Showing posts with label Sekilas. Show all posts
Showing posts with label Sekilas. Show all posts

Wednesday, February 24, 2016

Sekilas 52 - Mengapa Mahhaj Wahabi Di Tentang (3) - Mengenai Peminta Dan Pendokong Wahabi

 Bagi siri yang ketiga ini ingin saya kongsikan, kenapa Manhaj Wahabi ini ditolak oleh tuan-tuan guru kita terdahulu. Saya mulakan dengan saya ulangi beberapa perkara. Harap artikel ini dibaca hingga akhir.

1. Manhaj Wahabi adalah satu manhaj yang menggunakan al-Quran dan Hadis semata-mata.

2. Doktrin ini nampaknya bagus tetapi ia akan mengetepikan pandangan ulama-ulama muktabar. Sebab itu akhirnya, doktrin ini akan menolak mazhab.

3. Menolak mazhab bagi orang betul-betul berilmu, yang faham ayat hukum dan hadis hukum, tahu menggunakannya akan menyebabkan seseorang itu terselamat dari tafsiran yang salah.

4. Jika seseorang itu orang awam, yang baru berjinak-jinak dengan agama, akan mendedahkannya tersalah di dalam tafsiran sesuatu hukum. Kadang-kala, baca ayat hukum pun dari buku-buku terjemahan.

5. Walaubagaiman pun, tidak semua orang yang menggunakan kaedah ini adalah orang wahabi. Ada beberapa golongan orang di dalam hal ini.

1. Peminat manhaj (cara) wahabi. Dia bukan wahabi, tetapi peminat manhaj (cara).

Biasanya, ada tiga jenis golongan.

i. Golongan pertama ialah seseroang yang apabila dia belajar agama sampai satu tahap yang tinggi dan sudah faham perjalanan bagaimana sesuatu hukum itu dikeluarkan, mahir ilmu-ilmu alat seperi Bahasa Arab, Qawaid Fiqhiyyah, Usul Fiqh dan lain-lain, maka dia akan berminat dengan manhaj (cara) ini.  

Kebiasaannya, orang yang menjadi peminat manhaj wahabi ialah orang yang bukan dari aliran syariah (hukum hakam). Biasanya dari aliran-aliran lain (Bahasa Arab/ Usuluddin). Tetapi saya tidak menafikan, ada juga sesetengah golongan syariah yang meminati manhaj ini, tetapi bilangannya tidak seramai dari bidang lainnya.

ii. Orang awam yang baru ingin memahami Islam dan berguru dengan cara ini. Ia akan menjadi orang ikut-ikut juga. Orang macam ini, di mana pun, sama. Dia akan mengikut guru yang mengajarnya. Kebetulan, jika guru yang mengajarnya itu berhemah, maka dia akan menjadi orang berhemah. Jika guru itu jenis yang suka memperlecehkan orang lain, maka dia pasti akan terikut dengan cara ini.

iii. golongan ketiga adalah golonga yang kecewa dengan ustaz-ustaz lama ini, yang membawa pendekatan kudus, tidak boleh ditegur, suka marah-marah dan sebagainya. Kita tidak nafikan terdapat kelemahan ustaz-ustaz lama yang kadang-kala pandangannya itu ada kepentingan dan sebagainya. Apabila golongan ketiga ini bertemu dengan ustaz yang boleh membidas, dia tidak jumpa pula ustaz yang betul-betul membimbingnya, maka dia akan menjadi peminat manhaj ini.

Biasanya golongan ini terdiri dari orang terpelajar yang bukan dari aliran agama. Ustaz lama pula tidak membuka ruang untuk bertanya, jadi, perasaan ingin tahu itu meluap-luap dan apabila bertemu dengan peminat manhaj wahabi ini, dia akan berminat.

Golongan pertama boleh terselamat dari kesesatan kerana ia faham dan telah tahu banyak hukum hakam ini. Tetapi golongan kedua dan ketiga, boleh terdedah dengan kesalahan di dalam mentafsir al-Quran dan Hadis. Ini kerana, kaedah yang dibawa ialah, rujuk pada al-Quran dan hadis semata-mata.

Golongan kedua dan ketiga, jika tidak belajar secara sistematik, akan menjadi orang yang tidak berpegang dengan mazhab muktabar, tetapi nanti akan menjadi orang yang berpegang dengan mazhab ustaz yang menjadi rujukannya itu. Ustaz itu yang akan menjadi rujukan hukum baginya. Atau yang membimbangkan, akan menjadi orang yang mentafsir sendiri agama menurut fahamannya.

2. Pemegang Wahabi.
Kenapa ulama-ulama kita ada sampai ada yang berfatwa   mengatakan wahabi bukan dari ahli sunnah wal Jemaah. Ia terjadi apabila doktrin tidak berminat dengan tafsiran ulama muktabar dibawa kepada bab akidah.
Bagi manhaj Wahabi yang hanya menggunakan al-Quran dah hadis, apabila membahaskan ayat-ayat mengenai zat Allah, ia akan menjadikan seseorang itu sampai tahap menjisimkan Allah. Mengatakan Allah itu ada tangan seperti tangan kita, Allah itu duduk seperti duduk kita.

Ia yang membezakannya dengan akidah Ahli Sunnah. Ahli Sunnah tidak menjisimkan Allah. Kerana di dalam Ahli Sunnah, ada pengajian yang menekankan bahawa Allah tidak sama dengan makhluk.

**(bagi kita yang kurang mahir dalam bahasa Arab, boleh rujuk buku I’tikad Ahlisunnah Wal-Jamaah oleh K.H Sirajuddin Abbas)

Di dalam bab akidah, ahli Sunnah telah menggariskan beberapa dasar. Antaranya ialah Allah itu tidak akan sama dengan makhluk

(Dia) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan dan dari jenis binatang ternak pasangan- pasangan (pula), dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Melihat (surah al-Syura ayat 11)

Jadi, peperangan yang sebenar antara wahabi dengan ahli sunnah bukan sebab qunut atau talkin. Itu hanya bab hukum hakam. Ia terjadi apabila sudah mula membahaskan bab akidah.

Kenapa Kategori Pertama (Peminat Wahabi) Juga Ditentang Di Malaysia?
Kerana, rakyat di Malaysia tidak ramai yang mengetahui apa itu wahabi. Jadi, jika manhaj wahabi disebarkan, ditakuti, bermula dengan hukum hakam, ia akan mula membahaskan bab akidah.

Ini kerana, peminat wahabi akan mendoktrinkan agar kita berpegang dengan al-Quran dan hadis semata-mata. Tidak perlu memakai pandangan ulama dalam mazhab dan sebagainya. Persoalannya, jika seorang itu tidak faham apa makna hadis itu, tafsiran siapa yang akan dipakai? Sudah tentu dia akan merujuk kepada tafisiran sendiri atau ustaznya itu sahaja.

Maka, oleh kerana tafsiran ustaz itu sendiri yang dipakai, ia akan mendedahkan kepada bahaya. Jika ustaz itu memang ilmunya tinggi, tidak menjadi masalah, tetapi, jika ustaz yang mendoktrinkan manhaj (cara) wahabi ini, ilmunya tidak berapa tinggi, ia akan mendedahkan kepadanya kesilapan tafsiran hukum yang kemudian akan diikuti oleh muridnya.

Apa jalan keluarnya ?

