Thursday, April 30, 2009

Diari 56 - Jericho

29 April 09, Kami mula meninggalka Nazareth pada pukl 9.15 pagi menuju ke Jericho. Di dalam bahasa Arab ia disebut sebagai “Arihah”, bandar tertua di dunia yang ditemui. Ahli Arkeologi menggali bandar ini dan menemui runtuhan bangunan yang berumur 10 000 tahun.

Kami mengikut jalan” Road No. 90”, ia merupakan jalan terpanjang di sini bermula dari Lubnan di Utara hingga ke Mesir di Selatan. Ia sepanjang 620 KM.

Perjalanan kami ke Jericho akan melalui penempatana Israel dan juga Arab. Kami akan melalui jalan sepanjang 120 KM dari Nazareth.

Kami melalui gunung Tabur iaitu satu kawasan stratigik yang menjadi rebutan sejak dahulu lagi. Ketika di zaman Salahuddin, beliau membina kubunya di sini.

Kami melalui Mazra’ah. Inilah satu-satunya tempat penternakan Babi di Israel. Ia di makan oleh orang Kristian yang sudah tidak berpegang dengan agama mereka.

Kami melalui bandar Ufulah yang 100 % adalah orang Yahudi. Bandar hari ini kosong sebab orang Yahudi bercuti kerana menyambut hari kemerdekaan mereka iaitu pada 29 April.

Perjalanan melalui ladang gandum dan pokok zaitun. Teknik penanaman gandum disini, mereka tidak menanamnya sekali gus, ada satu tempat yang telah kering, ada yang baru nak tumbuh dan ada yang sedia untuk dituai. Jadi, bekalan gandum di sini, tidak akan putus.

Sewaktu berhenti minum, kami memerhatikan kawasan yang luas sejauh mata memandang. Saya bertanya kepada Nasir, pemandu kami, adakah di sini ada penangkutan awam. Nasir memberitahu bahawa laluan ini tidak ada pengangkutan awam. Ini kerana laluan ini banyak melalui kawasan Arab.

Pada ketika ini, kami mendengar ada dua kes di Israel demam Swine Fleu. Selesema yang berasal dari Mexico angkara babi, telah merebak hingga ke sini. Hari ini telah ada dua kes selsema ini di sini.

Kami meneruskan perjalanan. Kini kami sampai di Jalan “Jordan Valley”, di sebelah kiri kami, kami melihat pergunungan Jordan. Ia dipanggil sebagai “East Bank” (tebing timur), dan jalan yang kami lalui ini dinamakan “West Bank” (tebing barat).

Bermula jalan ini, ia sudah mula kontang. Ia tidak seperti jalan-jalan awal dari Nazareth. Kami semakin menghampiri Jericho satu bandar tanah rendah yang berada 300 meter dari paras laut.

Walaupun kontang, pemandangan di sini sangat cantik. Ia ibarat lukisan besar bukit-bukit dengan campuran warna coklat, putih, hitam dan kelabu. Ini belum termasuk calitan awan. Lekukan bukit yang berbagai dan lembah-lembah yang mempunyai mata air yang jernih.

Di lembah-lembah mereka menanam sayur-sayuran. Cerun-cerun kecil tumbuh pokok-pokok liar. Rumput liar bukit tumbuh memenuhi bukit batu ini.

Sepadan Israel-Jordan ini hanya dipisahkan dengan pagar besi, kawat dan pagar elektrik. Terdapat rumah-rumah Badui yang didirikan dengan batu-batu, ada telaga air. Mereka mengembala kambin. Sekali sekala terserempak dengan mereka bersama keldai dan biri-biri yang kelabu dan tidak putih bulunya. Mereka mempunyai masjid ringkas yang tiada menara, hanya tiang yang mempunyai corong-corong pembesar suara.

Kami melalui Ouja Valley. Ia jalan potong ke Jericho. Di lembah ini pula, mereka menternak ayam. Banyak reban-reban ayam yang di bina. Masuk sahaja ke sepadan Jericho, terdapat dua pemeriksaan. Mula-mula dari tentera Israel dan 2 km kemudian, dari tentera Palestin pula.

Pokok-pokok pisang menyambut kedatangan kami ke Jericho. Lembah di sini penuh dengan pokok pisang.

Tempat pertama yang kami singgah ialah istana Khalifah Hisyam bin Abdul Malik bin Marwan di Tal Mafjar. Beliau ialah khalifah kerajaan Umayyah. Sewaktu istana ini hampir siap, gempa bumi pada tahun 745 masihi telah meranapkan struktur bangunan ini. Ia kemudian ditinggalkan dan tak sempat diduduki oleh Khalifah.

Pukul 1, kami meningalkan bekas istana ini. Pada ketika ini, anak-anak kecil yang baru pulang dari sekolah mereka. Para guru duduk diteduhan menunggu untuk di jemput pulang.

Orang di sini agak gelap sikit, tidak seperti di Jerusalem atau di Nazareth. Ia akan-akan orang Afrika. Mungkin suasana panas bumi bawah paras laut ini menyebabkan mereka menjadi seperti ini atau memang keturunan mereka dari Arab yang agak gelap sikit.

Kami makan di tempat pancaran mata air Nabi Khidir. Walapun kawasan gurun, tapi pancaran mata air ini tidak pernah kering.

Tempat terakhir kami singgah adalah laut mati. Setahun lalu, saya pernah sampai di laut mati tetapi dari sebelah Jordan. Kali ini saya berpeluang melihat dari sebelah Israel pula. Tidak ada yang beza, sama masin, cuma di sini pemakaian orang di sini seperti Eropah. Yahudi yang terbuka sana sini.

Di satu sudut, terdapat kawasan berpagar. Saya bertanya Nasir, pemandu kami, kenapa ada kawasan mandi yang berpagar yang memisahkan dengan tempat biasa. Nasir memberi tahu bahawa, kawasan berpagar itu ialah tempat mandi Yahudi Ortodox. Mereka tidak dengan Yahudi lain. Mereka tidak mencampurkan antara lelaki dan perempuan melainkan dari keluarga mereka sahaja. Bagi yang perempuan, pakaian mereka lebih sopan dibanding Yahudi biasa.

Saya, Hj Otman, Abang Aziz dan Dato Yahya mandi di sini, manakala Helmi, Hji Esa dan Hj Jaafar hanya menunggu sahaja. Hj. Othman dan abang Aziz melumurkan lumpur laut mati ke bandan. Ia mempunyai banyak meneral.

Tidak lama selepas itu, kami bersiap untuk kembali ke Jerusalem. Perjalanannya mengambil hampir sejam. Ketika menghampiri border Jerusalem, kereta sesak di sana dan sini. Hari ini merupakan hari merdeka bagi Israel, jadi, ramai mereka keluar bercuti. Mereka kembali semula ke Jerusalem sebelum malam.

Kami ada beberapa hari lagi di sini. Kami akan habiskan baki yang ada di Jerusalem, belajar sejarah, bertemu dengan masyarakat, memahami cara mereka berfikir, membuat penggambaran dan membawa balik buku-buku yang tidak ada di negara kita. Semoga nanti dapat diterjemahkan dan memberi manfaat kepada kita semua insyaAllah.

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Bethleham
30 April 09, jam 8.30 pagi

Wednesday, April 29, 2009

Diari 55 - Galilee

28 April 09, Kami bermalam di Hotel Golden Crown di Nazreth. Nazareth terbahagi pada bandar lama dan bandar baru. Bandar lama majoritinya orang Islam. Bandar baru tempat penempatan Yahudi. Perjalanan kami hari ini ialah ke daerah Tiberias. Di dalamnya terdapat tempat bernama Buhairah al-Jalil (Sea of Galilee) iaitu perkampngan Nabi Isa a.s.

