Sunday, October 31, 2010

al-Ijabah 76 – “Akan Ku Usahakan Yang Terbaik Wahai Anakku….”

“Tahan… tahan..” bisik hati saya.

“Saya telah berusaha sedaya upaya” kata Doktor Lim.

Hati saya semakin berdebar…

“Kenapa pulak Dr.Lim ucapkan perkataan ini? Bisik hati saya.

“Pembedahan tidak dapat dibuat, sudah agak terlambat” Doktor Lim menambah lagi.

Kali ini saya tidak dapat menahan lagi, air mata saya mula bertakung di kelopak. Mungkin Dr. Lim tidak perasan atau buat-buat tak perasan.

Perlahan-lahan saya menyapunya dengan jari kecil saya.

“Ya Allah, ada juga hambamu yang kamu uji semaksima seperti ini” bisik hati saya.

Saya cuba mengawal reaksi saya agar tidak dilihat oleh orang-orang sekeliling.

Hari ini 29 Oktober 2010, sekembali dari program Terengganu, sepetang saya bersama anak yatim piatu yang di bawah jagaan rumah al-Ijabah ini. Adik kecil darjah lima ini sudah tidak lagi berpeluang untuk memanggil nama ayah atau ibu kerana keduanya telah dijemput pulang oleh Allah.

Nurasyiqin, saya memang akan mudah mengingati nama ini sejak dia bersama al-Ijabah pertengahan tahun ini kerana pernah seseorang datang kepada saya dan meminta saya menamakan anaknya, dan saya telah mencadangkan dengan nama ini.

Dia sudah dua hari di hospital Gleneagles hospital di Ampang, pemeriksaan bagi jantung berlubangnya ditaja oleh NST.

Sejak mula-mula Nurasyiqin bersama al-Ijabah, saya telah berbincang dengan beberapa doktor, beberapa hospital swasta tetapi nampaknya agak lambat berbanding dengan urusan yang dibuat oleh NST.

Ibu saya yang selalu melihat keadaannya dan menjaganya seperti beliau menjaga saya sewaktu saya kecil dahulu.

Jantungnya tidak boleh dibuat pembedahan setakat ini, sudah agak terlambat, maklumlah, ketika Allahyarham kedua ibu dan ayahnya ada, mereka bukannya dari keluarga yang senang.

Untuk enam bulan mendatang, Nurasyiqin akan dibantu dengan ubat, jika setelah enam bulan, perkembangannya baik, maka pembedahan akan dapat dibuat, tetapi jika keadaannya sama, maka pembedahan tidak akan dapat dibuat.

Yang menjadikan saya cukup sebak ketika doktor memberitahu menurut ilmu yang ada padanya tentang kebiasaan jangka hayat.

“Ah.. jangan percaya, umur urusan Allah” hati saya berdebat sendirian walaupun perkataan itu cukup menghiris.

Untuk lebih menenangkan hati lagi, saya cuba mengingati seorang sahabat saya yang ada penyakit yang sama, doktor mengatakan, dia boleh hidup hingga umurnya 21 tahun. Tapi sahabat saya ini telah menjangkaui telahan doktor dan masih hidup hingga sekarang.

Setelah bertemu doktor Lim, saya balik ke wad. Saya lihat wajah Nurasyiqin, cepat-cepat saya berpaling kerana terharu melihat wajahnya bersih.

Adik kecil ini mungkin tidak berapa faham keadaan dirinya. Dia kelihatan ceria melihat TV yang berada di hadapan katilnya. Saya yang mendengar taklimat doktor mengenai dirinya yang sedih.

Sedih kerana tidak mampu berbuat apa-apa setakat ini kerana pembedahan tidak dapat dibuat. Saya mendoakan agar enam bulan akan datang ada perkembangannya.

Sebelum pulang, Nurasyiqin muntah lagi, untuk beberapa ketika, dia masih lagi dipantau oleh petugas kesihatan.

Jam 5.00 petang, saya dimaklumkan bahawa Nurasyiqin boleh dibawa pulang.

Saya memandang wajahnya, bagaimana masa depannya?

“Ku serah padamu Allah, aku hanya mampu berusaha sebaiknya” bisik hati saya.

