Monday, February 13, 2012

Universiti Kehidupan 219– “Kelebihan Selawat Menurut Pengalaman Imam al-Aqsa..”

5 Feb 2012, Selepas solat Maghrib, saya terus ke hadapan mendapatkan Imam al-Aqsa, melihat saya dia terus meluru dan memeluk saya.

“MasyaAllah, bila sampai..” tanya beliau.

“Dah lima hari dan esok kami nak balik.” jawab saya ringkas.

“Mari ke pejabat saya” katanya lagi.

Saya terus memanggil para jemaah saya untuk mengikuti Imam al-Aqsa ini.

“Syeikh, sempena maulid Nabi ini, boleh tak berikan sedikit tazkirah mengenai Nabi” kata saya pada Imam Abu Yusuf.

Beliu terus memberikan kuliah di dalam bahasa Arab dan saya menterjemahkan di dalam bahasa Melayu.

Beliau menceritakan sedikit mengenai sirah-sirah Nabi dan walaupun ringkas ternyata agak menyentuh,

“Tahu apa sebabnya?’ kerana di dalam hati beliau ada rasa mencintai nabi SAW.

Kita boleh rasakan, hatta di Malaysia sendiri, kalau seorang ustaz memberikan ceramah Maulid Nabi, tetapi di dalam hatinya kurang rasa mencintai Nabi, ceramahnya hebat tetapi kurang menusuk ke dalam hati.

Tetapi jika ada seorang ustaz, walaupun ustaz kampung, tetapi di dalam hatinya ada rasa mencintai Nabi, ceramahnya mampu membuatkan orang menitis air mata dan merasa menyayangi Nabi. Kerana dia bercakap dari hatinya dan perkara yang datang dari hati akan jatuh ke hati.

Di akhir, tazkirah pendek 10 minit ini, Syeikh Yusuf sungguh-sungguh berpesan agar kita selalu berselawat pada Nabi kerana perintah berselawat itu datangnya dari Allah sendiri. Ia berdasarkan firman Allah surah al-Ahzab ayat 56.

Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi, Wahai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya

Menurut hadis Nabi SAW, jika kita berselawat sekali pada Nabi, Allah akan mengucapkan kebaikan dan keselamatan pada kita sebanyak 10 kali. Jika kita berselawat 10 kali pada Nabi, Allah akan mengucapkan kebaikan dan keselamatan pada kita sebanyak 100 kali. Jika Allah sendiri telah mengucapkan kebaikan dan keselamatan pada kita, tidak ada lagi perkara yang boleh memudharatkan kita.

Syeikh Abu Yusuf berkongsikan pengalamannya…

“Kami dikota Jerusalem ini, jika terdapat masalah dengan orang-orang yahudi, maka kami akan berkumpul di dalam masjid al-Aqsa dan akan membaca selawat pada Nabi. Inilah amalan kami dan kami telah melihat keberkatannya dan segala masalah akan dibantu Allah”

beliau menambah lagi,

Di masjid al-Aqsa ini, memang kami amalkan selawat pada setiap pagi Jumaat.

“Inilah kelebihan Selawat Pada Nabi..”

“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Hotel Yasmina Dahab

Isnin Rabu  20 Rabiul Awal 1433/13 Febuari 2012 jam 10.15 pagi

IMG_9212

“Saya doakan semoga kamu dan dari keturunan serta zuriat kamu lahir orang yang akan bersama-sama membantu dan memakmurkan masjid al-Aqsa” doa Syeikh Abu Yusuf untuk kami semua

IMG_9214

Kuliah ringkas Maulid Nabi tapi cukup menyentuh

IMG_9224

Di luar makam Nabi Sulaiman yang kini menjadi pusat tahfiz bagi perempuan

Universiti Kehidupan 218 – “Melihat Kisah-Kisah Menarik Nabi Sulaiman..”

5 Febuari 2012, malam ini adalah malam terakhir saya dan rombongan  al-Aqsa bagi kali ini.

Dengan suasana malam dalam kesejukan 7 darjah celcius, saya dan ahli jemaah berjalan menujuk ke al-Aqsa. Azan Maghrib mula berkumandang di Kota Jerusalem, sayu rasa hati untuk meninggalkan kota penuh barakah ini esok.

Imam malam ini ialah Syeikh Abu Yusuf  Sunainah. Imam pertama dan beliau sahaja yang mempunyai kunci makam nabi Sulaiaman di al-Aqsa ini. 