Jalan keluarnya, belajar agama perlu berguru dengan manhaj (cara) yang betul. Kita belajar agama bukan untuk tunjuk kita alim. Kita belajar kerana nak menghampirkan diri pada Allah. Bergurulah. Jangan ketepikan tafsiran ulama muktabar di dalam sesuatu hukum.
Belajar dengan manhaj (cara) ahli Sunnah iaitu, hukum itu dikeluarkan dengan melihat kepada al-Quran, hadis, Ijmak ulama dan kias.

Selepas itu, kaedah lain seperti masalih al-Mursalah (melihat kebaikan), sad al-Zara’ik (menghalang keburukan) dan sebagainya.
Jika semata-mata al-Quran dan hadis, ditakuti terdedah dengan kesilapan di dalam mentafsir sesebuah hukum.

Di dalam al-Quran Allah menyatakan bahawa :-
Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (surah an-Nisa ayat 59)

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa:-

Dan tidak ada selain ulama’ yang tahu bagaimana untuk balik pada al-Kitab dan al-Sunnah, maka berdasarkan perkara ini, bertanya sesuatu persoalan pada ulama’ itu hukumnya wajib.

Harapan saya
Saya mengharapkan, semua orang di Malaysia ini akan semakin matang di dalam pengajian agama. Tahu al-Quran dan hadis dengan manhaj (cara) yang betul.

Bagi para ustaz, ajar orang ramai juga merujuk kepada kitab-kitab. Buka orang awam untuk perbahasan ilmu.
Bagi ustaz yang gemar pada perbincangan, jaga adab di dalam berbincang dan adab di dalam berselisah pendapat. Jangan pula kita mengatakan, kita sahaja betul dan orang lain salah. Selagi mana ada dalil dan hujjah kita perlu berlapang dada dengan perselisihan ini. Jangan sampai perselisihan dengan emosi menyebabkan masyarakat lagi huru hara.

Bagi masyarakat, perbalahan antara ulama di Malaysia sekarang ini adalah ibarat perbalahan ibu bapa. Jika kita tidak boleh mengikuti dengan baik, bersabar dan tenang. Ketika tengah panas, semua akan saling salah menyalahkan. Doakan yang terbaik untuk semua. Yang penting, akhirnya, biar semua kembali kepada Allah dengan mencari  keredhaannya.

Semoga Allah terus memelihara kita semua dari perkara yang mengundang kemurkaannya, amin…

‘Sekilas Itu Realiti, Realiti Itu Kehidupan”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Seksyen 26  Shah Alam
24 Febuari 2016 jam 8.00 pagi

** dedikasi kepada semua guruku terutama Allahyarham Tuan Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah Kelantan dan  Ayahanda Allahyarham Tuan Guru Haji Abdullah Mohd Said – al-Fatihah-

Friday, February 19, 2016

Sekilas 51 - Mengapa Manhaj Wahabi Di Tentang (2) Bahaya Dari Sudut Akidah


Bagi siri yang kedua ini ingin saya kongsikan, kenapa Manhaj Wahabi ini ditolak oleh tuan-tuan guru kita terdahulu. Saya mulakan dengan saya ulangi beberapa perkara. Harap artikel ini dibaca hingga akhir.

1. Manhaj Wahabi adalah satu manhaj yang menggunakan al-Quran dan Hadis semata-mata.

2. Doktrin ini nampaknya bagus tetapi ia akan mengetepikan pandangan ulama-ulama muktabar. Sebab itu akhirnya, doktrin ini akan menolak mazhab.

3. Menolak mazhab bagi orang betul-betul berilmu, yang faham ayat hukum dan hadis hukum, tahu menggunakannya akan menyebabkan seseorang itu terselamat dari tafsiran yang salah.

4. Jika seseorang itu orang awam, yang baru berjinak-jinak dengan agama, akan mendedahkannya tersalah di dalam tafsiran sesuatu hukum. Kadang-kala, baca ayat hukum pun dari buku-buku terjemahan.

5. Kenapa tok-tok guru kita terdahulu sangat menentang doktrin ini ?

6. Ini kerana, jika manhaj ini dibuat di dalam membahaskan ilmu akhlak, mengenai kesabaran, mengenai perlunya bertawakkal, ia tidak mengapa.

7. Apabila manhaj ini digunakan untuk membahaskan hukum hakam, ia mulai bermasaalah. Sebagai contoh, di dalam al-Quran surah al-Maidah ayat ke 3, Allah berfirman yang maksudnya:-

“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah”

8. hanya daging babi yang disebut, mana kita tahu daging yang disebut termasuk kulit, tulang, bulu dan sebagainya. Ya, kerana ulama yang sampai ke tahap Mujtahid (punyai beberapa belas disiplin ilmu hingga mampu dan layak mengeluarkan hukum) yang memahami perkara tersebut.

9. Apa jadi jika semata-mata orang menggunakan manhaj al-Quran dan Hadith semata-mata? Mereka membaca ayat ini dan cuba memahami sendiri ?.

10. Ini baru bab hukum hakam, bagaimana kiranya seseorang menggunakan manhaj al-Quran dan Hadith semata-mata ini kepada bab akidah ?

11. Ia akan mendedahkan orang awam mentafsir mengenai ketuhanan dengan sendiri.

12. Kadang-kala, ia menjadikan pentafsir itu menjisimkan Allah, menyamakan Allah dengan makhluk. Apa jadi jika seseorang tersalah dalam pegangan akidahnya?

13. Kita berbalik dengan perbahasan wahabi ini. Untuk mengetahui sejarah dan sebagainya, pembaca boleh menelusuri blog-blog yang ada. Saya hanya mahu membahaskan satu sudut yang jarang dibahaskan iaitu manhaj (cara) wahabi di dalam mengeluarkan hukum dan bahayanya doktrin ini kepada masyarakat umum.

14. Kesimpulannya, manhaj wahabi ini jika membahaskan perkara-perkara akhlak, tidak mengapa, tetapi apabila manhaj ini mulai cuba membahaskan bab hukum hakam, ia sudah mula bermasalah, lebih-lebih lagi apabila ia mula membahaskan bab akidah, ia akan menjadikan seseorang itu tersasar dari landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Bab akan datang, saya akan kongsikan sedikit analisa mengenai fahaman wahabi di Malaysia.

al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Sek 26 Shah Alam

Jam 9.15 pagi

Thursday, February 18, 2016

Sekilas 50 - Manhaj Wahabi Yang Di Tentang (Siri 1)

Kala ini, perbincangan mengenai Wahabi begitu hebat, bermula dengan peyenaraihitam beberapa penceramah dari memasuki negeri Johor.

Saya pernah menulis bab ini pada tahun 2009, nampaknya isu ini akan sentiasa berulang. Mungkin saya kena terus menulis untuk tahun-tahun akan datang, sehinggalah untuk puluhan tahun akan datang, mungkin juga jika generasi saya sudah tiada, akan tetap ada orang baru menyambung menulis seperti ini.   

Wahabi, golongan yang lantang membidahkan orang lain, tetapi akan begitu lembut meraih simpati, apabila mereka mula ditentang, sedangkan kerja memperlekehkan orang lain bermula dengan golongan mereka.
Saya harap, tulisan ini dibaca hingga ke akhir..

1. Manhaj Wahabi adalah satu manhaj yang menggunakan al-Quran dan Hadis semata-mata.

2. Doktrin ini nampaknya bagus tetapi ia akan mengetepikan pandangan ulama-ulama muktabar. Sebab itu akhirnya, doktrin ini akan menolak mazhab.