Semoga, untuk enam bulan ini, ada perkembangan baik dalam kesihatannya, amin…

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

23 Zulkaedah 1431/ 31 Oktober 2010 jam 11.30 malam

Adik Nurasyiqin, antara anak-anak kesayangan saya yang bersama di dalam al-Ijabah….

Diari 252 – “Terengganu Dan Masjid Dengan Nama Warna…”

28 Oktober 2010, Masjid Abidin (Masjid Putih) Inilah salah satunya program yang pihak pengajur hanya berhubung dengan PA saya semata-mata. Hingga tajuk ceramah pun dicadangkan oleh PA saya sahaja. Ini kerana, sejak awal bulan 10, saya memang sibuk dengan berbagai program hingga tidak sempat untuk meneliti setiap jemputan yang diterima.

28 Oktober 2010, Jam 2.50 petang, saya menaiki Firefly dari Lapangan Terbang Subang ke Kuala Terengganu. Lapangan Terbang Sultan Mahmud ini tidaklah berapa besar, tetapi, jika hendak dibandingkan, ia lebih besar dan lebih meriah dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa Kelantan.

Sesampainya saya di Kuala Terengganu, saya telah ditunggu oleh Abang Lazim, pemandu bagi Jabatan Agama Islam Terengganu.

“Malam ni, ceramah ustaz akan “on air” di Radio kan? “tanya Abang Lazim.

“Eh, saya pun tak tahu, setahu saya, ceramah biasa aje” jawab saya agak terkejut.

“Ye, ustaz, ada dalam program “Suara Masjid Radio Malaysia Terengganu” kata Abang Lazim lagi.

“Mmmm, macam mana ye, ceramah “Sejarah Islam Nusantara” yang saya mahu bawakan memerlukan LCD projektor, kalau masuk radio macam mana pendengar nak bayangkan” kata saya.

“Tak apa ustaz, ustaz buatlah macam mana pun” kata Abang Lazim.

Saya dibawa ke Pejabat Majlis Agama dulu. Di sana beberapa ustaz telah menunggu saya. Saya tanyakan lagi perjalanan program malam ini.

Kemudian, saya terus dibawa ke Hotel Grand Continental Terengganu, sebuah hotel yang hebat di sini. Saya ditemankan oleh Ustaz Syauqi, imam masjid Abidin.

“Sebenarnya, kalau nak jemput saya, tak perlu hotel macam ni, janji boleh rehat sudahlah..” kata saya sambil tersenyum.

“Ustaz, kita kena datang awal sikit, sebab saya nak pasang peralatan terutama nak pastikan audio dapat digunakan dengan baik” kata saya pada Ustaz Syauqi

“Beres… pukul 6.00 nanti kita bergerak” Kata ustaz Syauqi.

Ustaz Syauqi seorang Imam muda berumur 24 tahun, belum berkahwin. Beliau pernah mengikuti saringan program Imam Muda Astro tetapi tidak berjaya.

“Seorang pun orang Terengganu tak dapat ustaz, saya cakap pun agak pekat sikit pelat Terengganu” kata Ustaz Syauqi.

Jam 6.00 petang, kami telah berada di Masjid Abidin atau dikenali Masjid Putih. Di dalam dunia ini, hanya ada beberapa masjid yang dinamakan dengan nama warna. Antaranya masjid Biru di Istanbul, Masjid Merah (Lal Masjid) di Rawal Pindi Pakistan dan Masjid Putih di Terengganu. Ini kelebihan masjid lama penuh barakah ini. Masjid lain ada juga yang dicat dengan warna putih, tetapi tidak pernah mendapat gelaran dengan nama warna.

Krew Radio RTM Terengganu telah berada di Masjid. Mereka sibuk menyaipkan persediaan. Ceramah malam ini akan keudara secara langsung dan dapat di dengar melalui internet melalui www.tfm.gov.my dari jam 7.15 hingga 8.50 malam.

6.50 petang, masuk waktu Maghrib, azan berkumandang dan solat didirikan. Selepas solat sunat Maghrib, saya dipersilakan untuk ke hadapan. Program di pengerusikan oleh Ustaz Luqman, imam jemputan Masjid Putih ini.

