nak letakkan dia orang ke mana? Tanyanya lagi.

“Doakan kak, kita sedang usahakan alternative semampu yang dapat. Kita pun tak mahu keluarkan mereka, kemudian mereka terabai. Setakat ini, yang masih mampu uruskan diri telah mula dikeluarkan. Tetapi yang terlantar, kita perlukan keperluan-keperluan yang banyak juga kosnya. “

“Terima kasihlah ustaz,” katanya.

“Kenapa kak?” kata saya kerana tidak faham sebab ucapan terima kasihnya.

“Sebenarnya, antara penghuni di situ adalah adik kami.” Kata salah seorang dari kakak ini.

“Beberapa bulan dahulu, dia hilang dari pengetahuan kami, hinggalah akhirnya pihak hospital hubungi saya. Pihak hospital menyuruh saya mengambil adik saya ini dari sana. Rupanya dia telah terlantar tenat.” Kakak ini menjelaskan.

“Saya membawanya pulang ke rumah saya. Saya tidak tahu bagaimana ingin menguruskan dengan baik. Hinggalah ada pihak yang mencadangkan agar saya menghantarnya ke gereja ini” dia meneruskan ceritanya.

“Kami tak ada pilihan ustaz. Di Selangor tidak ada tempat yang dibuat oleh orang Islam. Ketika di gereja ini , mereka menjaga adik saya dengan baik. Mereka suapkan dia makan, jaga ubatnya, mandikan dia, sapu ubat pada badannya, Alhamdulillah banyak peningkatan dia ustaz. Dari diusung, sekarang dia sudah boleh berjalan seperti biasa”. Katanya lagi.

Saya terdiam dan tidak mampu berkata apa-apa. Tiba-tiba, saya diajukan soalan yang saya tak tahu cara terbaik untuk menjawabnya. Ia ibarat gunung yang cuba dihempapkan ke atas kepala saya

"Ustaz, berdosakah kami menghantarnya ke gereja ini ustaz? Kami tidak ada pilihan. berdosakah kami ustaz?" Soalan itu diulangkan kepada saya.

Saya boleh memberikan jawapan:-

“Kak, haram hukumnya, kena keluarkan, tak boleh macam tu, kena tawakal,.. bla..bla.bla.."

Atau:-

“Kak, sabarlah, biarkan saja dia di sana, Tuhan bersama orang yang sabar.. bla.. bla.. bla..”

Atau

“Itulah, kita orang Islam ni,macam nilah, orang lain boleh buat, kenapa kita tak buat,.. bla.. bla..bla..”

Atau seribu jawapan yang lain. Tapi, mana satukah jawapan terbaik? Saya boleh berikan jawapan beserta dalil-dalil Quran dan Hadith tetapi ia hanya memberitahu saya,

"Emmph, cakap aje pandai, apa yang kau dah buat?"

Akhirnya, dengan suara yang rendah saya memberikan jawapan yang tidak ada kena mengena dengan soalan.

“Kak, doakan ye, kita usahakan yang termampu”

Secara peribadi, saya memang mengakui bahawa, saya terlalu daif dan lemah. Kita boleh sembunyikan kisah ini untuk menyembunyikan kelemahan diri kita. Atau kita kena jujur mengakui bahawa kita memang lemah.

Paling kurang, dengan mengakui kelemahan diri, kita tahu, di mana untuk bermula. Jika tidak rasa, kita mempunyai kelemahan, nanti kita akan mencipta alasan untuk merasionalkan, kenapa kita tidak berbuat sesuatu.

“Tuhan, aku tidak tahu apa jawapannya. Tapi, adakah isu ini sindiran dariMu Tuhan, jika ini sebagai sindiran mengenai rapuhnya Ukhwah Islamiah kami umat Islam, ia satu yang perlu diperbaiki segera, bantulah kami Tuhan” Bisik hati saya.

Sehingga ke akhir pertemuan, saya tidak mampu berkata apa-apa. Hanya senyuman terus cuba diukirkan walaupun terlalu pahit rasanya.