Coster kami bergerak meninggalkan hotel pada jam 9.15 pagi. Kami mula melalui jalan yang berliku untuk turun dari Nazareth. Di kanan kiri, penuh dengan apartment berwarna putih. Poko-pokok bunga menghiasi jalan. Kami melalui bandar Ka naa, sebuah bandar yang menjadi kepercayaan orang kristian bahawa Nabi Isa menunjukkan mukjizatnya iaitu menukarkan 6 jug air putih menjadi arak di waktu hari perkahwinan ibunya Maryam.

Bagi orang Kristian Protesten, mereka tidak menerima bahawa Isa a.s menukarkan air itu menjadi arak. Ini kerana arak merupakan minuman terlarang. Tetapi, baginda menukarkan menjadi jus anggur. Bagi kita orang Islam, mustahil para Nabi melakukan perkara terlarang dengan mukjizatnya.

Kami meninggalakan bandar Ka naa melalui kawasan pertanian yang subur. Di kanan kiri kami terdapat ladang-ladang pokok zaitun. Terdapat juga ladang gandum. Perjalanan dari Nazareth ke Galilee ialah 35 km.

Gailee sebuah tempat kawasan majoriti Yahudi. Terdapat juga Muslim, Kristian, Bahai dan Durzen. Dalam perjalanan ke Galilee ini, kami melihat bendera Israel dinaikkan separuh tiang. Saya bertanya pemandu kami, Nasir mengenainya.

Beliau menjawab, 29 April adalah hari Merdeka Israel. Jadi pada 27 dan 28 April mereka akan menaikkan bendera separuh tiang untuk mengingati tentera mereka yang terkorban di dalam pembinaan negara mereka.

Saya terlihat sebuah papan tanda di jalan yang menyatakan “Sea Leval”. Saya bertanya Nasir, pemandu kami mengenainya. Dia menyatakan bahawa Sea of Galilee 220 meter di bawah paras laut, separuh dari kedalaman laut mati iaitu 441 meter. Orang Israel sebutnya sebagai Kinnereth. Ia memberi maksud “Kinar Dawwod” iaitu “harp of David,” Ini kerana, Sea of Galilee jika dipandang dari udara seperti sebuah alat muzik.

Kami sampai di Sea of Galilee. Di sini tempat Nabi Isa a.s berdakwah, mengajak orang ke arah tauhid. Kami menaiki kapal merentasi Sea Of Galilee.Di sebalik tasik besar ini ialah bukit Golan, iaitu satu pergunungan yang diambil oleh Israel dari Syria pada peperangan 6 hari 1967.

Apa yang menarik pada Bukit Golan ini ialah kisah bagaimana Israel menyerapkan pengintipnya ke dalam negara Syria. Pengintip itu bernama Amin Thabit atau Elly Kohen. Selama 20 tahun Elly bersama tentera Syria hingga menjadi orang kepercayaan di dalamnya.Dia mencadangkan agar penempatan tentera Syria di Bukit Golan ditanam dengan pokok bernama Yukeliftes. Peranan Elly akhirnya dijejaki oleh perisik dari Mesir. Akhirnya dia dihukum gantung di Syria. Pada ketika Israel menjalankan operasi menawan Bukit Golan, mereka mudah menjejaki kawasan ketenteraan Syria kerana terdapatnya pokok Yukeliftes yang di tanam di setiap kawasan ketenteraan. Hanya 6 hari sahaja, seluruh Bukit Golan dapat ditawannya. Israel cuba untuk mendapatkan badan Elly kembali dari Syria.

Sea Of Galilee sebuah tasik besar yang mengalirkan airnya ke sungai Jordan. Airnya bersih dan menajdi sumber minuman di sini. Terdapat 27 jenis ikan di sini dan yang paling popular ialah ikan Talapia. Orang di sini pernah menemukan sebuah kapal yang berumur 2000 tahun di sungai ini. Ia kekal kerana disaluti oleh lumpur. Kapal ini ada dipamerkan di sini.

Sungai Jordan pula ialah tempat suci bagi orang Kristian. Airnya ibarat air zam-zam bagi mereka. Aliran air sungai Jordan ini akan berakhir di laut mati. Di kiri sungai Jordan ialah Tebing Timur iaitu wilayah di dalam negara Jordan. Sebelah kanannya pula Tebing Barat iaitu di kawasan jajahan Israel. Sea of Galilee dipagari dengan bukit bukau. Antara yang paling dekat ialah Gunung Arabil. Pada waktu tengah hari, kami bersembahyang di masjid Wadi Hammam, iaitu satu lembah di celah Gunung Ardabil yang banyak burung merpati. Terdapat kubur-kubur lama di bukit sekitar Wadi Hammam ini.

Waktu turun, kami melalui kampung Majdal, iaitu tempat lahir kawan Nabi Isa a.s Maryam Majdalina atau Merry Magdaline. Ada golongan kristian yang mulai menyatakan bahawa Isa hanya Nabi dengan keyakinan bahawa Maryam Magdalina adalah isternya. Kita boleh lihat golongan ini seperti di dalam cerita “Da Vinci Code”. Perkahwinan Isa hanyalah perkhabaran ahli Kitab. Di dalam Islam tidak dinyatakan kisah ini. Yang ada adalah Isa nanti akan diturunkan kembali ke dunia. Kemudian selepas itu baru baginda akan berkahwin.

Dalam perjalanan pulang ke Nazareth, kami melalui pegunungan Hittin iaitu tempat berlakunya peperangan besar antara Salahuddin al-Ayubi dengan tentera Salib pada 4 Julai 1187.

Tentera salib mula datang ke Jerusalem pada tahun 1099 dengan mengalahkan Kerajaan Fatimiyyah yang mengusai Palestin ini. Selepas itu, terdapat peperangan kecil hinggalah 4 Julai 1189 Salahuddin mengalahkan mereka dan semua tentera lari di kawasan laut seperti Akko, Askalan, Jaffa dan Atlit. Selepas mengalahkan mereka, barulah Salahuddin beralih ke Jerusalem dan menawan kota itu. Salahuddin menghadapi seorang pemimpin bernama Balian anak Godfrey keturunan raja yang menjadi petani dari Eblin. Peperangan di Jeruselam selepas kalahnya tentera salib di Hittin difilemkan melalui “Kingdom Of Hevan”. Tentera Salib yang berundur ke tepi pantai cuba beberapa kali menawan kembali Jerusalem tetapi tidak berjaya. Pada tahun 1299, Kerajaan Mamaluk mengundurkan mereka semua balik ke Eropah dan tidak lagi kembali ke sini.

InsyaAllah kita akan berkongsi lagi kisah di sini.

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Goleden Crown Nazareth
29 April 09, jam 8.30 pagi.

Tuesday, April 28, 2009

Diari 54 - Nazareth

27 April, pukul 9 pagi kami mulai meninggalkan hotel di Bethleham. Untuk keluar, kami perlu meninggalkan tembok besar yang mengepung. Hanya ada satu pintu sahaja. Pihak tentera Israel akan memeriksa kenderaan yang melalui gerbang ini. Terpulanglah pada mereka. Jika ingin membenarkan atau tidak. Pagi ini, saya melihat satu kereta yang ditahan dan disuruh patah ke jalan lain. Mereka tidak membenarkannya keluar.

