“Ustaz, ada rasa takut tak?” tanya Capt Sidek, juruterbang MAS yang dulunya berkhidmat dengan TUDM.
“Sebagai manusia, memang ada juga, tapi kita boleh cari kekuatan untuk itu” kata saya.
“Kalau ustaz ada rasa takut maknanya ustaz orang normal sebab orang yang tak ada rasa takut hanya orang gila dan orang bodoh sahaja” terangnya pada saya sambil tergelak kecil.
Saya adalah kumpulan kedua yang akan terjun. Bersama saya yang akan terjun adalah penerbit program Usrah TV9, Rozimalini, InsyaAllah, program ini akan kita kongsikan di dalam “Usrah” awal tahun depan nanti.
Saya sudah siap memakai pakaian khas. Kainnya agak tebal, di bahagian lutut dan lengan lebih tebal, mungkin sebagai pertahanan pada kedua sendi ini ketika turun ke bumi.
“Ok ustaz, Rozi, sedia naik kapal” kata En.Idrus, jurulatih saya.
Saya melihat wajah penerbit saya, mulutnya berkumat kamit membaca selawat, wajahnya agak pucat, tapi saya tabik semangatnya, dia nak juga terjun dan akan mengambilkan gambar saya ketika di atas kapal untuk dikongsikan bersama penonton rancangan usrah nanti.
Bagi diri saya pula, saya cuba membayangkan saat saya keluar dari kapal terbang, saat bergayut di ketinggian lebih 3000 kaki, atau dua kali KLCC. Macam mana rasanya ketika mahu melepaskan tangan dari kepak kapal terbang.
Capt. Azim mula memecut kapal Cessna 172, kerusi dalam kapal terbang telah dikosongkan, hanya untuk Pilot sahaja. Pintu sebelah kanan pula telah ditanggalkan untuk memudahkan penerjun keluar.
Saya melihat altimeter yang dipasangkan di dada saya, alat untuk mengukur ketinggian. Sedikit demi sedikit jarum meter itu naik
1000 kaki….
1500 kaki….
2000 kaki…
2500 kaki…
3000 kaki…
3300 kaki…
Saya melihat ke bawah, semuanya kecil, semuanya nampak halus.
En. Idrus mengeluarkan tangannya, kemudian cepat-cepat memasukkannya kembali.
“Alamak, hujan pulak….” Katanya.
Saya cuba merasa hujan dari ketinggian 3000 kaki dengan kapal terbang yang sedang bergerak laju. Memang tajam, macam kena cucuk jarum. Capt. Azim membelok ke kiri, lari dari hujan renyai-renyai tersebut.
“Ok ustaz..ready..” jerit En. Idrus…
Capt. Azim memperlahankan sedikit kapal..
Saya mengeluarkan kaki kiri saya, kaki kanan saya letakkan ke di tayar, tangan saya memegang erat palang pada kepak kapal terbang….
Saat-saat akhir ini saya cuba mengimbau kembali pelajaran yang dipelajari..
“Ingat, jangan lepaskan tangan dulu, nanti kamu akan terpusing, lepaskan kaki dulu..” pesan En. Idrus ketika kursus.
Teringat juga seloroh Lt. Kol. Kamaruddin ketika kursus..
“Kalau dalam tentera, sebelum terjun kami semua akan menyanyi ramai-ramai.. kalau payung tak kembang, berikan isteri pada kawan…”
“Go ustaz…” tiba-tiba En. Idrus memekik.
“Ok..” jerit saya kembali sambil berkata dalam hati..
Lepaskan kaki dulu,, lepaskan kaki dulu..
“Go ustaz..” kata En. Idrus lagi, rupanya saya telah melepaskan kaki tetapi tangan saya masih erat memegang besi pada kepak kapal, saya tergantung seperti Superman,
Saya melihat ke bawah, semuanya nampak kecil, muka saya hampir dengan tayar..
“Go ustaz..” kata En. Idrus lagi..
“Ok..” buat kali ketiga saya mengatakan ok..”
Saya memejamkan mata, hati saya berkata…
“Ya Allah, hanya padamu hambamu ini berserah…”
Saya melepaskan tangan saya, menggelongsor keluar, badan saya terpusing-pusing, saya tidak tahu saya berada di arah mana…
Hati saya tidak putus-putus menyebut nama Allah, kadang kala ternampak bumi, kadang kala ternampak langit.
Dalam lebih kurang 7 saat terjatuh, badan saya terasa diangkat..
Saya melihat ke atas… Alhamdulillah.. payung saya telah terbuka…
hati saya sayu, “Terima Kasih Allah…”
saya sangat- sangat bersyukur pada Allah, teringat firman Allah di dalam surah Muluk ayat 19….
Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu
Ya.., Allahlah yang mengembangkan payung ini dengan makluknya bernama angin, jika udara kosong tanpa angin di langit, maka payung tidak akan kembang.
Suasana sangat sunyi di atas ketinggian lebih 2500 kaki ini. Saya menarik nafas panjang. Mula mengambil “Toggles” (macam stering bagi kereta) saya mengawal payung ke kanan dan ke kiri mencari anak panah, tempat saya kena mendarat.
Memang, secara peribadi, sukan ini sangat bagus untuk melatih hubungan kita dengan Allah. Ia juga sangat bagus untuk melatih kita mengawal emosi takut kita kerana dalam diri manusia ada tiga emosi yang kalau kita matang di dalam mengendalikannya, maka separuh ketenangan telah Allah berikan pada kita. Ia adalah perasaan marah, takut dan sedih. Sebab itu banyak dalam al-Quran Allah menyatakan orang beriman, tidak dia merasa takut dan bersedih.
Saya melihat altimeter, saya semakin hampir dengan bumi, lagi 500 kaki…
Saya sudah mula menghampiri tempat pendaratan…
Ok 10 kaki.. saya menarik habis “toggles” sebagai brek pada payung.
Kaki saya mula menjejaki rumput di lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Subang ini. Teringat kata jurulatih saya, tak ramai orang berpeluang untuk berada di tengah-tengah landasan kapal terbang ini kerana ia kawasan larangan bagi orang awam.
Jurulatih yang berada di bawah bersama krew TV9 berlari mendapatkan saya, merakamkan perasaan saya ketika mendarat.
Mereka semua memeluk saya tanda syukur, saya mengangkat tangan sekali lagi mengucapkan syukur pada Allah..
Saya memandangkan ke langit, melihat Penerbit Usrah juga sudah menghampiri bumi, semua kami mendapatkannya..
Alhamdulillah, beliau juga selamat mendarat….
Semua jurulatih gembira kerana kumpulan sebelum kami turun tidak pada tempatnya, dan seorang dari mereka telah mengalami kecederaan, kalau kurang ambil perhatian pada semua pelajaran yang diajar, memang boleh mengalami kecederaan dan jika cedera, orang ramai akan takut pada sukan ini, kebetulan pula kami terjun di hadapan ribuan pengunjung pameran kapal terbang sempena 100 tahun DCA (Jabatan Penerbangan Awam Malaysia), jadi kalau cedera ramai yang akan takut nanti.
Saya mengambil payung, meletakkannya ke dalam beg yang khas. Meneguk sebotol kecil air mineral, saya menulis ke dalam buku log terjun payung..
Jump. No (1)
Date : 26 Nov 2011
Place : Sky Park Subang
Aircraft : C-172
Equipment : Static Line
Altitude : 3000 ft
En. Idrus menandatangani bukulog saya.. “Idrus.. Parajump Instructur”
Sambil memandang saya En. Idrus berkata..
“Jom ustaz, kita terjun pulak dari 10 000 kaki..”
Jom, boleh aja… kata saya sambil saya memandang penerbit saya pula, amacam..?
“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”
al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
2 Muharram 1433/ 28 November 2011 jam 8.15 pagi
Bersama isteri, anak, anak angat dan anak yatim saya.
Bersama saudara saya Darul Ukhwah
mengingati kembali latihan sebelum terjun
Bersiap sedia untuk terjun
Sebenarnya, boleh saya namakan terjun ini sebagai “jump for dakwah” kerana saya dapat bergaul dengan berbagai golongan di dalam sukan ini.
Paling kurang yang Islam dapat sama-sama saya ajak untuk solat dan berdoa, yang bukan Islam dapat melihat bagaimana adab hamba pada Penciptanya
Pesanan terakhir dari Jurulatih saya, En. Idrus
Siap sedia untuk terjun
Pada ketinggian lebih 3000 kaki, semuanya nampak kecil
Jurulatih di bawah dan krew TV9
Dalam 7 saat, payung mula berkembang..
Sunyi sekali di atas ini, hanya kita dan Allah sahaja..
Sukan ini selamat jika kita mengikuti segala peraturannya dan ia sangat bagus sebagai latihan jiwa kepada kita untuk merasakan pergantungan Allah
Menghampiri bumi
Alhamdulillah, terima kasih Allah….
Krew TV 9 menghampiri saya
Jurulatih gembira dengan kejayaan mendarat dengan selamat
Penerbit Usrah TV9
Kembali bertemu ahli keluarga
Bersama jurulatih saya, En. Idrus..