Menurut Syeikh Abu Sunainah katanya, menurut ulama’ Jerusalem, ditembok timur al-Aqsa inilah terletaknya makam Nabi Sulaiman. Ia juga tempat singgahsana Nabi Sulaiman seperti yang tersebut di dalam al-Quran Surah as-Saad ayat 34:-

Dan sesungguhnya Kami telah menguji Sulaiman dan Kami letakkan di atas singgahsananya  satu tubuh, kemudian ia bertaubat

Menurut tafsir Jalalain, satu ketika Nabi Sulaiman hendak ke bilik air, ditinggalkan cincinnya kepada Isterinya, kemudian datang Jin bernama Sahra’  menyerupai Nabi Sulaiman mengambil cincin itu dan mengaku dia adalah Nabi Sulaiman.

Menurut Tafsri at-Tabari, kekuasaan Nabi Sulaiman yang diberikan Allah terletak di cincinnya maka ketika cincinnya hilang maka huru haralah kerajaannya.

Selama 40 hari, kerajaan Nabi Sulaiman hilang punca kerana jin ini telah menyamar sebagai Nabi Sulaiman.

Di dalam tafsir Jalalain pula mengatakan bahawa, di antara sebab Nabi Sulaiman itu diuji dengan demikian kerana dia mengahwini seorang perempuan dan dalam keadaan dia tidak tahu, perempuan ini menyebah berhala di dalam istananya. Sebagai kaffarahnya, Allah cabut kekuasaaan Nabi Sulaiman selama 40 hari.

Iktibar yang boleh kita ambil, bagi para suami, hendaklah mengambil tahu mengenai apa yang isteri buat kerana segala apa yang isteri buat, terletak di atas bahu suami akibatnya.

Jika kita sengaja membiarkan isteri membuat salah, maka sebagai suami akan jatuh kepada dayus dan dayus tidak akan masuk ke dalam syurga menurut hadis.

Disinggahsana ini jugalah dimakamkan Nabi Sulaiman ketika wafatnya. Di dalam singgahsana ini terdapat satu makam yang sangat panjang.

Di sebelah makam ini pula terdapat sebuah penjara lama di zaman Nabi Sulaiman, ia bukan untuk manusia, tetapi ia adalah untuk para Jin yang ingkar dan dan membuat kesalahan jenayah di zaman Nabi Sulaiman.

“ustaz, agak-agak ada lagi tak jin kat sini? tanya seorang ahli jemaah yang saya bawa.

Satu soalan yang saya tidak tahu untuk menjawabnya dan pada ketika ini, jawapan paling senang

“Wallauhualam Bissawab..”

“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Hotel Yasmina Dahab

Isnin Rabu  20 Rabiul Awal 1433/13 Febuari 2012 jam 10.00 pagi

IMG_3298

Tepi tembok berhampiran dengan penjara Jin di zaman Nabi Sulaiman

IMG_9217

Kenangan di dalam Singgasana Nabi Sulaiman yang terletak makam baginda

Bicara Ilmu 54 – “Rahsia Angkasa..”

Angkasa memiliki rahsia sangat besar, sebab itu sejak dahulu lagi terdapat minat manusia mengkaji angkasa.
InsyaAllah, kita kongsikan dalam program Usrah di TV 9 ini, Rahsia Angkasa
“Ilmu Pelita Hidup”
al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Dahab Mesir
13 Febuari 2012 jam 9.30 pagi

Wednesday, February 8, 2012

Universiti Kehidupan 217 – “Pengajaran Dari Antara Halal Dan Kosher..”

5 Febuari 2012, saya mengajak beberapa orang ahli rombongan perjalanan al-Quds ke Jaffa St dan Ben Yahud St.

Tujuan saya mengajak ke sini adalah untuk mereka membetulkan cara berfikir bahawa bangsa Yahudi seperti bangsa lain juga, tidaklah hebat seperti yang kita rasa.

Perasaan ini sesetengahnya  datang dari para ustaz kita juga yang mengajak membenci Yahudi sedangkan dalam secara tak langsung mereka menjadi agen untuk mengempen seolah-olah bangsa ini terlalu hebat. Seolah-olah bangsa “untouchable” dan tak ada kelemahan.

Doktrin, sikit-sikit “ini adalah agenda Yahudi” sebenarnya satu doktrin yang berbahaya kerana secara tak langsung kita merasa sentiasa rendah diri dan tidak mampu untuk berdiri gagah atas nama Islam.

Kalau ada kelemahan, itu memang kelemahan diri kita yang perlu kita baiki dan bukannya sikit-sikit “ini adalah agenda Yahudi”, kita seolah-olah mencari sesuatu untuk dipersalahkan dan bukan menumpukan untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

Saya nak ajak mereka melihat bahawa di Palestin atau di Israel ini juga ada peminta sedekah, ada orang yang tidur tepi jalan (homeless) dari bangsa Yahudi sendiri.