Menurut AJK Masjid ini, ramai orang yang memanggil masjid ini dengan nama masjid putih kerana masjid ini dibina dari putih telur, tetapi sebenarnya, ia berasal dari nama seseorang iaitu Syed wali Putih dari Acheh. Ia dibina bersama oleh Tok Pelam Terengganu dan Syeikh Ibrahim Terengganu.

Memang orang dahulu, mereka tahu akan kelebihan membina masjid seperti yang disabdakan Nabi SAW, “Barangsiapa membina masjid kerana Allah, maka Allah akan membina baginya rumah di syurga” Sebab itu orang dulu akan berebut-rebut membuat masjid.

Ceramah Sejarah Islam Nusantara dimulakan jam 7.20 malam. Setiap kali klip video keudara, saya akan membuat komentar melalui speaker Radio agar pendengar dapat merasakan kembara setiap klip video yang ditayangkan.

Ceramah berlalu dengan sulaman petir dan hujan lebat di luar, menambahkan lagi “sound effect” Sejarah Islam Nusantara ini.

Sejarah Islam Nustara ini disusun untuk menguatkan jatidiri orang Melayu Islam terutama anak-anak muda yang lalai. Saya bercita-cita membawanya ke seluruh tanah air terutama untuk golongan muda.

Ia merupakan satu kembara sejarah termasuk pengalaman yang saya lalui di dunia yang saya lawati, pertemuan saya dengan orientalis dan sebagainya.

Malam ini, satu kepuasan dalam diri saya ketika dapat berkongsikan ceramah ini di sini.

Alhamdulillah, ceramah dapat diselesaikan dengan sempurna pada jam 8.45 malam.

Dan keistimewaan orang di sini, ketika menghantar saya ke lapangan terbang untuk pulang pada keesokkan paginya, saya dibekalkan dengan keropok Terengganu.

Syabas dan tahniah pada AJK masjid yang menjayakan program malam ini.

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

22 Zulkaedah 1431/ 30 Oktober 2010 jam 5.00 petang

Bersama imam besar Terengganu

Lapangan Terbang Kuala Terengganu

Bandar Terengganu waktu pagi

Monday, October 25, 2010

Universiti Kehidupan 171 – “Akhlak.. Manakah Asasnya…?”

“Kalaulah program “Bersamamu TV3” dibuat di sini” bisik hati saya ketika menziarahi rumah orang susah di sini. Takrifan orang susah di sini ialah orang yang betul-betul faqir kerana rata-rata orang sini susah.

Inilah keadaan di Cambodia ini.

Saya melangkah masuk rumah Mustafa, orang yang mempunyi enam anak. Barangkali rumahnya sebesar bilik anak-anak kita di Malaysia, atau besar sedikit dari  enam biji kereta disusun rapat.

Rumah kecilnya ini mempunyai satu bilik. Tinggal di dalam rumah ini 9 orang, Mustafa bersama isterinya, ibu Mustafa dan 6 orang anaknya.

Anak perempuan yang paling besar berumur 15 tahun, anak perempuan keduanya 12 tahun dan yang paling kecil 2 tahun.

Anak-anak dara yang sedang membesar juga tidur di satu ruang. Kalau di sesetengah tempat di Malaysia, rumah begini sudah tidak ada lagi dan bagi rumah flat sudah tidak diluluskan plan satu bilik kerana mungkin dan terjadi sumbang mahram.

Tetapi kejadian itu tidak berlaku di sini, kenapa?

Mustafa merupakan seorang yang buta mata sebelah kerana terkena serpihan kayu yang masuk ke dalam matanya ketika beliau bekerja menebang pokok. Sampai di hospital, doktor yang mengeluarkan serpihan itu mengeluarkan serpihan ini hingga luka matanya.Menurut Mustafa, setelah matanya dijahit, ia tidak lagi dapat melihat.

Saya memandang ke dinding rumah Mustafa, dindingnya dari buluh yang sudah terkopak sana dan sini, tetapi di dinding ini, tertampal kemas jadual waktu solat.

Terbisik di hati saya…

“Beginilah, sesusah mana pun, solat tetap dijaga, bagi anak-anaknya, solat tetapi dititik beratkan”

Ya.. itulah rahsianya, tidak pernah terjadi perkara buruk sekalipun duduk di rumah yang sempit. Pegangan kepada agama yang kuat.

