Showing posts with label Tarbiah. Show all posts
Showing posts with label Tarbiah. Show all posts

Saturday, July 3, 2010

Tarbiah Dan Dakwah 14 – “Sekitar Majlis Khatam Kitab Sunan at-Tarmizi….”

Antara tuduhan yang paling berat yang dilontarkan kepada Nabi SAW ialah baginda mencipta ajaran baru. Tuduhan ini dilemparkan oleh ahli kitab yang mendakwa bahawa merekalah pembawa risalah agama yang diwarisi dari nabi-nabi terdahulu.

Ketika Nabi SAW diisrakkan, Nabi SAW telah menerima risalah langsung dari Allah SWT. Ketika baginda pulang dari Israk dan Mikraj, Nabi SAW dapat berhujjah dengan ahli kitab secara tepat dan dapat menceritakan mengenai penyelewengan ahli kitab. Di dalam al-Quran, surah Ali Imran ayat 78 Allah menyatakan bahawa:-

Sesungguhnya diantara mereka ada segolongan yang memutar-mutar lidahnya membaca Al Kitab, supaya kamu menyangka yang dibacanya itu sebagian dari Al Kitab, padahal ia bukan dari Al Kitab dan mereka mengatakan: "Ia (yang dibaca itu datang) dari sisi Allah", padahal ia bukan dari sisi Allah. Mereka berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui.

Di dalam tafsir Jalalain menyebutkan segolongan itu ialah segolongan ahli kitab seperti Kaab bin Asyraf.

Di dalam tafsir at-Tabari pula menyebutkan bahawa, ajaran yang telah mereka selewengkan itu mereka mengatakan bahawa ia adalah apa yang diturunkan Allah kepada Nabi-Nabi mereka.

Tetapi, mereka tidak mempunyai sanad (salsilah) apa yang mereka perkatakan itu benar-benar dari Nabi mereka.

Ada di antara ahli kitab itu kemudian beriman setelah mereka menyaksiakan kebenaran apa yang disampaikan oleh Nabi SAW tetapi ramai juga yang tetap tidak beriman.

Allah menyatakan bahawa, jika ahli kitab itu beriman, mereka adalah yang terbaik kerana ilmu agama yang telah ada pada mereka. Allah menyatakan di dalam surah Ali Imran ayat 110:-

Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.

Di dalam tafsir Jalalain, menyatakan antara ahli kitab yang beriman seperti Abdullah bin Salam RA.

Mereka mendustakan Nabi SAW, mengatakan diri mereka benar, tetapi mereka tidak mempunyai bukti bahawa apa yang mereka sampaikan adalah dari Nabi mereka kerana tidak ada sanad (salsilah).

Bagi Nabi SAW, apa yang diturunkan oleh Allah secara langsung tidak dapat dipertikaikan oleh ahli kitab. Mereka sendiri dapat merasakan kebenaran apa yang Nabi sampaikan. Mereka juga dapat melihat bukti kenabian yang membenarkan bahawa apa yang Nabi sampaikan adalah langsung dari Allah.

Nabi SAW pun menyampaikan setiap apa yang diajarkan oleh Allah pada baginda kepada para Sahabat. Para sahabat kemudian menyampaikan pada para tabiin, tabiin menyampaikan pada tabi’ tabiin, dan ajaran Nabi SAW terus disampaikan dari satu generasi ke satu generasi dengan mempunyai susur galurnya. Inilah yang disebut sebagai sanad.

Sistem sanad ini berterusan hingga para Ulama menyatakan "di antara kelebihan umat ini (umat Muhamad) ialah ilmunya bersanad (lihat Sobri Abdul Rauf. Athar al-Qiraat fi Feqh al-Islami. Adhwa' as-Salaf, Riyadh. halaman 70).

Ada tujuh perkara yang penting mengenai sanad

1. Mengetehui kesahihan ilmu

Orang yang ada sanad bermakna dia ada salsilah guru. Maknanya, kita dapat tahu dari mana dia belajar dan siapa gurunya. Apabila sesuatu salsilah itu bersambung hinggalah ke Rasullullah, maka ia akan menjadikan kita yakin dengan kupasan ilmunya. Muqaddimah kitab Sahih Muslim ada menekankan mengenai kepentingan sanad ini.

Dari Ibnu Sirin " sesungguhnya ilmu itu adalah agama kamu, maka hendaklah kamu melihat dari siapa kamu ambil agama kamu.(perbahasan ke 26 mengenai sanad)
Dalam perbahasan ke 27, Dari Ibnu sirin "Apabila berlaku fitnah (perselisihan) kamu tanyakan, siapa guru kamu?

2. Keberkatan
Dengan belajar secara berguru dan bertalaqqi dan kita tahu salsilah guru kita, ia akan menambahkan lagi keberkatan di dalam belajar.

3. Persaudaraan
Dengan mengambil sanad, kita akan dipersaudarakan dengan murid-murid lain yang mempunyai sanad. Katakan seorang yang belajar secara bersanad di Shah Alam, dia berjumpa dengan seorang murid dari Mesir. Melihat sanadnya, maka ada persamaan guru, maka ia membuatkan seseorang lebih rapat lagi. Ia seperti kita bertemu dengan seseorang yang sama universiti dengan kita. Ia akan menjadikan kita lebih mesra.

4. Tanggungjawab
Orang yang memegang sanad, dia bertanggungjawab menyampaikan pula ilmu yang dia ada pada orang lain. Katakanlah ada 100 orang murid yang belajar secara bersanad, maka setiap seorang mengajar lagi seratus, maka ilmu itu akan terus berkembang. Apabila semakin ramai orang yang faham agama, maka semakin baik masyarakat.

5. Pahala.
Apabila ilmu yang disampaikan itu diamalkan, maka Allah akan memberi pahala kepada kita sekalipun kita telah mati. Ia berdasarkan hadith bahawa antara amalan yang kekal pahalanya ialah seseorang itu menyampaikan ilmu yang berguna kepada orang lain.

6. Bimbingan
Orang yang banyak berguru, dia akan terus mempunyai hubungan dengan gurunya. Jadi, gurunya itu akan terus dapat membimbingnya. Ini kerana ramai orang berilmu rosak apabila tidak ada orang yang dapat menegurnya. Dia rasa dia telah alim dan dia boleh keluarkan fatwa apa yang dia suka. Sedangkan manusia perlu sentiasa diingatkan mengenai kebenaran dan kesabaran. (maksud surah al-Asr)

7. Hubungan di akhirat.
Ketika di akhirat, kita akan dibariskan dengan beberapa barisan. (Surah Naba'). Sudah tentu kita hendak mengikut saf yang dipimpin oleh Rasullullah. Tetapi kita tidak kenal nabi. Yang kenal Sahabat, kita tidak kenal sahabat, yang kenal sahabat tabiin. Kita juga tidak kenal tabiin, yang kenal mereka ialah pendakwah-pendakwah Islam yang mengembangkan Islam. Kita juga tidak kenal mereka. Yang kenal mereka ialah tuan-tuan guru kita. Maka kita akan mengikut tuan-tuan guru kita, tuan-tuan guru akan mengikut para pendakwah, para pendakawah mengikut tabiian, tabiin mengikut sahabat dan sahabat sudah tentu mengenali dan akan mengikut saf Rasullullah. Akhirnya kita akan disafkan bersama Rasullullah.

Dengan sanad mudah-mudahan kita kenal guru-guru kita hinggalah ke Rasullullah saw.