Tujuannya untuk kita rasakan bahawa kita semua adalah sama dan tidak perlu ada  perasan lemah sehingga hilang jati diri bergelar orang Melayu Islam. Yang mulia adalah yang beriman pada Allah.

Ketika saya mengajak ahli rombongan minum di satu kedai kopi, kami dapat melihat gelagat dan gaya hidup orang Yahudi, tiada beza, tetap ada yang kaya dan ada yang miskin, ada yang pandai dan ada yang bodoh, tetapi seperti orang lain ada yang kena bekerja sehingga tengah malam.

Kak Noraina, seorang ahli rombongan kami mengeluarkan kerepek ubi pedas yang dibawanya dari Malaysia. Seorang pelayan Yahudi, setelah mengambil order kami melihat Kak Noraina mengeluarkan kerepek ini.

“Kamu nak pinggan tak? nanti saya bawakan” katanya dengan senyuman.

“Ok ambil lebih sikit ye..” kata saya.

“Bukan senang anak Melayu nak memerintah orang Yahudi” kata saya pada ahli rombongan dengan bergurau, semua yang ada bersama saya tertawa kecil.

Pinggan telah dibawa. Pelayan Yahudi ini bertanya kepada kami..

“Apa ni?”

Salah seorang ahli rombongan memberitahu bahawa ini adalah kerepek ubi dicampur dengan lada. Pelayan muda ini nampak berminat dengan bentuk dan warna kerepek ubi ini.

“Sila rasa sikit” kata seorang kakak sambil mengangkatkan bekas kerepek padanya.

“Saya nak sangat cuba, tapi saya tak tahu ini “kosher” atau tidak..” kata pelayan Yahudi ini.

Bagi kita orang Islam, kita ada piawaian makanan disebut sebagai halal. Bagi Yahudi, mereka juga ada piawaian halal  mereka dan ia disebut sebagi “kosher”. Dan piawaian “kosher” lagi berat.

Sesetengah ulama’ Islam di Eropah mengeluarkan fatwa jika kita tidak dapat makanan halal, maka kita dibolehkan makan bertanda “kosher” kerana orang Yahudi dari sudut makanan seperti orang Islam, mereka tak makan daging babi dan mereka menyembelih dengan menyebut nama Allah iaitu “Shem–e-Shem”.

Saya melihat perempuan Yahudi ini, dia seorang pelayan, tapi tetap menjaga bab halal dan haram dalam bab makanan.

Berapa ramai orang Islam kita menjaga soal halal dan haram sedangkan mencari yang halal itu adalah perintah dari Allah.

Macam mana umat Islam tidak lemah kerana disiplin beragama tidak dipegang dengan betul.

Baru bab makanan, bagaimana batasan kita dengan perkara lain? Sehingga batasan bergaul dengan orang kafir?

Dalam hidup kita, kalau masing-masing kita tahu apa tanggungjawab kita dan apa batasan diri kita pada orang lain menjadikan kita mempunyai kematangan di dalam bertindak.

Masalahnya, tanggungjawab tidak tahu, batasan tidak tahu, bagaimana ingin hidup dengan kematangan di dalam bertindak?

Seorang suami tidak tahu tanggungjawab dan batasannya sebagai suami, seorang isteri tidak tahu batasannya sebagai seorang isteri dan juga pada semua lapisan-lapisan yang lain di dalam masyarakat.

Antara Halal dan Kosher, satu pengajaran yang kita dapat bahawa orang Islam perlu faham dan hayati apa itu tanggungjawab dan apa itu batasan di dalam hidup mereka.

“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Hotel Toledo Amman Jordan

Rabu  15 Rabiul Awal 1433/8 Febuari 2012 jam 3.20 petang

IMG_9090

Kisah ini bermula dengan satu bekas kerepek ubi pedas yang dibawa ke Jaffa St.

IMG_9091

Banyak yang boleh kita betulkan cara kita berfikir untuk menjadikan kita lebih berjati diri sebagai seorang muslim.

IMG_9092

Mereka cukup menjaga bab “Kosher” setiap kedai makanan perlu memohom Kosher sehingga kalau kedai orang Arab yang ingin berniaga di tempat Yahudi juga perlu memohon. Sijil diberikan pada orang Yahudi sahaja. Adakah sijil halal kita di Malaysia diberikan pada orang Islam sahaja? Atau paling kurang syaratkan mana-mana orang kafir yang ingin memohon sijil halal, orang Islam perlu berada di dalam syarikat itu untuk memastikannya tidak disalah gunakan.

