Tuesday, December 27, 2011

Diari 346 – IKIM, “Memahami Sistem Yang Tidak Adil Di Dalam Rumah Tangga..”

Isnin 26 Disember 2011 jam 10.00 pagi, saya berada di radio IKIM.fm membicarakan mengenai perihal rumah tangga.

Kali ini kita kongsikan undang-undang yang tidak adil di dalam rumah tangga yang terpaksa kita terima.

Segi idealnya, kita mungkin menggariskan itu dan ini untuk kebahagiaan rumah tangga, kita bawakan hadis dan kisah-kisah rumahtangga Rasullullah, tetapi ada beberapa realiti keluarga orang Melayu yang jauh dari ini semua.

Yang tidak berkesempatan, bolehlah kongsikan seperti di bawah:-

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

1 Safar 1433/27 Disember 2011 jam 7.00 pagi

Monday, December 26, 2011

Diari 345 – Tanyalah Ustaz “Seni Mengawal Rumah Tangga Siri (2)

Alhamdulillah, dengan izinNya, pada 23 dan 24 Disember 2012 dapat saya sempurnakan program “Tanyalah Ustaz” bertajuk “Seni Mengawal Rumah Tangga”

Di bawah dikongsikan doa-doa di dalam rumah tangga.

1) Doa Untuk Mendapat Isteri dan Anak-Anak Yang Bertaqwa

Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

(al-Furqan,74).

2) Doa Kepada Pengantin. Apabila seseorang telah diijabkabulkan, Rasulullah SAW mendoakan:

بَارَكَ اللهُ لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَمَعَ بَيْكُمَا فِيْ خَيْرٍ

Semoga Allah memberkati kamu, dan melimpahkan berkatNya atas diri kamu, dan semoga Allah menghimpunkan kamu berdua dalam kebajikan.

(Riwayat daripada Abu Hurairah di dalam Sunan Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, dan imam-imam lain).

3) Doa Pengantin Untuk Dirinya. Sabda Rasulullah SAW: Apabila seseorang kamu berkahwin katakanlah:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْـأَلُكَ خَيْـرَهَا، وَخَيْـرَ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ*

وَأَعُوْذُ بِـكَ مِنْ شَــرِّهَا وَشَــرِّ مَا جَبَـلْتَهَا عَلَيْهِ .

Ya Allah, ya Tuhanku, sesungguhnya aku mohon kepadaMu kebaikan perempuanini dan apa yang telah Engkau ciptakan dalam wataknya. Dan aku mohon perlindungan kepadaMu daripada kejelekan perempuan ini dan apa yang telah Engkau ciptakan dalam wataknya.

(Riwayat daripada ‘Amr bin Syu‘aib daripada bapanya, daripada datuknya di dalam Sunan Abu Daud, Ibn Majah, Ibn Sunni dan lain-lain).

4) Doa Ketika Hendak Mendatangi Isteri. Nabi SAW bersabda: Apabila kamu ingin mendatangi isteri, katakanlah:

بِاسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ، وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا .

Dengan nama Allah, ya Allah, ya Tuhan kami, hindarilah kami daripada syaitan, dan jauhilah syaitan daripada rezeki yang Engkau kurniakan kepada kami.

(Riwayat daripada Ibn ‘Abbas ra di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim).

5) Amalan Ketika Mengandung

Ketika mengandung, para ibu boleh mengamalkan surah Maryam, suruh Yusuf dan surah Luqman untuk Allah memberikan kebaikan kepada anak di dalam kandungan. Sesungguhnya, al-Quran itu terdapat keberkatan jika kita mengamalkannya.

Doa Untuk Mendapat Anak Yang Sempurna dan Tidak Cacat

Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkaulah sentiasa Maha Mendengar segala permintaan. (Ali ‘Imran 38).

6) Doa Ketika Sakit Hendak Bersalin. Diriwayatkan daripada Fatimah ra bahawa apabila beliau hampir melahirkan Nabi SAW menyuruh Ummu Salamah dan Zainab binti Jahsy membacakan kepada beliau ayat Kursiy dan ayat surah al-A‘raf, 54

Kemudian diikuti dengan membaca surah al-Falaq dan al-Nas. (al-Azkar, ImamNawawi).

7) Untuk ada kekuatan untuk berbuat sesuatu

Lahaula wala quwwata illa billahil aliyyil azim

8) Menahan perasaan di dalam rumah tangga

Banyakkan Selawat

9) lembutkan hati isteri/ suami

Surah al-fatihah/ surah taha/ nak masak bacakan surah al-Kauthar

10) Nak buat apa-apa keputusan, seperti bercerai dan sebagainya, mulakan dengan mohon petunjuk di dalam solat istikharah

Yang mungkin tidak sempat untuk bersama, bolehlah kongsikan di dalam Youtube seperti di bawah:-

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

30 Muharram 1433/26 Disember 2011 jam 9.00 pagi

Diari 344 – Tanyalah Ustaz “Seni Mengawal Rumah Tangga” Siri (1)

Alhamdulillah, pada 23 Disember 2011, dapat saya kongsikan dengan kita semua seni mengawal rumah tangga. Antaranya ialah

(1)Sekufu

Jaga soal sekufu (kesetaraan). Ia adalah satu yang sangat penting kerana jika tidak di jaga maka jurang di antara suami dan isteri akan berlaku.