Bethleham adalah kawasan Palestin sedangkan Juruselam adalah kawasan Israel. Kedua-dua kota ini dipisahkan dengan sebuah tembok besar. Ia ibarat penjara besar bagi penduduk Bethleham.

Coster kami ditahan. Pihak tentera menyuruh pemandu membuka tempat simpanan barang. Kemudian dia menyuruh salah seorang kami turun. Saya mewakili rombongan yang ada. Dia menyuruh saya membuka salah satu beg kami. Tidak ada apa barang yang mencurigakan. Kemudian dia menyuruh saya membuka sebuah kotak yang ada. Di dalamnya terdapat cerek elektrik. Dia kemudiannya membebel-bebel kepada pemandu conster di dalam bahasa hebrew. Dia menyuruh saya naik.

Tidak lama kemudian, Saleh, pemandu kami pun masuk. Saya bertanya, apa yang dibebelkan oleh askar penjaga tadi. Rupanya, sesiapa yang ingin masuk ke dalam Jurusalem tidak dibenarkan membawa barang elektrik. Saleh pun terlupa ingin mengingatkan kami. Cerek itu kami beli untuk kegunaan memasak air pada waktu malam.

“Tapi, tak apa, dah lepas,” kata Saleh dengan ketawa kecilnya.

Hari ini kami akan melawat perkampungan Nabi Isa di Nazareth. Di dalam bahasa Arabnya ialah Nasirah. Kami melalui kota Jurusalem dan mulai turun ke bawah. Kota Jurusalem dan Bithleham terletak di atas bukit. Ia setinggi 850 meter dari paras laut.

“Kita guna jalan no. satu,” kata Nasir, pemandu pelancong kami.

Jalan di sini, menggunakan kod nombor untuk sesuatu laluan. Ia lebih senang dari menggunakan nama yang kadang-kala tidak berkaitan. Untuk keluar dari bandar, kami melalui Ge’ula. Ia satu kawasan Yahudi Ortodox. Pada petang Jumaat dan seluruh hari Sabtu, jalan ini akan ditutup. Ini kerana hari sabtu bagi orang Yahudi adalah hari rehat mereka. Tidak dibenarkan tengok TV, merokok, memandu kenderaan dan lain-lain lagi. Jika ada sesiapa yang melalui Ge’ula pada petang Jumaat dan hari Sabtu, kereta mereka akan dibaling dengan telur, batu ataupun tomato.

Ge’ula kawasan Yahudi Ortodox. Di sini, bas memisahkan antara lelaki dengan perempuan. Hari sabtu tidak ada yang memandu kereta. Semuanya berjalan kaki. Walaupun begitu, orang di sini menguasai 70 hingga 80% perdagangan diamond di dunia. Kebanyakkan profesional diamond di dunia ada di sini. Mereka pakar di dalam potong dan polish permata ini.

Perjalanan kami ke Nazareth akan melalui Tel Aviv dan Yafa, dua bandar tepi laut yang saling bersebelahan. Yafa bandar berumur 4000 tahun sedangkan Tel Aviv bandar baru. Jaraknya dari Jurusalem 60 km. Setelah itu, dari Yafa kami akan ke Haifa sejauh 50 KM. Haifa pula bandar tepi laut dan pergunugan. Kemudian, dari Haifa, kami akan terus ke Nazareth. Ia perkampungan Nabi Isa a.s. Ia sejauh 35 km dari Haifa.

InsyaAllah,, kita akan kongsikan lagi perkara yang saya lalui.

“Diari, merakam sejarah mencatat kenangan”

Al-Fakir ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Golden Crown, Nazareth
27 April 09 jam 10.20 malam

Monday, April 27, 2009

Diari 53 - Coretan Gerbang al-Aqsa

Saya selalu tertanya-tanya bagaimana agaknya rupa Masjid al-Aqsa yang dilihat dengan mata kepala sendiri. Soalan ini juga yang saya yakin berlegar di minda ahli rombongan.

Al-Aqsa terletak di dalam kota Jurusalem. Kota ini mempunyai lapan pintu gerbang. Pada zaman dahulu, apabila disebut sebagai kota Jerusalem, ia memberi maksud kota yang berada di dalam tembok besarnya sahaja. Di luar tembok tidak ada rumah yang dibina.

Jumaat 24 April 09, Kami menghampiri gerbang Bab al-Asbat (Lion Gate) di sebut sebagai Lion Gate kerana terdapat ukiran singa di gerbang ini.

Lion Gate adalah satu pintu yang paling hampir dengan al-Aqsa. Ia berada di jalan Salahuddin al-Ayubi yang merupakan penempatan orang Islam. Di sebelah kiri gerbang ini terdapat satu kawasan perkuburan. Di sini, dimakamkan dua orang sahabat Nabi iaitu Saidina Ubadah bin Somit wafat (34 hijrah) dan Saidina Shaddad bin Aus (wafat 58 hijrah). Kami menziarahi kedua-dua sahabat besar Nabi ini yang sama berjuang membuka al-Aqsa.

Kami mula memasuki Lion Gate. Masuk sahaja, kami terus belok ke kiri. Dalam 100 meter terdapat 6 orang askar Israel yang menjaga pintu masuk al-Aqsa. Mereka akan memeriksa setiap orang yang ingin masuk ke al-Aqsa. Ramai juga orang yang tidak dibenarkan masuk terutamanya anak-anak muda. Jika mereka tidak dibenarkan masuk, mereka akan cuba masuk ke al-Aqsa melalui pintu lain.

Saya menjeling jam di tangan. Sekarang pukul 11.15. Sejam 45 minit lagi akan masuk waktu Jumaat. Kami pun menghampiri tentera pengawal yang siap dengan senjata. Dia bertanyakan sesuatu di dalam bahasa Arab kepada pemandu kami. Dia bertanyakan mengenai kami. Saya yang memahami perbualan mereka hanya diam buat-buat tak faham. Kemudian, dia berkata pada pemandu kami,

“hari ini aku nak susahkan mereka ini”.

Dengan muka yang serius dia menghampiri kami. Dia meminta kami menunjukkan pengenalan diri. Kemudian dia meminta senarai nama kami.

Nasir, pemandu kami berkata:-

“ada dalam bas dan bas kami telah pergi”.

Dengan tegas dia berkata, “semua tunggu di tepi dan kamu ambil senarai nama mereka”.

Kami semua terpaksa berundur dan duduk di tepi. Nasir bergegas menghubungi bas untuk datang balik.

Al-Aqsa telah dilaungkan dengan bacaan al-Quran. 10 minit kemudian, mula kedengaran imam memberikan bayan (syarahan) sebelum Jumaat. Dari muqaddimah lagi, imam ini telah menghentam yahudi. Suaranya serak basah dan lantang. Askar yang menjaga dipintu buat tak tahu aje. Agaknya dah biasa dengan kutukan.

Senarai nama telah ada. Kami sekali lagi menghampiri pintu al-Aqsa. Kali ini, tentera ini melarang kami membawa kamera. Hanya yang kecil sahaja yang dibenarkan.

“habis tu, mana nak letak kamera ni? Boleh tumpang di sini?” Saya bertanya pada Nasir dalam bahasa Arab.

Tentera tadi dengan tegas mengatakan, “letak balik dalam bas kamu.”

“His.. macam mana, kan bas tu dah patah balik” kata saya pada Nasir

Sedang kami berbincang, lalu seorang Palestin yang mempunyai kedai berhampiran dengan pintu al-Aqsa. Dia menghampiri kami dan memberi salam.