Semoga Allah memberi kekuatan untuk seluruh yang cuba mengusahakan perkara ini. Semoga Allah titiskan juga keikhlasan kepada mereka, dan semoga, cita-cita mengeluarkan sahabat seIslam kita dari gereja ini ditunaikan Allah, amin…

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Bandar Hilir Melaka
9 Julai 09, jam 1.00 pagi.

Wednesday, July 8, 2009

Universiti Kehidupan 93 - Mesyuarat Individu, Antara Sahabat Dari MAIS Dan NGO

7 Julai 09, jam 9.00 malam. Alhamdulillah. Satu perbincangan dapat disempurnakan di antara individu-individu yang sayangkan agama.

“Hari ini, kita tinggalkan apa pun pangkat yang ada di bahu kita di luar. Siapa pun kita di luar sana, hari ini, kita berkumpul selaku individu yang ingin bersama-sama membuat sesuatu untuk agama kita,” kata saya

Perbincangan hari ini dihadiri oleh sahabat-sahabat dari MAIS dan juga sahabat-sahabat dari NGO. Satu matlamat, untuk mencari keredhaan Allah.

Terima kasih diucapkan pada semua yang hadir, ada yang duduk di Gombak, ada yang di Ceras, terpaksa malam ini mengorbankan masa untuk membincangkan tanggung jawab selaku seorang muslim.

Semuanya bermula dengan isu penempatan orang Islam kita yang menghidap HIV di dalam gereja. Ia satu perkara yang besar bagi maruah umat Islam.

Masakan sebuah Negara umat Islam, tetapi penempatan orang sakit, dibuat oleh orang bukan Islam.

Mesyuarat dimulakan dengan memperjelaskan isu-isu berbangkit dan gerak kerja perlaksanaan. Dari sudut pentadbiran hingga kepada keperluan-keperluan yang penting sebagai persediaan untuk menyediakan tempat alternative bagi saudara seIslam kita.

Latarbelakang yang berbeza antara ahli mesyuarat menjadikan idea berencam.

Yang berlatar belakangkan pentadbiran lebih menekankan isu pentadbiran.

Yang berlatar belakangkan kewangan, isu budget diketengahkan.

Yang berlatar belakangkan kerja amal, isu perlaksanaan diketengahkan.

Bagi saya, walau apa pun rencam idea yang diberikan, ia perlu disimpulkan dengan perancangan gerak kerja. Dan Alhamdulillah, di akhir perbincangan, satu gerak kerja dapat dibahagikan.

Di dalam mesyuarat, tidak nafi, ada yang disepakati bersama dan ada yang dikhilafkan. Begitu juga hari ini. Ada yang disepakati dan ada juga bab-bab yang agak panas. Apa pun, syukur kerana, semua faham bahawa objektifnya ialah untuk mencari keredhaan Allah.

Di dalam membincangkan isu-isu berkaitan dengan Islam ini, sudah tentu musuh Islam terbesar tidak akan menyenanginya.


Musuh Islam terbesar iaitu syaitan akan berusaha untuk menggagalkan usaha seperti ini.

Akan dibisikan ke dalam hati orang yang bekerja lebih agar rasa hebat dengan usaha yang telah di buat. Jika perkara seperti ini tidak dijaga, maka ia akan lebih melarat lagi. Akan timbul pula nanti memandang rendah dan merendahkan orang lain.

Bagi yang mahu bersama tetapi terbatas, akan timbul pula rasa kurang senang. Jika ini tidak diubat, akan berlaku nanti rasa tidak senang dengan orang lain.

Nanti yang menang bukan yang pihak A atau pihak B, yang menang adalah syaitan. Gerak kerja tidak jalan, ukhwah pecah, subur sifat mazmumah di dalam hati.

Alangkah malunya di hadapan Allah nanti, jika kita mati dengan membawa hati seperti ini.

Saya pesankan diri ini dan kepada seluruh yang hadir.

“Hari ini, kenapa Allah pilih kita buat kerja ini. Ia bukan perkara yang perlu dibanggakan. Mungkin Allah pilih kita sebab kita banyak kelemahan. Mungkin jika nak harapkan ibadah kita yang sedikit, tidak layak kita untuk ke syurga Allah. Jadi, Allah beri kita kekuatan untuk usaha ini, rupanya sebagai tambahan kepada amalan untuk ke akhirat.”