3. Menolak mazhab bagi orang betul-betul berilmu, yang faham ayat hukum dan hadis hukum, tahu menggunakannya akan menyebabkan seseorang itu terselamat dari tafsiran yang salah.

4. Jika seseorang itu orang awam, yang baru berjinak-jinak dengan agama, akan mendedahkannya tersalah di dalam tafsiran sesuatu hukum. Kadang-kala, baca ayat hukum pun dari buku-buku terjemahan.

5. Jika dia menolak tafsiran hukum dari Imam-Imam besar seperti Imam al-Syafie, dan dia pula berminat dengan tafsiran hukum ustaz barunya ini, akhirnya, dia tidak berminat dengan pandangan ulama muktabar, dan akan menggunakan pandangan ustaz itu sendiri.


6. Ia akan mewujudkan mazhab baru apabila, ustaz baru itu sebagai pegangan mazhabnya. Doktrin ini akan menolak tafsiran dari ulama muktabar dan akan memakai tafsiran sendiri atau tafsiran ustaz itu sendiri di dalam sesuatu hukum.

7. Biasanya, ustaz baru ini akan mula memperlekehkan ulama besar, untuk menaikkan dirinya sebagai orang yang hanya benar dirujuk.

8. Biasanya ustaz baru ini akan membid’ahkan tok-tok guru dan ulama lain dan menyatakan ia sahaja yang betul.

9. Peminat ustaz baru ini akan mula kurang akhlaknya dan belajar memperlekehkan ustaz-ustaz lain terutama ulama besar, sama seperti gurunya.

10. Apa bahayanya ? Jika kebetulan ustaz yang memperlekehkan ulama besar ini bagus, ia akan dapat membawa anak muridnya terus mengenal Allah

11. Tetapi, jika ustaz ini terus menerus mentafsir agama melalui kefahaman dia sendiri, berdalillkan ayat quran dan hadith melalui tafsirannya sendiri, mengetepikan tafsiran ulama besar, ia akan menjadikan anak muridnya berpegang pada tafsirannya sahaja dengan mengetepikan tafsiran ulama besar.

12. Kalau dia mentafsir sesuatu ayat quran itu dengan tafsiran bahawa kita perlu bertindak tegas dan ganas, membawa dalil-dalil yang dia tafsir sendiri, sudah tentu nanti anak muridnya akan ingat bahawa itulah agama, itulah yang Allah kehendaki, itulah yang Nabi kehendaki, maka tafsiran itu diikuti, ia akan menjadikan anak murid itu bertindak ganas seperti yang ditafsirkan oleh guru ini.

13. Sebab itulah manhaj Wahabi ini bahaya, ia menjadikan seseorang cuba mentafsir sendiri agamanya, atau 
mengikut  ustaz yang mentafsir sendiri ayat-ayat itu. Ia sudah tidak memakai lagi pandangan ulama-ulama yang besar dan muktabar di dalam membahaskan sesuatu itu.

Artikel saya akan datang akan saya kongsikan, bahaya dari sudut akidah pula dan kenapa tuan-tuan guru terdahulu menolak pandangan Wahabi

Muhamad bin Abdullah
Sek 26 Shah Alam

18 Febuari 2016 jam 11.45 pagi

Monday, May 21, 2012

Sekilas 49 – “Bagaimana Ingin Menjalankan Hudud Di Malaysia?..”

1. Di Malaysia, agama Islam diletakkan di bawah kuasa negeri. Sebab itu undang-undang di Mahkamah Syariah digubal melalui negeri melainkan Negeri yang tiada Sultan iaitu  Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Melaka. Ia diletakkan bawah kuasa Agong  maka Parlimen yang akan gubal.

2. Undang-undang di Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa pada orang bukan Islam.

3. Jika orang Islam berkhalwat dengan orang bukan Islam, kalau ditangkap, yang akan dibicarakan di Mahkamah Syariah adalah orang Islam.

4. Oleh itu, orang bukan Islam tidak perlu takut pada Mahkamah Syariah. Ia tidak ada kena mengena dengan mereka.

5. Kalau mereka tolak hukuman mahkamah syariah sebenarnya, ia mainan politik mereka yang memang tidak mahu melihat Islam terdaulat di negara tercinta ini.

6. Di Malaysia juga, bidang kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Syariah sangat kecil iaitu 365 (3 tahun penjara, 6 kali sebatan dan 5 ribu denda). Mahkamah Syariah tidak boleh menjatuhkan hukum lebih dari itu kerana itu sahaja bidang kuasa maksimanya.

7. Untuk menjalankan hukum hudud di Malaysia, maka perlu dicadangkan kepada Parlimen agar meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

8. Ia boleh dimulakan dulu dengan meluaskan sebatan sehingga 100 (sekarang maksima hanyalah 6 sebatan). Ketika cadangan, tidak perlu pun kata “kita nak jalankan hudud”, kita cuma cadangkan meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

9. Kena wujudkan dua bahagian kajian, pertama kaedah sebatan kerana sebatan syariah tidak sama dengan dengan sebatan civil dan keduanya tempat sebatan kerana hukuman sebat perlu dibuat di hadapan ramai untuk iktibar.

10. Kala ini, parti yang paling sesuai untuk mencadangkan di Parlimen adalah parti UMNO kerana UMNO parti yang memerintah. Dan ketika mencadangkan, parti Melayu Islam lain seperti PAS kena menyokong. Jangan politikkan isu ini dan jangan buat komen popular untuk itu. Yang penting, langkah pertama meluaskan bidang mahkamah syariah telah dibuat.

11. Parti komponen Barisan Nasional mungkin ada yang tidak setuju. Ini cabarannya bagi UMNO untuk bertegas dan yakinkan mereka.

12. Bagi PAS, sudah tentu kompenan lain dalam Pakatan ada yang tidak setuju, tapi itu juga cabaran untuk bertegas dan yakinkan mereka.

13. Kena ada keyakinan dan ketegasan, kalau asyik nak tunggu semua orang kafir setuju, maka hak Allah hanyalah sebagai mainan politik sahaja.

14. Selepas hukuman 100 dapat diluluskan, kemudian, luaskan pada yang lain pula.

15. Modus operandinya  ialah parti-parti Melayu Islam perlu bermuzakarah, kepentingan Islam perlu diutamakan. Cari persetujuan untuk kepentingan Islam dan Umatnya.

16. Biar orang lihat kita macam bergaduh tetapi kepentingan Islam satu persatu dapat di ketengahkan. Yang malangnya, satu persatu kepentingan Islam gugur dan hilang hasil pergaduhan ini.

17. Keduanya, kita kena selalu ingat, ketika penjajah keluar dari negara kita, dia bukan tetaskan UMNO, bukan tetaskan PAS seperti dakwaan orang-orang politik, sebenarnya mereka menetaskan sistem politik yang akan menjadikan kita berpecah dan tidak kuat.

18. Kita telah berada di dalam sejarah itu, tidak mungkin kita dapat kembali ke masa lampau, Cuma satu yang perlu kita ingat kembali, POLITIK HANYALAH ALAT BUKAN MATLAMAT, MATLAMAT KITA ADALAH ISLAM TERDAULAT DAN MENJADI CARA HIDUP.

19. Sebab itu, ambillah kepentingan Islam lebih atas dari segalanya. Inilah yang dijaga oleh datuk nenek kita terdahulu sehingga penjajah tidak dapat mengkafirkan anak Melayu selama 400 tahun mereka berada di sini.