Alhamdulillah, dengan izin Allah juga, pada 17 Rejab 1431 bersamaan dengan 30 Jun 2010, kelas pengajian hadis bersanad kitab sunan at-Tarmizi di Yayasan Restu Shah Alam dapat disempurnakan. Mengambil sempena bulan Rejab sebagai bulan Israk dan Mikraj (menurut pandangan jumhur), maka majlis khatam kitab sunan at-Tarmizi telah dibuat seteruskan menganugerahakan sanad kitab itu kepada murid-murid yang bertalaqqi.

Ketika ucapan pembukaan, saya berpesan kepada yang selesai belajar dan dianugerahkan sanad kitab sunan at-Tarmizi ini, agar mereka menyampaikan pada orang lain. Ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud “sampaikan dari aku walau sepotong ayat”.

Semoga ia memberi manfaat kepada semua dan semoga pengajian hadis secara bersanad dapat dikembangkan di negara tercinta ini. Amin..

“Tarbiah, Penyubur Hati, Pemelihara Fitrah”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

24 Rejab 1431/ 3 Julai 2010 jam 1.30 pagi

DSC_0314

Majlis khatam kitab sunan at-Tarmizi disempurkan di Yayasan Restu Shah Alam

DSC_0209

Persiapan akhir

DSC_0205

Persiapan akhir

DSC_0225

Anak Ijabah membawa masuk kitab hadis yang berumur 400 tahun yang diamanahkan oleh seorang ulama Maghribi

DSC_0226

Ia sebagai simbol pengajian talaqqi bersanad

DSC_0230 

Generasi pertama sanad kitab-kitab  hadis

DSC_0305

Ucapan pembukaan mengingatkan agar segala hadis yang dipelajari hendaklah diamal dan disampaikan pada orang lain

IMG_0082 

DSC_0238

DSC_0266

DSC_0311

IMG_0083

IMG_0090

IMG_0105

Santai selesai majlis pada jam 11.45 pagi

DSC_0322

Berkerumun melihat kitab lama yang ditulis oleh ulama terdahulu

IMG_0103

Nabi telah meninggalkan kepada kita dua perkara, al-Quran dan Sunnahnya untuk kita ikuti, semoga Allah terus merezkikan kita mengikut apa yang disampaikan Nabi SAW untuk keselamatan hidup di dunia dan di akhirat, amin….

Tuesday, March 3, 2009

Tarbiah Dan Dakwah 14 – Realiti Kita Dan Rasullullah

Esok 4 Febuari, insyaAllah, semua pembaca jika ada kelapangan, dijemput untuk menghadiri satu program di Yayasan Restu bermula jam 9.00 pagi. Program ini ialah satu program sempena dengan Maulid Nabi. Satu ceramah mengenai Nabi bertajuk "kekasih Allah mencintai kita".

Program ini dibawakan oleh Sahabat Restu, Bil Hikmah Production dan ALC Arabic Language & Consultancy.

Pendekatan ceramah pada hari esok akan disulamkan dengan persembahan multi media.

Sempena dengan kehadiran musim Maulid ini, mari kita renung sejenak, kita muhasabah diri kita. Kita yang selalu mengatakan cintakan Islam dan Nabi, adakah secara realitinya kita mencintainya dan mengikut apa yang baginda ajarkan. Saya ingin mengajak pembaca mengembara sebentar pada hari ini.


Cuba kita bayangkan, katakanlah, dengan seizin Allah, rumah kita didatangi dengan satu rombongan. Katakahlah, rombongan itu adalah rombongan Nabi saw. Baginda datang dan tiba-tiba muncul mengetuk pintu rumah kita.

Baginda datang dengan senyuman kasihnya, dengan serinya wajah baginda, berdiri di muka pintu rumah kita, Apa perasaan kita?

Sudah tentulah kita orang yang paling bahagia kerana banyak-banyak rumah, baginda mahu dan sudi menziarahi rumah kita. Jika diizin Allah, sudah tentu kita akan memeluk baginda beliau erat-erat dan lantas mempersilakan baginda masuk ke ruang tamu kita.

Kemudian, sudah tentu kita akan meminta dengan bersungguh-sungguh agar Rasulullah SAW yang mulia ini sudi bertamu beberapa hari di rumah kita. Baginda tentu tersenyum.

Tetapi sebelum itu, barangkali kita akan meminta Rasulullah SAW menunggu sebentar di depan pintu kerana kita teringat susunan CD yang berbagai-bagai yang mungkin ada yang 18 sx yang ada di ruang tamu. Sudah tentu kita akan tergesa-gesa mengemaskan cd ini dan cepat-cepat meyorokkannya di belakang almari TV. Kita susun buku-buku agama untuk melindungi cd ini dari kelihatan. Baginda tentu tetap tersenyum memerhatikan kita.

Kemudian, kita menjemput baginda masuk, tapi sebelum itu, kita teringat pula gambar-gambar wanita setengah telanjang yang kita pasang dalam rumah kita. Mungkin di bilik anak kita, mungkin gambar-gambar penyanyi yang membuka sana dan sini. Kita akan meminta baginda menunggu lagi sebentar, cepat-cepat kita memindahkan semua gambar ini, kita cabut dan letaknya di bawah katil atau cepat-cepat kita buang di belakang rumah kita. Barangkali kita akan menggantikannya dengan lafaz Allah dan Muhammad. Baginda tentu tetap tersenyum melihat gelagat kita.

Kemudian, kita mempersilakan Baginda masuk. Ketika Baginda melangkah masuk, barangkali kita teringat bahwa anak kita lebih hafal lagu-lagu barat daripada menghafal Selawat kepada Rasulullah SAW. Barangkali kita menjadi malu bahwa anak-anak kita tidak mengetahui sedikitpun sejarah dan sirah Rasulullah SAW kerana kita lupa dan lalai mengajar anak-anak kita.

Barangkali, anak kita balik tanpa memberi salam dan menghulurkan tangan bersalaman dengan tetamu yang hadir, barangkali anak kita akan memasang lagu dengan kuat dan sama-sama menyanyai. Baginda tentu tetap tersenyum.

Barangkali kita menjadi merasa malu jika anak kita lebih mengetahui nama penyanyi dan pelakon dari nama sahabat dann keluarga Rasulullah. Dia lebih kenal jenis-jens Ultraman dan nama anggota Power Rangers.

Kemudian, barangkali kita terpaksa menukar satu bilik mandi menjadi ruang solat. Barangkali, kita akan membasuh sejadah rumah kita yang telah lusuh dan tidak pernah berbasuh, barangkali kita akan meletakkan al-Quran yang telah lama tidak kita baca di bilik, yang kita tukar ke bilik sembahyang itu. Kita juga tentu menjadi malu kerana belum lancar lagi membaca al-Quran dan keluarga kita juga, sangat jarang membaca Al Qur'an.

Barangkali kita baru nak ingat di mana rumah anak yatim. Malu kita jika tidak dapat menjawab jika baginda bertanya mengenainya. Kita tahu baginda amat kasih pada anak yatim sedangkan kita tidak pernah pun tahu kewujudan anak yatim di sekeliling kita. Ini belum lagi mengenai jiran yang kita tidak mengenal antara satu sama lain.

Barangkali kita teringat bahawa isteri dan anak perempuan kita tidak memiliki pakaian yang sempurna untuk menutup aurat bila berhadapan dengan Rasulullah SAW. Beliau tentu tersenyum melihat kerut dahi kita yang sedang berfikir dengan rasa bersalah.

Ini belum lagi koleksi komik, majalah artis, majalah fasyen dan buku-buku moden yang kita terlalu agungkan berbanding kitab akhlak dan agama. Belum lagi koleksi kaset dan CD kita dan anak-anak kita. Belum lagi koleksi karaoke, mana kita hendak sorokkan semua koleksi ini demi menghormati junjungan kita ?

