Saturday, February 28, 2009

Sekilas 11 - Pewartaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian - Adakah Sejarah Akan Berulang?

Masyarakat tersentak dengan isu pewartaan perkataan Allah dalam penerbitan Kristian. Saya dihujani dengan panggilan telifon sejurus sahaja selesai program di TV 9. Kesempatan kali ini, saya akan membicarakan topik ini.

Saya tidak akan membahaskan dari sudut agama. Banyak pandangan yang boleh dikemukakan dari agama dari sudut pro dan kontranya isu ini. Saya juga tidak akan membicarakan dengan bahasa politik. Saya tak pandai menilai dari sudut pandang politik, lagi pun, ramai orang telah membicarakan dari kaca mata ini.

Saya cuma ingin mengajak untuk kita melihat dari sudut sejarah dan kebiasaan manusia.

1. Ketika orang Yahudi meminta untuk diiktiraf pembelian tanah mereka di Palestin, pada awal kurun ke 19, Sultan Abdul Hamid tidak sekali-kali memberikan pengiktirafan pada mereka. Emmanuel Carasso yang bersekongkol dengan Theodor Herzl telah cuba mendapatkan izin menempatkan Yahudi di Palestin sejak 1898 lagi. Sultan tetap bertegas. Yahudi menawarkan untuk membeli ladang milik Sultan Abdul Hamid di Sancak Palestin dengan harga yang tinggi. Sultan tetap menolak. Yahudi menawarkan pula untuk menyewa tanah itu selama 99 tahun dengan harga yang cukup tinggi. Sultan tetap menolak.

“Kami bukannya mahu membuat Negara di sana, kami hanya mahu Tuan yang mulia mengiktiraf tanah yang kami hendak beli” kata Emmanuel Carasso.

“Jika ada langkah pertama, maka akan ada langkah seterusnya”, tegas Sultan.

Ketika Sultan Abdul Hamid digulingkan pada 1909, Yahudi paling gembira. Benarlah telahan Sultan,

“Jika ada langkah pertama, maka akan ada langkah seterusnya”.

40 tahun selepas kejadian ini, Yahudi bukan sahaja mendapat pengiktirafan duduk, malahan mendapat sebuah Negara.

2. Ketika British datang ke Negara kita, dia tidak pernah sekali-kali menyebut untuk menjajah. Sultan yang telah dijinakkan dengan sedikit pemberian selesa dengan pendekatan mereka. Akhirnya Sultan menerima Residen sebagai penasihat. Bermula sebagai penasihat, akhirnya segala keputusan pentadbiran mesti mendapat nasihat Residen. Seterusnya, kuasa Sultan dibataskan hanya pada agama Islam dan Adat Istiadat Melayu. Akhirnya, kita diisytiharkan di bawah jajahan British.

3. Kejatuhan Filipina terhadap Spanyol merupakan satu titik hitam kepada Islam di Timur Jauh. Sultan Sulaiman yang menguasai Manila (dahulu Fi Amanillah bermakan negeri di bawah keamanan Allah) syahid di dalam pertempuran dengan tentera Kristian ini. Bermula dengan Manila, pengaruh agama Kristian kemudiannya telah berleluasa ketika era penjajahan mereka ke atas bumi ini.

Cuba lihat contoh di atas. Bermula dengan permintaan yang kecil, ia akan membawa kepada langkah seterusnya.

Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini diberitahu bahawa penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitan berkaitan agama Kristian bukan lagi satu larangan.

Perintah tersebut berbunyi: ‘‘Percetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan sebarang dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan ‘Allah’, ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘Solat’ adalah dilarang melainkan di muka hadapan dokumen dan penerbitan itu ditulis dengan perkataan “Khusus Untuk Penganut Agama Kristian’’.

Ia satu keputusan yang kecil bagi sesetengah pihak tapi satu permulaan yang baik bagi sesetengah pihak.

Semua orang ada sudut pandang yang tersendiri. Malahan ada sesetengah ahli agama yang bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah pada penerbitan Kristian ini. Saya tidak menulis dari sudut kepelbagaian pendapat. Saya hanya mengutarakan dari sudut sejarah yang pernah berlaku.