Dan jika orang membicarakan mengenai sekufu, ramai yang terfikir perkara ini perlu sebelum kahwin sedangkan sekufu selepas kahwin juga penting.

Ramai pasangan yang telah berkahwin, si suami seorang ahli perniagaan dan si isteri seorang guru contohnya, dalam masa lima tahun, akan berlaku jurang yang membezakan cara berfikir kedua-dua ini.

Yang terbaik ialah ajak isteri bersama di dalam dunia suami dan ajak suami masuk ke dalam dunia isteri.

(2) Tingkatkan ilmu

Untuk bahagia di dalam rumah tangga kita kena tingkatkan ilmu rumah tangga, sekalipun kita mahir di dalam ilmu ekonomi, ilmu tajwid, ilmu undang-undang, ilmu sejarah, belum tentu kita juga mahir di dalam ilmu rumah tangga kerana ilmu rumah tangga ada babnya yang tersendiri.

(3) Perbetulkan Sikap

Sikap adalah satu perkara yang penting untuk diperbaiki. Tingkatkan ilmu dan tingkatkan tarbiah untuk membetulkan sikap.

(4) Doa

Doa amat penting di dalam memelihara rumah tangga

Bagi yang mungkin tidak berkesempatan untuk bersama, bolehlah melawat di Youtube seperti di bawah:-

semoga memberi manfaat.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

30 Muharram 1433/26 Disember 2011 jam 8.30 pagi

Wednesday, December 21, 2011

al-Ijabah 104 – Catatan Kisah Anak Yatim al-Ijabah

Bulan Disember semakin hujung. Beberapa mesyuarat telah saya buat bagi memenuhi keperluan anak-anak Yatim dan Tahfiz al-Ijabah.

Setakat ini, di mana-mana ceramah atau program, saya memang tidak pandai ingin menyebut mengenai rayuan sumbangan atau derma keperluan anak-anak ini.

“Sebutlah ustaz, kalau tak orang tak tahu” kata salah seorang anak murid saya.

Tetapi, saya memang jenis yang tak reti nak menyebut, yang tahu akan bersama-sama. Biasanya, saya akan usahakan semaksima yang boleh dengan kudrat yang ada.

Dengan izin Allah, saya ada kedai cermin mata di Seksyen 9 Shah Alam. Isteri saya seorang optometris dan dapat membantu di dalam pengendalian kedai ini. Yang lain-lain seperti travel, buku, kursus dan sebagainya.

Ini antara perkara yang saya buat untuk memenuhi keperluan anak-anak ini.

Dan di dalam menjaga anak-anak ini, yang paling saya tekankan adalah pelajaran mereka. Kita mahu mereka berjaya seperti orang yang ada ibu dan ayah.

Ada seorang anak yatim piatu yang bersama saya di ijabah ini. Bermakna ibu dan ayahnya sudah tiada. Telah dijemput oleh Allah. Selalu juga berbual dengannya dan memberi semangat padanya di dalam kehidupan ini.

Awal tahun baru ini, matanya agak rabun. Saya membawanya ke kedai saya dan membuatkannya cermin mata. Kadar rabunnya tidak tinggi.

Seakan ayah pada mereka, selalu saya pesan kalau ada keperluan apa-apa bagitau.

Dan barangkali anak ini takut atau malu, cermin matanya yang patah tidak dimaklumkan.

Di hujung tahun ini, baru saya mendapat makluman cermin matanya patah dan sudah beberapa bulan tidak digunakan.

Rupanya dia memberikan pada saudaranya untuk dibetulkan tetapi sampai sekarang belum dibetulkan.

20 Disember 2011, anak ini dibawa ke kedai saya untuk dibuatkan cermin mata baru. Oleh kerana sudah beberapa bulan tidak memakainya, kadar rabunnya telah meningkat.

Mendengar perkara ini saya menyela nafas panjang.

“Kan dah pesan, kalau ada keperluan bagitahu terus, ini keluarga awak sekarang, sebuah keluarga besar”

Kadang-kala, melihat mereka selalu saya berbisik di hati..

“Allah, berikanlah mereka kejayaan di dunia dan di akhirat, peliharalah mereka..”

Allah telah takdirkan ayah dan ibunya sudah tiada, sekarang, hanya Allahlah yang menjaga dan memelihara mereka. Di tangan penjaga hanyalah amanah yang dilalukan. Semoga Allah sentiasa bersama kita semua, dan memberi kekuatan pada kita di dalam membantu agamanya, amin..