Dia yang mendengar perbualan kami menawarkan agar kami meletakkan barang-barang kami dikedainya. Setelah berbincang sedikit, kami semua setuju. Melihat kami kelam kabut, pihak tentera membenarkan kami membawa satu kamera sahaja ke dalam.


“Sekarang , boleh masuk?” Tanya saya.

Kali ini, kami disuruh pula membaca fatihah.

“Untuk apa?” Tanya saya.

“Untuk pastikan kamu semua Islam. Kalau tak Islam tak boleh masuk.” Tegasnya.

Kami semua membaca surah al-Fatihah. Kalau sebelum ini di Malaysia, orang yang menyemak bacaan Quran kita adalah guru Quran yang beragama Islam. Ketika ini, kami memperdengarkan fatihah kami pada orang yang bukan Islam dan dia memeriksanya adakah betul bacaan kami.

Alhamdulillah, akhirnya, kami dibenarkan masuk. Kami mula memasuki pintu al-Aqsa pada jam 11.45. Hampir setengah jam tertahan di pintu. Kalau datang lambat, maka sembahyang jumaat kat luarlah gayanya.

Kami berjalan di kawasan al-Aqsa sekarang. Masjid ini mempunyai taman yang luas. Ia seluas 15 hektar dan boleh memuatkan jemaah hingga 350 ribu orang dalam satu masa.

Taman al-Aqsa dipenuhi dengan pokok Zaitun. Bangunan pertama yang kami lalui ialah Kubah as-Sakhra atau Doom of the Rock. Masjid tempat Nabi bermikraj bertemu Allah.

Pada hari jumaat seperti hari ini, ia akan menjadi tempat solat bagi para muslimah. Kami menaiki tangga al-Sakhra. Di hadapan al-Sakhra kami melihat al-Aqsa. Saya menjadi sebak melihat kedua-dua masjid ini. Hari ini, Allah izinkan saya menatap dengan mata kepala saya sendiri kedua masjid ini. Kemudian, kami menuju ke al-Aqsa. Jarak as-Sakhra dan al-Aqsa lebih kurang 300 meter. Kami singgah bilik air. Ia berada di tepi as-Sakhra.

Pukul 12.25, kami melangkah masuk ke masjid yang menjadi kiblat pertama umat Islam ini. Saya dan yang lain mengagihkan al-Quran yang dibawa dari Malaysia. Ia diwaqafkan oleh Dato’ Yahya. Semua Arab itu membelek-belek al-Quran yang kami bawa. Mereka tertarik dengan zukhruf (bunga) yang ada padanya.

Pada pukul 12.39, Azan mula dilaungkan. Kalimah Tauhid ini bergema di dalam dan di luar masjid. Oleh kerana al-Aqsa terletak di antara kawasan tertinggi di Juruselam, maka kumandangnya menerobos ke seluruh Juruselam. Semua orang mendengar laungan ini, semua orang faham maksud laungan ini. Semoga semua orang akan mula berusaha memenuhi kehendak laungan ini.

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”
Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Bethleham
27 April 09, jam 1.45 pagi

Kawasan perkuburan yang terdapat dua makam sahabat di pintu masuk ke al-Aqsa
Pintu al-Asbat atau Lion Gate. Terdapat ukiran singa dipintu ini
Pintu masuk dan keluar ke al-Aqsa. Di kawal oleh askar Yahudi
Pokok yang terdapat dikawasan al-Aqsa
Santai jemaah

anak-anak bermain bola di dalam kawasan al-Aqsa

Solat di kawasan al-Aqsa

Masjid al-Aqsa

Di hadapan pintu al-Aqsa
Gelagat jemaah

Jemaah membelek al-Quran yang diwakafkan

Kubah al-Aqsa
Di kawsasan al-Aqsa, di mana-mana pun boleh beribadah

Bahagian bawah al-Aqsa
Di bahagian bawah as-Sakhra.

Diari 52 - Inilah Perjalanan Kami (3)

23 April 09, kami bertolak dari Amman ke sempadan Jordan-Israel di King Hussain Bridge. Semasa berbaris untuk pemeriksaan dokumen, saya dan Helmee telah ditahan.

Saya memerhati sekeliling. Rupanya bukan saya seorang yang kena. Ramai lagi yang kena.
Melihat mereka, saya nampak satu kesamaan. Mereka yang ditahan semua orang-orang muda. Pihak Israel akan memeriksa dengan teliti setiap orang muda yang ingin masuk ke Israel.

Pegawai Imigresen yang menyuruh kami duduk di belakang meninggalkan kaunter. Agak lama kaunter no empat itu kosang. Entah apa yang dibuatnya pada passport, kami pun tak tahu.

Pukul 12.05, saya melihat pegawai tadi masuk balik ke kaunternya. Hati saya lega.

“Haa, dah nak siap ni”

Saya menanti, tak juga dipanggil. Kami dibiarkan begitu sahaja. Pukul 12.30, saya melihat orang di sebelah saya minum.

“Oii, sedapnya kalau ada air.”

Saya melemparkan senyuman kepadanya, rasa kat hati macam nak mintak sikit aje. Kemudian saya teringat.

“Kalau ada minuman, tentulah ada kedai, takkan lah dia bawak dari rumah kot”

Saya bangun dari tempat duduk dan pergi ke arah pintu mula-mula kami masuk. Tepat tekaan saya. Ada sebuah kedai runcit kecil di situ. Saya menghampiri kedai tersebut. Kecil tapi semua ada. Siap ada tong gas dan kuali sekali. Rupanya, kedai yang menjual air ini juga menjual roti berisi telur.

Saya memintanya dua roti dan jus mangga botol. Dia mengambil roti, dipotongnya. Kemudian dia mencincang tomato dan mengambil telur. Telur itu dibasuhnya dulu. Memang di dalam Islam kita kena basuh dulu telur sebab jika tak basuh, takut najis dari dubur ayam itu akan terlarut sekali ketika kita memecahkan telur.

Wiring dalam kedai itu agak uzur. Kadang-kala lampunya padam. Tuan kedai yang sedang menggoreng telur berhenti sekejap dan memasang kembali suis besar lampu. Beginilah kedai orang Arab. Selagi tak terbakar semua selagi tulah dia akan biarkan. Saya bayar. Semua 4 USD, dua roti dan dua air jus mangga. Saya dan Helmi makan roti ini dengan selera sekali.

Jam menunjukkan pukul 12.50, masih tidak ada berita lagi mengenai keadaan kami. Saya melihat semakin ramai yang ditahan. Saya dan Helmee duduk dilantai, memberi laluan seorang ibu yang membawa dua anaknya. Seorang berumur sekitar dua tahun dan seorang lagi enam tahun. Anak yang berumur dua tahun itu tidur keletihan di dalam pelukan ibunya.

Anaknya yang berumur enam tahun seakan merengek pada sang ibu. Dia memegang duit syiling di tangannya. Helmee mencuit saya,

“Ustaz, anak dia tu nak air agaknya”

Saya terus bertanya pada si ibu,

“Law ayish maa, roh ma ie.. mafi musykilah (kalau nak air, jom dengan saya, tak ada masalah)”

Ibu ini terus berkata dengan si anak,

“roh ma’a ammu, roh.. (pergi sama pakcik, pergi..)

Anaknya terus bangun dan datang dekat saya, Helmee berbisik pada saya:-

“Ustaz, kalau dia janda, rela anak kahwin dengan dia ustaz, anak dia baik betul”

Saya pun memimpin anak ini dan bawakannya ke kedai tadi. Saya faham perasaannya. Saya pun memang haus menunggu sejak dari tadi.