Saya percaya seperti yang diyakini oleh Sultan Abdul Hamid. “Dunia ini mempunyai sifirnya, sejarah pasti berulang. Jika ada langkah pertama, maka akan ada langkah seterusnya”.

Friday, February 27, 2009

Diari 34 - Program Tanyalah Ustaz Di TV 9

InsyaAllah, pada esok 28 Febuari dan 1 Mac 09, saya akan bersama para penonton di TV 9 di dalam program "Tanyalah Ustaz". Tajuk perbincangan kita ialah "zuriat".

Kita boleh menghubungi tv9 untuk bertanya soalan di talian 03-77268114 atau e-mailkan di

tanyalahustaz@tv9.com.my

Dengan telifon lebih baik, sebab e-mail kadang-kadang terlalu banyak, takut tak sempat.

Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua.

Sekilas 10 - Lembu Rasuah Dan Rasuah Lembu

Pada kesempatan kali ini kita akan membicarakan mengenai rasuah.

Rasuah ialah satu perkara yang perlu kita hindarkan. Ini kerana ia perbuatan keji dan pertaruahannya adalah syurga atau neraka. Di dalam hadith Nabi saw telah bersabda:-

"Orang yang memberi rasuah dan orang yang menerima rasuah kedua-duanya di dalam neraka."

Apabila kita membicarakan mengenai rasuah, ada empat unsur penting di dalamnya yang perlu kita tahu:-

1. pemberi
Seorang yang memberi sesuatu dengan niat untuk mendapatkan sesuatu. Niatnya itu sama ada dinyatakan secara zahir atau kiasan atau umum memang mengetahui akan niat perbuatannya itu.

2. barang yang diberi
Barang yang diberi mestilah barang yang bermanfaat, berguna kepada penerima.

3. penerima
Penerima menerimanya untuk dirinya atau untuk orang lain.

4. balasan
Ada balasan yang memberi manfaat atau berguna sama ada ia dijanjikan secara jelas, atau kiasan atau umum memang mengetahui ia akan membalasnya.

Kita lihat beberapa contoh:-

Seorang penguatkuasa menangkap seorang yang bersalah, lalu yang bersalah memberi dia duit dan dengan jelas atau kiasan meminta agar dia dilepaskan, penguatkuasa menerimanya dan dia memberi perlepasan kepada pesalah itu.

Seorang perniaga memberikan sesuatu kepada pemegang projek dan dengan jelas atau kiasan meminta projek itu diberikan kepadanya, pemegang projek menerimanya dan dengan sebab itu dia memberikan projek itu kepada peniaga.

Contoh di atas adalah satu contoh rasuah yang jelas berlaku empat unsur. Jika berlaku di atas, di dalam Islam, kumpulan Hisbah (penguatkuasa) boleh mengambil tindakkan di atas perbuatan mereka untuk menjaga kebaikan masyarakat dan negara.

Jika empat elemen di atas berlaku tetapi, unsurnya tidak jelas, maka jika seseorang ingin disabitkan kesalahan rasuah, penguatkuasa perlu menyiasat dan membuktikan unsur ini, contohnya seperti.

Seorang yang memberikan sesuatu kepada seseorang. Tidak ada janji atau lafaz dia meminta sesuatu. Berlaku penerimaan. Tidak ada janji akandibalas secara zahir atau kiasan atau pemahaman umum (adat), maka, ia belum dikatakan rasuah hinggalah terbukti wujudnya elemen niat pemberi dan balasan penerima.

Sebab itu, akhirnya di dalam membahaskan perkara ini sekalipun, Nabi membawakan unsur keimanan iaitu peringatan kepada neraka. Sebagai Hisbah (penguatkuasa) ia perlu di siasat dan buktikan dengan adil dan saksama.

Di dalam kes pemberian lembu yang hebat diperkatakan baru-baru ini, maka kita lihat berlaku tak empat unsur di atas.