Barangkali kita menjadi malu kerana rumah kita dibina dengan duit riba, kereta kita yang besar dengan harta rasuah. Rumah kita penuh dengan barang-barang pejabat yang kita angkut bawa balik. Kertas pejabat, pen pejabat, klip kertas pejabat.

Belum lagi sikap kita yang tidak pernah ke masjid meskipun azan berbunyi. Pada saat azan Maghrib keluarga kita sibuk di depan TV, kadang kala waktu itu barulah hendak keluar ke pasar malam.

Barangkali kita menjadi malu kerana kita menghabiskan hampir seluruh waktu kita untuk mencari kekayaan dengan melupakan masa yang perlu diuntukkan pada keluarga, duduk mendidik mereka. Kita buru kesenangan duniawi hingga tipu harta orang lain, tipu harta pusaka, tipu amanah orang lain. Baginda tentu terus tersenyum pada kita.
Bayangkan apabila Rasulullah SAW tiba-tiba muncul di depan rumah kita, Apa yang akan kita lakukan? Masihkah kita akan memeluk junjungan kita dan mempersilakan baginda masuk dan menginap di rumah kita, atau akhirnya, dengan berat hati, kita akan menolak Baginda bertamu di rumah kita kerana kedatangan baginda meyebabkan kita terlalu penat untuk mengemaskan itu dan ini.

Akhirnya, mungkin kita akan berkata,

"Maafkan kami Ya Rasulullah, nanti saya hantarkan ke hotel berdekatan ye..". Baginda akan tetap tersenyum melihat kita. Baginda tetapi tersenyum melihat kita umat yang sangat dikasihi ini, baginda tetapi terseyum, tetapi, senyum yang bagaimana? Senyum pilu, senyum sedih dan senyum getir...

Betapa malunya kita yang sering mengatakan aku cintakan Islam dan cintakan Nabi tetapi realitinya, kita tahu apa yang kita buat.

Sekadar renungan. Mari sama-sama meningkatkan diri kita. Semoga, niat yang baik diperbaiki oleh Allah.

Selamat mengingati Nabi, ingatlah, kekasih Allah, mencintai kita.

Sekali lagi, dijemput untuk kita menghadiri program esok.

Ya Allah, bimbinglah kami semua….

Monday, February 23, 2009

Tarbiah dan Dakwah 13 – Seks Di Tepi Jalan

Ustaz!.. bila kali terakhir ustaz beli telifon" kata Dr Mohd Nawar dari PPUM memulakan perbualan.

Beliau menemankan saya ketika jamuan selepas tamat majlis forum di PPR Kerinchi Lembah Pantai pada Sabtu 21 Febuari 09 lalu.

Kenapa Dr? saya bertanya.

"Sekarang ni, kalau beli handphone, nanti tukang jual tu boleh isikan kat memory card kita klip-klip video lucah budak-budak Melayu". Dr Nawar menjelaskan.

Dia orang ni, kadang kala, ustaz, buat kerja tak senonoh tu, dia orang rakam pakai handphone sendiri, lepas tu share dengan kawan-kawan bila balik sekolah kat tepi jalan. Bila jual handphone, dia orang dah padamkan, tapi kedai tu boleh dapatkan balik rakaman dia orang ni. Macam mana ni ustaz, siapa nak dipertanggung jawabkan? Kata Dr Nawar bersungguh-sunggguh.

Dr Nawar terus mengomel dan memberikan pandangannya. Satu tak jawab sepatah pun, hanya tersenyum, jika saya jawab ketika itu pun, tidak akan mengubat penyakit masyarakat. Biarlah Dr yang beri pandangannya, saya dah kehabisan air liur hampir dua jam berforum.

Dalam perjalanan pulang, topik ini terngiang-ngiang di telinga saya. Hinggalah pada petang ini, saya rasa, saya kena menulis sikit mengenainya.

Siapa bertanggung jawab? Soalan yang sangat baik yang dilontarkan oleh Dr Nawar kepada saya.

Bagi saya kita lihat dari tanggung jawab lima golongan.

1. pemimpin
Untuk memberikan solusi secara drastik, ia memerlukan perhatian dari gologan pemimpin negara. Pemimpin negara boleh memberi arahan kepada seluruh penguatkuasa untuk membersihkan perkara ini. Beri tumpuan pada pendidikan, jaga media massa, kurangkan hiburan dan sebagainya.

Cuba kita lihat di negara Iran contohnya. Apabila Media Massa di kawal, rancangan hiburan Islam diperbanyak, maka payah ingin melihat perkara maksiat, malahan tarannum (lagu al-Quran) menjadi kegilaan bagi anak-anak muda.

Tapi jika pemimpin pun gemar pada seks. Maka sudah tentu, kemahuan menghalang itu kurang. Cuba lihat pemimpin pilihan baru-baru ini, belum kahwin dah tidur dengan orang. Soal ia didedahkan oleh parti lawan, itu soal lain, tapi dari sudut moral, agama dan adat ketimuran ia tetap menjijikkan. Bagaimana ingin membetulkan bayang-bayang jika tiangnya sendiri pun bengkok.

2. Perlaksana undang-undang
Para pelaksana undang-undang perlu lebih tegas bagi memastikan ia terkawal. Ada kadang-kala, maksiat depan mata pun, tidak dicegahnya, apabila ditanya, "kami tak dapat laporan". Ia melibatkan penguatkuasa dari kerajaan maupaun dari jabatan agama. Yang dah buat alhamdullillah, kita tidak nafikan usaha itu, tetapi perlu lebih agrsif lagi. Ada soalan sedang menunggu kita di akhirat.

3. Masyarakat
Masyarakat juga perlulah sama-sama turut menjaga keadaan ini. Para artis dan pelakon termasuk anggota masyarakat. Dia yang selalu keluar dan menjadi idola para pemuda. Tetapi jika para artis juga selalu terlibat dengan pergualan bebas, maka contoh itu dilihat oleh remaja, dan gaya hidup itu akan diikuti.

4. Keluarga
Walaupun ibu bapa sibuk, ia tetap perlu meluangkan masa yang kualiti bersama anak-anak. Anak yang terbiar akan lebih selesa mencari penyelesai masalah bersama kawan dari keluarga. Hasilnya, jika ia berkawan dengan golongan yang salah, maka nasihat jahatlah yang selalu dengar.

5. Pertologan dari Allah.
Setelah kita perkasakan keempat di atas, ia tetap tidak sempurna jika tiada restu izin dari Allah. Setelah berusaha semaksima mungkin, semua perlu berdoa. Agar ia dipelihara oleh Allah. Allah berfirman

"Jika sebuah negeri itu beriman dan bertaqwa maka kami akan buka pintu keberkatan dari langit dan bumi."

Ini harapan kita, semua pihak bertanggung jawab. Jika anak muda rosak, siapakah pelapis perjuangan yang boleh kita harapkan untuk membela agama, bangsa dan negara.

Jika seks boleh dilihat ditepi jalan, ia sudah terlalu keterlaluan. Atau benarlah isyarat Nabi SAW,

Demi yang jiwaku berada ditangannya, tidak akan binasa umat ini hinggalah nanti seorang lelaki dan perempuan bersama, maka dilihat mereka berzina di jalan, maka sebaik-baik antara mereka pada ketika itu ialah yang berkata, iskh, berlindunglah sedikit di balik dinding ini" (lihat Asyrat as-Sa'ah, Yusuf Abdullah al-Wabil halaman 139)
Kita tidak akan mampu membetulkan bayang-bayang dari tiang yang bengkok
Apa sudah jadi, jika yang menjadi idola kencing berdiri, sudah tentu yang mengikut akan kencing berlari.

