Wednesday, July 31, 2013

Universiti Kehidupan 248 - 10 Malam Akhir Di al-Aqsa

Perjalanan Universiti Kehidupan al-Aqsa ke 18 bermula. Perjalanan kali ini bermula pada 29 Julai sehingga 7 Ogos iaitu pada malam hari raya

 (Gambar : Buah Kurma Segar di Jericho)
 Perjalanan bulan Ramadhan tahun ini merupakan perjalanan pada musim panas. Dua perkara yang menarik apabila kita berjalan di musim panas, pertama ialah pada musim panas terdapat banyak buah-buahan. Keduanya, dari sudut pakaian kita lebih ringkas dibandingkan berjalan pada musim sejuk yang memerlukan baju yang lebih tebal.

 (Gambar : Kesegaran buah-buahan pada musim panas)
Walaupun sekarang musim panas, tetapi cuaca di Palestin tidak seperti negara Arab lain. Kedudukan geografi Palestin yang berada di kawasan Mediterranean menjadikan suasana musim panas juga nyaman. Kalau di Mekah, cuaca panas menajadikan seolah-olah kita duduk di oven.

 Jericho adalah kota buah tamar, ia besar, manis dan lemak. Inilah kelebihan buahan tanah Syam yang pernah di doakan Nabi sebagai tanah yang diberkati. Bagi ahli kitab, mereka mengatakan bumi Palestin diberkati dengan 7 jenis tumbuhan, Kurma, Tin, Zaitun, Anggur, Barli, Delima dan Gandum.

Untuk masuk ke border Israel kali ini, saya telah ditahan oleh Security Israel. Walaupun telah banyak kali datang ke sini, tapi sering kali diperiksa agak ketat. Maklumlah, kadang-kala faktor nama saya yang kebetulan sama dengan orang-orang yang dikehendaki.

Setakat ini, tiga tempat yang memang kalau saya masuk biasanya kena tahan lama sebab nama, Israel, Singapura dan Hong Kong.
 Bersama rombongan saya kali ini ialah kawan seperjuangan dalam dakwah, Ustaz Nasir dan isterinya Ustazah Asni.

Ini adalah pertama kali saya membawa rombongan ketika 10 akhir Ramadhan. Bagi orang Arab di sini, lailatul Qadar adalah satu tarikh yang telah diketahui iaitu setiap malam 27 Ramadhan dan insyaAllah kami akan berada di sini hingga malam 27 Ramadhan. Saya akan kongsikan peristiwa yang berlaku di sini insyaAllah.
Pada bulan Ramadhan, jemaah wanita akan bersolat tarawikh di Kubah Emas ini dan Jemaah lelaki akan berjemaah di masjid utama al-Aqsa.

Kami bersyukur dapat menghabiskan 10 malam akhir di sini dan semoga satu hari nanti, kita semua juga akan dapat ke sini dengan lebih mudah lagi.
 (Gambar : bersama Jemaah UK 18 di hadapan masjid Kubah Emas)

Untuk berqiamullail di al-Aqsa, jemaah lelaki akan berada di masjid utama sedangkan jemaah perempuan akan berada di bahagian bawah masjid utama.

Pintu utama masuk ke al-Aqsa akan ditutup pada jam 12 malam dan di buka semula pada jam 3 pagi, tetapi mana-mana jemaah yang memang telah berada di dalam masjid, mereka boleh terus kekal di dalam masjid untuk iktikaf dan berqiamullail.
(
 (Gambar : Bersama jemaah di Penjara Jin, satu penjara untuk para jin yang dibina oleh Nabi Sulaiman bagi memenjarakan jin yang ingkar)

Di atas penjara jin ini adalah rumah Imam al-Ghazali, beliau memulakan mengarang kitab Ihya Ulumuddin di Masjid Umawi di Syria dan menghabiskan kitabnya itu di Masjid al-Aqsa.
(Gambar : Bersama jemaah di kawasan perkuburan umat Islam)

Di tepi bahagian timur Jerusalem adalah kawasan perkuburan umat Islam termasuk kubur dua sahabat besar iaitu Saidina Ubadah bin Somit dan juga Saidina Syaddad bin Aus al-Ansari.

Saidina Syaddad telah menjadi Hakim pertama di Jerusalem dan Saidina Ubadah bin Somit menjadi guru Quran di Jerusalem ini.

"Universiti Kehidupan Pengajian Sepanjang Hayat"

al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Jerusalem
31 Julai 2013 jam 8.30 pagi

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...