IMG_9093

Kesimpulan yang dapat kita pelajari ialah setiap kita perlu tahu apa itu batasan di dalam hidup kita. Setiap perkara ada batasannya. Dan batasan di dalam bahasa Arab adalah hudud. Hudud diperingkat diri, peringkat keluarga, peringkat masyarakat, peringkat negara dan peringakat Ummah. 

Perkara kedua adalah tanggungjawab, tanggungjawab di dalam bahasa Arab disebut sebagai “taklif” dan setiap orang ada taklifan yang perlu dilaksanakan diperingkat diri, peringkat keluarga, peringkat masyarakat, peringkat negara dan peringkat Ummah.

IMG_9094

Sijil “Kosher” yang perlu dipohon dan ia hanya diberi pada orang Yahudi atau mesti di dalam syarikat itu ada orang yahudi, adakah sijil halal kita begitu di Malaysia? Sebab itulah orang kafir banyak menyalahgunakan tanda halal..

Bicara Ilmu 53 – “Soal Jawab Dalam Program Selamatkan Akidah..”

Alhamduillah, dapat kita kongsikan soal jawab di dalam program Selamatkan akidah pada 31 Januari 2012 lepas.
Semoga ia memberi manfaat..
“Ilmu Pelita Hidup”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Hotel Toledo Amman Jordan
Rabu  15 Rabiul Awal 1433/8 Febuari 2012 jam 2.30 petang

Tuesday, February 7, 2012

Bicara Ilmu 52 – “Program Selamatkan Akidah Jelajah Daerah Negeri Selangor..”

Selasa 31 Januari 2012, saya dijemput untuk memenuhi progaram Jelajah Selamatkan Akidah anjuran Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor. Kali ini di Bandar Sungai Emas.
Memang, murtad salah satu perkara yang perlu di benteras. Kala ini, kita tidak dapat mengharapkan ahli politik untuk mempertahankannya kerana ahli politik sekarang sedang sibuk dengan hal mereka lebih-lebih lagi sekarang ahli politik terpaksa menjaga hubungan dengan orang kafir.
Kadang kala saya pun sedih, kalau sesebuah isu agama dilabel sebagai isu politik, maka orang Islam tidak akan mahu memperkatakannya kerana takut dilabel dengan mana-mana ahli parti.
Kalau kita bicara mengenai hudud kita akan dicap sebagai ustaz Pas dan jika kita bicaraa mengenai murtad sekarang kita akan dicap sebagai ustaz Umno.
Biarlah mereka yang ingin melabel. Bagi kita yang memahami bahawa Islam adalah agama tertinggi, kita akan terus berjuang untuknya walau di mana kita berada.
Di bawah ini, ingin saya kongsikan perjalanan majlis Jelajah Akidah Selangor.
Syabas dan tahniah sahabat-sahabat dari Jabatan Agama Islam Selangor, teruskan walaupun saya tahu tuan-tuan menghadapi berbagai tekanan, semoga Allah terus bersama tuan puan, amin…
“Ilmu Pelita Hidup”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Amman Jordan
Selasa  14 Rabiul Awal 1433/7 Febuari 2012 jam 9.00 pagi

Bicara Ilmu 51 – “Usrah Sempena Maulid Nabi..”

Ingin saya kongsikan perbahasan mengenai kekasih Allah di dalam program Usrah TV9 sempena dengan Maulid Nabi SAW.
Kekasih Allah adalah orang yang Allah sayang. Kita juga boleh berusaha untuk menjadi orang yang Allah sayang tetapi setinggi-tinggi kekasih Allah adalah Nabi kita Muhamad SAW.
Semoga kita tergolong di dalam orang yang sentiasa mencintai Allah dan Rasul, amin…
“Ilmu Asas Amal”
al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Amman Jordan
Selasa  14 Rabiul Awal 1433/7 Febuari 2012 jam 8.30 pagi

Universiti Kehidupan 216 - “Oreintalisme VS Oksidentalisme”

5 Febuari 2012, saya dan beberapa orang ahli rombongan menaiki monorel di kota Jerusalem menuju ke Ben Yahud St.

Duduk di hadapan saya seorang remaja sekitar umur 14 tahun, dia memakai pakaian serba hitam seperti yang selalu dipakai oleh Yahudi Ortodoks dan Kippah (kopiah kecil) di atas kepala. saya bertanya padanya.

“Kamu memang asal dari sini ke?”

“Tidak, aku dari Boston US, ayah aku hantar aku belajar di sini” jawabnya.

“Kamu belajar di Kolej atau Universiti?” tanya saya lagi.

Sambil menundukkan kepalanya seperti tidak selesa dia menjawab..

“Tak, di sekolah agama (Yahudi)  di Jerusalem..”

Remaja Yahudi ini macam rasa rendah diri pula apabila dia memberitahu saya bahawa dia bersekolah di sekolah agama.

