Di antara amalan di bulan Ramadhan ialah beriktikaf di masjid. Suasana di dalam masjid al-Aqsa sangat meriah, ramai orang yang datang beriktikaf di sini.
Saya merenung orang yang beriktikaf di dalam masjid ini, hati saya berbisik:-
"Kan bagus kalau masjid di Malaysia pun makmur seperti ini.."
Ya. manusia perlukan rehat bukan sahaja pada badan tetapi pada roh dan juga akal. Kalau badan tidak rehat maka kita akan penat, tetapi jika roh tidak rehat seseorang akan mudah gelisah dan hilang ketenangan, jika akal tidak rehat, manusia mudah untuk stress.
Cuba lihat statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai kadar rakyat Malaysia yang stress, mmm..., agak membimbangkan.
Dengan beriktikaf, manusia akan dapat merehatkan bukan sahaja badan, tetapi yang penting adalah roh dan akal mereka.Iktikaf tidak semestinya sepanjang hari, hanya waktu malam pun memadai. Konsepnya mudah sahaja, dari tidur di rumah kita ubah jadikan tidur di masjid.
Di al-Aqsa ini, ada seorang budak, namanya Ishak, umurnya sebelas tahun, jika saya datang ke al-Aqsa ini dia memang selalu akan bersama saya, mungkin rasa selesa dengan saya yang kononnya macam abang-abang bagi dia.
Satu malam, Ishak mengikut saya ke balik ke hotel, bersama saya kala ini adalah ibu dan adik-adik saya. Saya berkata pada Ishak..
"Mari makan ice cream..."
Memang dekat dengan hotel kami terdapat kedai menjual ice cream.
Sambil makan ice cream ini, kami menempah ayam goreng, barang kali macam "moree" selepas solat tarawikh di Malaysia.
Sambil makan kami berbual-bual. Jam menunjukkan jam 11.45 malam.
Tiba-tiba, Ishak meminta izin untuk beredar, saya berkata padanya..
"Nak balik rumah ke?"
Dengan spontan Ishak menjawab..
"Tak lah, nak ke al-Aqsa, saya nak beriktikaf sampai pagi..."
Kami semua tergelak bercampur kagum mendengan ucapan budak berumur 11 tahun ini. Tapi inilah budaya orang di sini. Walaupun masih kecil, tapi terbiasa dengan amalan-amalan memakmurkan masjid.
Cuba kita fikir bagaimana mahu jadikan perkara ini di Malaysia....
1. Kalau nak anak-anak beriktikaf, ibu bapa kena mulakan dulu.
2. Kena beri cuti, mungkin ada yang berkata, apasal nak cuti semata-mata nak duduk masjid? Ya, jika kita nampak iktikaf itu memberi kerehatan pada minda dan roh, maka kita akan nampak keperluan ini. Kita mahukan rakyat Malaysia yang bukan sahaja nampak sihat zahirnya, tetapi juga mental dan rohnya. Cuba lihat takrifan sihat oleh World Health Organisation (WHO) sendiri, ia bukan sahaja sihat badan, tetapi termasuk dalaman dan kita sangat mengidamkan rakyat negara kita yang sihat dari semua segi.
3. Sekiranya tak beri cuti pun tak apa, sebab iktikaf boleh dibuat pada waktu malam sahaja, cuma beberapa pemimpin perlu buat sekali, ini kerana Nabi SAW menyebut, seseorang akan mengikut agama pemimpinnya.
4. Pihak pengurusan masjid perlu buat tabung untuk penajaan sahur bagi yang nak beriktikaf pada waktu malam ini. Tabung itu juga untuk bayaran bagi pembersih masjid, jangan takut masjid bersepah dan sebagainya.
5. Kalau di masjid al-Aqsa, disediakan khemah bagi yang mahu tidur di perkarangan masjid. Ini juga boleh dibuat di Malaysia, sambungkan khemah sementara itu dengan bumbung masjid dan ia akan di kira masjid mengikut fatwa Imam as-Sayfie. Ini juga cara yang bagus jika kita risau mengenai kesucian masjid tidak dapat dijaga.
6. Akhir sekali, kena buat kempen sebab manusia akan terikut apa yang selalu disebutkan pada dia. Kalau kempen bayar zakat dibuat sampai ada dipapan tanda jalan raya, iktikaf juga demikian.
Mudah-mudahan pengamalan Islam semakin baik di negara tercinta ini, sesungguhnya saya sangat percaya bahawa hanya dengan agama, dengan tafsiran yang tepat dan realiti menjadikan kehidupan manusia semakin baik dan baik.
Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat
al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Jerusalem
2 Ogos 2013
Ishak dengan anak saudara saya (Abdullah Zaidan) yang ikut pada rombongan kali ini
Budaya beriktikaf di masjid yang penuh barakah ini.
Anak kecil berumur 11 tahun pun telah terbiasa dangan amalan iktifar.