Pukul 1.05 tegah hari, masih tiada jawapan lagi. Di kanan kiri saya orang semakin sesak. Ada yang mula marah-marah. Anak-anak kecil menangis. Semua orang keletihan menuggu. Tiba-tiba keluar seorang pegawai perempuan memegang sebemban passport. Kami melihat passport merah, dia melintas di hadapan kami.

“Memang sah passport kita, ok, dah nak panggil ni” saya berkata dekat Helmee.

“Relex lah ustaz, baru tiga jam, ana dulu lima jam,” kata Helmee bergurau

“Ustaz Wan Alias dulu (TV9) sampai hotel terus tidur, memang lepak ustaz, ini pun tak kena torture. Ustaz Wan dulu, macam-macam dia tanya” Helmee menambah.

Pukul 1.14, keluar seorang pegawai perempuan Yahudi. Agak gelap orangnya. Agaknya yahudi Africa. Dia menghampiri kami dan bertanya.

“Siapa ketua perjalanan ?”

Helmee mengangkat tangan.

“Group kamu semua lapan orang kan?”, dia bertanya dengan muka seolah-olah hendak menguji.

“Taklah, kami bertujuh.”, jelas Helmee.

“Ok, tunggu kejap,” dia berkata.

“Aik, tanya tu aje,” kata saya pada Helmee.

Orang semakin ramai. Jam menunjukkan pukul 1.35, seorang tua dari Jerman meminta saya mendudukkannya. Dia sudah tidak larat lagi.

1.40, seorang lelaki Jerman mengetuk pintu pegawai yang tertutup, keluar seorang lelaki. Dia marah-marah sebab lambat. Pegawai itu dengan selambanya mengarahkan dia duduk ditempatnya.

145, saya melihat, orang-orang Palestin yang tidak lepas untuk masuk. Mereka marah-marah. Sekalipun mereka ada di antara mereka yang memegang passport Israel.

1.50, keluar seorang pegawai awal 40an. Dia pegawai besar di kawasan ini. Askar yang menjaga sepadan semuanya muda-muda. Jika 40an itu memang dah tua dan pegawai besar dah tu.

2.05, keluar seorang pegawai perempuan memakai baju biru. Dia mengajukan beberapa soalan. Setelah berpuas hati, dia membawa kami ke kaunter imigresen. Saya dilepaskan, Helmee disuruh mengisi satu borang lagi.

Selepas selesai dari imigresen, kami melalu satu lagi pemeriksaan. Kali ini semua polis berpakaian t-shirt putih berkolar dengan seluar berwarna hitam.

Rupanya, ini yang menjaga bahagian beg. Saya melihat banyak beg-beg yang ditahan. Dia melihat tag bagasi saya. Dia membawa saya ke satu tempat dan bertanya:-

“Ada tak antara beg ini kamu punya?” Saya melihat puluhan beg yang ditahan.

“Tak ada, kata saya ringkas.” Saya dah tak larat dah. Hampir lima jam menunggu.

Selepas itu, saya di suruh duduk di satu tempat yang berasingan. Ramai juga orang yang kena duduk seperti saya. Tidak lama selepas itu, dia memanggil saya dan disuruh beratur di satu barisan lagi.

“Beratur lagi, bila nak keluar ni” bisik hati saya.

Setelah pemeriksaan ketiga pada passport, saya dah Helmee dibenarkan keluar. Saya megambil beg yang berada ditempat letak beg. Kami akan melalui satu lagi pemeriksaan.

Saya menolak troli beg di hadapan pegawai pemeriksa. Tidak disuruh untuk berhenti, saya terus berjalan. Sampai di luar, rombongan yang telah keluar semua sedang menunggu. Ibarat menunggu orang yang baru sampai dari kejauhan pula. Kami bersalaman dan berpelukan. Gembira sebab semuanya selamat.

“Oklah tu, empat jam lebih. Tak pecah rekod TV9 yang kena lima jam” kata Helmee

“Tak pelah, tak pecah rekod pun tak apa,” kata saya keletihan

Kami semua menuju ke coster yang sedang menunggu. Nasir, seorang warga Palestin akan menjadi juru pandu kami di sini.

“Assalamuaaikum, ok, hanya tujuh orang sahaja, tak susah nak kira,” Nasir bergurau.

Kami semua tersenyum . Syukur kerana semuanya selamat. Sedikit ujian itu biasalah, sebagai rencam kehidupan yang Allah sediakan. Semoga, perjalanan ini dibantu Allah. Tujuannya adalah untuk membuat dokumentasi filem dan tulisan mengenai Palestin. Sebelum ini ramai orang Malaysia kita yang datang dengan TV3, TV1 dan TV9. Masing-masing mengulas sejarah tempat ini. InsyaAllah, kita akan mengupas dari sudut yang lain. Dan kita akan berkongsi juga di dalam bentuk terbitan yang boleh dibaca. Semoga ia menjadi perkara yang bermanfaat untuk semua. Amin..

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Bethleham
26 April 09, jam 11.20 malam
Rombongan bergambar di Kubah Syakhra' atau Doom Of The Rock
Kesempatan ke sini, Dato' Yahya mewakafkan 60 biji al-Quran untuk al-Aqsa dan masjid sekitarnya. Yang menarik ialah quran yang diwaqafkan adalah cetakan Malaysia dari Yayasan Restu. Bezanya ialah zukhrufnya (bunga) sekitar Quran ini adalah zukhruf tempatan.
Dalam Masjid al-Aqsa
Berkarpet merah berdinding putih dihiasi dengan al-Quran. Ada 12 nama sahabat menghiasi dindingnya. Dua lagi nama cucuanda Rasullullah saw iaitu Hassan dan Hussin.
Di hadapan mihrab al-Aqsa
al-Aqsa adala satu kawasan taman seluas 15 hektar. Selain dari masjid, kita boleh sembahyang di sekitarnya.

Di kanan ialah al-Aqsa dan di kiri ialah kubah al-Sakhra', di tengah-tengah ialah wailing wall bagi orang Yahudi. Di bawahnya adalah lubang yang digali atas nama kajian. Mungkinkah sedang menuju ke al-Aqsa?
Masjid al-Aqsa. Masih ramai yang tidak mengenalinya. Ramai yang beranggapan bahawa Kubah as-Sakhra' itulah masjid al-Aqsa.

Sunday, April 26, 2009

Diari 51 -Inilah Perjalanan Kami (2)

23 April 09, kami bertolak dari Amman ke sempadan Jordan-Israel di King Hussain Bridge. Semua urusan berjalan dengan senang dan lancer. Helmee sejak tadi mengulangi perkataan :-

“ini senang banyak ni, saya dulu dengan TV9 kena tahan dekat depan tu le, sampai lima jam”

Kami mulai beratur dengan orang lain untuk pemeriksaan dokumen perjalanan. Jam menunjukkan pukul 10.15 pagi. Di kawasan imigresen ini terdapat banyak gambar-gambar al-Quds. Saya melihat orang-orang Palestin, ada yang memegang passport Palestin berwarna hitam, ada yang memegang passport Israel berwarna biru muda. Yang memegang passport Israel beratur dilorong VIP.

Pada pukul 10.25 pagi, tiba-tiba semua pegawai imigresen meninggalkan kaunter mereka. Tiba-tiba semua polis dan pegawai keselamatan datang dan berdiri di tepi kaunter. Semua kami di arah menjauhkan diri dari kaunter imigresen. Kami diarahkan untuk duduk di satu sudut. Semua tertanya-tanya.