Mungkin rasa tidak ada “standard” atau “class” sedangkan diwaktu yang lain orang lain belajar Sains dan Teknologi.

Saya ingin memahami bangsa yang disebut oleh Allah di dalam al-Quran ini, banyak buku-buku saya beli di Jerusalem ini dan saya akan menulis mengenainya.

Saya teringat saranan bekas Perdana Menteri Tun. Dr. Mahathir yang menyarankan agar keperluan untuk orang timur mengkaji bangsa barat. Golongan yang mengkaji mengenai bangsa barat ini disebut sebagai “Oksidentalisme”

Orang barat rajin mengkaji bangsa timur sehingga golongan ini disebut sebagai Oreintalis. Sebab itu mereka mudah menjajah kita di Timur kerana mereka tahu cara kita berfikir, cara kita bertindak, sensitiviti kita dan sebagainya tetapi kita bangsa timur tidak banyak mengkaji dan menulis mengenai bangsa barat.

Keperluan memahami bangsa barat tidak kalah pentingnya supaya kita tidak sentiasa tertipu dengan cara jelas dan halus.

Begitu juga keperluan mengkaji bangsa Yahudi kerana saya melihat, kadang kala kebanyakkan ustaz kita, berceramah mengenai Yahudi sebenarnya mereka menanamkan kepada kita secara tak langsung mengkagumi Yahudi seolah-olah bangsa ini terlalu hebat sehingga sikit-sikit agenda Yahudi, sikit-sikit agenda Yahudi.

Padahal mereka bangsa macam kita juga yang banyak kelemahan dan tidaklah seperti yang digambarkan.

Di bawah ini saya ingin kongsikan beberapa gambar mengenai kehidupan mereka.

IMG_9075

Monorel ke Ben Yahud St.

IMG_9079

Yahudi Ortodoks membuat persembahan amal

IMG_9083

Persembahan ini untuk derma synagogue (rumah ibadah) mereka.

IMG_9103

Homeless (orang yang tiada rumah) Yahudi di Jaffa Centre Jerusalem

IMG_9100

Dia menyediakan cawan untuk orang menderma pada mereka

IMG_9105

Bank Israel, saya tengok “font” dan lambangnya macam RHB bank di Malaysia

IMG_9107

Car boot sale di sini

IMG_9108

Ahli rombongan yang saya ajak ke Jaffa Center untuk membetulkan gambaran bahawa Yahudi adalah bangsa biasa, bukan macam yang ustaz kita gambarkan sehingga  dari segi “reverse psychology” seolah-olah mereka terlalu hebat sehingga seakan-akan tidak terkalah.. Ini sikit-sikit agenda Yahudi padahal kita lebih hebat dengan Iman dan Islam.

IMG_9110

Di sini kita dapat lihat manaa-mana orang membawa senjata

IMG_9113

Di dalam monotel

IMG_9111

Jaffa center

IMG_9176

Peminta sedekah di Wailling Wall di Jerusalem

IMG_9207

Pemuda Yahudi sedang ber ‘dating”

IMG_9208

Pemandangan di Jaffa Center..

“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Amman Jordan

Selasa  14 Rabiul Awal 1433/7 Febuari 2012 jam 8.00 pagi

Sunday, February 5, 2012

Jom Kongsi Pengalaman 92 “Wall Painting di Bethlahem..”

Apabila sesuatu masyarakat tertekan, mereka akan meluahkan perasaan dengan berbagai cara, ada dengan tulisan, dengan tenaga, dengan pemikiran dan ada juga dengan lukisan.

Bethlahem, sebuah kota yang dipagar dengan tembok-tembok besar Israel, orang Palestin tidak boleh masuk ke dalam Jerusalem dengan sewenang-wenangnya. Tembok besar ini menjadikan Bethlahem seolah-olah sebuah penjara terbesar di dunia.

Di tembok-tembok, terdapat banyak lukisan-lukisan luahan perasaan masyarakat sini.

Melihat beberapa lukisan sahaja boleh membayangkan harapan dan kenangan mereka.

“Pengalaman Asas Hikmah”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

National Hotel Jerusalem

Ahadm 12 Rabiul Awal 1433/5 Febuari 2012 jam 12.20 tengah malam

IMG_9067

Lukisan gambar seorang perempuan muda yang meletupkan dirinya, beliau bernama Ayatul Akhras

IMG_9068

Lukisan gambar Yasir Arafat

Jom Kongsi Pengalaman 91 - “Maulid Nabi Di Kota Hebron Palestin..”

Saya merenung bulan di Jerusalem, ia hampir penuh, dari keadaannya ia adalah 12 haribulan.