“al-Ijabah Bersatu Kita Berbakti”

al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah al-Amin

Putra Heights

25 Muharram 1433/21 Disember 2011 jam 8.30 pagi

al-Ijabah 103 – Pertambahan Bilangan HIV

Rabu 14 Disember 2011 jam 2.30 petang…

Saya melangkah kaki memasuki bilik Mesyuarat Haji Ali, Tingkat 6, Menara Selatan Majlis Agama Islam Selangor.

Hari ini, bahagian Riqab MAIS, bersama saya dan Pertubuhan Budi membicarakan mengenai perjalanan rumah HIV.

Saya mewakili Darul Ukhwah Yayasan al-Ijabah membicarakan mengenai perkara-perkara berbangkit di dalam HIV ini.

Oleh kerana di Selangor, golongan HIV ini telah ditakrifkan di dalam golongan Riqab (golongan yang terhamba), maka membantu mereka bermakna salah satu dari cabang ibadah.

Kalau di pihak gereja Kristian yang ada di Malaysia, sentiasa ada sukarelawan-sukarelawan yang datang berkhidmat dari luar negara, tetapi bagi kita Melayu Islam masih kurang.

Kalau bicara mengenai perbalahan politik, kita memang jaguh, tetapi di dalam bergelumang dengan perkara kebajikan, orang lain masih kedepan.

Ustaz Halim, yang mempengerusikan mesyuarat membincangakan bagaimana rumah HIV ini perlu dibanyakkan kerana kebanyakkan orang HIV yang ada di Malaysia adalah Melayu Islam, tetapi rumah perlindungan bagi mereka kebanyakkannya adalah di bawah orang bukan Islam.

Walaupun dalam mengendalikan rumah HIV ini memang berat, tetapi ia adalah tanggungjawab agama yang tidak boleh ditinggalkan.

Semoga Allah memudahkan bagi saya dan siapa sahaja yang terlibat, yang membantu sama ada langsung atau tidak dan  juga semoga Allah jadikan ia sebagai satu bekalan untuk di sana.

“al-Ijabah Bersatu Kita Berbakti”

al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah al-Amin

Putra Heights

25 Muharram 1433/21 Disember 2011 jam 8.30 pagi

P1050529

P1050532

P1050533

Wednesday, December 14, 2011

Diari 343 – Dunia Mikro Yang Jarang Kita Lihat…

Pada saya ilmu Allah itu sangat luas, dan sebab itu budaya ilmu dalam Islam ialah belajar hingga ke liang lahad.

Setelah tamat mengendalikan program Young Khalifah jam 6.00 petang 9 Disember 2011, malam itu juga jam 11.00 malam saya bertolak ke Bendang Man Kedah untuk mengikuti kursus Mikro- Fotografi.

Pada saya ia sangat bagus kerana kita akan mengenali makhluk Allah yang halus yang berbagai-bagai rupanya.

IMG_8941

Antara manfaat yang kita akan dapat ialah, kita akan lebih menghormati kehidupan makhluk kecil ini ketika kita dapat melihat rupa mereka dan cuba mengikuti serba sedikit kehidupan mereka.

IMG_8945

Barang kali, inilah perasaan Nabi Sulaiman ketika menghormati golongan semut yang meminta semua warganya masuk ke lubang agar tidak dipijak oleh tentera Nabi Sulaiman. Mendengar perbualan mereka, Nabi Sulaiman memerintahkan agar tenteranya berhati-hati ketika melangkah agar tidak memijak semut yang ada.

IMG_8947

Melihat serangga kecil seperti ini, teringat saya surah an-Namli ayat 18- 19

18. Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut: Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tentaranya, sedangkan mereka tidak menyadari";

19. maka dia tersenyum dengan tertawa karena (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdo'a: "Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri ni'mat Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapakku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau ridhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh".

IMG_8950

Sesungguhnya, melihat alam kecil ini menjadikan kita lebih mengagumi Allah yang Maha Pencipta

IMG_8966

“Jumper” sang lincah yang agak susah untuk mengambil gambarnya

IMG_8974

Yang ini saja “test” ambil gambar subjek berlatar belakang awan

IMG_8968

Di dalam dewan kursus

IMG_8999

Alhamdulillah, satu lagi cabang ilmu Allah yang dapat diterokai

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

18 Muharram 14 Disember 2011 jam 8.30 pagi

Diari 342 – Young Khalifah Disember 2011

Apabila menyebut mengenai pihak berkuasa tempatan, biasanya tanggapan kita adalah cukai pintu atau saman parking. Ia memang sinonim dengan badan berkenaan.

Lain halnya dengan Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA) yang pada setiap cuti sekolah akan diadakan program untuk golongan remaja kerana golongan ini amat perlu di berikan perhatian.

Ini kali keempat saya membantu MBSA di dalam program Young Khalifah. Lebih menarik pada kali keempat ini, TV al-Hijrah minat untuk bekerja sama dan menjadi TV rasmi program ini. Ini kerana, konsep Young Khalifah ini bertepatan dengan konsep TV al-Hijrah.

IMG_8342

3 Disember 2011, saya dan wakil MBSA dijemput untuk ke program Assalamualaikum di TV al-Hirjah untuk membincangkan mengenai konsep dan perjalanan program ini.