Mustafa bekerja sebagai pengangkut barang dari pasar menggunakan kereta kuda uzurnya. Seluarnya sangat lusuh dengan jahitan seribu benang-benang yang lain warna dengan warna seluarnya.Tetapi ketika menghadiri solat di masjid, Mustafa akan memakai pakaian putih yang terbaik yang dimilikinya.

Di akan memimpin tangan anak kecilnya untuk dibawa ke masjid.

Ketika kami menziarahinya, seperti biasa, kami melihat aktiviti hariannya dan keluarganya. Dia memotong kayu untuk memasak nasi, tetapi ketika isterinya menyuapkan nasi ke mulut anaknya yang berumur dua tahun lebih, tidak ada lauk yang disertakan, hanya sesudu garam yang ditaburkan pada setiap suapan itu.

Tidak ada keluhan yang terdengar, selepas makan tetap mengucapkan kalimah pujian “Alhamdulillah”..

Sebagai seorang ibu, isterinya menjaga kebersihan anak kecilnya. Beliau melihat kuku anaknya yang panjang, diambilnya sebuah gunting, dan digunting kuku anaknya, tidak ada penyepit kuku, satu-satunya gunting yang dimilikinya menjadi alat untuk banyak perkara.

Pada waktu petang, anaknya akan bermain dengan anak-anak orang lain, bermain guli dan berkejaran, tetapi sampai waktu Maghrib, tak perlu dijerit, semuanya akan pulang ke rumah masing-masing.

Berbual dengan saudara Ali yang biasa menjadi jurukamera program “Bersamamu”..

“Beza ustaz, kadang kala saya tukang ambil gambar program “Bersamamu”, orang susah di negara kita, kadang kala mengucapkan pun tak ingat”

“Kadang kala saya yang ambil gambar ni pun, rasa macam angin juga tengok” kata saudara Ali lagi.

Kalau dah mengucapkan pun tak ingat, usah tanya soal solat. Kalau solat pun diabaikan, maka tidak pernah ada rasa untuk ingatkan Allah, dan apabila orang tidak ingatkan Allah, maka banyak perkara maksiat boleh berlaku.

Itu yang banyak berlaku. Orang susah yang tidak beriman menyumbang kepada gejala sosial. Orang susah tidak beriman paling banyak sumbang mahram, paling banyak bekerja di rumah urut, paling banyak jadi pelacur, paling banyak mencuri, paling banyak menghisap dadah.

Yang kaya tidak beriman dengan caranya di dalam jenayah kolar putih.

Tidak ada orang yang dapat menafikan bahawa agama menjaga manusia menjadi baik, tetapi biasanya agama tidak dimulakan dari awal.

Anak dah mengandung luar nikah, baru cari ustaz yang ada pondok agama, anak dah tak boleh pakai dekat sekolah kebangsaan baru nak hantar sekolah agama.

Bagus dan tak salah, tapi alangkah baiknya jika agama dimulakan sejak awal. Kan lebih bagus.

Tapi tak ramai orang yang mempunyai pemikiran demikian.

Waktu sekarang tidak seperti zaman dahulu, kalau kita nak anak kita mahir dalam bahasa Inggeris, kita boleh hantar mereka ke tuisyen yang hebat-hebat dan dalam beberapa bulan, dia pasti akan dapat bertutur dengan fasih.

Kalau nak anak kita hebat dalam apa-apa mata pelajaran, kita boleh hantar dia kepada guru-guru hebat.

Kita nak pelajaran, kita boleh dapatkan dan tak perlu risau.

Tetapi, tidakkah kita bayangkan, jika anak kita rosak akhlaknya, tidak mudah untuk dipulihkan sikap dan peranginya?

Belum tentu seorang ustaz yang hebat dapat memulihkan akhlak seseorang yang rosak akhlaknya.

Merenung wajah Mustafa memberi keinsafan. Walaupun dia miskin harta, tetapi jiwanya cukup kaya dengan iman dan anak-anaknya juga terdidik untuk memegang agama dengan baik.