20. Jika kita terlupa dengan perkara ini, maka orang kafir, penjajah dan siapa sahaja yang anti Islam tersenyum luas melihat sikap kita saling tak tumpah seperti mereka, akhlak kita lebih teruk dari akhlak mereka dan semakin lama, Islam semakin hilang dari dasar perjuangan dan sendi tanah air.

21. Mungkin kita tidak dapat melihat perkara ini berlaku sekarang, tetapi semoga generasi anak-anak muda yang lebih ikhlas akan memperjuangkannya nanti. Semoga Allah terus memelihara Islam dan Umat Islam di negara ini, amin..

“Sekilas Mengulas Peristiwa”’

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

21 Mei 2012 jam 8.15 pagi

Wednesday, May 16, 2012

Sekilas 48 – “Asabiyyah Dan Bukan Asabiyyah..”

1. Rasulllullah SAW melarang kita untuk menyebut bangsa atau suku atau puak dengan perasaan takabbur, seolah-olah bangsa itu pilihan, seolah-olah ia lebih baik dari yang lain. Jika perasaan taksub dan takabbur ini wujud maka ia disebut sebagai Asabiyyah.

2. Ini berlaku pada bangsa Yahudi yang merasa mereka bangsa pilihan tuhan. Pernah berlaku pada bangsa Jerman yang merasakan mereka terbaik sehingga membunuh Yahudi, pernah berlaku pada bangsa Jepun yang menawan China dan pernah berlaku pada bangsa Cina yang merasakan DNA mereka lebih baik kerana mereka hidup 4 musim dan sebab itu mereka lebih kreatif.

3. Menyeru perkauman sehingga merasa taksub pada kaum adalah di larang.

4. Perkara ini pernah disebut oleh Rasullullah ketika melihat sahabat sesama Islam yang menyebut mengenai kelebihan sukunya di dalam satu pertengkaran sehingga Rasullah menegur mereka sehingga di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasullullah menegaskan:-

عَنْ جُنْدَبِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْبَجَلِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ قُتِلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَدْعُو عَصَبِيَّةً أَوْ يَنْصُرُ عَصَبِيَّةً فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ

Dari Jundab bin Abdullah al-Bajali dia berkata, telah bersabda Rasullullah SAW, barangsiapa yang terbunuh di atas panji yang menyeru kepada Asabiyyah atau menolong Asabiyyah maka kematiannya adalah kematian jahiliyyah.

5. Tapi apakah langsung menyebut mengenai bangsa itu di larang? Bukan kita sahaja yang mungkin tertanya, tetapi para sahabat juga pernah keliru akan hal ini. Maka salah seorang dari mereka bertanya:-

عَنْ عَبَّادِ بْنِ كَثِيرٍ الشَّامِيِّ عَنْ امْرَأَةٍ مِنْهُمْ يُقَالُ لَهَا فُسَيْلَةُ قَالَتْ سَمِعْتُ أَبِي يَقُولُ سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُحِبَّ الرَّجُلُ قَوْمَهُ قَالَ لَا وَلَكِنْ مِنْ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُعِينَ الرَّجُلُ قَوْمَهُ عَلَى الظُّلْمِ

Dari Abbad bin Kathir al-Syami dari Isteri mereka dikatakan kepada Fusailaah, dia berkata aku mendengar ayahku berkata, aku bertanya Nabi SAW,

Wahai Rasullullah, adakah tergolong sebagai asabiyyah jika seseorang mencintai kaumnya. Baginda bersabda, tidak, tetapi yang dikatakan asabiyyah jika seseorang menolong kaumnya pad perkara zalim

(Hadis Ibnu Majah kitab al-Fitan bab Asabiyyah)

6. Dalam membicarakan mengenai sebutan bangsa Melayu dan Islam oleh mana-mana pihak, ada 4 keadaan.

i. memperjuangkan Melayu sebagai bangsa pilihan.

ii. memperjuangkan Melayu sebagai isu umat Islam

iii. Melihat bangsa Melayu dan Islam

iv. Melihat Isu Islam sahaja

7. Bab yang pertama ialah memperjuangkan Melayu sebagai bangsa pilihan.

Kalau memperjuangkan bangsa Melayu kerana merasakan Melayu itu hebat lebih dari bangsa Cina, India, sebagai bangsa terpilih dan sebagainya itu tidak boleh. Haram kerana termasuk di dalam kategori asabiyyah.

8. Kadang kala kita ada mendengar perkara ini seperti, keturunan Syed adalah keturunan terbaik sehingga tidak boleh kahwin dengan orang selain Syed, hanya suku bugis yang boleh memimpin sebab itu banyak raja Melayu keturunan bugis, bangsa jawa paling kuat kerja, sebab itu hanya jawa yang boleh jadi pemimpin dan sebagainya. Seruan seperti ini tidak boleh dan ia boleh menjadi Asabiyyah kerana sifat taksub pada bangsa.

9. Bab kedua memperjuangkan Melayu sebagai isu umat Islam.

Siapa Melayu di Nusantara. Mereka adalah umat Islam, sama seperti suku Digistan di negara China. Melayu adalah umat Islam seperti bangsa Arab di Palestin.

Allah anugerahkan tanah di utara China untuk suku Digistan, mereka perlu jaga, pertahankan sebagai tanah umat Islam. Sebab itu mereka berjuang sehingga sekarang mereka berperang dengan jerajaaan China kerana tanah di Utara China itu adalah tanah Umat Islam. Oleh kerana majoriti di Digistan adalah orang Islam, membantu suku Digistan bererti membantu umat Islam.

Allah anugerahkan tanah di Palestin untuk bangsa Arab yang Islam, mereka perlu jaga kerana tanah tersebut merupakan tanah umat Islam. Oleh kerana majoriti di Palestin itu adalah orang Islam, membantu Arab di Palestin bererti membantu umat Islam.

Allah anugerahkan tanah di Nusantara ini untuk orang Melayu. Oleh kerana majoriti di Nusantara ini adalah orang Islam, membantu Melayu di Nusantara bererti membantu umat Islam.

Banyak masalah umat Islam Melayu di Nusantara ini. Masih  banyak lagi  yang miskin, masalah pendidikan yang rendah terutama pada masyarakat luar bandar, masalah sosial, masalah akhlak, buang bayi, dadah, sumbang mahram dan seribu satu macam masalah serta keperluan Melayu sebagai umat Islam.

Tanpa menafikan umat Islam dari suku minoriti, banyak isu Melayu sebagai umat Islam perlu di selesaikan.

Tapi jika ada yang memperjuangkannya kerana taksub dan rasa bangsa ini terbaik, maka wajib ditolak.

10. Bab ketiga ialah melihat Isu Melayu dan Islam

Antara isu Melayu dan Islam adalah isu berkaitan dengan murtad, isu anak Melayu tidak dibenarkan menutup aurat di kolam renang, isu pesakit HIV Melayu duduk di gereja kerana tidak ada tempat perlindungan dan lain-lain.

Perkara ini perlu diperjuangkan, perlu ada penguatkuasa yang menjaga Isu Melayu dan Islam ini.

11. Bab Keempat ialah Isu Islam sahaja.

Dalam bab ini, ia seperti isu ke arah membentuk negara Islam, menjalankan undang-undang Islam dan menjadikan Islam itu tertinggi, menjadikan al-Quran dan Sunnah itu tertinggi, isu hukum hudud dan sebagainya.

12. Dari keempat bab ini, kita perlu menolak orang yang berjuang dalam kategori pertama kerana Nabi yang suruh tolak. Golongan pertama adalah golongan Asabiyyah yang menyeru kepada taksub pada sesebuah bangsa.