IMG_8354

Menurut penerbit, konsep TV al-Hijrah adalah lebih kepada remaja dan sebab itu mereka meminati konsep Young Khalifah dan ingin bekerjasama bagi program 2o12

IMG_8469

5 Disember 2011, program bermula dengan 170 peserta, walaupun telah dihadkan sebanyak 150 orang, tetapi kadang-kala tidak sampai hati nak tolak ibu ayah yang merayu.

IMG_8487

Kali ini, Young Khalifah di buat di Perpustakaan Baru Shah Alam

IMG_8888

9 Disember, setelah 5 hari berkursus, diharapkan mereka dapat membentuk diri mereka menjadi insan yang berperanan sebagai khalifah di muka bumi ini.

IMG_8891

Konsep Young Khalifah kali ini ialah 65 peratus multimedia, jadi peserta akan dapat diajak mengembara bersama ke serata dunia dengan berkongsi visual.

IMG_8907

Semoga ia dapat dimanfaatkan lagi dimasa akan datang, insyaAllah..

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

18 Muharram 14 Disember 2011 jam 750 pagi

Monday, December 5, 2011

Diari 341 – “Coretan Dakwah Lapangan..”

Selama hampir 15 tahun berkecimpung di dalam dunia dakwah ini, berbagai pahit manis, cabaran dan halangan yang telah dilalui, lebih-lebih lagi saya meminati kaedah dakwah lapangan iaitu terus terjun ke tengah masyarakat dan bukan semata- mata masyarakat yang datang pada kita.

http://www.ustazamin.com/2011/07/diari-322-dakwah-lapangan-bersama-mbsa.html

Kalau memberi kuliah di program “Jom Heboh” orang akan duduk dan pergi. Ada yang duduk lima minit sahaja kemudian sambung jalan, ada yang jadikan galeri Kota Ilmu itu sebagai tempat rehat sekejap sebelum meneruskan perjalanan dan ada yang suami nak dengar tapi dicubit isteri sebab isteri nak jalan dan sebagainya. Pembaca boleh berkongsi dari artikel di bawah:-

http://www.ustazamin.com/2009/03/diari-35-di-sebalik-tabir.html

Kalau memberikan risalah nasihat ketika sambutan tahun baru, atau hari merdeka, ada yang ambil dengan menghargai, ada yang memaki, ada yang menjauhkan diri dan sebagainya.

http://www.ustazamin.com/2010/08/universiti-kehidupan-158-kena-tawadhuk.html

Kalau saya menyertai program-program lasak seperti Jelajah hutan Rain Forest, Scuba Diving, Skydiving dan sebagainya, ada yang mengucapkan terima kasih kerana sudi bergaul dengan mereka, ada yang minta untuk saya buat kuliah di tengah hutan, ada yang suka bertanya hukum hakam dan ada juga yang tak senang, takut kena membebel dari sang ustaz.

Tahun lepas (2010), saya terlibat memberikan “Sembang Santai” antara dua konsert rock iaitu Kumpulan Jinbara dan Lan Typewriter, dengan tidak kurang 3 ribu orang anak-anak muda dengan seluar jens yang koyak dan berantai sana sini, ada yang khusyuk mendengar sambil mengambil gambar melalui telifon, ada yang mencebek bibir ada yang muka minat dan ada yang muka boring.

http://www.ustazamin.com/2010/12/dairi-270-konsert-dan-sembang-santai.html

Saya pernah memberikan ceramah pada beribu orang dan pernah juga hanya beberapa orang sahaja yang ada.

Itu belum lagi AJK masjid salah memberi informasi kuliah, datang-datang rupanya jadual ustaz lain dan ada juga kuliah di jabatan kerajaan, yang menjemput tersalah ambil, sepatutnya saya kuliah ditingkat lima, tapi dibawa ke tingkat tiga, baru muqaddimah di tingkat tiga, tingkat lima telifon dan menyatakan sepatutnya saya di tingkat lima.

1 Disember 2011 jam 9.00 malam, saya dijemput untuk forum di program Selangor Ria di Stadium Melawati Shah Alam.

Selepas solat Isyak di rumah, saya bergegas ke tapak program dan kebetulan malam ini hujan agak lebat. Saya sampai jam 8.45 malam, bersama saya anak-anak yatim al-Ijabah dan juga pelajar tahfiz saya. Kami semua dua buah van.

Ketika parking kereta, saya melihat ke arah tapak program, tidak ada orang, yang ada hanyalah AJK yang menjemput saya, jumlah mereka semua lima orang.

Dari kejauhan, saya melihat seorang lagi ahli panel menghampiri tapak program sambil sekali sekala menjinjitkan kakinya mengelak lopak-lopak air yang membasahi jalan di tapak program itu.

Pengajur mendapatkan saya. Saya hanya tersenyum tanpa mengulas apa-apa, dari riak mukanya, dia agak malu dengan saya.

