“Prang…” bunyi gelas pecah di restoran tempat saya makan di Amman Jordan. Mata saya terus memandang, ke arah bunyi tersebut tetapi orang Arab yang berada di sekeliling tidak mengendahkannya.
Sahabat saya berbangsa Arab bernama Atef juga tidak mengendahkannya.
Saya berkerut kehairanan. Terimbau satu kenangan.
Ia pernah berlaku pada saya sendiri ketika saya makan dengan Mahmood, pemandu pelancong kami di Jericho Palestin.
Saya tertolak gelas yang saya minum dengan siku kanan, gelas itu jatuh ke lantai dan pecah berkecai.
“Tak apa, kejahatan pecah..” kata Mahmood.
Oleh kerana telah dua kali berlaku, saya bertanya pada Atef.
“Saya mahu tanya sesuatu, apa maksud gelas pecah bagi kamu” tanya saya.
“Ohhh, bagi kami orang Arab, jika sedang makan dan terlanggar gelas sehingga pecah, itu tanda baik” jawab Atef ringkas.
“Tanda apa?” tanya saya semakin ingin mengetahui.
“Itu tandanya, kejahatan yang ada disekeliling kita pecah” tambah Atef lagi.
“Oh ye ke?,” saya memberi respons.
Hati saya berbisik…
“Bagus juga, sama ada perkara ini betul atau orang-orang tua bangsa Arab mengambil sikap positif agar tidak memarahi orang yang tidak sengaja memecahkan barang ketika makan”
Saya mengambil gelas dan mengangkatkannya.
“Kalau macam tu, saya nak pecahkan satu boleh tak?”
“Ha.. ha, itu kalau tak sengaja lah” dia memberi respons.
Teringat saya ketika saya berada di Uzbekistan. Bagi bangsa Uzbek, jika kita meminta sesuatu yang masam atau masin ketika makan, mereka tidak akan memberikannya di tangan kita. Mereka akan mengambilkan dan meletakkan berhampiran dengan kita untuk kita ambil sendiri.
Tetapi jika kita meminta gula atau sesuatu yang manis, dia akan memberikan di tangan kita untuk kita ambil.
Ketika saya bertanya, pemandu pelancong di Uzbek memberi tahu..
“Bagi kami, tidak elok memberikan perkara masin atau masam di tangan orang, seolah-olah kita beri perkara tidak baik pada tangannya, tapi kalau yang manis tak apa..”
Inilah falsafah ketika makan. Ada maksud di sebalik.
Orang Melayu juga ada falsafahnya tersendiri ketika makan.
Boleh kita kongsikan di ruang komen?..
“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”
al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
29 Jun 2012 jam 1.30 pagi
Orang Arab tidak mengendahkan gelas yang pecah
Mereka ada falsafah tersendiri bagi kejadian ini