Monday, August 31, 2009

Diari 105 - Kenangan Berbuka Puasa Di Masjd an-Nabawi

Kesempatan kali ini, 28 Ogos 09, saya ingin berkongsi pengalaman berbuka puasa di Masjid Nabawi as-Syarif. Walaupun, mungkin ada di kalangan pembaca yang pernah berbuka di sini, kita kongsikan juga, semoga ia menjadi ingatan bagi yang pernah melalui dan sebagi pengalaman baru bagi yang belum.

Hidangan berbuka puasa di Masjid an-Nawabi as-Syarif, mula dihidangkan selepas asar lagi. Ada banyak kumpulan yang menaja makanan berbuka puasa di sini.

Mereka berlumba-lumba menghidangkan makanan berbuka kerana mengetahui besarnya pahala memberi makan orang yang berbuka. Orang yang memberi makan orang yang berbuka puasa akan diberikan pahala puasa orang tersebut tanpa mengurangkan pahala puasa orang yang berpuasa itu.

Dari hotel lagi, telah ada orang yang akan mengajak berbuka puasa di bahagian mereka. Salah seorang jemaah saya di sini, bermula turun hotel lagi telah ada orang yang bertanya:-

“Iftar..iftar..”

Kemudian, orang itu memimpin tangannya dan dibawa terus ke dalam Masjid an-Nabawi as-Syarif, berbuka puasa ditempatnya. Kesungguhan memberi makan orang yang berpuasa seakan-akan agen-agen jualan yang mencari pelanggan untuk membeli barangan dari mereka.

Saya yang sedari Asar tidak keluar, membaca baki ayat-ayat suci al-Quran untuk dikhatamkan. Bermula Asar, mereka akan membentangkan safrah plastic untuk meletakkan makanan.

Hari ini, bandar Madinah Munawwarah dilimpahi dengan hujan yang agak sederhana lebat. Dalam masjid begitu nyaman dengan turunnya hujan.

Menurut Ibrahim Zahrani, pemandu kami di sini, dalam tiga bulan ini juga, kawasan Madinah selalu ditimpa gempa. Tempat paling kerap ialah di al-Ish, Yanbu dan Badar. Bandar Madinah sendiri gegarannya tidak banyak dan hanya dalam sebulan sekali sahaja. Tempat lain sampai meruntuhkan kawasan perumahan. Ia sekuat 4-5 scala ricter

Berbalik kisah di dalam Masjid an-Nabawi as-Syarif, tidak lama selepas itu, ada sekumpulan orang yang membawa roti dan meletakkannya di hadapan jemaah.

Selepas itu, mereka mula menghidangkan yogurt, tamar, roti kecil dan juga segelas air zam-zam dan segelas kecil kopi Arab. Di sudut yang lain, ada hidangan yang lain dari kumpulan yang lain.

Masing-masing jemaah membaca al-Quran.

6.58 petang, azan maghrib mula dikumandangkan. Mereka semua berdoa dan mula berbuka.

Selepas makan, ada orang yang membawa beg plastic besar dan mengumpulkan baki-baki roti yang ada. Kemudian, safrah plastic tadi, di gulung dan diletakkan di dalam beg plastic yang besar.

Tempat berbuka tadi automtik bertukar menjadi saf sembahyang.

Dalam 10 minit selepas itu iqamat dikumandangkan.

Semua jemaah membuat saf solat dan memenuhkan saf di hadapan.

Melihat cara pengendalian berbuka di sini, memang ada satu pengurusan yang baik. Dengan cepat, semua tempat makanan telah bertukar menjadi saf sembahyang, dan kami semua bersembahyang maghrib berjemaah.

Hari ini, imam membaca surah Quraish pada rakaat pertama dan surah al-Kauthar pada rakaat kedua. Solat yang dibuat ringkas.

Pada ketika iktidal, berhenti agak lama, dan pada ketika itu kedengaran, ramai para jemaah terbatuk dan berdehem, barangkali, buka tadi cukup kenyang buat mereka. Bagi kita orang Melayu pula, kalau belum jumpa nasi, belum dikatakan makan lagi.

Selepas solat, ada jemaah yang menunggu isyak dan ada jemaah yang pulang ke hotel.

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Hotel Fairuz Shattah
Madinah al-Munawwarah
28 Ogos 09, jam 11.00 malam

Di post dari al-Marwa Hotel Mekah al-Mukarramah 31 Ogos 09, jam 5.35 petang
Sejak Asar lagi, hidangan berbuka telah mula di hidangkan
Hidangan berbuka ditaja oleh berbagai syarikat. Setiap syarikat tidak sama hidangnya
anak-anak kecil yang membantu menghidangkan juadah berbuka
terdapat roti, tamar, yogourt dan kopi Arab
Jemaah mula berbuka
Selesai berbuka, mereka menggulung safrah plastik dan tempat ini bertukar menjadi saf solat


Plastik ini kemudian dibawa dengan troli besar ke luar Masjid an-Nabawi
Di satu sudut, lori sampah telah menunggu

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...