Semoga kita selalu mendahulukan pendidikan agama untuk diri dan anak-anak kita, semoga Allah terus anugerahkan kita akhlak yang baik seperti mana akhlak orang-orang yang soleh terdahulu, amin…

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Phnom Penh

17 Zulkaedah 1431/25 Oktober 2010 jam 11.00 malam

IMG_5917

Rumah Mustafa yang sangat uzur

IMG_5887

di dalam rumah ini tinggal seramai 9 orang

IMG_7517

Mustafa juga menjga ibunya yang telah tua, tidak diabaikannya, berbeza dengan anak sekarang yang terlalu sibuk bekerja hingga kadang kala tidak pernah rasa bersalah meletakkan ibu di rumah orang tua

IMG_5182

Wajahnya tidak pernah kusut dengan masalah, tenang dan sentiasa bersemangat mencari nafkah untuk keluarganya

IMG_5180

Inilah rahsia paling ampuh yang telah dilupakan, menjaga waktu solat untuk memastikan diri terjaga dari kehinaan dan maksiat

IMG_5892

Tanggung jawab ibu yang menjaga kebersihan anaknya, dengan berlantaikan buluh yang dibelah menjadi lantai, tidak pernah lari dari rumah meninggalkan suami kesusahan

IMG_5896

Berlaukkan garam, tetapi tetap sentiasa bersyukur pada setiap kali habis makan.

IMG_7539

Anak kedua Mustafa, tetapi menjaga auratnya sekalipun umurnya baru 12 tahun

IMG_5852

Antara aktiviti harian Mustafa

IMG_5873

Orang di sini susah bukan kerana malas, tetapi kerana ruang kerja tidak menjajikan pulangan yang besar

IMG_5863

Seribu jahitan di seluar, tetapi ketika ke masjid, dia memakai pakaian yang paling baik yang dia ada

IMG_7551

Antara kerja Mustafa, menjadi penghatar barang dari pasar ke rumah-rumah

Universiti Kehidupan 170 – “Bermainlah nak, tapi nanti pulang waktu Maghrib ye…”

“Syeikh, pernah tengok tak benda ni?” kata saya pada Saudara Ali, jurukamera kami ketika ini.

Saya menunjukkan satu permainan tradisional dari buluh, ia seperti sebuah pistol kerana boleh menembak dengan peluru kertas basah.

Dulu waktu saya kecil, saya pernah bermain benda ni, kadang kala cukup dengan menggunakan pen dan kulut buah duku yang keras.

Saudara Ali tergelak besar..

“Haa haa, apa orang panggil ni” dia cuba mengingatkan nama permainan ini.

“Mmm, suntut.. aaa suntut” katanya.

“Ana tak tahulah apa tempat anta panggil, tapi waktu ana kecil dulu orang panggil “selotop” kata saya.

“Aaaaa, betul-betul , selotop” kata saudara Ali.

Kanak-kanak di sini bermain selotop dengan penuh riang, ia mengimbaukan zaman kanak-kanak saya ketika di Johor dulu. Tidak seperti kanak-kanak sekarang yang khusyuk dengan PS 1, computer dan game tembak menembak.

Walaupun mereka sibuk bermain, tapi sebelum waktu Maghrib, pasti semua telah berada di rumah, macam kita dulu-dulu.

Anak-anak sekarang ni, mmmm….

bukan maghrib, pukul 12 malam pun ada yang tak balik lagi. Sebab mak ayah pun balik malam juga.

Perbezaanya, mereka bermain, seperti fitrah kanak-kanak di tempat lainnya, tetapi, sampai waktu sembahyang, mereka berhenti dan pandai untuk bersama orang tua memenuhi masjid.

Sebab itu, ada anak-anak kita bermain, dan terus jadi lalai, tapi anak-anak di sini, bermain tetapi tetap dapat menjaga diri dari gejala tidak sihat.

Sebab, ada anak kita bermain dan terus lupa Allah, tapi anak mereka bermain, tetapi sampai waktu membesarkan Allah, mereka terus meninggalkan permainan mereka

Mari kita berkongsi permainan tradisional di sini.