Rupanya, program malam ini tidak diatur dengan baik hingga pengumuman mengenainya tidak dibuat. Hasilnya tidak ada orang yang tahu, bagi pengunjung seolah-olah malam ini tidak ada apa-apa program.

“Tak apa syeikh, biasalah..” kata saya.

“Dapat pahala datang, jom kita pergi makan jom..” kata saya pada penganjur dan ahli rombongan saya.

Malam ni, kami dapat juga makan durian dari sini, tambah lagi satu pengalaman, forum yang tiada penonton.

Sesungguhnya, inila rencam-rencam dakwah yang dilalui, semoga ia terus disemarakkan oleh pencinta Allah dan Rasul dengan tanpa jemu dan putus asa, amin..

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

9 Muharram 1433/ 5 Disember 2011 jam 11.00  malam

IMG_8285

IMG_8294

Kenangan di tapak Forum..

Saturday, December 3, 2011

Universiti Kehidupan 214 – Samun Di Seksyen 9 Shah Alam, Apakah Semuanya Kebetulan..?

29 November 2011 jam 11.45 pagi, saya baru sahaja selesai program di Yayasan Restu Shah Alam. Kala itu saya berada di pejabat saya di tingkat satu, memerhatikan beberapa surat-surat yang sampai mengenai Yayasan al-Ijabah.

Tiba-tiba, saya terdengar suara perempuan memekik meminta tolong..

Saya menjengahkan kepala pada tingkap. Segera saya turun bersama staf lelaki saya, Fendi.

Sampai di bawah, saya melihat beberapa perempuan sedang menangis, sebuah motosikal tumbang dan beberapa beg berselerakan.

Dua orang berpakaian biasa sedang mengacukan pistol pada seorang lelaki.

“Apa hal  ni?” tanya saya pada polis ini…

15 minit sebelum kejadian….

Dua orang berkepala botak menunggang motosikal dengan keadaan mereka mencurigakan.

Dua orang polis berpakaian biasa sedang membasuh motor mereka di satu sudut.

Melihat si botak melintasi mereka, polis ini saja-saja memeriksa nombor motosikal ini dan mendapati ia adalah nombor palsu.

Dua polis ini kemudian terus mengekori si botak.

Di satu sudut, si botak tidak kelihatan, meninggalkan motosikalnya di tempat meletak kereta dan mereka berdua sedang mengacukan parang pada pemilik pusat kecantikan yang terletak di tingkat atas.

Barang kemas, duit dan komputer riba telah berada di bahu mereka. Dengan tenang, dia turun dan tidak tahu bahawa dua orang polis sedang berada di bawah menunggu.

Dua orang polis yang berada di bawah pula tidak tahu bahawa dua si botak ini sedang menyamun dan bersama mereka, terdapat parang yang telah disembunyikan di dalam seluarnya.

Sampai di anak tangga terakhir di bawah, pemilik pusat kecantikan menjerit meminta tolong.

Dua Polis di bawah menyapa si botak..

“Kenapa?”

dan tiba-tiba si botak menghayunkan parangnya ke arah dua polis yang disangka orang awam ini..

Dua polis terus mengeluarkan pistolnya, seorang berjaya direbahkan dan seorang lagi berjaya melarikan diri.

Pagi ini, seorang penyamun telah berjaya di tangkap oleh Polis..

Saya memerhatikan kejadian ini..

Adakah peristiwa ini berlaku secara kebetulan..?

Adakah kebetulan si botak melalui lorong bangunan tempat polis ini membasuh motornya?

Adakah kebetulan polis melihat si botak?

Adakah kebetulan polis tergerak mahu memeriksa nombor motor itu?

Dua soalan yang bermain di fikiran saya….

Adakah semua ini kebetulan? Dan saya meyakini bahawa tidak ada kebetulan dalam hidup, semuanya takdir yang ditentukan ilahi..

Yang kedua, apakah amalan kakak ini hingga menyebabkan kebetulan polis terlihat si botak dan kebetulan dia mengikuti si botak hingga akhirnya dapat menangkap si botak?

Saya berbisik sendirian, kakak ini walaupun tidak bertudung, walaupun nampak seperti auratnya tidak di jaga, tetapi ada amalan dia yang Allah sayang hingga musibah berlaku terus pertolongan sampai. Sebab itu jangan mudah pandang hina pada orang di sekeliling kita, sapa tahu, di sisi Allah, dia jauh lebih  mulia dari kita..

 

“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

7 Muharram 1433/ 3 Disember 2011 jam 11.15  malam

IMG_8037

Motor dengan nombor palsu

IMG_8038

Orang ramai berkumpul melihat kejadian..

IMG_8044

Si botak yang berjaya di tangkap polis..

IMG_8046

Anggota yang sampai untuk tindakan selanjutnya..

Bicara Ilmu 41 – IKIM “ 10 Sebab Isteri Derhaka..”

Apabila sebut mengenai isteri derhaka, tidak semua sebab terjadi demikian dari isteri. Tetapi ramai yang terus menyalahkan isteri dengan kesalahan 100% peratus diletakkan padanya.