Adakah pemberi ada memberikan sesuatu dengan niat untuk mendapatkan sesuatu dari penerima. Niatnya itu adakah dijelaskan dengan langsung, atau secara kiasan atau umum mengetahui bahawa pemberian itu perlu dibalas.

Lembu yang diberi adakah mempunyai kepentingan kepada diri penerima.

Adakah penerima telah menerima dengan satu lafaz untuk memberikan sesuatu kepada pemberi, atau balasan itu disebutkan secara kiasan, atau umum mengetahui ia perlu dan akan dibalas.

Telah berlaku balasan itu.

Jika empat unsur ini berlaku, maka ia dikatakan rasuah dan jika empat unsur ini tidak berlaku maka ia bukan rasuah.

Cuma, hisbah (penguatkuasa), jika ada laporan maka mereka perlu menyiasat dan mengkaji.

Jika memang benar berlaku secara jelas, maka ia perlu diambil tindakan. Tetapi, jika unsur ini hanya diandaikan berlaku, berhati-hati ketika membuktikan. Jangan sampai menzalimi.

Walauapa pun keadaannya, kita perlu balik pada iman. Yang melakukan sahaja yang tahu adakah ia mempunyai niat. Jika ada, maka bertaubatlah, kerana pertaruhan perbuatan itu sangat berat.

Bagi yang menyiasat, siasatlah dengan adil kerana pertaruhannya juga amat berat.

Bagi kita yang melihat, tunggu hingga ia diadili, seorang tidak dikatakan bersalah hinggalah dia dibuktikan bersalah.

Rasuah lembu berkaitan adakah perbuatan itu dilakukan oleh pemberi kepada penerima. Lembu rasuah berkaitan adakah barang itu memberi manfaat kepada penerima.

Jika rasuah lembu dan lembu rasuah ini berlaku, maka bertaubatlah untuk selamat di akhirat dan berhukumlah untuk menyelamatkan kita didunia.

Thursday, February 26, 2009

al-Ijabah 6 - Harapan Yang Tertunai

25 Febuari 09, jam 12 tengah hari, selepas pengajian hadith bersanad di Yayasan Restu, saya dan beberapa orang anak murid, pergi ke rumah Abg Rosli dan Kak Safiah. Kak Safiah yang memang gemar memasak menghidangkan nasi Arab kepada kami.

Hari ini merupakan hari yang mengharukan bagi saya. Ini kerana cita-cita untuk memiliki bas bagi rumah al-ijabah hampir dikabulkan. Hasil usaha sahabat-sahabat seperjuangan, hari ini kami dapat membayar bas yang kami tempah. Ada sedikit baki insyaAllah akan diusahakan kemudian.

"kita tidak mampu untuk berbuat kerja yang besar-besar, mudahan sedikit usaha yang kita buat hari ini mengundang redah Allah"

Sedikit cita-cita yang tersemat adalah, untuk mendidik anak-anak ini agar berjaya seperti mana orang yang ada ayah. Bagi anak-anak tahfiz, semoga mereka menjadi ahli agama di dalam berbagai bidang.

Alhamdulillah, sebelum saya berangkat ke Rusia, urusan bas ini dipermudahkan Allah.

Pengalaman saya ketika menziarahi Pusat pengajian Darul Mustafa di Hadramaut Yaman pada 2005, pengasasnya Habib Umar bin Hafiz berpesan agar hendaklah sentiasa menjaga keberkatan di dalam hidup, ia akan menjadikan hidup kita sentiasa dibantu Allah.

Menyentuh pengalaman beliau ketika mengasaskan Darul Mustafa, ia dipenuhi dengan ujian dan dugaan. Kekangan kemampuan menyebabkan sering pengasasnya hanya makan, baki dari makanan anak-anak didiknya.

Pernah satu ketika pada musim sejuk, anak muridnya mengetuk rumah Habib Umar dan meminta selimut. Habib memberinya selimut. Kemudian, sekali lagi anak muridnya mengetuk rumah Habib untuk meminta selimut. Di berikan lagi selimut cuma kali ini selimut kedua agak berbau hancing.