Saya bertanya dengan orang Arab di sebelah saya. Dia mengangkat bibirnya menunjukkan dia juga tidak tahu apa yang berlaku. Saya memerhatikan gelagat orang-orang Arab di sini. Mereka semua ingin balik ke Negara mereka. Tetapi menurut perjanjian damai OSLO, mereka mesti melalui kawasan pemeriksaan yang dikawal oleh Israel.

Kami serombongan semua duduk berkumpul di satu sudut. Kemudian, tiba-tiba semua pegawai imigresen kembali ke kaunter mereka. Polis mula berundur dan kami kembali beratur. Ketika ini pukul 10.50

Kami mula mencari lorong untuk beratur. Di hadapan kami ada kaunter no. tiga dan empat. Hj Othman bertanya:-

“Ni nak beratur kaunter mana ni?”

Helmee melihat dan membandingkan antara dua kaunter,

“Ok, kita ke kaunter no empat, pegawai tu letak spec (cermin mata) atas kepala dia. Nampak sempoi sikit”

“Oo, Macam tu ka, kalau letak spec atas kepala kira sempoi la”, kata abang Aziz.

Yang lain semua terseyum mendengar teori Helmee.

Helmee selaku ketua rombongan orang yang paling di hadapan. Helmee dihujani dengan puluhan soalan.

“bila sampai, nak ke mana, ada tak kenal dengan mana-mana orang Palestin, ada tak jadual perjalanan dan sebagainya.

Nak Juruselam sahaja? Macam mana nak pergi? Ada nak ke mana-man lagi? Soalan itu dijawab tenang oleh Helmee.

Akhirnya, dia meminta Helmee menunjukkan tiket balik. Helmee mennjukkan e-tiket perjalanan Amman-Kuala Lumpur.

Kemudian, Helmee ditanya lagi, “adakah ini pertama kali kamu ke sini”

“Kali kedua,” jelas Helmee ringkas. Gadis Israel yang menjaga kaunter ini melihat komputernya dan menangguk-anggukkan kepalanya.

Semua penjaga kaunter di sini adalah perempuan. Yang lelaki semuanya menjadi pegawai keselamatan dengan senjata siap di tangan.

Sekali-sekala pegawai ini meletakkan tangannya ke hidung, seakan sedang memikirkan sesuatu.

Hj Jaafar berbisik pada saya, “apa dia tanya?”

Saya menjawab perlahan, “macam-macam, mudahan semua ok”

Hj. Esa mencelah, “patut pun tak ada orang beratur di belakang kita, sebab kita kena chek lama”

Hj Othaman berkata, “diaorang ni memang dilatih untuk bertanya. Soalan-soalan dia memerangkap dan berkaitan antara satu sama lain”

11.07 pagi, pegawai ini memberikan Helmee satu borang untuk diisi. Borang itu berisi tempat kosong menyatakan mana perjalanan terkahir sebelum ke sini dan juga mana tempat yang ingin pergi selepas ini.

Helmee disuruh menunggu di satu sudut di belakang. Selepas Helmee Dato’ Yahya. Pegawai itu betanya serba sedikit kemudian membenarkan Dato’ Yahya masuk. Selepas itu giliran Hj Othman. Juga ringkas. Kedua-duanya hanya berberapa minit sahaja.

Sekaran giliran saya pula. Dia melihat passport saya. Dari cermin mata yang diletakkan atas kepalanya saya ternampak komputer di hadapannya. Dia menulis sesuatu kemudian mengangkat telifon. Bercakap sesuatu di dalam bahasa Hebrew.

Saya masih menunggu. 10 minit telah berlalu. Pegawai itu bertanya saya beberapa soalan simple. Sekali sekala dia terbatuk.

Mukanya berkerut-kerut. Kemudian, saya melihat dia mengambil borang. Hati saya berbisik,

“Ah.. sudah, kena macam Helmee ni..”

Tekaan saya betul. Saya diarah untuk mengisi borang yang serupa dengan Helmee dan diarahkan untuk duduk di satu sudut di belakang.

Selepas saya giliran abang Aziz. Beberapa soalan diajukan dan dia melepaskan untuk masuk. Selepas itu giliran Hj Jaafar dan kemudian Hj Esa. Setelah mereka masuk, saya tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka. Semoga mereka selamat di dalam. Saya dan Helmee tidak tahu apa yang akan berlaku.

Mungkin sebab passport kami banyak cop Negara-negara lain. Kalau itu alasannya, saya rasa passport Dato’ Yahya lagi bayak kot.

Mmm, sebab apa ye? Hati saya berbisik.

Saya memerhati sekeliling. Rupanya bukan saya seorang yang kena. Ramai lagi orang-orang Palestin, India, hingga dari Negara Eropah yang kena. Ada yang dari Italy dan German.

Saya melihat muka-muka mereka. Semua berkerut tak puas hati terutamanya orang Palestin. Melihat mereka, saya nampak satu kesamaan. Mereka yang ditahan semua orang-orang muda. Pihak Israel akan memeriksa dengan teliti setiap orang muda yang ingin masuk ke Israel.

Saya terus menunggu. Entah berapa lama lagi saya tak tahu. Saya tak tahu perkhabaran yang telah lepas dan mereka juga tak tahu perkhabaran saya.

“ini baru di dunia, di akhirat pasti lebih rumit lagi” bisik hati saya.

Penantian satu penyeksaan, lebih-lebih lagi menanti perkara yang tidak pasti. Saya akui kebenaran kata-kata itu. InsyaAllah, kita akan menyambung pada bahagian tiga.


“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Bethleham26 April 09, jam 8.45 pagi

Diari 50 - Inilah Perjalanan Kami

23 April 09, kami bertolak dari Hotel Kempinski Amman Jordan, pada jam 8.25 pagi. Kami menuju ke sempadan Jordan-Israel melalui King Hussain Bridge.

Khamis M.S Areini pemandu yang membawa kami berpesan:-

“Ok, no picture here..”

Jam menunjukkan pukul 9.15pagi. Kami memasuki kawasan chek point tentera Jordan. Bas kami menghampiri tempat pemeriksaan. Semua beg mesti diturunkan untuk dimasukkan ke dalam mesin pengimbas.

Ada beberapa orang petugas ditugaskan untuk mengangkat beg dan memasukkan kembali ke dalam bas. Semua beg mula diturunkan. Saya memerhatikan petugas ini menjalankan kerjanya.

“Ya Allah, bi Sur’ah (cepat sikit), kata tentera Jordan

Beg kami mula diturunakan, satu persatu diimbas ke dalam mesin pengimbas. Ada dua beg sederhana besar yang belum diturunkan. Petugas tadi mula mengambilkan beg yang telah diimbas dan memasukkan kembali ke dalam bas. Ia terus menutup beg yang belum diimbas tadi.

“Eh, dua lagi tak bawa turun ke?” Bisik hati saya.

Tentera Jordan tadi buat-buat tak nampak. Saya menjeling kepadanya. Dia hanya senyum sahaja pada saya.

Ooh, ini macam ka.., bisik hati saya.

Ada dua sebab, sama ada dia malas nak periksa, atau percaya kita orang Islam tak akan bawa perkara pelek.

“Tapi, kedua-dua cara fikir ini tidak bagus. Ia melambangkan cara kerja mereka.” Bisik hati saya.

Apa pun, itulah hakikatnya sesetengah orang. Mereka hanya bekerja bersunggu-sungguh jika diperhatikan.

Kami mula naik kembali ke dalam bas. Bas mula melepasi sepadan Jordan. Kami sekarang berada di zon bebas antarabangsa. Jauhnya 4 KM. Lebih kurang 300 meter, saya mulai nampak bendera Israel. Inilah kali pertama saya melihat bendera ini dengan mata kepala saya. Sebelum di TV.