Isnin 21 November dan 28 November 2011 jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi. Saya bersama DJ Fairuz membincangkan mengenai tajuk ini di dalam segmen SURI.

Ingin saya kongsikan secara ringkas mengenai isi perbincangan pada kesempatan ini.

10 Sebab isteri derhaka:-

1. Tidak berusaha untuk  iman. Di dalam al-Quran Allah menyatakan bahawa hatta ada isteri para Nabi juga ada yang tidak berusaha ke arah iman dan akhirnya menjadi derhaka bukan sahaja pada suaminya, bahkan pada Allah.

Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang saleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat [1488] kepada suaminya (masing-masing), maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): "Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)". [1488] Maksudnya: nabi-nabi sekalipun tidak dapat membela isteri-isterinya atas azab Allah apabila mereka menentang agama (Surah at-Tahrim ayat 10)

 

2. Jahil.

Ada isteri yang derhaka kerana tidak tahu sifat dan sikapnya itu adalah menderhaka pada suaminya.

3. Keras Hati

Ada jenis yang memang keras hati dan tidak mahu mentaati suami dan perintah Allah.

4.Takabbur

Kebanyakkan perkara keempat ini berlaku jika isteri lebih berkedudukan dari suami. Dia mudah memandang rendah suaminya.

Di celah-celah perbahasan ini, kami mengambil soalan dari pendengar.

Haji Hayyi dari Kelantan

Bagaimana ingin menjadikan anak-anak sekarang ada perasaan respect pada mak ayah

Haji Yaakub

Macam mana nak wujudkan rasa hormat menghormati jika isteri suka buat sesuatu tak bagitau suami?

Suami selalu makan hati.

Puan Aida Amir

Saya lebih ela bangun qaimullail dari melayan suami, macam mana ustaz?

 

Perbahasan kami di sambung lagi…

 

5.  Tiada Sifat Qanaah, akhirnya wujud membanding

6. Kurang tarbiah. Tidak semestinya orang kelulusan agama, dia mampu nak amalkan. Untuk mengamalkan sesuatu perlukan tarbiah.

7. Wujud penasihat-penasihat yang jahat

8. Suami yang jahil

Ada isteri yang derhaka kerana suami yang jahil, bukan sahaja  tidak dapat mendidik isteri malahan menggalakkan isteri berbuat maksiat

9.Suami yang dayyus

Ada suami yang terlalu takut pada isteri hingga isteri berbuat maksiat takut untuk ditegurnya.

10. Suami yang zalim

kadang kala, suami yang menzalimi isteri menjadikan isteri melawan kembali suami.

Inilah 10 sebab kenapa isteri derhaka.

“Ilmu Pelita Hidup”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

7 Muharram 1433/ 3 Disember 2011 jam 10.30 malam

IMG_8035 

Bersama DJ Fairuz

Monday, November 28, 2011

Universiti Kehidupan 213 – Pelajaran Dari Terjun Payung

“Ustaz, ada rasa takut tak?” tanya Capt Sidek, juruterbang MAS yang dulunya berkhidmat dengan TUDM.

“Sebagai manusia, memang ada juga, tapi kita boleh cari kekuatan untuk itu” kata saya.

“Kalau ustaz ada rasa takut maknanya ustaz orang normal sebab orang yang tak ada rasa takut hanya orang gila dan orang bodoh sahaja” terangnya pada saya sambil tergelak kecil.

Saya adalah kumpulan kedua yang akan terjun. Bersama saya yang akan terjun adalah penerbit program Usrah TV9, Rozimalini, InsyaAllah, program ini akan kita kongsikan di dalam “Usrah” awal tahun depan nanti.

Saya sudah siap memakai pakaian khas. Kainnya agak tebal, di bahagian lutut dan lengan lebih tebal, mungkin sebagai pertahanan pada kedua sendi ini ketika turun ke bumi.

“Ok ustaz, Rozi, sedia naik kapal” kata En.Idrus, jurulatih saya.

Saya melihat wajah penerbit saya, mulutnya berkumat kamit membaca selawat, wajahnya agak pucat, tapi saya tabik semangatnya, dia nak juga terjun dan akan mengambilkan gambar saya ketika di atas kapal untuk dikongsikan bersama penonton rancangan usrah nanti.

Bagi diri saya pula, saya cuba membayangkan saat saya keluar dari kapal terbang, saat bergayut di ketinggian lebih 3000 kaki, atau dua kali KLCC. Macam mana rasanya ketika mahu melepaskan tangan dari kepak kapal terbang.

Capt. Azim mula memecut kapal Cessna 172, kerusi dalam kapal terbang telah dikosongkan, hanya untuk Pilot sahaja. Pintu sebelah kanan pula telah ditanggalkan untuk memudahkan penerjun keluar.

Saya melihat altimeter yang dipasangkan di dada saya, alat untuk mengukur ketinggian. Sedikit demi sedikit jarum meter itu naik

1000 kaki….

1500 kaki….