Keesokkan paginya barulah anak muridnya tahu bahawa selimut pertama adalah selimut Habib sendiri dan selimut kedua adalah selimut anaknya. Pada malam tersebut, anaknya tidur di dalam pelukkan Habib bagi menahan kesejukkan.

Saya teringat, pada awal peringkat awal al-Ijabah, saya hanya menjaga 6 orang dan mereka duduk di rumah masing-masing. Kita hanya menjaga keperluannya untuk persekolahan mereka.

Habib Umar orang pertama yang mencadangkan pada saya untuk mengambil rumah dan mendudukkan anak-anak ini berdekatan dengan saya.

Pada ketika itu, saya berkata padanya, "saya tidak mempunyai kemampuan tuan".

Habib menjawab, "kamu kena dudukkan anak-anak ini dekat dengan kamu, saya akan doakan, insyaAllah, Allah yang akan mencukupkan".

Sebelum pulang, Habib memberikan saya beberapa kitab, memakaikan saya serban, mengijazahkan beberapa wirid serta mendoakan agar segala usaha dibantu Allah. Saya mencium tangannya dan memeluknya.

Sebelum saya berangkat pulang, Habib berpesan, "didik mereka cintakan Allah dan Rasul, bacakan pada mereka kitab sirah Nabi dan selawat-selawat".

"InsyaAllah, saya usahakan", kata saya

Sekembalinya saya dari Hadramaut Yaman, saya telah mendapat sebuah rumah untuk disewa. Anak-anak ini mula saya dudukkan berhampiran dengan saya dan selain dari bersekolah, mereka akan diberi kuliah-kuliah.

Semakin hari semakin ramai. Bermula tahun 2007, kita mula mengambil anak Yatim perempuan, bilangannya semakin ramai dan sekarang telah ada tiga buah rumah.

Setelah berlalu beberapa ketika ini, kita memerlukan kenderaan sendiri dan pada hari semalam, ia telah mula dapat dibayar.

Ketika saya menyerahkan cek untuk urusan bas ini, saya terimbau kata Habib Umar,

"kamu kena dudukkan anak-anak ini dekat dengan kamu, saya akan doakan, insyaAllah, Allah yang akan mencukupkan".

Ijabah milik semua, ia milik sesiapa sahaja yang ingin sama-sama berbakti.

Penyerahan cek untuk pembelian bas
Sama-sama menyatakan kesyukuran pada Allah di atas bantuan yang diberikan
Di sinilah ia bermula. Habib Umar pada hari akhir saya bertamu dirumah. Pesanannya agar membela anak Yatim dan orang susah serta mendidik masyarakat.
Habib memberikan saya kitab-kitab dan berpesan untuk menjaga anak-anak Yatim dengan baik.
Beliau memakaikan saya serban agar saya selalu ingat perjuangan menjaga agama.

Wednesday, February 25, 2009

Universiti Kehidupan 33 - Roda Kuasa

Sejarah Malaysia menyaksikan Perak jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada PRU lepas. Sejarah juga menyaksikan Perak beralih pula ke tangan BN baru-baru ini.

Memetik kata Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin di Malaysiakini semasa beliau menyampaikan ucapan di Felcra Serigala, Slim River;"Hari ini, kalau kami nak gulingkan kerajaan baru pun sudah boleh...tetapi kita ini ikut undang-undang dan peraturan. Bukan macam mereka merampas dengan cara penuh jijik"

Kesempatan ini, saya ingin membahaskan perkara ini. Kita lihat dahulu berberapa contoh sejarah.

1. Baitul Maqdis pernah jatuh ke tangan Islam pada zaman Saidina Umar. Ia pernah jatuh ke tangan Kristian hampir dua ratusa tahun, kemudian jatuh ke tangan Islam kembali di tangan Sultan Salahuddin al-Ayubi. Kemudian jatuh pula ke tangan yahudi. Akhir zaman nanti, isyarat Nabi, ia akan kembali ke tangan orang Islam semula

2. Andalusia telah dibuka oleh Tariq bin Ziyad. Beliau mengalahkan orang kristian di sana, setelah beberapa ratus tahun kemudian, ia pernah jatuh ke tangan kristian sebentar. Kemudian di bawah pimpinan panglima Islam, Yusuf bin Tasyfin ia kembali ke tangan Islam. Pada zaman Ratu Isabela, ia kembali jatuh ke tangan kristian dan sejak dari itu tidak pernah lagi terdengar azan dilaungkan hinggalah pada tahun 1981 apabila komuniti Islam berjaya diwujudkan.