Bas mula meniti di Jembatan King Hussain. Saya membelek jam di tangan. Ia menunjukkan pukul 9.44 pagi. Habis sahaja jembatan, terus ada satu selekoh ke kanan dan tak sampai 100 meter, kami melalui sepadan Israel. Terus terang saya katakan, jantung saya berdegup pantas. Saya pun tak tahu kenapa. Mungkin terasa agak risau dengan keadaan sekeliling.

Pegawai keselamatan yang menjaga sepadan semuanya muda-muda belaka. Mereka memaki baju berwarna hijau dengan topi berwarna hijau tua. Di sarung pada pakaian ini ialah baju kalis peluru.

Di kanan kiri jalan ditanam pokok tamar. Saya melihat ia bukannya yang asal. Mungkin baru ditanam dalam beberapa tahun ini.

Satu chek point telah lepas. Kami melalui yang kedua. Pun senang, sahaja. Mereka tidak banyak tanya.

“Wah, ok le, dua tahun dulu waktu saya masuk dengan TV9 macam-macam dia tanya” kata Helmee.

Kami sampai di kawasan pemeriksaan ketiga. Kali ini, kami kena turun. Semua beg kena turun juga. Bas yang menghantar kami juga hanya sampai di sini. Kami perlu uruskan urusan kemasukkan bersendirian.

“Dulu saya dengan ustaz Wan Alias kena tahan 5 jam kat sini le..” kata Helmee.

“Ok,ok semua sedia ambil beg.” Kata Hj Othman.

Beg kami dikehendaki memasuki kawasan chek in seperti di air port. Kami hanya akan mengambilnya setelah selesai urusan kemasukkan.

“Macam kat Timur Laste,” kata Dato’Yahya.

“Waktu saya pergi kat sana dulu, memang kesian, macam negara kita 30 tahun dulu,” sambung Dato’ Yahya membandingkan kawasan pemeriksaan yang seakan daif.

Kami mulai masuk satu persatu. Kami melalui mesen “metal detector.”Begi sandang yang dibawa diletakkan ke bahagian kiri, kami melalui satu pintu sebelah kanan.

Semua barang-barang besi perlu ditanggalkan. Dari jam, pen, kamera, duit syiling, tali pingang dan sebagainya. Barang-barang besi ini bukanya dimasukkan mesin pengimbas, tetapi diperiksa secara manual. Dua orang pegawai ditugaskan memeriksa barang-barang ini.

Ketika Hj Othman melepasi pintu pengimbas, mesin detektor tetap menjerit berbunyi, padahal semua besi dan syiling telah dikeluarkan. Rupanya, dipoketnya terdapat boarding pass. Cip yang ada pada slip kecil, membuatkan mesin ini berbunyi.

Setelah selesai, kami memasuki lagi satu mesin. Saya tak tahu mesin apa, tetapi ada hembusan angin yang kuat dari atas kepada hingga ke kaki. Selepas itu, barulah kami beratur untuk pemeriksaan dokumen pula.

Setelah selesai dari mesin tu, saya ditahan. Pegawai perempuan yang menjaga tempat itu meminta passport saya. Mereka meminta saya duduk di satu sudut. Dato’ Yahya dan yang lain lepas dengan senang. Mereka semua tersenyum memerhatikan saya.

Pegawai itu kemudian berbincang sesuatu. Tidak lama selepas itu, dia mengembalikan passport itu kepada saya.

Giliran Helmee pula. Helmee juga kena tahan. Tetapi tidaklah terlalu lama.

“Hah, lega.”kata Helmee.

“Dulu saya dan rombongan TV9 kena torture kat tempat tadi la. Dia tanya macam-macam hingga lima jam” Helmee menceritakan kembali pengalamannya memasukki sepadan ke al-Quds pada tahun 2006 lepas.

“dah lepas ni, dah kira ok le, insyaAllah, senang le tu,” Helmee menayambung lagi.

Jam di tangan saya menunjukkan pukul 10.15. minit. Maknanya kami hanya mengabil masa lebih kurang setengah jam sahaja untuk untuk lepas beberapa pemeriksaan.

“Alamdulillah,” kami semua menarik nafas lega. Penuh yakin tidak ada apa-apa lagi selepas ini.

Kami mula beratur dengan orang lain yang ingin masuk ke Holy Land ini. Bahagian pertama selesai. InsyaAllah, kita akan cerita kisah bahagian kedua di kawasan Imigresen ini pula.

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Bethleham25 April 09, jam 10.25 malam

Saturday, April 25, 2009

Diari 49 - Perjalanan Tebing Barat

Biar saya ceritakan bagaimana saya boleh berada di al-Quds ini. Ia bermula dengan perkenalan saya dengan Nor Helmee Zainal Abidin, pengarah urusan dari Bil Hikmah Sdn Bhd (www.bilhikmah561.com).

Beliau merupakan bekas kakitangan TV 9. Beliau pernah menjadi pengarah program al-Risaalah pada tahun 2006. Beliau juga merupakan bekas penerbit program Mari Mengaji (TV9) dan Jemputan Umrah (Astro OASIS).

Ketika bersama Al-Risalah TV 9, beliau pernah datang ke al-Quds ini untuk membuat pengambaran bagi program al-Risalah pada bulan Ramadhan.

Pertama kali saya mengenali beliau adalah di Mekah pada Jun 08. Ketika itu, saya bersama program al-Hidayah TV3 dan beliau sedang mengarah dan menerbitkan program Jemputan Umrah Astro OASIS.

Pada ketika itu, kami mulai berbincang mengenai program al-Quds untuk TV. Lapan bulan setelah pertemuan di Mekah ini, akhirnya dengan izin Allah, kami bersama rombongan, menjejakkan kami di bumi suci ini.

Semuanya bermula dengan izin Allah apabila Helmee mengenali Dato’ Yahya Jalil yang memang minat di dalam bidang penulisan al-Quds ini.

Beliau berminat untuk memperbanyakkan kajian dan tulisan mengenai al-Quds. Ia perlu diterbitkan untuk tatapan anak-anak Melayu Islam kita.

Gabungan di antara penulisan dan penyiaran TV, maka Helmee sebagai satu-satunya orang yang pernah mengunjungi al-Quds mengurus dan mengetuai perjalanan ini. Kami terpanggil untuk berkongsi pengalaman bersama rakyat Malaysia dalam bentuk penerbitan program TV dan buku. Begitulah niat yang membawa kami ke sini.

Sesungguhnya pengalaman perjalanan ke sini penuh dengan pengajaran dan suka duka. Semoga nanti program TV yang penerbitan yang dirancang akan dapat dilaksanakan dengan baik. Semoga, kita akan semakin mengenali bumi Mi’raj Nabi ini.

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Bethlehem 25 April 09 jam 8.20 pagi

Sehari sebelum bertolak, kami bersama-sama bertemu di Madrasah di Petaling Jaya bersama anak-anak yatim dan tahfiz al-Ijabah, membaca Quran dan doa munajat bersama-sama agar Allah memberikan keselamatan pada yang tinggal dan yang akan pergi bermusafir.
Dari kanan, Hj Othman, Abang Aziz, Dato' Yahya, Hj Esa, Hj Jaafar, saya dan Helmee. InsyaAllah, banyak yang akan kita kongsikan bersama nanti.