Kita pesankan begini agar jangan ada yang berusaha nanti timbul rasa hebat dengan diri, rasa hebat dengan usaha, rasa hebat dengan perlaksanaan dan sebagainya.

Dan jika, dengan usaha ini, semakin menjauhkan kita dari Allah, semakin kita sombong, semakin kita bangga, kita meminta agar Allah menggantikan dengan orang lain yang lebih baik.

Untuk sahabat-sahabat yang hadir pada mesyuarat ini, terima kasih saya ucapkan. Untuk diluar sana, insyaAllah, sama-sama kita doakan kejayaannya.

Sesungguhnya, yang paling saya takut, bukan usaha ini gagal. Yang paling saya risaukan ialah usaha ini semakin menjauhkan kita dari Allah, semakin pecah ukhwah dan semakin subur mazmumah di dalam diri.

Saya katakan demikian untuk peringatan pada diri saya dan sahabat sekelian. Sesungguhnya, peringatan itu amat berguna untuk orang yang beriman.

Ya Allah, bantulah sesiapa sahaja yang mahu berusaha ke arah kebaikan ini ya Allah. Ampunkan kami dan bimbinglah kami sekelian.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Zaman”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Melaka
8 Julai 09, jam 11.45 malam
Mesyuarat dihadiri oleh sahabat dari MAIS, tetapi sebagi individu yang sayangkan agamanya
Kerencaman idea mematangkan lagi perancangan yang boleh dibuat
Ia diadakan di USJ Subang Jaya
Di akhiri dengan doa agar Allah terus membantu dan memberi kekuatan. amin...

Universiti Kehidupan 92 - Mereka Wajib Dikeluarkan

7 Julai 09, saya, Kak Liza, Mak Esah dan dua orang lagi hari ini ke gereja, tempat meletakkan pesakit HIV yang muslim ini.

Alhamdulillah, hari ini, dapat diusahakan untuk mengeluarkan seorang lagi pesakit dari gereja dan ditempatkan dirumah yang telah diusahakan.

Kami sampai lebih kurang pukul 12.30. Kebanyakkan penghuni waktu ini sedang tidur kerana kebiasaannya, mereka akan berehat setelah makan ubat.

Kami memasuki kawasan gereja. Hati saya tidak putus-putus mengharapakan terbaik dari Allah.

Sesampainya kami disana, kami disambut oleh Razak, salah seorang penghuni di sini. Dia memang suka berceloteh.

"Hah, ni kawan sorang ni, dah tahu nak keluar hari ini, pun tidur lagi kat atas" katanya.

Saya naik ke tingkat atas. Di katil-katil, saya melihat saudara seIslam kita sedang berehat.

Saya bersalaman dengan yang terjaga. Mereka melemparkan senyuman pada saya.

"Kenapa orang Islam belum membuat rumah perlindungan seperti ini di sini? Adakan terlalu susah, atau kita semua sedang sibukkan perkara lain hingga terlepas pandangan hal-hal besar seperti ini" bisik hati saya.

Di tingkat atas, saya merenung jauh ke kawasan belakang gereja ini. Di sana terdapat kebun orang menanam sayuran.

Adakah, sayur ketika ditanam, terus besar dan terus boleh dipetik?. Sudah tentu tidak, ketika ia ditanam, petani harus bersabar menjaganya, menyiramnya setiap hari, membuang siput yang ingin merosakkan tanaman, membajanya dan seterusnya. Begitulah resam petani dan sayurnya.

Kenapa setelah beberapa ketika, petani boleh menuai hasil sayur. Kerana kesabaran mereka. Kenapa ada sayur yang gemuk-gemuk. Kerana ada langkah permulaan iaitu menanamnya.

Ya, langkah permulaan.

Apa yang kurang kita sekarang bukannya tenaga kerja, bukannya modal, bukannya tempat, tetapi usaha membuat langkah permulaan.

