Khamis, 30 Julai 09, hari ini, saya memenuhi undangan di Panasonic Senai Johor. Ceramah berkisar mengenai Israk dan Mikraj.
Saya dan Rombongan bertolak dari Kuala Lumpur jam 4 petang, sejurus selepas program bersama warga Pusat Asasi Universiti Malaya.
Alhamdulillah, perjalanan dipermudahkan Allah, dan kami sampai di Johor sebelum Maghrib.
Selepas solat maghrib berjemaah, program dimulakan. Saya kongsikan dengan sidang pendengar sekelian, mengenai Israk dan Mikraj beserta dengan catatan dan gambar pengalaman berada di al-Aqsa dua bulan lepas.
Ceramah kali ini, dihadiri oleh Ustaz Ahmad Helmi, Naib Qadhi Mukim Senai/ Kulai Jaya. Saya kagumi tawadhuk beliau.
Biasanya, ustaz senior, jarang yang mahu duduk di kuliah yang disampaikan oleh anak-anak muda. Tetapi, beliau duduk di hadapan sekali.
Semoga Allah mengekalkan sifat ini pada beliau dan menganugerahkan juga pada kita sifat yang sama, amin…
Ceramah disempurnakan jam 9.15 malam, dan kami menunaikan solat Isyak berjemaah. Majlis diakhiri dengan jamuan makan malam.
Ketika makan, Ustaz Ahmad Helmi duduk di hadapan saya. Kami berbual-bual mengenai keadaan semasa.
“Anak-anak sekarang ni, susah nak solat Ustaz. Pulak tu, mak bapak harap pihak sekolah aje untuk didik. Sepatutnya, solat mesti dimulakan dari rumah lagi. Kalau ayah tak solat, macam mana anak nak solat?” Kata Ustaz Ahmad Helmi.
Perbulaan ini mengingatkan saya mengenai keluhan ibu-ibu di Shah Alam yang mengadu susahnya mendidik anak-anak sekarang.
Hingga, rasa susah itu menyebabkan akhirnya mereka berhenti menegur dan malas nak bising pada anak-anak mereka.
“Alah ustaz, kalau kita cakap pun, bukannya nak dengar” kata salah seorang kakak yang memberitahu kekecewaannya pada anaknya.
Sebenarnya, hari ini kita menegur anak kita, bukan nak suruh dia dengar cakap kita. Kalau itu tujuannya, maka, jika kita rasa dia tidak mahu berubah, maka kita akan berhenti menegur.
Hari ini, kita tegur anak kita kerana Allah suruh menegur orang yang salah. Sama ada dia hendak dengar atau tidak, maka kita akan terus menegur.
“Ustaz, anak saya, yang sulung belajar di UM, di Akademi Pengajian Islam, Yang kedua di al-Azhar Mesir, yang ketiga pun di al-Azhar. Balik, dah kerja pun di Jabatan Agama. Kadang-kala, solat subuh pun, saya kena kejut lagi” kata Ustaz Ahmad Helmi.
“Ustaz, itu yang dah kita hantar ke sekolah agama, masuk universiti, bidang agama, pun nak kena bantu lagi. Cuba ustaz bayangkan, ibu ayah yang tak kejutkan anak solat, macam mana dia orang nak boleh bangun?” Ustaz Ahmad Helmi menambah lagi.
Saya tertarik dengan kata-katanya. hari ini, ramai orang yang menyerahakan tugasan mendidik anak-anak pada sekolah semata-mata, dan ramai yang tidak merasa tugasan mendidik juga perlu dilakukan oleh para ibu dan ayah.
Pendidikan terbaik ialah sulaman di antara sekolah dan rumah. Barulah anak-anak itu mendapat teguran berterusan.
Walaupun sekolah tahfiz, walaupun sekolah agama, walaupun belajar di institusi agama yang besar-besar, kita belum boleh harap anak kita berdikari menjaga agamanya. Ini kerana, pendidikan hati ini berterusan hingga kita mati.
Kalau tidak, masakan, Nabi juga mengadakan pendidikan pada orang yang lebih tua. Ini bermakna, tugasan untuk mendidik tidak pernah henti.
Oleh itu, jangan kita putus asa mendidik keluarga kita. Hari ini gagal, cuba lagi, hari ini tidak berjaya, usaha lagi.
Allah tidak melihat di mana kita bermula, kita akan dinilai, di mana kita berakhir. Dan oleh kerana, penghujung kita terlalu penting, maka syaitan terus berusaha melalaikan orang dihujung usiannya.
Itu yang terjadi, semakin tua semakin sombong, semakin rakus, semakin rasa diri hebat, semakin rasa orang lain hina, semakin rasa orang lain rendah dan sebagainya.
Jadi, pendidikan agama perlu berterusan, sepanjang hidup, tidak boleh berhenti, tidak boleh ditangguh.
Semoga dengan ilmu dan kefahaman, menjadikan hati ini lebih bersedia untuk menerima hidayah dari Allah dan semoga kita semua diselamatkan di dunia ini dan di akhirat.
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
Ahad 2 Ogos 09
Jam 9.30 pagi
Di Panasonic Senai Johor
Blog yang membicarakan mengenai perjalanan kembara dakwah, soal-jawab agama, masalah rumah tangga, keluarga dan rakaman rancangan Usrah TV9, Tanyalah Ustaz TV9, IKIM.fm Persona de Zahra, Al-Kuliyyah TV3, rumah kebajikan anak yatim dan hiv, juga undang-undang keluarga.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...
-
Perjalanan saya ke Saint Petersburg mempunyai satu misi. Saya ingin bertemu dengan Prof. Dr . Alexander K. Ogloblin, pengkaji Nusantara per...
-
7 April 2012, saya bersama dengan ahli rombongan ke Ben Yehuda St, penempatan orang Yahudi di Jerusalem ini. Nama jalan ini diambil sempena ...
-
“Mmm, ustaz, boleh tak ceritakan bagaimana Nabi Yahya dibunuh” Tanya seorang anak murid pada saya. Rupanya ada yang mengikuti kisah Nabi ...
1 comment:
salam ustaz
amboi dari kl ke jb 4 jam saja ka
saye balik muar 4/5 jam
tu bawak keter f1 ke bawak jet
Post a Comment