Saturday, February 21, 2009

Tarbiah dan Dakwah 12 - Perantis Pewaris Nabi

Baru-baru ini, saya ada dihubungi dengan seseorang yang berfikir mengenai bab "Ulama Pewaris Nabi". Siapakah mereka dan apakah sifatnya. Dia seorang pelajar agama dan ingin tahu bagaimanakah yang dikatakan Ulama Pewaris Nabi itu. Kesempatan kali ini, kita akan bicarakan tajuk ini.

Di dalam pengajaran Ahli Sunnah wal Jamaah, sifat yang wajib pada Nabi ialah :-

1. Siddiq (benar)
2. Amanah (jujur)
3. Tabligh (menyampaikan)
4. Fathanah (bijaksana)

Seorang Nabi merupakan seorang yang amat benar dari segi perlakuan dan percakapannya. Seorang Nabi juga perlu amanah di dalam menunaikan tanggungjawabnya dan juga bersifat Tabligh iaitu senitiasa menyampaikan, tidak menyembunyikan segala risalah dan juga Fatanah iaitu bijaksana di dalam merancang, meneliti dan menilai bagi menjayakan perjuangan tauhid.

Ketika kewafatan Nabi saw, maka tamatlah salsilah kenabian. Jika ada orang yang mengaku Nabi maka orang itu adalah pendusta.

Bagi memastikan risalah yang diturunkan oleh Allah ini berterusan, maka Nabi mengamanahkan penerusan risalah ini kepada para Ulama'. Dalam hal ini, Rasullullah saw bersabda bahawa :-

"Ulama itu pewaris Nabi"

Apabila disebut dengan Ulama itu pewaris Nabi, ia tidak bermakna satu perkara yang boleh dibanggakan oleh orang yang mempunyai ilmu agama. Ia merupakan satu amanah yang amat berat untuk dipikul di dalam memperbaiki masyarakat.

Jika ada para Nabi yang dibunuh, maka ulama perlu bersedia menghadapi kemungkinan ini. Jika ada Nabi yang difitnah, maka ulama perlu bersedia menghadapi perkara ini, jika ada para Nabi yang dibenci, dipukul, disakiti, diaibkan maka para pewaris Nabi perlu memahami, perkara ini juga mungkin akan berlaku kepada dirinya.

Para Nabi ada berbagai keadaanya sama seperti para ulama juga ada berbagai keadaanya.

Tidak semua Nabi yang menjadi pemimpin seperti mana tidak semua Nabi yang terhina dan terbunuh.

Nabi Musa dapat menggerakkan perjuangan menumbangkan kerajaan Firaun yang zalim, Nabi Daud dapat menggerakkan perjuangan mengalahkan Raja Jalut, Nabi Sulaiman dapat menggerakan perjuangan mengislamkan Ratu Balqis dan Nabi kita Muhammmad dapat menggerakkan perjuangan Islam ini hinggalah Rom dan Parsi jatuh ke tangan Islam.

Apa kelebihan yang ada pada Nabi yang berjuang dan mengubah dunia ini? Ia adalah sifat Fathanah (kebijaksanaannya).

Bagaimana ingin mendapatkan Fathanah (kebijaksanaa). Mari kita bincangkan.

Fathanah (bijaksana) ialah gabungan di antara cerdik dan pandai. Seseorang akan menjadi pandai jika dia banyak belajar. Semakin banyak dia belajar semakin pandai dia. Cerdik pula akan datang hasil interaksi seseorang dengan alam. Ia dipanggil pengalaman. Semakin banyak pengalaman seseorang itu semakin cerdik dia.

Sebab itu, ada orang yang pandai kerana tinggi pengajiannya tetapi tidak cerdik. Walaupun pandai tetapi tetap kena tipu, tetapi tidak mahir mengurus rumah tangga, perniagaan dan sebagainya. Ada orang yang darjah enam pun tak lulus, tetapi oleh kerana banyak pengalamannya dia menjadi cerdik di dalam menyelesaikan segala permasalahan hidup. Kadang kala, orang seperti ini leih menonjol dari orang yang pandai.

Bijaksana pula ialah gabungan di antara pandai dan cerdik. Seorang yang mempelajari ilmu dan sentiasa meningkatkan ilmunya dalam waktu yang sama mencari pengalaman dan sentiasa meningkatkannya. Jika kita perhatikan, di dalam al-Quran Allah ada menyuruh kita belajar dan juga ada ayat yang menyuruh kita berjalan untuk melihat agar dapat menimba pengalaman.

Tradisi ulama terdahulu mereka belajar dan terus belajar dan juga mereka mengembara dan berhubung langsung dengan masyarakat untuk meningkatkan pengalaman. .

Setelah kita tahu, bagaimana ingin mendapatkan bijaksana, kita bincangkan, apakah setinggi-tinggi kebijaksanaan.

Setinggi-tinggi kebijaksanaan ialah apabila kebijaksanaan itu dipimpin oleh Allah. Ketika itu, setiap apa yang dilakukannya akan sentiasa terkehadapan dan para musuhnya tidak dapat membaca segala pergerakkannya.

Kita lihat bagaimana Rasullullah membuka kota Mekah, kita lihat bagaimana Sultan Salahuddin al-Ayubi mengalahakan tentera salib dan cuba kita lihat sejarah bagaimana Sultan Muhamad al-Fateh menumbangkan kota Konstantinople. Semua ini hanya beberapa cebis sejarah dari jutaan yang ada. Selain dari perancangan yang luar biasa, ia sentiasa dibantu gerak hatinya oleh Allah. Nabi saw pernah bersabda

"takutlah kamu firasat orang mukmin, sesungguhnya dia melihat dengan cahaya Allah".

Berbalik kepada perbincangan kita, semua kita boleh mengusahakan kebijaksanaan, tetapi bagi orang agama yang ingin membahu perjuangan Nabi, merekalah satu golongan yang perlu lebih tekun meningkatkan diri.

Sesungguhnya, warisan perjuangan Nabi bukannya ringan. Ia perlu kepada Fathanah (kebijaksanaan) yang dibantu Allah. Ini kerana, di ketika umat semakin rosak, sepatutnya usaha memperbaiki perlu lebih hebat.

Jika Islam itu sifatnya global, maka dakwah juga perlu bersifat demikian. Mari sama-sama kita membahu perjuangan Nabi. Sekurang-kurangnya, jika kita tidak mampu buat semua, kita tidak meninggalkan semuanya.

Tuesday, February 17, 2009

Tarbiah dan Dakwah 11 - ia mudah jika dipermudahkan Allah

Alhamdulillah, saya selamat sampai ke tanah air jam 2.45 petang. Sesampainya saya di rumah, saya terus bersiap-siap ke ofis di Shah Alam melihat beberapa urusan yang mungkin tertangguh sepeninggalan saya ke Guang Zhou China.

Malam ini, insyaAllah saya akan mengadakan pertemuan dengan sahabat dari Yayasan al-Ijabah untuk membincangkan perjalanan anak-anak yatim al-Ijabah, pembelian bas dan sebagainya.

Seminggu saya tiada, kebetulan banyak perkara yang berlaku di rumah al-Ijabah, dengan seorang yang patah jari kerana main bola, yang bergaduh berasal dari gurauan yang lebih dan sebagainya.

“Hmm.. anak-anak yang disayangi, besar sungguh perhatian yang perlu diberikan pada kalian ni.. semoga kalin semua menjadi orang hebat satu hari nanti,” amin..

Ramai orang yang mengatakan bahawa beruntung orang yang menjaga anak yatim, ini kerana Nabi saw telah bersabda,

“aku dan penjaga anak yatim begini di syurga, sambil baginda menunjukkan jari telunjuk dan jari tengahnya”.

