Islam datang ke Kasymir kurun pertama hijrah lagi, sama seperti Islam datang ke Nusantara, cuma ia hanyalah sebagai sebuah komuniti masyarakat yang belum tertubuhnya sebuah kerajaan.
Melihat bentuk muka bumi di Kasymir, kita dapat membayangkan betapa kesungguhan para pendakwah di dalam menyampaikan Islam. Di sini, dipenuhi dengan bukit, gunung, lembah dan gaung.
Kalau orentalis menyatakan pendakwah Islam datang ke satu tempat untuk berdagang sambil-sambil berdakwah, masakan perkara yang dibuat sambil-sambil sehingga boleh mengIslamkan hampir seluruh bangsa Kasymir. Lagipun, Kasymir bukan laluan perdagangan seperti laluan sutera. Para pendakwah memang datang untuk membawa syiar Islam itu. 95 peratus bangsa Kasymir adalah Muslim, dan muslim mereka adalah muslim Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Dari sudut makanan, bangsa Kasymir tidak jauh macam orang Melayu, makanan harian mereka nasi bukan roti seperti di tempat lain di India, gaya masakan juga tidak terlalu berkari seperti kebanyakkan tepat di India. Patut pun ramai juga mereka datang ke Nusantara dan selesa menetap di sana.
Masyarakat Islam pada kurun pertama hijrah di Kasymir duduk di bawah pemerintahan hindu. Kerjaan Islam dari Delhi tidak datang untuk memerangi kerajaan hindu di sini seperti yang dibuat pada bahagian-bahagian lain. Ini kerana kedudukan Kasymir yang berbukit dan susah untuk sampai ke sini.
Hanya jasa para pendakwah yang bersungguh mewarnai kesuburan masyarakat Islam di Kasymir, semakin lama bilangan mereka semakin ramai hinggakan hanya kerajaan sahaja masih hindu sedangkan majoriti rakyatnya telah Islam. Ramai orang Islam telah menjadi pembesar kepada kerajaan hindu ini.
Sehinggalah pada tahun 714 hijrah/ 1315 masihi, raja hindu yang memerintah di Kasymir mangkat. Tidak ada pengganti yang bagus kepada raja ini. Selama 16 tahun kerajaan Kasymir diperintah oleh para pembesar sedangkan penggantinya tidak terlibat langsung dengan pemerintahan.
Sehinggalah pada tahun 731 hijrah/ 1331 masihi, para pembesar Istana bersidang dan akhirnya bersetuju untuk melantik seorang pembesar Islam menggantikan raja yang telah lama mangkat. Nama pembesar Islam ini adalah Syah Mirza.
Dengan tertabalnya Syah Mirza menjadi Sultan, maka bermulalah kerajaan Islam Kasymir yang tidak bernaung kepada kerajaan Islam India yang telah sedia ada ketika itu.
Islam semakin berkembang di Kasymir, kalau dahulunya hanya jasa pendakwah, kita gabungan antara pendakwah dan pemerintah menyemarakkan lagi Islamnya Kasymir.
Sultan Syah Mirza mangkat dan digantikan dengan anaknya iaitu Sultan Sikander.
Sultan kedua kerajaan Islam Kasymir ini sangat warak dan alim orangnya. Baginda orang yang sangat penyayang dengan rakyatnya tetapi amat tegas di dalam pegangan Agama. Mana-mana tempat yang telah Islam dan tiada orang hindu di situ akan didirikan masjid dan kuil yang tidak digunakan itu akan dirobohkan.
Sebab itulah Sultan Sikander terkenal dengan jolokkan Sikander But Syikan (Sikander Si Pemusnah Berhala), gaya dan wataknya saling tak tumpah seperti watak Saidina Umar yang mendapat gelaran al-Faruq.
Pada tahun 1390 masihi, seorang Raja dari Samarqand (sekarang di bawah Uzbekistan) bernama Timurlane ghairah melancarkan peperangan ke atas negara-negara Islam agar mereka tunduk kepadanya. Beliau adalah pengasas negara Islam Samarqand. Bezanya, banyak negara Islam lain berperang dengan negara bukan Islam sama ada Kristian ataupun Hindu, tetapi Timurlane menyerang negara-negara Islam. Timurlane menyerang kerajaan Islam Delhi pada tahun 1398.Timurlane juga menyerang kerajaan Khalifah Bani Uthmaniyyah di Turki.
Ketika itu ramai para Ulama dan cendikiawan dari Asia Timur melarikan diri ke Kasymir kerana di sini selamat dari serangan Timurlane.
Sultan Sikander But Syikan mengalukan kedatangan mereka dan dengan bantuan dan sumbangan para cerdik pandai ini, Sultan Sikander dapat memajukan negaranya dari sudut pembangunan ekonomi, pertanian, kesenian dan ketenteraan.
Setelah Sultan Sikander mangkat, ia digantikan oleh anaknya iaitu Sultan Zainal Abidin. Baginda seorang yang terpelajar hasil didikan para cedikiawan dari berbagai tempat yang duduk di Kasymir. Ketika pemerintahannya, baginda mewujudkan pengawal keselamatan di jalan-jalanraya untuk memastikan pengguna yang masuk keluar ke Kasymir selamat dari gangguan perompak dan penyamun.
Sultan Zainal Abidin memerintah Kasymir kira-kira 50 tahun dan dapat memajukan negaranya. Baginda menjadi raja Kasymir yang terakhir kerana di zamannya Kasymir masuk ke dalam kerajaan Islam Moghul iaitu di zaman Maharaja Humayun.
Kerjaan Islam Kasymir berdiri sendiri selama 209 tahun.
Menjejaki kerajaan Islam Kasymir ini, kita dapat melihat hubungan antara pendakwah, para ulama dan juga kerajaan menyemarakkan lagi pembangunan negara, bukan sahaja dari sudut lahiriahnya tetapi pengisian rohani dan peradaban insani.
“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”
Al-faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah al-Amin
Srinagar Kasymir
19 Febuari 2015 jam 7.30 pagi