IMG_5083

Ini antara permainan paling canggih, pistol buloh dengan kertas basah atau dipanggil “selotop”

IMG_5136

Sungai juga antara tempat permainan mereka

IMG_5152

Pertandingan getah

IMG_5452

Kalau ditempat kita, permainan ini kita panggil “ting-ting”

IMG_5747

“Ooo som…” pun ada juga, tapi di sini istilahnya lain

IMG_5754

Permainan lompat getah

IMG_6008

lompat getah dalam skala yang kecil

IMG_6069

main guli

IMG_6012

dan bola sepak secara kecil-kecilan…

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

al-faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Phnom Penh

17 Zulkaedah 1431/25 Oktober 2010 jam 9.00 malam

Universiti Kehidupan 169 – Kisah Kasih

Secara fitrahnya, memang manusia ini mempunyai perasaan mengasihi dan ingin dikasihi. Fitrah ini disuburkan lagi di dalam Islam, di dalam hadis, kita boleh jumpa apa kata baginda SAW mengenai kasih ini:-

Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi sudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri (Sahih al-Bukhari kitab al-Iman)

Orang yang hatinya penuh dengan kasih sayang akan mudah mengasihi orang lain tetapi orang yang hatinya penuh dengan kebencian akan mudah membenci orang lain.

Saya berjalan di kota Pnom Penh dan saya melihat beberapa situasi yang menyentuh hati. Antaranya seorang anak yang memimpin ibunya dengan kerusi roda, sekali sekala, dia akan memimpin ibunya berjalan di tepi sungai Mekong ini.

IMG_4695

Itulah fitrah manusia dan Islam menyuburkan lagi fitrah ini hingga di dalam hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Nasai bahawa:-

Syurga itu di bawah telapak kaki ibu

Imam al-Sakhawi telah berkata bahawa sifat tawadhuk (merendahkan hati) terhadap ibu adalah sebab untuk masuk ke dalam syurga (Syarah Sunan Ibu Majah li Sanadi).

Situasi kedua saya melihat sebuah keluarga yang mempunyai anak yang sakit, berjalan di kota Pnom Penh dengan memegang kayu yang tergantung air untuk dimasukkan ke dalam tangan anaknya. Begitu pula kasih seorang ayah terhadap anaknya. Hospital di Phnom Penh ini  sangat daif, orang beratur hampir setengah kilometer untuk mendapatkan giliran rawatan.

IMG_6176

(orang beratur hingga setengah kilometer atau lebih untuk menunggu giliran rawatan)

IMG_4814

(selepas mendapatkan rawatan, mereka akan pulang dengan apa yang ada)

Pernah satu ketika seorang melihat Nabi SAW bergurau dengan cucunya Hasan dan Hussain, maka orang ini mengatakan bahawa beliau mempunyai anak tetapi tidak pernah bergurau seperti Nabi, apa kata Nabi SAW:-

Barangsiapa tidak mengasihi tidak akan dikasihi (Sahih al-Bukhari di dalam kitab al-Abab bab Rahmah al-Walad)

Perlunya kita menyuburkan kasih sayang sesama manusia memang dianjurkan di dalam Islam. Ini kerana Islam adalah agama persaudaraan dan kasih sayang.

Tetapi apa yang berlaku sekarang ialah kasih sayang semakin pudar. Tidak sedikit sekarang ibu dan ayah merana kerana sikap anak yang derhaka pada mereka, bukan sekadar dengan perkataan, tidak sedikit yang dengan menyakiti fizikal.

Tidak sedikit juga ibu bapa yang mendera anak-anak. Belum yang kena buang, kena sangkut di pagar masjid, kena buang dalam tong sampah dan sebagainya.

Ini menandakan, fitrah kemanusiaan semakin rosak. Kita perlu membentuk balik fitrah asal manusia ini dengan iman dan ilmu.

Berbalik pada agama bermakna kita memahaminya dan menghayatinya hingga melahirkan amalan. Usaha untuk taat inilah yang akan mengudang kasih sayang Allah pada kita.

“Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Kampung Pas Negeri Kampung Cham, Cambodia.

13 Zulkaedah 1431/21 Oktober 2010 jam 7.00 pagi

IMG_4683

Seorang ibu yang berusaha melintasi jalan di tengah hiruk pikuk jalan Phnom Penh

IMG_5242

Seorang isteri yang memimpin tangan suaminya yang telah uzur

Jom Kongsi Pengalaman 63 – Kisah Penjaga Lembu

Hari ini, kita akan bicarakan kisah penggembala lembu. salah satu pekerjaan terkenal di kampung-kampung di Kemboja ini.