2000 kaki…

2500 kaki…

3000 kaki…

3300 kaki…

Saya melihat ke bawah, semuanya kecil, semuanya nampak halus.

En. Idrus mengeluarkan tangannya, kemudian cepat-cepat memasukkannya kembali.

“Alamak, hujan pulak….” Katanya.

Saya cuba merasa hujan dari ketinggian 3000 kaki dengan kapal terbang yang sedang bergerak laju. Memang tajam, macam kena cucuk jarum. Capt. Azim membelok ke kiri, lari dari hujan renyai-renyai tersebut.

“Ok ustaz..ready..” jerit En. Idrus…

Capt. Azim memperlahankan sedikit kapal..

Saya mengeluarkan kaki kiri saya, kaki kanan saya letakkan ke di tayar, tangan saya memegang erat palang pada kepak kapal terbang….

Saat-saat akhir ini saya cuba mengimbau kembali pelajaran yang dipelajari..

“Ingat, jangan lepaskan tangan dulu, nanti kamu akan terpusing, lepaskan kaki dulu..” pesan En. Idrus ketika kursus.

Teringat juga seloroh Lt. Kol. Kamaruddin ketika kursus..

“Kalau dalam tentera, sebelum terjun kami semua akan menyanyi ramai-ramai.. kalau payung tak kembang, berikan isteri pada kawan…”

“Go ustaz…” tiba-tiba En. Idrus memekik.

“Ok..” jerit saya kembali sambil berkata dalam hati..

Lepaskan kaki dulu,, lepaskan kaki dulu..

“Go ustaz..” kata En. Idrus lagi, rupanya saya telah melepaskan kaki tetapi tangan saya masih erat memegang besi pada kepak kapal, saya tergantung seperti Superman,

Saya melihat ke bawah, semuanya nampak kecil, muka saya hampir dengan tayar..

“Go ustaz..” kata En. Idrus lagi..

“Ok..” buat kali ketiga saya mengatakan ok..”

Saya memejamkan mata, hati saya berkata…

“Ya Allah, hanya padamu hambamu ini berserah…”

Saya melepaskan tangan saya, menggelongsor keluar, badan saya terpusing-pusing, saya tidak tahu saya berada di arah mana…

Hati saya tidak putus-putus menyebut nama Allah, kadang kala ternampak bumi, kadang kala ternampak langit.

Dalam lebih kurang 7 saat terjatuh, badan saya terasa diangkat..

Saya melihat ke atas… Alhamdulillah.. payung saya telah terbuka…

hati saya sayu, “Terima Kasih Allah…”

saya sangat- sangat bersyukur pada Allah, teringat firman Allah di dalam surah Muluk ayat 19….

Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu

Ya.., Allahlah yang mengembangkan payung ini dengan makluknya bernama angin, jika udara kosong tanpa angin di langit, maka payung tidak akan kembang.

Suasana sangat sunyi di atas ketinggian lebih 2500 kaki ini. Saya menarik nafas panjang. Mula mengambil “Toggles” (macam stering bagi kereta) saya mengawal payung ke kanan dan ke kiri mencari anak panah, tempat saya kena mendarat.

Memang, secara peribadi, sukan ini sangat bagus untuk melatih hubungan kita dengan Allah. Ia juga sangat bagus untuk melatih kita mengawal emosi takut kita kerana dalam diri manusia ada tiga emosi yang kalau kita matang di dalam mengendalikannya, maka separuh ketenangan telah Allah berikan pada kita. Ia adalah perasaan marah, takut dan sedih. Sebab itu banyak dalam al-Quran Allah menyatakan orang beriman, tidak dia merasa takut dan bersedih.

Saya melihat altimeter, saya semakin hampir dengan bumi, lagi 500 kaki…

Saya sudah mula menghampiri tempat pendaratan…

Ok 10 kaki.. saya menarik habis “toggles” sebagai brek pada payung.

Kaki saya mula menjejaki rumput di lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Subang ini. Teringat kata jurulatih saya, tak ramai orang berpeluang untuk berada di tengah-tengah landasan kapal terbang ini kerana ia kawasan larangan bagi orang awam.

Jurulatih yang berada di bawah bersama krew TV9 berlari mendapatkan saya, merakamkan perasaan saya ketika mendarat.

Mereka semua memeluk saya tanda syukur, saya mengangkat tangan sekali lagi mengucapkan syukur pada Allah..

Saya memandangkan ke langit, melihat Penerbit Usrah juga sudah menghampiri bumi, semua kami mendapatkannya..

Alhamdulillah, beliau juga selamat mendarat….

Semua jurulatih gembira kerana kumpulan sebelum kami turun tidak pada tempatnya, dan seorang dari mereka telah mengalami kecederaan, kalau kurang ambil perhatian pada semua pelajaran yang diajar, memang boleh mengalami kecederaan dan jika cedera, orang ramai akan takut pada sukan ini, kebetulan pula kami terjun di hadapan ribuan pengunjung pameran kapal terbang sempena 100 tahun DCA (Jabatan Penerbangan Awam Malaysia), jadi kalau cedera ramai yang akan takut nanti.