3. Kota Konstantinople merupakan pusat bagi kerajaan Rom Timur, dibuka oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Orang kristian pernah mengepung kota ini untuk mengambilnya dan cuba menghidupkan kembali paluan loceng gereja di Aya Sofea. Tetapi ia dapat dipertahankan hingga kini.

4. Brunei merupakan waris amanah gerakan Islam di Nusantara ketika tumbangnya Melaka. Pada 14 April 1578 tentara Spanyol di bawah pimpinan Dr. Francisco De Sande telah melanggar Brunei dan mengisytiharkan Brunei adalah tanah jajahan Spanyol.

Sultan berundur ke Jerudong dan di satu tempat dinamakan Pulau Raja. Bendara Sakam kembali ke Brunei dan menghimpunkan pahlawan-pahlawan Melayu Islam. Pada 1578, Pengeran Bendaraha Sakam memimpin serangan kembali ke Brunei. De Sande kalah dan meninggalkan Brunei. Pasukannya dikejar sehingga ke Nausung (Sabah).


Apa yang kita lihat dari sejarah-sejarah di atas? Ia membenarkan firman Allah di dalam surah Ali Imran ayat 26

26: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Allah memuliakan siapa yang dikehendaki dan menghina sesiapa yang dikehendaki, tidak semua orang berkuasa mulia sama seperti tidak semua orang jatuh itu hina. Begitu juga, Tidak semua orang berkuasa itu hina sama seperti tidak semua orang yang jatuh itu mulia.Walaubagaimana pun, berjuang tetapi kena berjuang. Kita bukan berjuang kerana kemenangan. Kita berjuang kerana Allah perintahkan untuk berjuang.

Sebab itu orang Islam tidak risau di dalam perjuangan. Apa keadaannya dia tetap mulia, sama ada syahid atau menang.

Dia tidak risau sama ada Allah beri dia kemenangan atau tidak. Yang dia disuruh ada berusaha dan memaksimakan usaha.

Jika dia menang, dia tidak menang dengan kebetulan, dan jika dia kalah, dia tidak kalah tanpa menentang habis-habisan.

Sementara kita hidup sekarang ini, kita dapat saksikan berlakunya ayat ini. Masing-masing dengan perjuangannya.

Sesungguhnya, Dialah yang menaikkan dan menurunkan. Walau sehabis mana usaha kita, jangan lupa ayat ini.

Jika kita ingat ayat ini, kita tidak letih jika kalah dan tidak bongkak jika menang. Ini kerana, hari ini kalah tidak selama kalah, dan hari ini menang tidak selamanya menang. Kejarlah kemenangan dan kemuliaan dari Allah dengan jalan yang betul, insyaAllah, kemulian akan sentiasa bersama kita walau apa keadaan kita.

"universiti kehidupan, universiti sepanjang hayat"

Jawapan Pada Persoalan 14

Alhamdulillah, pada kesempatan ini, dapat kita berkongsi jawapan pada persoalan yang diajukan.

? swtyatie@gmailcom Salam ustaz, saya susah nak bangun tahajud, dah kunci jampun x bole nak bangun, tolong ustaz berikan tips or panduan..txs 2009-02-24 2:13 AM

+ Susah bangun malam untuk sembahyang tahajjud kerana tiga sebab. 1. Makan yang banyak 2. ada dosa yang tidak ditaubatkan 3. Terlalu keletihan atau sakit.