IMG_5078

Pengembala lembu di sini bukanlah dibuat secara besar-besaran. Satu keluarga mungkin hanya ada dua tiga ekor sahaja, dan bagi orang Islam, mereka akan memelihara lembu untuk  dijual pada hari raya korban. Menurut orang kampung di sini, sekilo lembu berharga 17 ribu real bersamaan RM 16. Tapi rata-rata orang kampung di sini mempunyai pendapatan RM4 sehari, memang tak akan mampu nak makan daging, hanya tunggu waktu korban sahaja.

IMG_5063

Ada dua kaedah memelihara lembu di sini, sama ada lembu dipelihara berdekatan dengan rumah, kaedah ini memerlukan tuan lembu mengambil rumput dari tempat lain dan dihimpunkan di kandang ini. Lembu akan memakan rumput kering

IMG_5071

Pengembala akan mengambil rumput dari kawasan yang lain dan adakalanya terpaksa menaiki sampan untuk mengambil rumput

IMG_5109

Mereka akan mengangakat rumput yang disabit ke tempat lembu

IMG_5101

rumput akan di kumpulkan dan dikeringkan

IMG_5387

rumput-rumput kering akan dihimpunkan hingga menjadi banyak, sebagai stok makanan lembu

IMG_5374

Lembu-lembu ini akan makan dari tempat himpunan rumput kering ini.

IMG_5093 

Kaedah kedua adalah dengan membawa lembu ke padang ragut, dan di sini kita akan melihat lembu berenang ke seberang sungai Mekong yang dalam. Tuan lembu akan mengekori dengan menaiki sampan

IMG_5231

Bagi lembu yang belum boleh berenang akan dibawa dengan sampan

IMG_5137

Bagi lembu-lembu, ada yang masih takut dengan air dan ada yang sudah begitu teruja untuk berenang sehingga dia yang akan menarik tuannya untuk turun ke sungai

IMG_5139

Biasanya, rumah di kampung ini tepi sungai, jadi air minuman lembu hanya perlu menyeliakannya ke sungai

IMG_5146

tuan lembu juga akan memandikan lembu-lembu mereka

IMG_5147

Inilah antara rutin pengembala lembu di Kemboja

IMG_5050

Lembu akan dijual ketika hari raya korban.

“Pengalaman Membentuk Kematangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Kampung Pas Negeri Kampung Cham, Cambodia.

13 Zulkaedah 1431/21 Oktober 2010 jam 7.00 pagi

** disiarkan dari Phom Penh

Jom Kongsi Pengalaman 62 – “Anak Muslim Kita….”

Kali ini, mari kita kongsi gelagat anak muslim kita

IMG_5132

Anak-anak nelayan, mereka biasa melihat ikan-ikan besar dari jaring ayah mereka, tetapi mereka jarang merasanya kerana ikan besar biasanya akan dijual. Jadi hanya ikan kecil yang di bawa balik ke rumah

IMG_5120

Anak muslim kita

IMG_5114

IMG_5118

IMG_5113

IMG_5131

Menurut Faizin, bekas pelajar KUIS di Malaysia yang sama-sama dalam perjalanan ke Negeri Kampung Cham ini,  kaedah orang sunat di sini ialah akan datang doktor  di kampung dan mereka akan kumpul 10 orang satu rumah untuk bersunat. Tok Mudim sudah kurang berperanan di sini.

IMG_5159

Wajah riang anak muslim, keceriaan dengan iman dan terletak di bahu mereka tanggung jawab menjaga agama bagi generasi mereka. Wajah mereka ada iras dengan Melayu di Malaysia, gaya mereka akan-akan orang Kelantan, muslimah agak pandai bergaya.

IMG_5171

Apa agaknya  yang difikirkan oleh adik ini di celah-celah papan dinding rumah

IMG_5149

 IMG_5127

Antara aktiviti anak kampung, mencari kutu

IMG_5102

Ini kreatif anak kampung, ketika seluar yang dipakai adalah warisan dari abang, maka getah sebagai pengikat untuk menjadikannya sesuai dengan pinggang

“Pengalaman Membentuk Kematangan”

al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Anisa Guest House, Phom Penh

17 Zulkaedah 1431/25 Oktober 2010 jam 2.00 petang

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...