Nampak hadith ini seakan memberitahu kita akan peluang yang mudah ke syurga. Tetapi, apabila kita menemui hadith-hadith mengenai peluang masuk ke syurga, fahamilah bahawa, di sebalik galakan itu, ia juga memberitahu kita bahawa cabarannya sangat besar, ujian hebat dan badainya menggulung.

Syurga tidak semudah yang kita sangkakan. Kalaulah bukan dengan bimbingan dan rahmat dari Allah, amat payah untuk kita ke sana.

Berbalik dengan penjagaan anak yatim, ia berkaitan dengan lima perkara:-

1. anak itu sendiri
Biasanya, anak-anak yatim adalah golongan yang kurang perhatian. Mereka agak nakal. Ini kerana mereka tidak ada ayah dan penjagalah yang mengambil tugas sebagai ayah. Sebagai ayah, kita kena fikirkan bagaimana mereka boleh Berjaya di dunia dan di akhirat. Kita kena fikirkan bagaimana akhlak dan sikap mereka. Jika mereka nakal, macam mana hendak didik mereka. Ini cabaran yang besar untuk anak-anak ini.

Ramai orang boleh ambil anak yatim, bawa ke KFC,makan dan hantar balik, tetapi tidak ramai yang sanggup duduk bersama mereka, makan bersama mereka dan didik mereka secara langsung.

Kaedah yang saya gunakan untuk anak-anak al-Ijabah ialah dengan mengaturkan mereka menghafal al-Quran, hadith dan selalu membaca selawat dan nazam-nazam mengenai Nabi.

Dengan keberkatan al-Quran dan Selawat serta bantuan dari Allah, biasanya, anak-anak kita di al-Ijabah lebih lembut dan mahu mendengar arahan para guru dan penjaga di sini.

2. waris anak
Ada waris yang seperti mahu buang anak ini, ada yang terlalu tinggi harapan, ada yang hanya ingin mencari salah dan sebagainya. Para waris kadang-kala lupa bahawa kita hanya membantu anak-anak ini. Peranan waris juga perlu membantu. Bukan ditinggalkannya anak ini begitu sahaja.

3. masyarakat
Ada masyarakat yang membantu, ada yang mencebek, ada yang memandang rendah usaha ini, dan ada yang memandang serong. Sebab itu, yang mengurus, jangan terlalu sensitif kerana takut orang kata. Antara ciri orang beriman, Allah menyatakan

“dan mereka tidak takut celaan orang yang mencela”.

Kehinaan tidak datang dari manusia seperti mana kemuliaan tidak datang dari mereka. Ia dari Allah.

Saya biasa denga sindiran yang tajam dalam hal ini. Dan yang aneh, sindiran ini biasanya datang dari orang yang tidak membantu, orang yang berusaha apa-apa. Yang sama-sama membantu biasanya akan terus membantu walaupun orang tidak tahu. Ini kerana, mereka faham, yang memuliakan bukan dari manusia, tetapi Allah.

4. Kemampuan
Kita tidak mampu untuk menguruskan semua keperluan mereka tetapi yakinlah bahawa, yang mencukupkan mereka bukan kita, tetapi Allah. Allah sebut di dalam al-Quran:-

“Tidakkah dia mendapati engkau yatim maka dia mencukupkan” surah ad-Dhuha ayat 6

Kita sebagai pengurus sahaja, tetapi keperluan dari Allah. Kita cuma tolong usahakan. Itu sebabnya kadang-kala saya rasa hairan, Allah cukupkan itu dengan berbagai cara yang tidak disangka-sangka.

Sebagai contoh, bayaran bas untuk anak-anak al-Ijabah ialah RM 4500 sebulan, setakat ini, tidak ada sebulan pun yang tersangkut, sampai masa boleh dibayarkan. Itu belum keperluan-keperluan yang lain.

5. Diri sendiri.
Ini yang paling payah, menyayangi orang lain yang kita tidak mempunyai kepentingan kepadanya. Mengorbankan harta, masa dan diri untuk orang yang kita tidak mengharapkan apa-apa balasan dari mereka.

Ramai orang yang boleh jaga anak yatim, tetapi menyayangi tidak semua yang mampu. Tidak ramai orang yang boleh menangis kerana melihat akhlak mereka teruk dan pelajaran mereka teruk. Ini yang paling susah.

Jadi, jika Nabi bersabda,

“aku dan penjaga anak yatim begini di syurga, sambil baginda menunjukkan jari telunjuk dan jari tengahnya”.

Ia juga bermakna, ketahuilah bahawa, ujiannya juga besar, kerana perkara yang berkaitan dengan syurga memerlukan pengorbanan yang besar.

Tetapi, walau sebesar mana ujian, ia akan jadi mudah jika dipermudahkan oleh Allah…

Thursday, February 12, 2009

Tarbiah dan Dakwah 10 – Sanad (salsilah ilmu) dan kepentingannya.

Ketika Rasullullah berdakwah, perkara yang paling sukar bagi baginda ialah tentangan yang datang dari ahli kitab. Ini kerana merekalah yang mengatakan bahawa Rasullullah mencipta agama baru sedangkan pada pandangan mereka, merekalah yang membawa risalah agama yang benar yang diwarisi dari Nabi-Nabi terdahulu.

Hal ini berterusan hinggalah Rasullullah diisrak ke langit. Rasullullah ditemukan dengan Nabi-Nabi terdahulu. Akhir sekali bertemu Allah dan mengambil risalah langsung dari Allah.

Ketika sekembalinya Rasullullah, ahli kitab kelu apabila baginda dapat menceritakan dengan tepat ajaran yang dibawa oleh para Rasul terdahlu. Baginda juga dapat menjelaskan penyelewengan ahli kitab dan rekaan mereka terhadap agama.

Bagaimana Rasullullah dapat mengetahui semua ini. Baginda telah mendapat tunjuk ajar langsung dari Allah(salsilah ilmu itu langsung dari Allah)

Selepas itu, baginda menyampaikan agama ini kepada para sahabat. Para sahabat menyampaikan kepada Tabiin. Para Tabiin menyampaikan kepada para Tabi' Tabiin. Dan semua salsilah ini bersambung dan inilah yang dikatakan sanad.

Sistem sanad ini berterusan hingga para Ulama menyatakan "di antara kelebihan umat ini (umat Muhamad) ialah ilmunya bersanad (lihat Sobri Abdul Rauf. Athar al-Qiraat fi Feqh al-Islami. Adhwa' as-Salaf, Riyadh. halaman 70).

Fungsi sanad ini diambil alih oleh Institusi pada ketika wujudnya beberapa Universiti seperti Universiti al-Azhar di Mesir dan Universiti Qarawiyyin di Tunisia.

Pada zaman ini, walaupun sistem sanad talaqqi (salsilah guru) masih digunakan tetapi ada ulama-ulama yang menyandarkan tempat belajar sebagai sanadnya.

Sistem sanad mula kurang diendahkan apabila penjajahan Negara Barat terhadap negara Islam. Orang barat lebih menumpukan institusi dari salsilah guru. Akhirnya, ada guru-guru dari insititusi yang mengajarkan perkara salah mengenai Islam. Tetapi, kerana fungsi institusi lebih besar, maka orang tetap mengiktiraf mereka.

Sistem sanad tidak boleh ditinggalkan sekalipun fungsi institusi lebih menyerlah sekarang. Ada tujuh perkara yang penting mengenai sanad

1. Mengetehui kesahihan ilmu
Orang yang ada sanad bermakna dia ada salsilah guru. Maknanya, kita dapat tahu dari mana dia belajar dan siapa gurunya. Apabila sesuatu salsilah itu bersambung hinggalah ke Rasullullah, maka ia akan menjadikan kita yakin dengan kupasan ilmunya. Muqaddimah kitab Sahih Muslim ada menekankan mengenai kepentingan sanad ini.