Ya… telah sampai musim maulid Nabi. Di seluruh dunia orang merasa gembira dengan kedatangan maulid ini. Walaupun ada sesetengah orang berpegang dengan tiada sambutan maulid, tetapi bagi rakyat Palestin ia satu hari yang diraikan kerana waktu beginilah mereka dibenarkan untuk berkumpul secara beramai-ramai.

Saya melihat orang-orang tua menitiskan air mata ketika selawat dibacakan. Bagi mereka, mengingati Nabi memberi inspirasi untuk meneruskan semangat di dalam perjuangan mereka.

Kecintaan pada Nabi memberikan mereka harapan agar satu hari nanti mereka beroleh kemenangan, dan dengan harapanlah, orang yang susah masih terus boleh meneruskan kehidupan mereka.

IMG_9030

Sabtu 4 Feabuari 2012 bersamaan 11 Rabiul Awal, saya bersama rombongan ke Hebron, lebih tepat lagi di masjid Khalil al-Rahman, masjid yang menempatkan makam Nabi Ibrahim a.s.

Ada orang bertanya pada saya..

“Habis tu, makam Ibrahim di depan Kaabah tu, bukan kubur Nabi Ibrahim ke..?”

Sebenarnya, makam Ibrahim di depan Kaabah itu adalah tempat Nabi Ibrahim berpijak ketika membangunkan Kaabah, bukan kubur baginda.

IMG_9031

Sambutan di sini sangat meriah, ribuan membanjiri masjid Khalil al-Rahman. Mereka tidak boleh ke al-Aqsa, jadi mereka berkumpul di sini,

IMG_9032

Kala ini tentera Israel memperketatkan kawalan kerana ramai orang berkunjung ke sini.

IMG_9038

Kadang kala tentera akan menutup pintu masuk sebentar menyebabkan ada orang yang marah-marah dan mula melompat pagar besi, tempat tentera berkawal.

IMG_9040

Setiap orang diperiksa dan diperhatikan, ada “metal detector” yang mengesan jika ada orang yang membawa barang logam.

IMG_9041

Selepas melalui “metal detector”, kami melalui pula pemeriksaan secara manual oleh tentera Israel.

tentera mempunyai keputusan sama ada ingin membenarkan orang masuk atau tidak.

IMG_9047

Di dalam masjid Khalil al-Rahman, ramai orang berkumpul dan mereka menunaikan solat berjemah. Selepas solat imam memberikan pengumuman….

“Sambutan Maulid besar-besaran akan kita buat esok…”

IMG_9054

Para muslimah juga tidak kalah bilangannya menghadiri  majlis maulid ini.

IMG_9059

Kanakaa-kanak juga turut hadir. Setiap lapisan masyarakat berkumpul membaca selawat pada Nabi dan Zikir pada Allah.

IMG_9063

Kesempatan yang  ada, terdapat juga yang membuat kelas-kelas agama untuk pengunjung.

Begitulah meriahnya sambutan Maulid Nabi di Kota Hebron Palestin…

“Pengalaman Asas Hikmah”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

National Hotel Jerusalem

Ahad 12 Rabiul Awal 1433/5 Febuari 2012 jam 12.15 tengah malam.

Jom Kongsi Pengalaman 90 – “Makam Nabi Zakariya”

Nabi Zakariya adalah seorang Nabi Bani Israel yang namanya disebut sebanyak 6 kali di dalam al-Quran.

Baginda berdakwah dengan kaumnya tetapi akhirnya kaumnya membunuhnya dengan mengergaji dirinya sehingga badan baginda terbelah dua.

Di lembah Wadi Nar di Jerusalem, terdapat makam Nabi Zakariya dan memandangnya menjadikan kita terkenang bagaimana kesungguhan baginda berdakwah pada kaumnya.

Semoga kita menjadi orang yang gigih berdakwah seperti Nabi Allah Zakariya ini, amin..

“Pengalaman Asas Hikmah”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

National Hotel Jerusalem

Sabtu 11 Rabiul Awal 1433/4 Febuari 2012 jam 11.30 malam

IMG_9022

Makam Nabi Zakariya di Wadi Nar di Jerusalem

Saturday, February 4, 2012

Jom Kongsi Pengalaman 89 – “Demontrasi di al-Aqsa..”

3 Febuari 2012, saya dan jemaah ke al-Aqsa sejak jam 10 pagi lagi.

DSCN6226

Di al-Aqsa, kami dihidangkan dengan manisan. Saya difahamkan, manisan ini hanya dibuat sempena dengan maulid Nabi sahaja.

