“Ustaz, satu tempat yang ustaz kena pergi ialah Menara Seoul, tak jauh Itaewon ni, kat sana boleh nampak Seoul dari atas” kata salah seorang pelajar Malaysia dengan saya.
24 Feburari 2010, sebelum ke kedai buku Kyobo, saya telah diajak untuk menaiki menara Seoul ini. Untuk menaiki menara ini kita perlu membayar tiket.
“Kalau pergi dan balik tiketnya 7000 Won, kalau pergi sahaja tiketnya 5000 Won” kata penjual tiket dengan bahasa Inggeris pelat ala Korea.
“Aik, ada ke orang naik tak nak turun” saya bergurau.
Mungkin juga ada yang naik tapi turun melalui trek yang disediakan, tapi kalau itu pilihannya, saya pasti tidak akan memilih untuk itu.
Untuk naik ke atas, kita kena menaiki kereta kabel. Satu gerabak kereta kabel boleh memuatkan lebih kurang 20 orang. Kerta kabel tanpa kerusi ini membawa para pelawat ke atas dengan lampu di dalamnya dimatikan.
Mungkin tujuannya untuk membuatkan para pelawat menyaksikan lampu-lampu di kota Seoul, tapi kebanyakkan pelawat yang bercouple, lain pula perkara dibuatnya.
Naik tak sampai 10 minit. Taklah tinggi dan sejauh kereta kabel di Langkawi ataupun di Genting Highlands.
Menara Seoul ini hanyalah mempunyai ketinggian 237.7 meter ataupun 777 kaki dan dari paras laut, ketinggiannya ialah 479.7 meter bersamaan dengan 1574 kaki.
Menara Seoul ini sebenarnya adalah tempat pemancara radio. Ia dibangunakan pada tahun 1969 dan dibuka untuk lawatan umum pada tahun 1980.
Ia juga dikenali dengan nama Menara Namsan. Di atas, terdapat restoran Itali di sini. Ramai juga yang makan dan minum sambil memerhatikan keindahan lampu-lampu kota Seoul.
Sampai di atas, semua pelawat terpaksa naik lagi tangga untuk sampai ke kaki menara. Untuk naik ke menara, kena lagi bayar.
“Eh berapa banyak bayar daa...” bisik hati saya.
“Cukup di atas bukit ini sahajalah”.
Awal malam, di kawasan menara ini diadakan persembahan lampu dan laser, anak-anak muda berjoget-joget mengikut rentak muzik rancak Korea yang dimainkan. Yang lain sibuk mengambil gambar.
Berhibur dan berhibur sahaja.
Memang fitrah manusia sukakan hiburan untuk menenangkan hati mereka. Tetapi jika ketenangan itu dicari dari hiburan semata-mata, ia akan menyebabkan jiwa kita kosong.
Jika jiwa kosong, maka, apabila datang sesuatu yang menekan, seseorang itu pasti tidak akan tahan tekanan ini.
Di dalam Islam, kita tidak dihalang untuk berhibur selagimana cara berhibur itu tidak bertentangan dengan syarak.
Tapi pelik, kenapa tok-tok guru kita, orang-orang alim, tidak berhibur seperti mana orang lain mencari hiburan.
Ini kerana, mereka mencari hiburan dengan jalan yang lain, mereka mencari hiburan dengan jalan mengingati Allah, dengan jalan doa dan beristighfar, solat dan bermunajat.
Hiburan cara ini sebenarnya lebih tenang dan lebih kekal. Allah telah berfirman di dalam al-Quran:-
(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. (surah al-Ra’du ayat 28)
Orang yang mengingati Allah, mereka ada tempat untuk mengadu segala permasalahan. Ini menyebabkan jiwa mereka hebat bak kepingan besi.
Jika sedang sedih, mereka meminta Allah memberikan ketenangan pada mereka, jika mereka dikata orang, mereka tenang dan terus memperbaiki diri, jika hak mereka diambil, mereka minta Allah ganti dengan yang lebih baik, jika mereka ada permasalahan, mereka meminta Allah memberikan jalan keluar pada permasalahan itu, jika mereka ada kesempitan, mereka minta Allah berikan kelapangan kepada mereka.
Orang yang bergantung hati dengan Allah inilah disebut orang yang mempunyai cirri-ciri orang bertaqwa dan apa kata Allah mengenai orang bertaqwa ini:-
Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar bagi permasahalannya, Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu (surah at-Talaq ayat 2-3).
Berhiburlah asalkan tidak bertentangan dengan syarak, tetapi setinggi-tinggi hiburan ialah apabila kita berhibur bersama Allah melalui solat, doa, munajat, membaca al-Quran, bertafakkur dan sebagainya.
Semoga Allah terus mengurniakan kita kebahagiaan dan ketenangan melalui keredhaanNya, kita pohon pada Allah untuk hidup di dalam keredhaanya, untuk mati di dalam keredhaannya dan dibangkitkan nanti dengan keredhaannya, amin...
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Dalam perjalanan dari Seoul ke Kuala Lumpur
12 Rabiul Awal 1431/ 26 Februari 2010 jam 4.00 petang
Sebelum naik , saya berkenalan dengan tentera laut Jepun yang berada di sini dalam siri lawatan mereka.
Stesyen kereta kabel
Tangga untuk naik ke stesyen
Menara Namsan tidaklah setinggi mana
Bandar Seoul dari atas
Stesyen bahagian atas
Restoran Itali
Di atas bukit Namsan
Pagola di atas bukit ini
Kesan khas (special effect) dari lampu dan laser
Menara Namsan
Persembahan cahaya dan bunyi
Laser