13. Golongan kedua hingga keempat, bukan dari golongan Asabiyyah dan sama-sama perlu kita teliti agar Islam dan umat Islam sentiasa terbela.

14. Bagi berjuang dalam kategori kedua hingga keempat ia memerlukan landasan politik tetapi perlu diingat politik hanyalah alat, ia bukannya matlamat.

15. Kadang-kala, ada di antara kita yang menjadikan politik sebagai matlamat. Kalau kita jadikan politik sebagai matlamat, maka umat Islam tidak akan dapat bersatu. Tidak kira dari bendera mana pun kita, sepatutnya kita jadikan Islam sebagai matlamat.

16. Wujudnya kerajaan dan pembangkang umat Islam satu perkara yang bagus untuk jadi pengimbang dan saling melengkapi terutama dalam negara yang berbilang agama macam Malaysia.

17. Apa jadi isu hudud dalam negara kita apabila Islam tidak dijadikan matlamat, apa jadi isu murtad di negara kita jika Islam tidak dijadikan matlamat, sehingga jika ada orang berbicara mengenai hudud maka orang itu akan dicap sebagai orang Pas dan jika ada orang berbicara mengenai murtad, orang itu akan dicap sebagai orang Umno.

18. Biarlah orang-orang yang menjadikan politik sebagai matlamat itu bergaduh dan biar kedua-duanya kepenatan. Bagi generasi muda yang lebih ikhlas untuk Islam, Allah telah tunjukkan warna sebenar politik aturan barat yang sangat kotor. Kita akan dapat melihat, sebenarnya politik warisan barat ini memang akan menjadikan kita terlupa matlamat sebenar kita sehingga akhlak kita sama seperti akhlak orang kafir, cara kita bertindak sudah sama seperti kafir bertindak.

19. Kepentingan umat Islam dan Islam perlu dibawa oleh pihak kerajaan umat Islam mahupun pihak pembangkang dari umat Islam. Biar orang kafir lihat kita seolah berdebat dan bertengkar, tapi sebenarnya keuntungan dapat pada Islam. Jika parti-parti politik tidak dapat menyuarakan kerana sensitif, maka NGO Islam mengambil alih peranan mengetengahkan isu Islam dan Umat Islam. Barulah kita boleh bersatu walaupun nampak macam dari parti yang berbeza. Tak kisah apa bendera pun tapi Islam tetap sentiasa mendapat keuntungan.

20. Apa yang terjadi sekarang ialah orang kafir yang dapat benda untuk mereka tak kira dari pihak kerajaan atau pembangkang atau NGO mereka. Walaupun mereka nampak lain parti, tapi kepentingan Kristian, Hindu, Budha ataupun kepentingan umat kafir sentiasa dapat.

21. Marilah jadikan Islam dan umat Islam sebagai perjuangan. Kerana memperjuangkan Islam dan Umat Islam itu mengundang keredhaan Allah. Dalam konteks negara kita dan Nusantara, belalah Melayu kerana (1)mereka umat Islam, (2)kerana Isu mereka dengan Islam dan (3) kerana isu Islam itu sendiri, dan jangan bela Melayu kerana doktrin Asabiyyah. Jadikan Islam itu matlamat dalam praktikal perjuangan bukan hanya dalam retorik perkataan, jangan tertipu dengan kafir yang memang sentiasa mahu melihat Islam dan Umat Islam kalah dan rendah.

“Sekilas Mengulas Peristwa”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

16 Mei 2012 jam 2.25 pagi

Thursday, May 10, 2012

Sekilas 47 – “Melayu Bersatu..? Bolehkah..? Bagaimana?”

1. Saya rasa, ramai di antara kita yang terhiris melihat keadaan umat Islam yang agak parah berpecah mutakhir ini khususnya di Malaysia.

2. Tidak sedikit yang mengidamkan agar Umno dan Pas bersatu demi kepentingan umat Islam.

3. Tidak sedikit yang mengusahakan tetapi gagal dan disalah anggap

4. Tidak sedikit yang membenci langsung di atas nama parti dan berpatah arang tekad tidak akan berbaik.

5. Ada yan menulis “macam mana nak bersatu sedangkan dasar berbeza…” “Kita tak akan boleh bersatu..”

6. Ye ke tidak boleh?

7. Saya meneliti puluhan isu yang dibangkitkan di antara Pas dan Umno.

8. Tetapi setakat ini tidak banyak tulisan yang menceritakan tentang kaedah dan bagaimana ia boleh disatukan.

9. Saya cuba untuk menulis perkara ini dan sebagai muqadimahnya, saya akan menulis dahulu dua isu besar.

i. Isu Asaabiyyah

ii. Isu Hudud

10. InsyaAllah pada tulisan di bawah tajuk “Sekilas” saya akan kupaskan dua isu di atas. selepas dua isu ini, saya akan cuba untuk menulis bab penting yang lain pula.  Semoga ia memberi kebaikkaan untuk kita semua.

“Sekilas Mengulas Peristiwa”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

10 Mei 2012a jam 1.10 pagi.

Thursday, January 19, 2012

Sekilas 46 “Isu Anak Melayu Tidak Dibenarkan Menutup Aurat..”

Kita tak kisah kalau perkar ini berlaku di negera China yang kita tahu majoriti penduduk bukan Islam, atau pun di Singapura.

Ataupun di Malaysia tetapi di Penang.

Ataupun di Selangor sendiri tetapi di tempat yang ramai penduduk berbangsa Cina yang bukan beragama Islam.

Tetapi ini di Shah Alam yang majoritinya penduduk Melayu Islam.

Apa alasannaya untuka tidak membenarkan orang Islam memakai pakaian renang menutup aurat. Adakah tiba-tiba air kolam menjadi masin?

Kalau alasannya nanti berenang tidak laju, terpulanglah pada peserta, tapi apa kata jika mereka laju dan menang?

Dalam kes ini saya tak tahu nak mula di mana. 18 Januari 2012, Pagi ini saya menghubungi sahabat saya di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Mana boleh macam ni” kata salah seorang dari mereka. Tetapi pegawai biasa ini juga tidak tahu dari mana ingin dimulakan.

Saya membelek telifon saya. Ada nombor Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib.

Secara jujurnya saya memang segan nak berhubung dengan beliau, hanya bagi bab-bab tertentu bagi kepentingan Islam sahaja seperti kes pesakit HIV yang duduk di gereja pada tahun 2009. Beliau antara orang yang awal yang saya ajak berbincang mengenainya pada ketika itu.

Saya memberanikan diri menghubungi beliau.

Saya menceritakan serba sedikit mengenai hal ini.

“InsyaAllah ustaz” kata Dato’ Adzib.

Sahabat saya Shabudeen antara yang awal memberikan respons.

Petang ini saya dihubungi oleh pihak Utusan.

“Boleh kita jumpa ustaz?” tanya kak Azian dari Utusan.

Saya yang agak sibuk hari ini dengan rakaman program “Usrah” TV9 hanya dapat bertemu beliau jama 6.00 petang.

Hari ini, akhbar Metro pula akan datang untuk menemuramah ibu bapa dan juga guru renang yang terlibat.

Satu tujuan saya, biarlah orang bukan Islam menghormati Islam. Biarlah orang Islam yang masih lagi berfikiran Islam itu kolot menukar pemikiran mereka.

Islam jadi tidak terbela waktu ini.

Orang politik telah sibuk dengan cara mereka.