DSCN6212

Solat jumaat di al-Aqsa memang mengujakan. Keadaaan susah di sini menjadikan mereka lebih bersungguh di dalam ibadah. Setiap perkataan dikaitkan dengan pergantungan pada Allah.

DSCN6213

Selepas solat, ada seorang bangun memberikan ucapan dengan bersemangat. Dia memberikan protes terbuka kepada pemerintah Syria yang semakin banyak menembak rakyatnya.

DSCN6216

Mereka melaungkan kata-kata semangat. Walaupun untuk masuk ke al-Aqsa, semua orang terpaksa melalui pemeriksaan tentera Israel, tapi mereka lepas dan dapat membawa sepanduk untuk demontrasi.

DSCN6217

Demontrasi di al-Aqsa berlalu selama setengah jam dan ketika itu askar Israel telah mula berada di sekitar al-Aqsa, mungkin sebagai persediaan jika berlaku keganaasan.

Walaubagaimanapun, keadaan di Jerusalem adalah aman dan tidak ada yang perlu dirisaukan.

“Pengalaman Asas Hikmah”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

National Hotel Jerusalem

Jumaat 10 Rabiul Awal 1433/3 Febuari 2012 jam 11.50

Bicara Ilmu 50 – “Kisah Kecintaan Said al-Musayyab Pada Nabi SAW..”

Jumaat 3 Febuari 2012, saya dan para jemaah datang agak awal ke masjid al-Aqsa untuk menunaikan solat Jumaat. Kami sudah berada di al-Aqsa jam 10 pagi. Pagi ini telah ada kuliah di al-Aqsa. Ulama Jerusalem bergilir-gilir memberikan kuliah mengenai kecintaan pada Nabi SAW. Ia sempena dengan Maulid Nabi SAW.

Pembesar suara di buka kuat, sekitar Jerusalem dapat mendengar kuliah mengenai Nabi SAW.

Ingin saya kongsikan satu kisah yang dikuliahkan oleh Syeikh Abu Yusuf Sunainah, Imam pertama masjid al-Aqsa.

“Seorang Tabien bernama Said ibn al-Musayyib, (beliau adalah menantu kepada Abu Hurairah) ketika hampir pada kewafatannya, beliau minta anak-anaknya mendudukkannya dan beliau berkata, aku terlalu rindu dengan Nabi SAW dan aku ingin berselawat pada baginda, tetapi aku tidak mahu berselawat dalam keadaan berbaring, aku ingin berdiri atau dudukkan aku..”

Beginilah oarng terdahulu mencintai Nabi hingga tidak pernah lekang ingatan mereka pada junjungan mulia Nabi SAW.

“Ilmu Asas Amal”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

National Hotel Jerusalem

Jumaat 10 Rabiul Awal 1433/3 Febuari 2012 jam 11.40.

Diari 352 - “Al-Aqsa Di Hati..”

“Ustaz, alang-alang dah ke Jordan, marilah masuk ke Petra” kata salah seorang ahli jemaah yang saya bawa mencadangkan agar saya membawa jemaah ke kota tinggalan Kaum Nabatien.

Sebenarnya, kalau perjalanan ke Palestin ini, walaupun melalui Jordan, saya lebih suka menghabiskan masa di Palestin terutamanya masjid al-Aqsa. Tiga alasannya.

Pertama kerana ia berkaitan langsung dengan ibadah kita, Nabi mengatakan bahawa solat di al-Aqsa bersamaan dengan 500 kali solat.

Kedua, saya mahu kita rasakan al-Aqsa sebagai kampung kita sendiri. Kalau hanya dua atau tiga hari di sini, tidak mencukupi. Apabila kita duduk betul-betul di kota Jerusalem, pagi-pagi boleh berqiamullail di sini, berjalan dilorong-lorong “Old City Of Jerusalem”, kemudian menerokai sejarah-sejarah Jerusalem dan kota sekitarnya yang berkaitan dengan Islam, kita akan dapat meningkatkan penghayatan sejarah Islam lebih 40% lagi. Itu yang berlaku pada diri saya sendiri.

Ketiga, masuk ke Palestin memang susah. Ia berada di bawah kawalan Israel. Belum tentu masa akan datang kita berpeluang untuk ke sini. Jadi, sementara boleh masuk. Habiskan masa betul-betul di sini. Tempat lain kita tiada halangan untuk pergi, tetapi ke sini memang agak terhad.

2 Febuari 2012, saya dan rombongan telah sampai di Jordan. Selepas sarapan pagi, kami bertolak ke King Hussain Bridge. Jam 10.10 pagi, kami melintasi border. Di border ini adalah satu tempat yang agak memberi tekanan. Seorang dari kami tertahan hampir 3 jam. Alhamdulillah, semuanya selamat.

