29 November 2011 jam 11.45 pagi, saya baru sahaja selesai program di Yayasan Restu Shah Alam. Kala itu saya berada di pejabat saya di tingkat satu, memerhatikan beberapa surat-surat yang sampai mengenai Yayasan al-Ijabah.
Tiba-tiba, saya terdengar suara perempuan memekik meminta tolong..
Saya menjengahkan kepala pada tingkap. Segera saya turun bersama staf lelaki saya, Fendi.
Sampai di bawah, saya melihat beberapa perempuan sedang menangis, sebuah motosikal tumbang dan beberapa beg berselerakan.
Dua orang berpakaian biasa sedang mengacukan pistol pada seorang lelaki.
“Apa hal ni?” tanya saya pada polis ini…
15 minit sebelum kejadian….
Dua orang berkepala botak menunggang motosikal dengan keadaan mereka mencurigakan.
Dua orang polis berpakaian biasa sedang membasuh motor mereka di satu sudut.
Melihat si botak melintasi mereka, polis ini saja-saja memeriksa nombor motosikal ini dan mendapati ia adalah nombor palsu.
Dua polis ini kemudian terus mengekori si botak.
Di satu sudut, si botak tidak kelihatan, meninggalkan motosikalnya di tempat meletak kereta dan mereka berdua sedang mengacukan parang pada pemilik pusat kecantikan yang terletak di tingkat atas.
Barang kemas, duit dan komputer riba telah berada di bahu mereka. Dengan tenang, dia turun dan tidak tahu bahawa dua orang polis sedang berada di bawah menunggu.
Dua orang polis yang berada di bawah pula tidak tahu bahawa dua si botak ini sedang menyamun dan bersama mereka, terdapat parang yang telah disembunyikan di dalam seluarnya.
Sampai di anak tangga terakhir di bawah, pemilik pusat kecantikan menjerit meminta tolong.
Dua Polis di bawah menyapa si botak..
“Kenapa?”
dan tiba-tiba si botak menghayunkan parangnya ke arah dua polis yang disangka orang awam ini..
Dua polis terus mengeluarkan pistolnya, seorang berjaya direbahkan dan seorang lagi berjaya melarikan diri.
Pagi ini, seorang penyamun telah berjaya di tangkap oleh Polis..
Saya memerhatikan kejadian ini..
Adakah peristiwa ini berlaku secara kebetulan..?
Adakah kebetulan si botak melalui lorong bangunan tempat polis ini membasuh motornya?
Adakah kebetulan polis melihat si botak?
Adakah kebetulan polis tergerak mahu memeriksa nombor motor itu?
Dua soalan yang bermain di fikiran saya….
Adakah semua ini kebetulan? Dan saya meyakini bahawa tidak ada kebetulan dalam hidup, semuanya takdir yang ditentukan ilahi..
Yang kedua, apakah amalan kakak ini hingga menyebabkan kebetulan polis terlihat si botak dan kebetulan dia mengikuti si botak hingga akhirnya dapat menangkap si botak?
Saya berbisik sendirian, kakak ini walaupun tidak bertudung, walaupun nampak seperti auratnya tidak di jaga, tetapi ada amalan dia yang Allah sayang hingga musibah berlaku terus pertolongan sampai. Sebab itu jangan mudah pandang hina pada orang di sekeliling kita, sapa tahu, di sisi Allah, dia jauh lebih mulia dari kita..
“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”
al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
7 Muharram 1433/ 3 Disember 2011 jam 11.15 malam
Motor dengan nombor palsu
Orang ramai berkumpul melihat kejadian..
Si botak yang berjaya di tangkap polis..
Anggota yang sampai untuk tindakan selanjutnya..