Friday, April 24, 2009

Jom Kongsi Pengalaman 35 - Perjalanan Ke Bethlehem

Ada tiga jalan memasuki al-Quds, sama ada melalui KingHussain Bridge dari Jordan, Sheikh Hussain Bridge dan melalui Rafah Mesir.
Masuk melalui King Hussain Bridge, akan melalui jalan ke Jericho iaitu bandar paling rendah di dunia. Ia berada pada tahap 350 meter di bawah paras laut. Ia berhampiran dengan laut mati iaitu tempat paling rendah di dunia.
Menghala ke Jurusalem adalah mendaki bukit. Ini kerana Jurusalem adalah tanah tinggi setinggi 800 meter dari paras laut. Jadi, perjalanan bermula dengan -350 meter ke 800 meter dari paras laut.
Persimpangan antara tanah rendah dan tanah tinggi
Hingga sekarang masih ada lagi kawasan badui iaitu satu kaum yang hidup dengn cara pindah randah
Di pertengahan jalan, terdapat orang menjual pasu-pasu dan barang-barang.
Mula memasuki tanah tinggi Jurusalem, kita akan nampak tiga menara tinggi. Yang kanani sekali ialah menara Hebrew Universiti, menara yang tengah ialah menara gereja Kristian Protestan, mereka memperecayai Nabi Isa di salib kemudian naik ke syurga di menara ini. Bagi kita orang Islam, Nabi Isa diangkat oleh Allah ke langit dan akan turun kembali di akhir zaman. Menara ketiga ialah menara gereja Russian Ortodox. Mereka mendakwa merekalah kristian yang asal sebelum berpecah kepada Katolik dan Protestan.
Penempatan Yahudi di West Bank
tembok yang memisahkan antara penduduk Yahudi dan Islam
Tembok pemisah
tembok masih terus dibina dan dibina
ia memisahkan
Jalan berbukit ke tanah tinggi Jurusalem
Jalan ke Jurusalem
Stadium
Yahudi Ortodox yang meminta derma ketika kereta berhenti.
Yahudi Ortodox mempunyai komunitinya sendiri. Mereka tidak campur urusan pemerintahan.
di sini ada perkhidmatan basuh kereta. Pertama kali di negara asia barat saya lihat ada perkhidmatan basuh kereta.
Dekorasi jalan
Orang Palestin menunaikan tanggung jawabnya sebagai muslim
Pintu masuk ke Bethlahem. Ia satu bandar terkurung. Hanya ada satu sahaja pintu masuk. Ia akan ditutup pukul 10 malam. Jika mana-mana penghuni yang balik lewat, maka mereka boleh mengetuk pintu gerbang untuk dibuka.Orang Yahudi tidak dibenarkan masuk ke Bethlaham ini. Di pintu masuk, ada polis seperti imigresen yang akan memeriksa identiti orang yang akan masuk ke sini.
Bagi penduduk di Bethlaham ini, ia ibarat penjara terbesar di dunia. Mereke di pisahkan dengan kurungan tembok besar.

"Musafir, Meluaskan pandangan memperbanyak pengalaman"

al-Fakri Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Bethlaham
24 April 09 jam 7.10 pagi

Sirah 4 - Salahuddin al-Ayubi

Islam hadir ke Palestin pada zaman sahabat lagi iaitu kurun pertama hijrah bersamaan dengan kurun ke 7 masihi. Walau bagaimana pun, orang Islam membenarkan dan tidak banyak campur tangan dalam urusan perjalanan jemaah Kristian ke tempat-tempat suci mereka. Orang Islam juga tidak menganggu keselamatan rumah ibadah mereka.


Walaubagaimana pun, tentera salib mulai ingin mengusai tempat suci ini. Maka bermulalah siri peperangan antara tentera salib dan pejuang-pejuang pencinta syahid dari pihak Muslimin

Gambar ialah kubu Salahddin al-Ayubi di Muktah Jordan


Perang Salib ialah beberapa siri peperangan di antara kaum Muslimin dan Kristian.pada kurun ke-11 hingga ke-13 Masihi. Tujuan asal tentera salib adalah menawan Baitul Maqdis di Juruselam dan kawasan sekitarnya daripada orang Islam.


Peperangan ini didominasikan oleh pihak salib hinggalah Salahuddin al-Ayubi, seorang berbangsa Kudish dapat menyatukan Mesir dan Syria dibawah satu panji.

gambar : kereta yang digunakan di waktu perang Salib oleh Salahuddin al-Ayubi di Masjid Umawi Damsyiq Syria.


Pada peringkat awal, Salahudin telah memeterai perjanjian damai dengan Raja Baldwin IV, Perjanjian antara kedua raja ini retak akibat hasutan Reynald the Chatillon, salah seorang pembesar kaum Frank yang sangat membenci Islam.


Reynald mengundang kemarahan umat Islam, apabila dengan terang-terangan menyatakan keinginan menghancurkan kota-kota suci umat Islam, Mekkah dan Madinah serta tindakannya menyerang kafilah-kafilah Islam sewaktu perjanjian damai.


Salahudin mengirim pasukan Islam untuk menyerang kaum Frank di Kerak, tempat Reynald tinggal. Balwin juga mengirim pasukannya ke Kerak setelah mendengar Salahudin hendak menyerang salah satu wilayahnya. Peperangan ini berhenti dengan perjanjian damai dan jaminan Reynald akan dihukum sendiri oleh tangan kaum Frank.


Setahun kemudian, Baldwin IV meninggal dunia dan digantikan oleh Guy the Lusigna. Dengan Guy, yang merupakan teman rapat Reynald the Chatillon, maka perjanjian antara Islam dengan kaum Frank telah berakhir.


Salahudin, menngumpulkan pasukan umat Islam. Dia menyampaikan khutbahnya di masjid Umawai di Syria dengan melancarkan perang jihad. Maka berlakulah Perang Hittin, salah satu perang besar dalam sejarah.

Masjid Umawi di Damsyiq Syria
Gambar :Menara tempat di mana Salahuddin memberikan khutbah dan melacarkan perang Jihad



Maka pada bulan Rabiulakhir tahun 583 Hijrah bersamaan bulan Julai tahun 1187 Masihi, tentera Islam telah melancarkan peperangan jihad di persisiran pantai berhampiran dengan Tasik Tiberias di Palestine.


Peperangan ini berlaku di perkampungan Hittin, di sebelah barat Tasik Tiberias dan di sebelah timur bandar Akko dan Haifa. Baitulmaqdis dapat dibebaskan semuanya 1099.


Guy dan Reynald ditawan dan dihadapkan ke hadapan Salahudin. Reynald dibunuh oleh Salahudin dan Guy diseret Salahudin ke Jerusalem.

Ketika memenangi peperangan Hittin, Salahuddin telah membina sebuah masjid dinamakan sebagai Masjid Nabi Musa di Palestin. Ia sebagai mengingatkan Nabi Musa a.s yang berusaha membawa kaumnya kembali beriman dan kembali ke Juruselam. Masjid itu masih digunakan hingga sekarang.


Papan tanda ke Masjid Nabi Musa
pemandangan masjid dari jauh
masjid dari ruang dalam
pokok anggur yang menghiasi masjid
Menara masjid Nabi Musa. Masjid yang didirikan sempena kemenangan di dalam peperangan Hittin



Salahuddin meninggal dunia pada 4 Mac 1193 ketika berusia 55 tahun dan dimakamkan di sebelah masjid Umawi di Damsyiq Syria. Semoga akan lahir lebih banyak lagi muslim-muslim bersemangat Salahuddin.


“Sirah, Perjalanan Mencipta Sejarah”


Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Bethlehem 23 April 09

Jam 10.45 malam


makam Salauddin al-Ayubi

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...