Kala ini, kalau kita bincang pasal hudud maka kita akan dicap sebagai orang PAS dan kalau kita bincang pasal murtad, kita akan dicap sebagai orang UMNO.

Apa dah jadi sekarang ini?

Kuil semakin banyak dan besar, murtad semakin berleluasa, tapi kita nak cakap pasal Islam akan dilebal sebagai parti itu dan ini, sehingga ada para ustaz sendiri takut nak cakap pasal Islam. Hanya bab solat dan taharah sahaja.

Marilah kita sama-sama mendoakan agar tanah Melayu yang memang sejak dahulu lagi terkenal dengan rantau Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah ini terus terpelihara. Semoga Allah berikan kekuatan bagi siapa sahaja yang ingin memperjuangkan Islam dan Allah turunkan orang yang mengaku inginkan Islam tetapi sebenarnya ada kepentingan peribadi.

“Ya Allah, hambamu ini tidak punyai ilmu, tidak punyai pengalaman. Yang ada hanyalah kemahuan untuk melihat agamaMu ini terus dimuliakan. Berikanlah aku ilmu dan berikanlah aku pengalaman agar gabungan ini memberikanku kekuatan, hidayahMu sangat ku perlukan dan bimbinganMu sangat ku harapkan…”

“Sekilas Mewarkan Peristiwa”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

24 Safar 1432/ 19 Januari 2012 jam 8.00 pagi

IMG_1335

Mereka bukan berenang memakai jubah atau purdah, mereka memakai baju renang, dan adakah dengan menutup aurat mereka di anak tirikan?

Mana hak orang Islam di tanah air mereka sendiri? Kita bukan di negara China atau Singapura.

Kita di Malaysia yang Islam sebagai agama rasmi…

Tuesday, January 17, 2012

Sekilas 45 - “Anak Melayu Islam Tidak Dibenarkan Menutup Aurat Di Negara Sendiri..”

13 Januari 2012, Persatuan Renang Amatur Selangor menganjurkan pertandingan renang terbuka kepada kelab-kelab renang dalam negeri Selangor.

Mendengar pertandingan ini, beberapa ibu dan ayah yang mempunyai jiwa Islam menghantar anak-anak mereka untuk menyertai pertandingan ini.

Untuk apa mereka menghantar anak mereka?

Bukan untuk menang dan akhirnya terpilih menjadi perenang negara, bukan juga untuk “kononnya” terpilih sebagai perenang berbakat, tetapi sebagai pendedahan kepada anak mereka apa itu erti semangat kesukanan dan pendedahan anak mereka untuk berjiwa saing di dalam kehidupan.

Saya juga menghantar dua orang anak saya dan dua orang anak yatim dan tahfiz al-Ijabah.

Masing-masing mereka dari sekolah tahfiz saya saya asaskan.

Mereka adalah pelajar tahfiz. Di dalam dada mereka telah menghafal 5 Juzuk, 9 Juzuk dan 21 Juzuk. Umur mereka sekarang baru memasuki 12 tahun dan dan tahun ini mereka akan menduduki peperiksaan UPSR.

Bagi saya, seperti ibu dan ayah lain, bukan mahukan mereka sehingga menjadi perenang negara, cuma sebagai pendedahan dan memahami apa itu pertandingan dalam hidup.

Dan sebagai penjaga anak-anak yatim al-Ijabah, saya mahu anak yatim yang saya jaga mempunyai peluang seperti orang yang ada ayah, mereka merasai pendedahan seperti orang ada ayah merasainya.

Mereka turun ke kolam bertanding pada hari Sabtu 14 Januari 2012, hari kedua, masing-masing bersungguh-sungguh berenang walaupun bukan di dalam senarai terbaik.

Kala ini saya berada di China bersama isteri saya kerana membeli barangan untuk perniagan kecil-kecilan saya.

Isteri saya menghubungi anak saya dan bertanyakan khabar mengenai pertandingan yang mereka sertai.

Tapi suara tangisan yang saya dengar.

“Kenapa?” tanya saya pada isteri.

“Dia orang tak dibenarkan untuk mengikuti pertandingan bagi hari akhir” jawab isteri saya.

“ Sebab apa?” tanya saya lagi.

“Sebab pakaian mereka tidak mematuhi syarat” jawab isteri saya lagi.

Saya mengambil telifon saya yang tersimpan di dalam jaket tebal yang saya pakai. Di China kala ini sedang musim sejuk.

Saya menghubungi En. Mohd Bukhari Ibrahima, guru renang anak-anak Yatim dan Tahfiz al-Ijabah dari Kelab Anak Air dan Kelab Ombak, salah satu Kelab renang di Pusat Akuatik Shah Alam, tempat pertandingan dilangsungkan.

“En. Bob, apa cerita?” tanya saya.

“Tak tahulah ustaz, dia orang tak bagi kita ikuti pertandingan, sebab budak kita pakai tutup aurat. Kalau nak ikut pertandingan, mesti pakai baju yang terbuka tu..” jawab En. Bukhari dengan nada perlahan.

“Hari pertama turun, dia orang benarkan, tapi hari kedua, tak bagi langsung budak kita masuk kolam bertanding..” tambah En. Bukhari lagi.

“Ramai tak yang tutup aurat?” tanya saya lagi.

“Tak ramai, dalam 10 orang aje..” jawab En. Bukhari.

“Abis, mak ayah macam mana? Tanya saya lagi.

“Ada yang balik, ada yang terpaksa belikan anak-anak baju buka aurat tua dan ada anak-anak yang menangis sebab tak dapat ikuti pertandingan seterusnya” jawab En. Bukhari.

Walaupun menutup aurat, tapi baju yang mereka gunakan adalah baju renang khas untuk muslim. Bukannya jubah dan purdah, kita pun tahu apa itu baju renang, dan sekarang pun memang ada baju renang yang menutup aurat.

Apa salahnya menjadi seorang muslim hingga terpaksa di anak tirikan?

Apa salahnya memakai menutup aurat hingga tidak dibenarkan menyertai pertandingan.

Bukankah kebebasan beragama itu diiktiraf oleh undang-undang?

Mana hak kita sebagai orang Islam di negara kita sendiri?

Saya ingin tanyalah soalan ini pada penganjur.

Dan bagi kita semua, sampai begini teruknya kita orang Islam terpinggir di negara sendiri…..

“Sekilas Mewarkan Peristiwa”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

22 Safar 1432/ 17 Januari 2012a jam 11.50 malam

Thursday, October 6, 2011

Sekilas 44 – Ibadah Korban 1432/2011

InsyaAllah, tahun ini, seperti tahun-tahun lepas, saya akan menganjurkan ibadah Qurban.

Bagi semua saudara saya yang ingin membuat korban bersama saya, bolehlah berhubung dengan PA saya, Alia 019 600 3643 atau talian pejabat 03- 55232296.

Satu bahagian di Malaysia ialah 350

Dan satu bahagian di Kemboja ialah RM 250

Bahagian korban akan diagihkan kepada orang miskin dan susah yang kadang kala hanya setahun sekali sahaja merasa daging untuk di makan.

Semoga, urusan korban dapat diagihkan pada yang benar-benar memerlukan, dan bagi kita yang ingin bersama saya di dalam ibadah korban, bolehlah menghubungi nombor di atas.

Kelebihan orang berkorban ada dua, di dunia ialah Allah perlihara pembuat korban dari dibinasakan oleh musuh-musuhnya yang ingin menghancurkan kita (surah al-Kauthar).

