13 Januari 2012, Persatuan Renang Amatur Selangor menganjurkan pertandingan renang terbuka kepada kelab-kelab renang dalam negeri Selangor.
Mendengar pertandingan ini, beberapa ibu dan ayah yang mempunyai jiwa Islam menghantar anak-anak mereka untuk menyertai pertandingan ini.
Untuk apa mereka menghantar anak mereka?
Bukan untuk menang dan akhirnya terpilih menjadi perenang negara, bukan juga untuk “kononnya” terpilih sebagai perenang berbakat, tetapi sebagai pendedahan kepada anak mereka apa itu erti semangat kesukanan dan pendedahan anak mereka untuk berjiwa saing di dalam kehidupan.
Saya juga menghantar dua orang anak saya dan dua orang anak yatim dan tahfiz al-Ijabah.
Masing-masing mereka dari sekolah tahfiz saya saya asaskan.
Mereka adalah pelajar tahfiz. Di dalam dada mereka telah menghafal 5 Juzuk, 9 Juzuk dan 21 Juzuk. Umur mereka sekarang baru memasuki 12 tahun dan dan tahun ini mereka akan menduduki peperiksaan UPSR.
Bagi saya, seperti ibu dan ayah lain, bukan mahukan mereka sehingga menjadi perenang negara, cuma sebagai pendedahan dan memahami apa itu pertandingan dalam hidup.
Dan sebagai penjaga anak-anak yatim al-Ijabah, saya mahu anak yatim yang saya jaga mempunyai peluang seperti orang yang ada ayah, mereka merasai pendedahan seperti orang ada ayah merasainya.
Mereka turun ke kolam bertanding pada hari Sabtu 14 Januari 2012, hari kedua, masing-masing bersungguh-sungguh berenang walaupun bukan di dalam senarai terbaik.
Kala ini saya berada di China bersama isteri saya kerana membeli barangan untuk perniagan kecil-kecilan saya.
Isteri saya menghubungi anak saya dan bertanyakan khabar mengenai pertandingan yang mereka sertai.
Tapi suara tangisan yang saya dengar.
“Kenapa?” tanya saya pada isteri.
“Dia orang tak dibenarkan untuk mengikuti pertandingan bagi hari akhir” jawab isteri saya.
“ Sebab apa?” tanya saya lagi.
“Sebab pakaian mereka tidak mematuhi syarat” jawab isteri saya lagi.
Saya mengambil telifon saya yang tersimpan di dalam jaket tebal yang saya pakai. Di China kala ini sedang musim sejuk.
Saya menghubungi En. Mohd Bukhari Ibrahima, guru renang anak-anak Yatim dan Tahfiz al-Ijabah dari Kelab Anak Air dan Kelab Ombak, salah satu Kelab renang di Pusat Akuatik Shah Alam, tempat pertandingan dilangsungkan.
“En. Bob, apa cerita?” tanya saya.
“Tak tahulah ustaz, dia orang tak bagi kita ikuti pertandingan, sebab budak kita pakai tutup aurat. Kalau nak ikut pertandingan, mesti pakai baju yang terbuka tu..” jawab En. Bukhari dengan nada perlahan.
“Hari pertama turun, dia orang benarkan, tapi hari kedua, tak bagi langsung budak kita masuk kolam bertanding..” tambah En. Bukhari lagi.
“Ramai tak yang tutup aurat?” tanya saya lagi.
“Tak ramai, dalam 10 orang aje..” jawab En. Bukhari.
“Abis, mak ayah macam mana? Tanya saya lagi.
“Ada yang balik, ada yang terpaksa belikan anak-anak baju buka aurat tua dan ada anak-anak yang menangis sebab tak dapat ikuti pertandingan seterusnya” jawab En. Bukhari.
Walaupun menutup aurat, tapi baju yang mereka gunakan adalah baju renang khas untuk muslim. Bukannya jubah dan purdah, kita pun tahu apa itu baju renang, dan sekarang pun memang ada baju renang yang menutup aurat.
Apa salahnya menjadi seorang muslim hingga terpaksa di anak tirikan?
Apa salahnya memakai menutup aurat hingga tidak dibenarkan menyertai pertandingan.
Bukankah kebebasan beragama itu diiktiraf oleh undang-undang?
Mana hak kita sebagai orang Islam di negara kita sendiri?
Saya ingin tanyalah soalan ini pada penganjur.
Dan bagi kita semua, sampai begini teruknya kita orang Islam terpinggir di negara sendiri…..
“Sekilas Mewarkan Peristiwa”
al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
22 Safar 1432/ 17 Januari 2012a jam 11.50 malam