Dari Ibnu Sirin " sesungguhnya ilmu itu adalah agama kamu, maka hendaklah kamu melihat dari siapa kamu ambil agama kamu.(perbahasan ke 26 mengenai sanad)

Dalam perbahasan ke 27, Dari Ibnu sirin "Apabila berlaku fitnah (perselisihan) kamu tanyakan, siapa guru kamu?
2. Keberkatan
Dengan belajar secara berguru dan bertalaqqi dan kita tahu salsilah guru kita, ia akan menambahkan lagi keberkatan di dalam belajar.

3. Persaudaraan
Dengan mengambil sanad, kita akan dipersaudarakan dengan murid-murid lain yang mempunyai sanad. Katakan seorang yang belajar secara bersanad di Shah Alam, dia berjumpa dengan seorang murid dari Mesir. Melihat sanadnya, maka ada persamaan guru, maka ia membuatkan seseorang lebih rapat lagi. Ia seperti kita bertemu dengan seseorang yang sama universiti dengan kita. Ia akan menjadikan kita lebih mesra.

4. Tanggungjawab
Orang yang memegang sanad, dia bertanggungjawab menyampaikan pula ilmu yang dia ada pada orang lain. Katakanlah ada 100 orang murid yang belajar secara bersanad, maka setiap seorang mengajar lagi seratus, maka ilmu itu akan terus berkembang. Apabila semakin ramai orang yang faham agama, maka semakin baik masyarakat.

5. Pahala.
Apabila ilmu yang disampaikan itu diamalkan, maka Allah akan memberi pahala kepada kita sekalipun kita telah mati. Ia berdasarkan hadith bahawa antara amalan yang kekal pahalanya ialah seseorang itu menyampaikan ilmu yang berguna kepada orang lain.

6. Bimbingan
Orang yang banyak berguru, dia akan terus mempunyai hubungan dengan gurunya. Jadi, gurunya itu akan terus dapat membimbingnya. Ini kerana ramai orang berilmu rosak apabila tidak ada orang yang dapat menegurnya. Dia rasa dia telah alim dan dia boleh keluarkan fatwa apa yang dia suka. Sedangkan manusia perlu sentiasa diingatkan mengenai kebenaran dan kesabaran. (maksud surah al-Asr)

7. Hubungan di akhirat.
Ketika di akhirat, kita akan dibariskan dengan beberapa barisan. (Surah Naba'). Sudah tentu kita hendak mengikut saf yang dipimpin oleh Rasullullah. Tetapi kita tidak kenal nabi. Yang kenal Sahabat, kita tidak kenal sahabat, yang kenal sahabat tabiin. Kita juga tidak kenal tabiin, yang kenal mereka ialah pendakwah-pendakwah Islam yang mengembangkan Islam. Kita juga tidak kenal mereka. Yang kenal mereka ialah tuan-tuan guru kita. Maka kita akan mengikut tuan-tuan guru kita, tuan-tuan guru akan mengikut para pendakwah, para pendakawah mengikut tabiian, tabiin mengikut sahabat dan sahabat sudah tentu mengenali dan akan mengikut saf Rasullullah. Akhirnya kita akan disafkan bersama Rasullullah.

Dengan sanad mudah-mudahan kita kenal guru-guru kita hinggalah ke Rasullullah saw.

Inilah kepentingan sanad. Belajarlah dan mengembaralah mencari ilmu. Yang terbaik apabila kita belajar secara besanad.

Sesungguhnya, sistem ini telah mula ditinggalkan, tetapi ia tidak akan putus. Ini kerana salsilah ilmu ini akan sentiasa ada yang menyambungnya. Oleh yang demikian, jadilah kita sebahagian dari orang yang mempunyai sanad di dalam ilmu-ilmu Islam ini.
Pada 15 Safar 1430 bersamaan dengan 11 Febuari 2009 majlis khatam Kitab Sahih Muslim dan penganugerahan sanad disempurnakan di Yayasan Restu Shah AlamHari ini seramai hampir seratus orang dianugerahkan sanad kitab sahih Muslim. Semoga mereka pula akan menyampai dan mengajarkan kepada orang lain.
Di antara kelebihan umat Muhamad ini ialah ilmunya bersanad (bersalsilah) hinggalah ke Rasullullah.

Sunday, December 28, 2008

Tarbiah dan Dakwah 9 - Maal Hijrah

Hari ini merupakan hari akhir kita berada di dalam tahun 1429. Esok, kita akan berada di tahun 1430. Seribu empat ratus yang silam, sejarah menyaksikan satu peristiwa agong di dalam Islam. Itulah peristiwa hijrah. Apabila kita membicarakan peristiwa hijrah ini, kita akan mengingati tiga perkara:-

1. Ia mengingatkan kita mengenai perjuangan Nabi. Susah dan payah kaum muslimin berhijrah. Tujuannya untuk kita mencintai Nabi, ahli keluarga dan para Sahabat. Hari ini, ramai orang yang lupa pada Nabi sehingga lebih mencintai perkara lain. Yang lebih malang, ada yang sanggup menghina Nabi.

2. Mengingatkan kita mengenai peningkatan umur, apakah setelah setahun keadaan kita sama sahaja sedangkan umur kita semakin meningkat. Semoga amalan kita meningkat seiring dengan umur kita. Amat rugi orang yang semakin meningkat umurnya amalannya sama sahaja. Lebih malang apabila amalannya semakin teruk, akhlaknya semakin teruk, ibadahnya semakin teruk, hubungan dengan Allah semakin jauh, keluarganya semakin porak peranda. Maal Hijrah ini menjadi batu ingatan kepada kita mengenai peningkata umur kita.

3. Ia juga mengingatkan kita mengenai muhasabah diri. Ada lapan peningkatan yang perlu kita buat setiap hari dan ketika. Di ketika kita menyambut Maal Hijrah ini, kita lihat, adakah lapan perkara ini telah kita tingkatkan.

1. Peningkatan cinta pada Allah
2. Peningkatan cinta pada Nabi
3. Peningkatan cinta pada Agama
4. Peningkatan cinta pada Saudara seIslam
5. Peningkatan cinta pada ilmu
6. Peningkatan cinta pada amal
7. Peningkatan cinta pada akhlak
8. Peningkatan cinta pada amar makruf dan Nahi mungkar

Lapan perkara ini yang Nabi terapkan ke dalam jiwa para sahabat ketika peristiwa hijrah. Kita tidak perlu berpindah ke Madinah bagi tujuan berhijrah, tetapi kita perlu berhijrah rohani dari keadaan lama kepada yang baru. Semoga niat baik kita diperbaiki oleh Allah.

Thursday, December 4, 2008

Tarbiah dan Dakwah 8 - Kenapa kita menegur?

Saya selalu mendengar keluahan seperti ini, “ustaz, saya selalu tegur anak saya, tapi dia makin melawanlah ustaz. Dalam keadaan yang lain, ‘ustaz, saya tegur isteri saya, sepatah saya sebut, sepuluh patah dia jawab. Kadang kala dari seorang isteri, ah.. laki saya ego ustaz, malas saya nak tegur, dia bukan nak dengar pun..

Ini di antara persoalan yang sering kita dengar di dalam kehidupan seharian ini. Orang yang kecewa kerana tegurannya tidak diendahkan.

Apa yang ingin kita kongsikan pada hari ini ialah, kenapa kita menegur orang lain. kita tegur orang lain bukan sebab kita anggap dia rendah, bukan sebab kita geram dan marah dekat dia, bukan juga sebab kita kecewa pada dia, kita menegur orang lain kerana Allah dan Rasul suruh kita menegur. Allah selalu suruh kita menyeru pada yang baik dan mencegah pada yang mungkar.