Penempatan HIV yang saya sedang berpijak sekarang, bukan dari sebuah gereja yang besar, mereka bermula dengan sebuah rumah kecil. Dengan tujuan memberi perlindungan kepada pesakit kemudian akhirnya, di sebuah gereja untuk penempatan mereka.

"Apa langkah permulaan yang perlu dibuat? Ya, carikan alternatif segera," bisik hati saya.

Saya turun kembali ke tingkat bawah. Melihat, Razali yang sudah siap untuk bersama kami.

Di hati kecil setiap penghuni, mereka mahu keluar dari sini. Tetapi ke mana?

Wajah ceria Razali menggembirakan hati saya. Saya bukakan bahagian belakang van untuk barang-barangnya. Kami semua menaiki van. Alhamdulillah, hari ini, kita dapat keluarkan seorang lagi dari gereja ini.

Semoga, Allah terus membantu untuk tujuan ini. Satu yang kita cita-citakan. Islam sebagai agama kasih sayang bukan sahaja pada lisan. Tetapi dapat diterjemahkan di dalam tindakan.

"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"
al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
8 Julai 09 jam 10.15 pagi
Kedatangan kami disambut oleh Penghuni Islam
Poster yang terdapat di sanaKak Liza menulis borang mengeluarkan penghuni
Iktibar sebuah tanaman, - di belakang gereja
Lambaian terakhir kawan-kawan lain di sini. InsyaAllah, ada kemampuan, kita keluarkan semua
Semoga terus dapat dikeluarkan semuanya, amin...

Monday, July 6, 2009

Diari 83 - Langkah Pertama

Ahad 5 Julai 09, pada petang ini saya menghadiri satu perjumpaan dengan sahabat-sahabat yang akan berusaha mengeluarkan orang-orang HIV dari gereja.

Hadir pada ketika ini ialah Cik Nurhani Salwa. Dari awal lagi saya telah nyatakan pada semua yang hadir :-

"Hani hari ini datang bukan sebagai kapasiti Pegawai Undang-Undang MAIS, tapi sebagai individu seperti kita yang sama-sama nak membantu saudara seIslam kita."

Saya jelaskan dari awal agar tidak ada nanti anggota mesyuarat yang menghentam dia dan MAIS. Yang penting adalah, kita buat kerja untuk kebaikan bersama.

Beberapa hari ini, dia selalu kena hentam kerana isu ini. Maklumlah, dia kenal ramai orang, dialah yang kena.

Mesyuarat di adakan di USJ 6 Subang Jaya.

Perbincangan dimulakan dengan membicarakan mengenai perjalanan rumah yang akan dibuat nanti, keperluan dan tenaga-tenaga yang akan bersama-sama berjuang untuk itu.

"Kita kena dapatkan nurse dari India ustaz. Gajinya tidak akan semahal nurse dari Malaysia ini" kata Kak Liza.

"Baiklah, tapi saya rasa, itu mungkin prosesnya lama lagi. Kalau boleh, dalam minggu ini, kita keluarkan berapa yang dapat dari gereja ini dulu," kata saya.

"Saya akan carikan mana-mana nurse di sini yang nak sama-sama membantu," kata En Abbas.

"Baiklah, nanti, InsyaAllah, imbuhan dia kita akan carikan" kata saya.

"Hani, nanti tolong tengokkan dari zakat atau MAIS apa yang boleh kita usahakan bersama," saya mencadangkan pada Nurhani.

"InsyaAllah, nanti saya akan maklukan pada Ustazah Hafizah, dia pegawai yang menjaga hal ini," kata Hani.

"Baiklah, gerak kerja pertama sekarang kita akan carikan rumah dan keperluan mereka dahulu" kata saya.

"Tapi Ustaz, kita kena carikan katil seperti katil di Hospital tu," kak Liza memberikan pandangannya.

"Tak apa, saya tahu mana ada jual, nanti saya dapatkan harganya." En Abbas menawarkan diri untuk tugasan ini.

Perbincangan berjalan dengan aktif. Satu sahaja yang cuba diusahakan untuk bulan ini. Kalau dapat, kita dah mula keluarkan mereka dari gereja ini.

Di hujung perbincangan, semua gerak kerja telah diagihkan.