Di akhirat, Allah akan jadikan korban ini sebagai tunggangan buat kita (Sabila al-Muhtadin jilid dua bab al-Adhiyyah)

Dan yang penting adalah, semoga ia menjadikan kita dikasihi Allah dengan keredhaannya.

“Sekilas, Mewarkan Peristiwa”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

8 Zulqaedah 1432/ 6 Oktober 2011 jam 1.00 petang

*** artikel terdahulu mengeni korban***

http://www.ustazamin.com/2010/11/diari-257-sekitar-ibadah-korban.html

 

http://www.ustazamin.com/2010/11/universiti-kehidupan-173-keindahan.html

 

http://www.ustazamin.com/2009/11/diari-126-kenangan-korban-kemboja_12.html

 

http://www.ustazamin.com/2009/11/diari-126-kenangan-korban-kemboja_12.html

Friday, August 19, 2011

Sekilas 43 – “Isu JAIS Memeriksa Gereja – Mengenal Ahli Politik Yang Ikhlas Dan Berkepentingan..”

Saya mengikuti perkembangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang memeriksa gereja sejak saya di China lagi. Sekembali dari China pada 6 Ogos 2011, ingin sahaja saya mengulas mengenainya, tetapi kerana beberapa hal, tidak sempat untuk mengulasnya.

Kesempatan kali ini, saya hanya ingin mengulas sedikit, tetapi hanya dari satu sudut sahaja iaitu mengenai pandangan dari ahli-ahli politik yang berada di negara kita ini.

1. Apa juga isu yang timbul di negara ini, akan ada orang yang ikhlas dan ada orang yang ingin mengambil kepentingan dan keuntungan.

2. Begitu juga dengan kes JAIS di dalam memeriksa gereja ini. Banyak sahabat-sahabat dari ahli politik yang memberi ulasan secara tegas dan jujur dan ada juga yang memberikan komen popular.

3. Bagi mereka yang memberikan ulasan secara tegas dan jujur di dalam mempertahankan kepentingan Islam, syabas dan tahniah diucapkan, tetapi yang memberikan komen popular hingga kadang-kala kepentingan Islam menjadi nombor dua, mudah-mudahan anda selamat dengan cara anda ini.

4. Saya pernah terlibat dengan kes seperti ini di dalam peristiwa HIV yang tinggal di gereja pada tahun 2009 dan saya ingin nukilkan pengalaman saya bersama orang politik. Ada di antara mereka yang tegas dan ikhlas dan ada juga yang ingin mengambil pendekatan popular.

5. Ketika kes HIV di gereja menjadi hangat, saya pernah dihubungi oleh bahagian pemuda PAS dan secara jujur bertanya apakah yang boleh mereka bantu. Kejujuran mereka terlihat dari kesungguhan mereka . Selain itu, ramai juga orang Islam dari mana-mana parti politik yang bersama-sama datang dan berusaha membantu.

6. Dalam waktu yang sama, ada satu pihak lain yang memberi ingatan sinis pada saya seolah-olah di belakang saya ada pihak-pihak yang ingin memburuk-burukkan kerajaan Selangor kala itu. Kalau dilayankan peringatan mereka, mungkin pesakit HIV masih lagi berada di dalam gereja.

7. Kes HIV di gereja semakin hangat dan kali ini, saya dipanggil untuk bertemu bekas menteri dan soalan pertama saya diajukan pada saya ialah

“benda ini berlaku pada zaman saya atau baru ni..” katanya.

“Maaf Dato’, benda ni dah lama sebenarnya, zaman Dato’ lagi. “ jawab saya.

“Oh, kalau dah lama susahlah sikit nak buat..” satu jawapan yang agak mengejutkan saya ketika itu.

Pertemuan itu berakhir tanpa apa-apa tindakan.

8. Alhamdulillah, dengan kesungguhan Majlis Agama Islam Selangor, akhirnya pesakit HIV dapat dipindahkan dari gereja pada Ogos 2009.

9. Pada 10 Oktober 2010, kala itu saya mempunyai program bersama MBSA. Ia dihadiri oleh seorang YB. Kala itu, penghuni HIV Darul Ukhwah hadir di dalam program ini. Ketika habis program, pengunjung dipersilakan makan. YB melihat penghuni Darul Ukhwah dengan pakaian rasmi mereka.

“Siapa dia orang ni” tanya YB.

Saya yang makan satu meja dengan YB menjawab “Ini pesakit HIV yang dari gereja tu..”

“Oh… dari gereja tu, dia orang semua ni, saya yang keluarkan ni, saya yang datang ke gereja tu dan arahkan untuk mereka dipindahkan” kata YB dengan penuh selamba.

Sahabat-sahabat dari MBSA dan para tetamu yang mengetahui kisah dari awal hingga akhir semua memandang pada saya dengan dengan mengangkat kening dan bibir yang dicebikkan. Saya hanya tersenyum.

10. Pada Disember 2010, saya yang memohon rumah dari Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA) telah dipanggil mesyuarat untuk peringkat akhir. Dato’ Bandar ketika itu telah bersetuju dari segi dasarnya untuk memberikan sebuah dewan bagi penempatan HIV. Semua ahli mesyuarat juga bersetuju. Wakil penduduk dan Nazir masjdi juga ada dan telah bersetuju kerana kepentingan Islam. Dua orang wakil YB yang ada di dalam mesyuarat baru tahu bahawa dewan yang ingin diberikan untuk penempatan rumah HIV itu kosong dan akan diberikan untuk penempatan HIV ini.

Dia langsung terus dia mengatakan bahawa YB memang sedang mencari-cari kawasan untuk dibuat pusat Dialisis. Dan kalau tempat itu kosong, maka mereka mahu mohon untuk membuat pusat itu.

Timbalan Dato’ bandar yang mempengerusikan mesyuarat bertanya, kenapa tidak pernah ada permohonan pun.

“Ya, kita memang sedang buat..” katanya selamba padahal tempat yang saya mohon itu hampir setahun dibincangkan dari masa ke masa.

Timbalan Dato Bandar ketika itu mengatakan bahawa, pusat Dialisis di mana-mana boleh buat, MBSA pun boleh tolong carikan, tetapi tempat yang sesuai bagi HIV tidak semua tempat boleh.

Tapi, wakil YB ini tetapi berminat tempat ini.

11. Januari 2011, saya dipanggil oleh YB ini di dalam mesyuarat dan dia mengatakan bahawa tempat itu tidak boleh digunakan. Dia berjanji dengan saya akan menguruskan tempat lain dalam tempoh dua minggu.

12. Dari sehari ke sehari saya menunggu. Tidak ada jawapan. Perbincangan mengenai rumah HIV ditolak pula ke Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Saya pernah dipanggil sekali untuk mesyuarat tetapi juga terus tidak mendengar khabar berita.

Penat juga terasa kalau banyak kali cuba mengubungi tetapi tidak juga mempunyai apa-apa perkembangan. Saya cuba menghubugi YB tetapi tidak pernah dapat bertemu selepas Januari 2011. Hinggalah pihak MBSA sendiri ingin mengaturkan kembali pertemuan saya dengan YB, pun hingga sekarang tidak mempunyai jawapan.

13. Pada Ogos 2011, rumah HIV yang kita sewa di Petaling Jaya telah melebihi dua tahun. Saya mendapat satu panggilan telifon dari tuan rumah yang menyatakan bahawa dia mahu menggunakan rumahnya. Kami kena keluar dalam notis tiga bulan.

