Monday, August 24, 2009

Bicara Ilmu 6 – Kuliah Ramadhan 3 – Bagaimana Nabi Berpuasa?

Kuliah Ramadhan ketiga ini, kita akan kongsikan melalui ceramah yang saya berikan di Surau Taman Desaria Sunway.

Saya dijemput untuk memberi kuliah Ramadhan setelah solat isyak pada malam 3 Ramadhan bersamaan dengan 23 Ogos 09. Kuliah diberikan dalam 20 minit. Kemudian, jemaah bersama-sama menunaikan solat Tarawikh sebanyak 8 rakaat dan tiga witir.

Surau kali ini dipenuhi dengan jemaah hingga melimpah ke ruang koridor luar. Alhamdulillah, ramai yang faham akan kelebihan Ramadhan ini.

Setelah habis kuliah, kami dijemput untuk makan more. Saya terpandang di satu papan putih.

“ (1) sila serahkan sumbangan Ramadhan (wang tunai) kepada AJK surau

(2) sumbangan gula sangat dialu-alukan

Selamat Menyambut Ramadhan”

Ketika jamuan, saya bergurau dengan beberapa AJK yang ada,

“wah.. isu gula ni, sampai aktiviti surau pun terjejas juga”

“aah ustaz, kami nak beli, boleh dua kilo aje, kena pergi berempat ustaz” kata salah seorang AJK surau.

Itulah jadinya jika ada orang yang mengawal dan menyimpan barang makanan. Di dalam Islam ia dipanggil “Ihtiqar”, dan ihtiqar hukumnya haram.

Kita balik pada kuliah Ramadhan kita. Hari ini, kita akan bincangkan mengenai, bagaimana cara Nabi berpuasa. Kita nak ikut cara Nabi berpuasa supaya kelebihan taqwa yang Allah beri pada puasa, diberikan pada kita. Sesungguhnya, Nabi berpuasa dengan menjaga lima perkara:-

1. Dengan menunaikan juga perkara wajib yang lain.
Ramai orang berpuasa, tapi sembahyang tak jaga, lepas sahur tidur balik, banguh pukul 8 pagi baru solat. Ada yang tidur, dari pukul 10 pagi, sampai pukul 6 petang, baru bangun. Zohor ke mana, asar pun lambat.

Jadi, Nabi berpuasa dengan menjaga perkara wajib yang lain. Wajib itu banyak kategori.

i. Perkara wajib dalam diri
sembahyang, menuntut ilmu, zakat,

ii. Perkara wajib dalam keluarga
Nafkah, menjaga keluarga, mendidik keluarga

iii. Perkara wajib pada masyarakat
Menjaga keamanan masyarakat

2. Menjaga diri dari yang haram
Nabi berpuasa dengan menjaga perkara yang diharamkan seperti berdusta, mengumpat, sumpah palsu, memandang dengan syahwat. Jika seorang isteri menjadi derhaka, jika seorang anak menjadi anak yang derhaka, jika suami menjadi suami tidak menunaikan tanggungjawab.

Kepentingan menjaga perkara haram ini hingga Nabi pernah berkata bahawa, ramai orang yang berpuasa tidak ada apa bagi puasanya melainkan lapar dan dahaga sahaja.

3. Membanyakkan yang sunat
Banyak benda sunat yang disuruh kita buat seperti bersahur memperbanyakkan sembahyang sunat memperbanyakkan membaca quran, menghadiri majlis Ilmu, bersegera berbuka ketika telah masuk waktu, solat tarawikh, solat malam dan lain-lain lagi.

4. Menghindarkan yang makruh
Perkara makruh seperti bercakap yang sia-sia, mendengar perkara yang sia-sia, memberus gigi setelah waktu zohor dan sebagainya

5. Memikirkan kebesaran Allah
Nabi berpuasa dengan banyak mengingati Allah. Baginda akan selalu bertafakkur, membaca Quran, melihat kebesaran Allah, berzikir dan sebagainya.

Dengan banyak mengingati Allah, maka hati ini akan terus dibimbing oleh Allah swt.

Inilah lima perkara, bagaimana Nabi berpuasa. Semoga dengan mencontohi Nabi berpuasa, kita akan lebih menjaga kualiti puasa kita. Semoga, ketaqwaan yang dikurniakan kepada orang yang berpuasa, diberikan kepada kita, dan semoga Allah terus memberikan kebaikan kepada kita di dunia mahupun di akhirat.

“Bicara Ilmu, Bicara Kecemerlangan”

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam
3 Ramadhan / 24 Ogos 09Jam 4.58 petang
krisis gula turut melanda surau
Yang penting solatnya, more nombor bawah dah..

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...