En. Abbas akan mendapatkan harga katil.
En Nasaruddin cuba mendapatkan mana-mana nurse yang ingin bersama-sama membantu.
Kak Liza akan melihat prosedur mengeluarkan mereka dari gereja tersebut.
Nurhani akan membantu dari sudut jalan ke MAIS atau zakat.
Dan saya akan mengusahakan rumah penempatan sementara.

Alhamdulillah, mesyuarat diakhiri dengan pembahagian kerja.

Semoga sedikit yang diusahakan mendapat bantuan dari Allah dan sokongan dari semua.

Semoga, saudara seIslam kita akan terbela dan semoga Islam agama kasih sayang bukan hanya dibincangkan di pentas forum, tetapi dapat diterjemahkan melalui usaha dan tindakan.

"Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
6 Julai 09, jam 9.30 pagi

Mesyurat kecil untuk sedikit tindakan

Universiti Kehidupan 91 - Selamat Pengantin Baru

Sabtu 4 Julai 09, sejak pagi lagi seisi keluarga sudah sibuk. Hari ini merupakan hari pernikahan adindaku, Siti Aminah Abdullah dan Ahmad Azwan bin Ismail.

Selamat Pengantin Baru, saya ucapkan untuk keluarga baru ini. Yang penting, semoga dilimpahi keberkatan kepada adinda sekeluarga.

Kekanda, Ustaz Jazlan sendiri yang mengakadkan Ahmad Azwan. Saya menjadi saksi bersama seorang lagi pakcik.

Sekali akad, alhamdulillah, telah sempurna pernikahan ini.

Bersyukur pada Allah yang telah menyatukan kedua hati ini.

Di dalam Islam, ada empat golongan perempuan yang kita perlu jaga. Jika tidak, mereka boleh menjadi bebanan di akhirat nanti. Mereka perlu dipelihara dengan baik, dijaga imannya, dididik, ditegur dan perlu selalu dinasihati

1. Isteri kita
2. Anak perempuan hingga dia berkahwin
3. Saudara perempuan (adik atau kakak) ketika ayah sudah tiada, hinggalah dia berkahwin
4. Ibu, ketika ayah sudah tiada.

Keempat-empat golongan ini perlu selalu diperhatikan imannya, pengamalan agamanya dan ketaatannya pada Allah.

Kita tidak akan mudah-mudah ke syurga jika ke empat-empat golongan wanita di atas tidak lepas ke syurga.

Jika kita telah tegur dia, telah didik dia, telah nasihat dia, dia tidak mahu ikut, maka semoga lepas kita di akhirat.

Tapi, jangan sampai kesilapan mereka kita sengaja biarkan, tidak ditegur dan dididik.

Semoga kita semua terus dapat memelihara diri kita dan ahli keluarga kita dari api neraka yang bahan bakarannya terdiri dari manusia dan batu.

Mudah-mudahan, selamat kita di dunia dan di akhirat.

"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
6 Julai 09, jam 9 pagi
Khutbah nikah

Sunday, July 5, 2009

Diari 82 - Tok Ayah

Jumaat 3 Julai 09, Jam 5 petang, kami meninggalkan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang.

Kami menuju ke rumah Cikgu Hamid atau lebih mesra membahasakan diri sebagai Tok Ayah.

Beliau adalah bekas guru dan merupakan orang yang mahir membuat ubat tradisional. Antara yang sangat bagus ialah sejenis Bam seperti Tiger Bam. Beliau membuat sendiri dan menyimpan rahsia ilmu ini. Ada berberapa lagi ubatan tradisoanal yang dibuatnya sendiri.

Sebelum ini, sahabat saya Abang Azizi ada menziarahi beliau. Ketika mendengar mengenai rumah Ijabah kita, dia terus ingin bertemu dengan saya.

"Umur Tok Ayah dah 73 tahun, Tok Ayah tak ada perkara nak sumbang untuk anak-anak Yatim ini, cuma Tok Ayah anak ajarkan kamu ilmu" Katanya.