Kita menegur orang lain bukan sebab ingin merubah mereka. Kita tidak mampu merubah manusia, hingga para Nabi juga tidak mampu merubah hati manusia. Yang merubah hati manusia ialah Allah. Kita hanya disuruh menyampaikan perkara yang baik.

Jika kita faham kenapa kita menegur, maka kita tidak akan kecewa jika teguran kita tidak diendahkan. Kita hanya menyampaikan. Jika dia tidak dengar, esok kita sampaikan lagi, jika mereka marah kita diam, esok kita sampaikan lagi. Akhirnya kita akan terus menegur dia. Sampai bila? Sampai akhir hayat kita.

Inilah yang dilakukan oleh Nabi, datang dan terus datang, tegur dan terus menegur tanpa rasa kecewa dan putus asa. Hasilnya, kita boleh melihat, bangsa Arab yang pernah dianggap seperti belalang padang pasir berubah menjadi singga-singa pentadbir dunia.

Kita menegur kerana Allah suruh kita menegur, merubah adalah hakNya. Oleh itu, ikhlaskan niat, teruskan teguran pada orang di sekeliling kita, insyallah, usaha kita akan dirahmati Allah.

Friday, November 28, 2008

Tarbiah dan Dakwah 7 - Hidup adalah ujian

Hidup kita di dunia ini adalah merupakan ujian. Di dalam surah al-Muluk ayat 2 Allah berfirman:-

2: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

Apabila kita memperkatakan mengenai ujian, maka ramai orang yang akan menyangka ujian itu adalah kesusahan semata-mata. Sebenarnya, kesihatan yang Allah berikan kepada kita merupakan ujian. Allah mahu melihat sama ada kita gunakan ke jalan yang Allah redhai atau pun tidak. Begitu juga dengan akal fikiran, harta, keluarga, kepandaian dan sebagainya. Semua itu akan dipersoalkan oleh Allah sama ada kita mempergunakannya pada jalan yang diredhai Allah atau pun sebaliknya.

Para sahabat dahulu lebih banyak menangis ketika beroleh kekuasaan, dari pada ketika mereka susah dahulu. Ini kerana ramai orang yang lulus dalam ujian kesusahan tetapi tidak ramai yang lulus ketika dalam ujian kesenangan. Manusia sangant mudah lalai jika berada di dalam kesenangan berbanding ketika berada di dalam kesusahan.

Sebagai analoginya, katakanlah kita di dalam sebuah dewan peperiksaan. Kita dikehendaki menjawab 100 soalan. Di dalam siri soalan tersebut ada yang soalan susah dan ada soalan yang senang. Kedua-dua jenis soalan ini perlu kita jawab. Jika seorang murid mengatakan, "ah.. tidak perlulah menjawab soalan yang senang ni, kita tinggalkan sahaja. Soalan macam budak tadika". Maka dia pun meninggalkan soalan tersebut. Apa akan terjadi pada keputusan periksa. Sudah tentulah dia akan gagal atau mendapat markah yang rendah. Ini kerana dia meninggalkan soalan tidak terjawab.

Jadi, ketika kita susah ada jawapan yang perlu kita berikan pada Allah. Jika kita senang juga ada jawapan yang perlu diberikan. Jawapan tersebut mestilah selaras dengan kehendak Allah dan Rasulnya.

Sesungguhnya, hidup ini merupakan ujian, tidak ramai orang yang dapat memberikan jawapan yang baik pada persoalan di dalam hidupnya.

Tuesday, November 4, 2008

Tarbiah dan Dakwah 6 - Rasa Kita Dan Irsyad Nabi

1. Manusia menganggap dunianya lebih besar sedangkan Nabi s.a.w mengajar kita bahawa akhirat itu yang lebih besar.

Kesannya, orang yang membesarkan dunia akan sentiasa rungsing dengan hal-hal dunia, dan orang yang besarkan akhirat akan merungsingkan hal-hal akhirat.

2. Manusia itu selalu mahu berehat dan malas di dalam usahanya, sedangkan Nabi s.a.w mengajar kita kerehatan sebenar adalah di ahkirat

Kesannya, orang yang suka berehat di dunia akan sentiasa mengeluh kerana kepenatan di dalam hidup sedangkan orang yang mahu rehat di akhirat sentiasa memaksima segala usahanya untuk tujan di akhiarat

3. Manusia itu sentiasa terburu-buru, Nabi s.a.w ,mengajar bahawa ketenangan itulah yang membawa kebaikan.

Kesannya, manusai ingin cepat mendapat hasil, akhirnya mereka terlibat dengan perkara haram di dalam mencari rezki, mengambil hak orang lain di dalam usaha, mengaibkan orang untuk berjaya sedangkan tenang menyebabkan seseorang sentiasa tawakkal dan ingat Allah sebelum ketika berusaha.

4. Manusia selalu sedih jika hartanya hilang, sedangkan Nabi s.a.w mengajarkan agar sentiasa berhati-hati jika pahala hilang dan bersedih jika masa hilang denga sia-sia.

Kesannya, manusia akan mengungkit-ungkit kejadian-kejadian, menyalahkan takdir dan tidak redha di atas hal yang berlaku, Sedangkan orang yang berhati-hati menjaga amalannya akan sentiasa memuhasabah apa yang berlaku

5. Akhir sekali, manusia selalu lupa dia diperhatikan, sedangkan Nabi mengajar bahawa kita sentiasa di dalam rakaman malaikat.

Kesannya, manusia selalu ingkar jika bersendirian, bangga dengan maksiat bila beramai-ramai, sedangkan orang yang sentiasa ingat dia diperhati akan sentiasa taqwa di dalam sendiri dan tawadhuk ketika ramai.

Semoga kita sentiasa menjadi orang yang mengikut Nabi dari menjadi orang yang mengikut rasa. Amin…

Monday, October 20, 2008

Tarbiah dan Dakwah 4 - Menjadi orang berakhlak

Pada kesempatan kali ini kita akan membicarakan mengenai akhlak. Kalau kita lihat pengajian di dalam Islam, di antara perkara yang Nabi tekankan adalah akhlak. Sebaik-baik muslim adalah orang yang paling baik akhlaknya.

Apakah yang dikatakan akhlak. Ia adalah sifat dan sikap yang selaras dengan al-Quran dan hadith. Sifat adalah apa yang ada di dalam hati manakala sikap pula apa yang nampak pada perbuatan.

Di dalam Islam, tidak di katakan seorang itu berakhlak jika dia hanya ada sifat seperti tawakkal tetapi sikapnya kasar. Bercakap membentak-bentak, meninggikan suara dan sebagainya. Begitu juga tidak dikatakan seorang itu berakhlak jika hanya sikapnya sahaja baik tetapi sifatnya tidak. Lahirnya nampak baik, cakapnya lemah lembut tetapi hati penuh hasad dengki, sombong, takabbur dan sebagainya. Jadi, akhlak adalah gabungan di antara sifat dan sikap.

Jika kita memerhatikan pengajian akhlak di dalam hadith, kita akan menenemui didikan Nabi untuk bercakap dengan lemah lembut, bergurau, berjalan dengan tawadduk dan lain-lain lagi. Yang zahir dan yang nampak inilah yang dikatakan sebagai sikap.

Kita juga akan menemui hadith yang mengajar mengenai sifat seperti sabar, tawakkal, syukur, menghindarkan sombong, riyak dan sebagainya. Yang ada di dalam hati inilah sifat.