Saya mengambil payung, meletakkannya ke dalam beg yang khas. Meneguk sebotol kecil air mineral, saya menulis ke dalam buku log terjun payung..

Jump. No (1)

Date : 26 Nov 2011

Place : Sky Park Subang

Aircraft : C-172

Equipment : Static Line

Altitude : 3000 ft

En. Idrus menandatangani bukulog saya.. “Idrus.. Parajump Instructur”

Sambil memandang saya En. Idrus berkata..

“Jom ustaz, kita terjun pulak dari 10 000 kaki..”

Jom, boleh aja… kata saya sambil saya memandang penerbit saya pula, amacam..?

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

2 Muharram 1433/ 28 November 2011 jam 8.15 pagi

IMG_7762

Bersama isteri, anak, anak angat dan anak yatim saya.

IMG_7773

Bersama saudara saya Darul Ukhwah

IMG_7813

mengingati kembali latihan sebelum terjun

IMG_7818

Bersiap sedia untuk terjun

IMG_7792

Sebenarnya, boleh saya namakan terjun ini sebagai “jump for dakwah” kerana saya dapat bergaul dengan berbagai golongan di dalam sukan ini.

IMG_7807

Paling kurang yang Islam dapat sama-sama saya ajak untuk solat dan berdoa, yang bukan Islam dapat melihat bagaimana adab hamba pada Penciptanya

IMG_7897

Pesanan terakhir dari Jurulatih saya, En. Idrus

IMG_7899

Siap sedia untuk terjun

319250_313420665351966_100000521060856_1223829_287230102_n

Pada ketinggian lebih 3000 kaki, semuanya nampak kecil

IMG_7917

Jurulatih di bawah dan krew TV9

IMG_7918

Dalam 7 saat, payung mula berkembang..

IMG_7924

Sunyi sekali di atas ini, hanya kita dan Allah sahaja..

IMG_7925

Sukan ini selamat jika kita mengikuti segala peraturannya dan ia sangat bagus sebagai latihan jiwa kepada kita untuk merasakan pergantungan Allah

IMG_7932

Menghampiri bumi

IMG_7933

Alhamdulillah, terima kasih Allah….

IMG_7935

Krew TV 9 menghampiri saya

IMG_7941

Jurulatih gembira dengan kejayaan mendarat dengan selamat

IMG_7947

Penerbit Usrah TV9

IMG_7967

Kembali bertemu ahli keluarga

IMG_8002

Bersama jurulatih saya, En. Idrus..

Saturday, November 26, 2011

Diari 340 – Terjun Payung

25 November 2011…

Kapten Hasan memberikan panduan pada saya untuk sampai ke tampat latihan payung terjun.

Saya sampai di tempat latihannya di Setiawangsa jam 6.30 petang. Mendengar sedikit taklimat, jam 7.00 petang saya ke surau berhampiran untuk solat Maghrib.

“Apa yang penting persediaan mental dan persediaan peralatan dengan betul, dari sudut persediaan, setiap terjunan adalah terjunan pertama” kata Kolonel (B) Kamaruldin.

“Tak gayat ke terjun ni?” tanya salah seorang peserta.

Menurut Kolonel (B) Kamaruldin, di ketinggian 3000 kaki, kita tidak akan gayat kerana kita akan nampak semua benda sama kecil.

Apa pun, itu hanya pandangan beliau.

Saya mengikuti latihan terjunan payung ini, dan secara jujurnya, banyak falsafah hidup yang dapat dipelajari, dari sudut agama pula, konsep tawakkal dan pergantungan pada Allah adalah yang paling tinggi di dalam sukan ini.

Ia tidak berbahaya jika kita mengikuti segala peraturan dan panduan.

“Sebab tu saya suka orang yang takut nak terjun kerana dia akan bersungguh-sungguh belajar ciri-ciri keselamatan, saya tak suka orang terlalu berani, kerana nanti dia ambil ringan ketika kursus ini” kata Kapten Hasan yang mengendalikan slot kedua kursus ini.

Apa pun, esok, 26 November 2011, jam 10 pagi,  saya akan terjun sempena dengan sambutan “100 Years Of Aviation” di Terminal Tiga Lapangan Terbang Subang.

Banyak program lain yang juga dianjurkan di sini sempena dengan sambutan ini.

InsyaAllah, nanti kita akan kongsikan lagi pengajaran yang dapat kita ambil dari sukan terjun payung ini.

Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

26 November 2011 jam 1.40 pagi

IMG_7680

Taklimat mengenai sukan ini

IMG_7688

mencuba pakaian terjun payung

 IMG_7689

Sesungguhnya, banyak falsafah hidup di dalam sukan ini

IMG_7693

InsyaAllah kita akan kongsikannya di dalam program Usrah TV9

IMG_7711

“Kalau kita jaga barang kita, barang kita akan jaga kita balik” kata Kapten Hasan di dalam taklimatnya..

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...