Kami terus ke kota Jericho, kota tertua dan terendah di dunia, ia terletak berhampiran dengan laut mati. Menikmati makan tengah hari di sini sungguh menyelerakan lebih-lebih lagi sekarang tengah musim sejuk. Suhu kala ini sekitar 4 darjah celcius.

Selesai makan kami terus ke kota Jerusalem. Satu pemandangan yang pasti menitiskan air mata ialah ketika kami melintasi terowong. Saya mengambil pembesar suara dan mengajak jemaah sama-sama bertakbir seakan takbir hari raya. Habis sahaja terowong saya meminta para jemaah memandang di sebelah kiri dan ketika itulah, satu pemandangan yang akan menyebabkan hati kita tersentuh, itulah al-Aqsa yang lama dirindui oleh setiap hati-hati umat Islam. Satu bumi barakah yang disebut di dalam al-Quran dan bumi Syahid hingga hari kiamat.

“Saya suka mengajak kita semua ke sini kerana saya suka kongsikan perasaan pertama menatap masjid al-Aqsa yang berkat ini…”

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

National Hotel Jerusalem

Jumaat 10 Rabiul Awal 1433/3 Febuari 2012 jam 11.00 malam

Friday, February 3, 2012

Diari 351 – “Catatan Perjalananku kali ke 5 al-Aqsa..”

1 Febuari 2012, hari ini jam 10.20 malam saya akan ke al-Aqsa. ini adalah kali ke lima saya ke al-Aqsa, seperti ke Mekah, masjid al-Aqsa sentiasa menjadi satu tepat yang rindui. Tidak jemu datang lagi dan lagi. Ketenangannya membenarkan firman Allah bahawa bumi ini adalah bumi yang diberkati Allah.

Cuma tarikh perjalanan kali ini sengaja dipilih kerana saya ingin menyambut Maulidur Rasul bersama ulama Jerusalem dan saya mahu lihat bagaimana orang di sini memuliakan Nabi SAW.

Perjalana kali ini juga merupakan perjalanan yang panjang saya meninggalkan Malaysia. Ini kerana, rombongan yang saya memimpin ke al-Aqsa ini akan pulang ke Malaysia pada 8 haribulan sedangkan saya akan meneruskan perjalanan ke Mesir pula.

Di Mesir saya akan duduk selama 2 minggu untuk menyiapkan rakaman usrah TV9. Krew TV9 akan bertolak ke Mesir pada 7 haribulan Febuari dan kami akan bertemu di sana.

Seperti biasa, sehari sebelum bertolak, jadual saya memang agak padat, menyelesaikan urusan rumah HIV, rumah anak yatim dan juga Maahad Sains al-Quran al-Amin.

Saya sampai di lapangan terbang KLIA jam 7.15 petang. Ramai jemaaah saya telah ada di sini. Selesai solat Maghrib, saya memberi taklimat ringkas pad jemaah.

Di dalam memimpin jemaah ke al-Aqsa ini, apa yang paling mendebarkan ialah kelulusan Visa untuk masuk. Oleh kerana al-Aqsa di bawah jagaan Israel, maka mereka mempunyai kata putus untuk membenarkan siapa-siapa untuk masuk atau tidak. Tetapi kita sebenarnya beruntung kerana orang Melayu setakat ini tidak mempunyai masalah di dalam kebenaran masuk ke Palestin.

Tempat duduk saaya kala ini ialah 30C. Kapal yang saya naiki ini meninggalkan KLIA pada jam 10.30 menuju ke Bangkok. Berhenti sebenatar di Bangkok selama sejam, kami meneruskan perjalanan ke Amman Jordan.

Kami sampai di Jordan jam 5.30 pagi waktu tempatan. Keluar dari lapangan terbang kami singgah sarapan dan terus menuju ke border Jordan-Palestin.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

National Hotel Jerusalem

Jumaat 10 Rabiul Awal 1433/3 Febuari 2012 jam 4.20 petang

Bicara Ilmu 49 – “Kelebihan Solat Jumaat..”

Hari Jumaat memang penghulu hari bagi orang Islam. Kalau orang Yahudi, penghulu harinya adalah hari Sabtu manakala orang Kristian pula penghulu harinya adalah hari Ahad.

Banyak kelebihan hari Jumaat seperti yang disabdakan oleh Nabi SAW.

Kebetulan, saya ada membahaskan mengenainya di dalam kuliah Zohor di TV Hijrah.

InsyaAllah, semoga dapat dimanfaatkan bersama.

“Ilmu Pelita Hidup”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

National Hotel Jerusalem

Jumaat 10 Rabiul Awal 1433/3 Febuari 2012 jam 4.00 petang

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...