Oleh yang demikian, jika kita hendak membentuk akhlak, hendaklah kita membentuk kedua-dua ini sekali iaitu sifat dan sikap.

Semoga Allah menjadikan saya dan pembaca sekelian orang yang sentiasa berakhlak untuk keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. amin..

Tuesday, September 30, 2008

Tarbiah Dan Dakwah 3 - Renungan Syawal

Satu Syawal merupakan hari raya bagi Umat Islam di dunia. Ia adalah hari syaitan dibebaskan dari tawanan. Hari ini juga adalah hari syaitan bersumpah akan menjadikan anak Adam paling berdosa dalam sejarah. Hari ini adalah hari nafsu tidak lagi lemah lantaran puasa. Hari ini merupakan hari gandingan mereka setelah sebulan dipisahkan.

Pada hari ini, berapa ramai manusia yang telah kembali ingkar dan mungkar pada Allah. Berapa ramai manusia yang dilaknat dan berapa ramai manusia yang telah terhamba hatinya kepada dua musuh utama tadi. Dalam senyum dan gelak muka mereka menjadi hitam lantaran dosa, hati mereka menjadi kelam lantaran derhaka dan jiwa mereka menjadi suram lantaran noda. Berapa ramai yang Tuhan rentap nyawanya pada hari itu. Persoalannya adakah di dalam Husnul Khatimah" (mati di dalam kebaikan)

Bagi Mukmin, pada hari ini kita diajar untuk berziarah dan bersedekah, memohon kemaafan di atas dosa sesama insan. Di ajar untuk mengenang orang yang susah dan berduka, di kala kita gembira.

Duhai Mukmin, jauhilah dari dilaknat di pagi Syawal, jauhilah diri dari menjadi bongkak dan takabbur pada Tuhan. Ingatlah Tuhan dan hindarkanlah dosa. Andaikata Tuhan menjemput kita pada hari ini, pastikan, ia hari termulia dalam hidup kita.

7 Amalan Syawal

1. Banyakkan memohon ampun pada Allah dan kemaafan pada insan.
"sesiapa yang masih berdosa selepas Ramadhan akan celakalah hidupnya"

2. Banyakkan menyapa dan memberi salam
"sesiapa yang menyambungkan silaturrahim, Allah akan permudahkan jalannya ke Syurga"

3. Banyakkan besedekah
"sedekah dapat menghidarkan bala yang akan menimpa"

4. Banyakkan bertasbih, bertahmid dan bertakbir
Sesiapa yang menyebut nama Allah di bumi, Allah akan menyebutnya di langit, dan sesiapa yang namanya disebut akan diberi rahmat di dalam hidupnya"

5. Banyakkan berziarah
"Siapa yang menziarahi saudaranya kerana Allah, Allah akan sediakan mahligai baginya di syurga"

6. Banyakkan berdoa
"Sesiapa yang memohon kepada Allah akan keselamatan, maka jelaslah orang itu bertawakkal. Sesiapa yang bertawakkal pada Allah, maka tidaklah dia berjalan di muka bumi ini kecuali dengan pertolonganNya.

7. Banyakkan bersyukur
"Sesiapa yang bersyukur pada Allah (di atas nikmatNya) maka Allah akan gandakan nikmat yang telah dikurniakannya itu"

Semoga, kita semua di dalam rahmat dan perlindungan ilahi.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Zahir Batin

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhammad bin Abdullah al-Amin.

Saturday, September 27, 2008

Tabiah Dan Dakwah 2 - Iktibar sebuah kehidupan




Ketika saya pulang dari Masjid Madaniah, saya melalui bukit di Putra Heights. Di sini terdapat banyak monyet yang menunggu orang ramai memberi makan kepada mereka. Ada yang bersendirian, ada yang berkumpulan dan ada yang menggendong anak.

Sekali sekala mereka berebut makan semalam. Kenapa dia berebut. Kerana inign memenuhi keperluan perut mereka.

Apa untungnya mereka. Untungnya mereka ialah mereka berebut tetapi tidak akan dipersoalkan di hadapan Allah.

Di dalam kehidupan seharian kita, kita sering menyaksikan perebutan. Ada yang berebut kerja, ada yang berebut harta, ada yang berebut pangkat dan sebagainya.

Kesamaan kita dengan makhluk lain ialah kita juga berebut. Perbezaan kita dengan makhluk lain ialah mereka tidak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah.

Allah menyuruh kita selalu berfikir, mengambil iktibar dan memuhasabahkan diri kita. Kita perlu berfikir sejenak setiap kali kita berbuat, adakah ia mendapat keredhaan Allah atau sebaliknya.

Semoga terus kita dirahmiati Allah.

Tarbiah Dan Dakwah 1 - Muhasabah Ramadhan

Pagi ini, dengan izin Allah, saya dapat menyempurnakan Qiam dan Kuliah Subuh di Masjid Madaniah Subang Jaya. Saya ingin berkongsi kuliah kita pagi ini.

Kuliah pada pagi ini berkisar mengenai muhasabah Ramadhan. Oleh kerana Ramadhan akan meninggalkan kita, ada empat perkara yang perlu kita perhatikan.

1. Masa
Masa merupakan umur kita. Kita lihat betapa cepatnya masa berlalu. Ada dua perkara yang penting di dalam membicarakan mengenai masa.
i. jangan masa berlalu dengan sia-sia
ii. jangan masa berlalu dengan dosa

2. Amal
Kita juga perlu melihat dan mengkoreksi amalan kita. Amalan ada lima peringkatnya

i. amalan bentuk diri seperti sembahyang, puasa zakat dan sebagainya
ii. amalan bentuk keluarga seperti nafkah, menjadi isteri yang taat, menjadi anak yang taat dan sebagainya
iii. amalan bentuk masyarakat seperti menjaga keamanan masyarakat, amar makruf nahi mungkar
iv. amalan bentuk negara seperti mempertahankan negara, membangunkan negara selaras dengan agama dan sebagainya
v. amalan bentuk ummah Islamiyyah sekeliannya. Seperti membantu atau mendoakan saudara seIslam walau di mana mereka berada.

Ramai orang yang menjalani kehidupan tanpa amalan. Ada juga orang yang menjalani kehidupan dengan amalan yang dibuat dengan sambil lewa.

3. Hubungan dengan Allah
Di antara tujuan Ramadhan ialah untuk ketaqwaan. Kemuncak sifat taqwa ialah pergantungan kita kepada Allah.

Ramai orang yang bergantung dengan harta mereka, sebab itulah jika harta habis mereka akan rungsing. Ramai orang yang bergantung dengan projek, sebab itu apabila tidak ada projek maka mereka akan rungsing.

Oleh itu, kita perlulah menggantungkan hidup kita pada Allah. Orang yang mengantungkan hidup pada Allah tidak akan rungsing dan menderita jiwanya. Ini kerana Allah akan memberikannya jalan keluar bagi segala permasalahan dan memberinya rezki dari sumber yang tidak di sangka.

4. Rasa kehambaan
Rasa hamba adalah rasa tunduk di hadapan Allah. Orang tunduk di hadapan Allah, akan diangkat di hadapan manusia.

Ramai orang yang merasa rendah diri terhadap keduniaan. Hasilnya dia akan menderita jika miskin, menderita jika pakai kereta buruk, menderita jika tak cantik. Ini kerana dia rasa rendah diri terhadap unsur keduniaan di hadapan manusia. Hasilnya hidupnya terhamba di dalam kemerdekaan. Hilang ketenangan dan lenyapkah kebahagiaan.

Sebagai penutup, segala apa yang dilalui, perlu selalu bermuhasabah. Saidina Umar mengatakan “hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab”. Semoga Allah akan terus menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...