"Ilmu yang Allah beri pada Tok Ayah ini telah lama berkhidmat untuk masyarakat, hingga ia digunakan oleh pihak Istana dari Perak. Dengan Bam dan beberapa perkara lagi, Tok Ayah dapat membantu perjalanan Maahad Tahfiz Wal Qiraat di Pulau Pinang ini. Hingga kini, Maahad Tahfiz ini telah menjadi kolej diberi nama Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang." Terang Tok Ayah lagi.

Mendengar kami ada rumah yang menjaga anak-anak yatim, terbuka hati Tok Ayah untuk menurunkan ilmu yang ada padanya kepada kami.

Cuba kita lihat orang terdahulu. Fikirannya berfikir dengan cara berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara. Tak macam orang sekarang yang hanya memikirkan diri sendiri.

Hingga, boleh menggadai negara dengan rasuah dan sebagainya. Kalau bekerja, hanya fakir sebagai kerja dan cukup bulan dapat gaji. Untuk kerja lebih sikit dan malas.

Itu yang sampai orang Islam kita duduk didalam gereja pun masih belum dapat diusahakan dengan sebaiknya.

Saya memandang Abang Azizi. Kami sama-sama tersenyum. Kami bukan nak jadi bomoh.

Tapi, ubat ini bukannya untuk menjadi bomoh. Ia adalah Bam yang boleh digunakan untuk kebaikan masyarakat. Kalau orang bukan Islam boleh buat, kenapa kita tak nak kembangkan perkara ini.

"Tak apa, dah orang nak ajar. Mungkin sekarang tidak berguna, mungkin satu hari nanti ada manfaatnya," bisik hati saya.

Sejak petang lagi, Tok Ayah mengajar dan menunjukkan kami cara memasak rempah-rempah untuk dijadikan Bam ini. Ada 20 akar kayu yang telah direbus sejak dua hari lalu.

Kemudian, ada 10 lagi campuran-campurannya.

Dalam hampir tiga jam, semua campuran telah siap diadun. Kami melihat bagaimana, dari cecair, Bam ini perlahan-lahan beku di dalam botolnya.

Selepas maghrib, kami makan bersama-sama Tok Ayah. Beliau mempunyai ramai anak-anak angkat dari seluruh Malaysia terdiri dari para ustaz yang hafiz yang pernah belajar di Maahadnya ini.

Beliau tak berhenti berceloteh hingga tak kering gusi. Sejak kami datang dari jam 5 petang hingga ke malam, tak putus-putus tetamu mengunjungi beliau. Ada yang datang nak ziarah, ada yang datang nak ambil Bam Cengkihnya ini.

Selepas solat Isyak, Tok Ayah mengajak saya dan Abang Azizi ke dalam biliknya. Di dalam biliknya ini, beliau mengajarkan saya sukatan-sukatan untuk membuat Bam ini, kamu menyalin segala kaedah yang diajarkan.

"Kalau betul-betul nak buat nanti, biar Tok Ayah turun ke KL, duduk di rumah kamu dan Tok Ayah ajarkan sampai kamu boleh nanti. Tak jangan lambat-lambat lah ye, umur Tok Ayah ni dah nak hujung," katanya sambil sedikit ketawa.

Saya pun tak tahu, kenapa saya mendapat ilmu yang saya tidak pinta ini. Mungkin ada gunanya satu hari nanti. Ataupun, satu petanda yang ilmu sedang cuba diwariskan.

Jam 11, malam kami bertolak kembali ke KL. Tok Ayah menghantar kami hingga ke halaman rumahnya. Dia melambai-lambaikan tangannya kepada kami.

Semoga, ilmu ini memberi manfaat satu hari nanti.

"Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah Jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan" (maksud al-Hadith)

"Diari, merakam sejarah, mencatat kenangan"
Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
5 Julai 09 jam 5 petang
Kenangan bersama Cikgu Hamid atau lebih mesra membahasakan dirinya sebagai Tok Ayah. Beliau berdiri di kanan gambar
Rebusan 20 akar kayu untuk membuatnya
Tok Ayah menurunkan kaedah membuat Bam ini kepada kami. Abang Azizi, khusyuk mendengar petua dan kaedah dari Tok Ayah