14. Di bulan puasa ini, banyak masa saya pada waktu siang ke sana dan ke mari mencari rumah baru bagi penempatan HIV.

Saya tidak tahu macam mana nak buat. Saya mempunyai kenalan dengan setiausaha kanan kepada YB Yaakub Sapari. Berbual dan berbincang dengannya atas dasar Islam. Dia bersungguh-sungguh membantu membawa saya ke sana ke mari. Dia maklumkan kepada YB Yaakub dan YB Yaakub bersungguh ingin membantu setakat ini. Walau bagaimana pun, penempatan belum lagi dapat.

Pada Isnin 22 Ogos ini, insyaAllah, saya akan ke Mekah. Di sana akan dimunajatkan keperluan penempatan HIV ini.

15. Apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah bagi orang politik ada jenisnya. Ada yang memang ikhlas berjuang dan ada yang hanya mahukan komen popular di dalam sesuatu isu. Dalam isu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memeriksa gereja sama sahaja jadinya. Ada yang memberikan komen tegas dan jujur dan ada yang hanya mahukan kepentingan politik.

16. Apa pun, inilah ahli politik. Satu hari nanti, jika anak kita mahu jadi ahli politik pesankanlah pada mereka, politik hanya alat dan jadikan Islam itu sebagai matlamat.

“Sekilas Mewarkan Peristiwa”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

19 Ramadhan 1432/ 19 Ogos 2011 jam 8.00 pagi

Saturday, April 9, 2011

Sekilas 42 - Perselisihan Antara PGSM dan PPMM

9 April 2011 jam 9.15 pagi, hari ini saya memenuhi program “Promise” (ceramah) yang dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor. Tajuk perbincangan hari ini ialah beriman kepada Rasul. Tamat program jam 10.30 pagi, saya terus ke pejabat untuk melihat beberapa tugasan.

Saya membuka Harakah Daily dan tertarik dengan satu artikel mengenai pertikaian antara PGSM (Persatuan Guaman Syarie Malaysia) dan PPMM (Persatuan Peguam Muslim Malaysia) yang mengatakan bahawa video boleh diterima sebagai bukti untuk mendakwa seseorang di bawah kesalahan zina di Mahkamah Syariah.


Boleh baca di sini....


http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2700:video-pgsm-sokong-mufti-perlis-bidas-ppmm&catid=34:primary&Itemid=56


Saya juga seorang peguam syarie dan saya terpanggil untuk mengulas perkara ini.


Antara Tugas Pendakwa dan Hakim

1. Mendakwa dan menjatuhkan hukum adalah dua perkara yang berbeza. Mendakwa adalah bidang tugas seorang pendakwa dan menghukum adalah bidang tugas seorang hakim.

2. Jika terjadi sesuatu kes, maka kes itu akan disiasat oleh pegawai penyiasat dan kemudian akan diserahkan kepada pendakwa sama ada ia boleh dibawa ke mahkamah atau pun tidak, dan perkara ini terpulang kepada pendakwa, sama ada dia ingin membawa ke mahkamah ataupun tidak.

3. Sebagai contoh, jika penguatkuasa menyerbu bilik seorang yang berdua-duaan, dan kedua mereka di dapati berkemban, maka mereka berdua boleh di dakwa ke mahkamah dengan berbagai bukti dan saksi yang cuba dibawa oleh pendakwa.

4. Jika pendakwa membawa tuduhan mereka berzina, dia mestilah membawakan bukti untuk tuduhan itu, jika tidak, maka dia boleh mengubah tuduhan dari berzina kepada berkhalwat.

5. Biasanya, pertuduhan zina di mahkamah akan dijatuhkan apabila pelaku mengaku bersalah di atas barang-barang bukti yang ditemui ketika dia diserbu seperti kondom, kesan air mani dan sebagainya, tapi jika dia tidak mengaku, maka dia tidak dapat dijatuhkan hukum berzina, cuma pertuduhan akan ditukar kepada percubaan melakukan zina atau berkhalwat.

6. Jadi, sama ada pendakwa nak bawa atau tidak terpulang pada dia, bagi hakim pula, bukti tadi hanyalah sokongan dan dia tidak boleh menjatuhkan hukuman pada bukti yang dibawa semata-mata. Bukti itu akan menjadikan pesalah mengakui kesalahannya hakimlah yang akan menjatuhkan hukum di atas pengakuan itu.

Ulasan Perselisihan PGSM dan PPMM

7. Menurut petikan harakah seperti di dalam link di atas, kenyataan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar, menyatakan bahawa video boleh diterima sebagai bukti untuk mendakwa seseorang di bawah kesalahan zina di Mahkamah Syariah dalam konteks Malaysia, maka ia boleh dibawa ke mahkamah. Penyataan ini adalah merujuk kepada seorang pendakwa syarie untuk membawa kes ke mahkamah. Bukannya seorang hakim yang ingin menjatuhkan hukuman.

8. Bagi seorang hakim, video bukan bukti tunggal di dalam penghakimannya, ia hanyalah salah satu cara untuk menjadikan seseorang pesalah mengakui kesalahannya. Jika dia tidak mengaku, maka pertuduhan zina memang tidak boleh dibuat, dan pertuduhan akan ditukar kepada percubaan melakukan zina atau berkhalwat.

9. Peselisihan yang berlaku antara Zainur Rijal dengan Presiden PGSM, Mohamad Isa Abd Ralip pada saya hanyalah cara menerangkan kepada umum sahaja dari sudut teknikal yang dipakai di Malaysia.

10. Bagi Mohamad Isa dan Mufti Perlis, ulasan mereka di dalam harakahdaily, mereka membincangkan dari sudut Mahkamah Syariah sebenar. Persoalannya, adakah Mahkamah Syariah di Malaysia sudah benar-benar menetapi syarak? Keterbatasan bidang kuasa hukumam zina di dalam enakman di Malaysia yang hanya didenda sebanyak RM 1000 pun sudah menggambarkan kelainan cara dari yang sebenar.

11. Bagi Zainur Rijal pula dia membicarakan dari segi teknikal realiti mahkamah di Malaysia.

12. Dua-duanya membicarakan dari sudut yang berbeza, PGSM berhujah dari sudut penjatuhan hukuman zina semata-mata tanpa ada pertuduhan percubaan zina atau khalwat, dan PPMM membicarakan realiti perjalanan mahkamah di Malaysia waktu ini.

13. Bagi, saya tak perlu digaduhkan. Kalau mahu bicara mengenai cara Islam sebenar, ia memerlukan satu rombakan sistem yang benar-benar ikhlas dan jujur. Kalau tidak, kita hanya memperdebatkan serpihan yang telah rosak dan dia tidak ada penghujung, yang makin pening adalah masyarakat.

14. Bagaimana kita nak bicarakan mengenai kereta yang memakai tayar basikal, kemudian kita gaduhkan, adakah pemandu boleh disaman kalau dia bawa terlalu lambat sehingga mengganggu pemandu lain dan sebaginya. Sistem kereta memakai tayar basikal pun dah tak betul, macam mana nak bincang teknikal yang berbangkit adakah boleh di saman atau tidak?

15. Sebagai penutupnya, semoga pengamalan Islam di Malaysia semakin baik bukan sahaja dari sudut masyarakat tetapi dari sudut pentadbiran dan perjalanan secara rasmi.

Sekilas Mewarkan Peristiwa”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

6 Jamadil Awal 1432/9 April 2011 jam 1.30 tengah hari

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...