Wednesday, August 19, 2009

Universiti Kehidupan 107 - 4 Pesanan Nabi

Saya melalui aliran alur-alur parit. Kelihatan anak-anak kecil mandi manda di dalamnya. Suasana sangat damai dan tenang. Gelung-gelung sawah baru sahaja mulai ditanam dengan anak-anak padi.Beginilah suasana di perkampungan di Tanjung Karang.

Saya memenuhi ceramah sempena kehadiran Ramadhan pada 15 Ogos 09 jam 3.30 petang.

Pengerusi memulakan muqaddimahnya. Saya melihat wajah-wajah penduduk di sini. Penuh minat dan bersungguh untuk mendengar ceramah.

Saya membawakan tajuk empat perkara, antara yang paling banyak dipesankan oleh Nabi kepada para sahabat.

Empat perkara ini ialah :-

1. mengenai masa.

Masa merupakan umur kita dan ia tidak akan kita temui lagi jika telah berlalu. Sebab itu dalam al-Quran sendiri, banyak Allah bersumpah dengan menggunakan masa.

Nabi selalu berpesan agar masa yang kita lalui jangan kita lalui denga perkara yang sia-sia. Begitu juga, jangan masa yang kita lalui, kita lalui dengan perkara yang mengundang kemurkaan Allah. Selain itu, Rasul juga berpesan agar janganlah kita melalui masa dengan perkara yang merungsingkan kita seperti, sangka buruk, rasa hasad dengki, rasa rendah diri dengan unsur keduniaan dan sebagainya.

2. Mengenai amalan

Hendaklah kita melalui masa dengan meningkatkan amalan kita.

Yang wajib hendaklah ditingkatkan
Yang haram, hendaklah kita tinggalkan
Yang sunat, hendaklah banyakkan
Yang Makruh, hendaklah kita hindarkan

3. Mengenai keimanan.

Kenapa manusia selalu rungsing, risau, tidak tenang dan sebagainya. Mereka bersifat demikian kerana selalu lupa Allah.

Dunia yang sepatutunya dijadikan alat untuk mengenal Allah, dijadikan matlamat. Akhirnya, matlamat yang tidak berpenghujung ini merungsingkan kita.

Sebab itu, banyak ayat, menyuruh kita bertaqwa, beriman dan mengingati Allah. Dan kelebihan orang yang mengingati Allah, Allah akan kurniakan ketenangan di hatinya.

4. Mengenai sifat kehambaan.

Ramai orang yang memperhambakan dirinya kepada dunia. Dia rasa pangkat itu penting, maka dia memperhambakan diri kepada pangkatnya, akhirnya, dengan pangkat dia terhina. Ada orang yang memperhambakan diri dengan harta, dengan wang ringgit, dengan perempuan dan sebagainya.

Dia lupa bahawa, memperhambakan diri kepada dunia akan membawa kehinaan. Yang lebih jauh dari itu, memperhambakan diri kepada dunia akan membawa seseorang itu hina di akhirat.

Inilah, empat perkara, antara yang paling banyak dipesankan kepada Nabi kepada kita umatnya. Ia supaya kita mulia di dunia dan mulia di akhirat.

Alhamdulillah, majlis selesai dengan sempurna. Saya dijamu dengan kuih masyarakat setempat.

“Ustaz pernah makan ni tak” kata seorang makcik ketika menghidangkan Wedai Kepeng kepada saya. Ia macam pengat dengan kuah manisan.

“Mmm, macam tak pernah” kata saya melihat kuih dari budaya Banjar ini.

Makcik-makcik di sini, membu ngkuskan saya makan-makanan yang mereka masak, sambil berbual dengan saya dengan penuh mesra.

Sempat mereka mengajar saya jenis beras yang ditanam di kampung ini.

“Ustaz, kami di sini menanam padi jenis MR 219 dan MR 220. Tanam padi ni banyak musuhnya. Waktu nak tumbuh kena makan dengan ulat lengai, dah tumbuh ada ulat yang makan daun dan tangkai padi. Kena selalu jaga dan bubuh racun Uria” kata salah seorang dari mereka pada saya.

Inilah budaya di kampung , lebih mesra, ramah dan rasa persaudaraan yang tinggi.

Semoga, dakwah akan terus masuk ke seluruh pelusuk masyarakat, dari bandar ke kampung, dari buaian hingga ke liang lahat.

Jika Islam itu sifatnya global, maka dakwah juga perlu menyeluruh dan global. Semua kita adalah pendakwah, dan semua pendakwah perlu bersungguh di dalam usahanya.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam, 19 Ogos 09 ,
jam 11.47 malam
Pengerusi memulakan majlis
Ahli kampung
makanan tradisi orang Banjar
Saujana mata memandang
anak-anak kita
tanam padi




Cempedak Tanjung Karang

2 comments:

PINATBATE said...

kat kampung mana ni Ustaz?
saya pun asal Tanjong Karang juga

Anonymous said...

salam ustaz sape yang tangkap gambar nie..ustaz kew..em lawa la..ade khusus mane2 ke jd fotograf