Bagi sebab yang pertama, kita digalakkan untuk tidak terlalu banyak makan, jika hendak makan banyak, awalkan pada sebelah petang

Bagi sebab yang kedua hendaklah kita selalu bertaubat kepada Allah. Kadang-kala, dosa itu menyebabkan kita terhijab

Bagi sebab yang ketiga, ia sebagai unsur kemanusiaan yang tidak boleh dinafikan sama sekali. Manusia punyai rasa letih dan penat. Tetapi, ada khabar gembira bagi yang istiqamah membangunakan malam. Di dalam hadtih Nabi mengatakan,

"jika salah seorang kamu biasa mendirikan malam, maka pada satu ketika dia ditimpa sakit atau keletihan, maka Allah memberinya pahala seperti mana kebiasaannya".

? Anis Hartini Haron Ustaz, Kalau kita maki boss kita dalam hati berdosa tak? Kalau kita tak lepaskan nanti tekanan perasaan.... 2009-02-23 7:16 AM
+ barang yang di dalam hati tidak mendatangkan dosa selagi mana tidak diterjemahkan melalui perkataan dan perbuatan. Walaubagaimana pun, jika kita biasakan, ia akan menjadi penyakit hati. Orang yang selalu memendam di hati, ditakuti akhirnya akan terkeluar melalui lisan dan perbuatan.

InsyaAllah, saya akan bersama sidang penonton di dalam rancangan Tanyalah Ustaz di TV 9 pada hari Sabtu dan Ahad ini jam 7 pagi hingga 8 pagi. Tajuk yang akan kita bincangkan ialah mengenai kekeluargaan.

Monday, February 23, 2009

Diari 33 - Beruntungnya kalau kau minat

Hari ini 23 Febuari 09, jam 3.00 petang, saya menghadiri satu mesyuarat dengan YM Tengku Muhammad Ismail, seorang producer di dalam Prime Works Studios di Sri Pentas Damansara.

Hujan turun dengan lebat pada petang ini. Saya yang mencari parking keluar masuk di perkarangan Sri Pentas, menantikan rung kosong jika ada. Mujurlah akhirnya, Kak Jun keluar dan memberikan saya tempat parking khas.

Petang ini, kami membincangkan sebuat program mengenai remaja untuk TV 3. Ia berbentuk satu perbincangan santai dengan golongan remaja di dalam studio. Tajuk-tajuk yang dipilih bukanlah yang tinggi-tinggi, tapi yang menyentuh soal kemanusiaan seperti mengenang jasa ibu ayah dan sebagainya.

Apa yang saya lihat ialah kebaikan pada program ini dari sudut sasarannya. Cabarannya ialah pengacaranya perlu seorang yang boleh menarik minat penonton remaja.

Kita kekurangan program yang mendidik remaja ke arah Islam. Saya pernah melihat satu program untuk remaja di TV yang membincangkan soal hubungan malam pertama, sakit atau tidak. Seorang ibu yang kononnya sporting bercerita topik ini pada remaja-remaja perempuan yang ada di studio. Adakah dengan membincangkan topik seperti ini akan membuat jiwa remaja semakin terdidik. Atau semakin terbanyang-bayang akhirnya bercita-cita untuk mencuba?
Tidak kalah banyaknya juga program melatih penyanyi dari sekecil 6 tahun. Ini yang dibanyak dan ini yang diminati.
Pengalaman saya di Iran menyaksikan siaran Tarannum al-Quran yang telah ada sejak lama. Akhirnya membentuk anak-anak muda yang menggilai bacaan al-Quran secara bertarannum. Jika kita melihat anak muda di sini dengan guitar dan nyanyian lagu-lagu cinta, anak muda di sana mendendangan lagu-lagu Tarannum al-Quran.

Beruntungnya jika program membentuk masyarakat ini ada, dan beruntungnya jika kau minat program seperti ini wahai adik-adik remaja.

Ingatlah, satu ketika, kita akan merasakan bahawa harta itu penting, sampai satu tahap kita akan rasakan kesihatan lebih penting dari harta, dan sampai satu tahap, kita akan merasakan amalan itu lebih penting dari segala-galanya. Beruntunglah kita jika sedari muda kita terus mengejar puncak perasaan ini.

Apakah faktor program Islam kurang?

Selain dari minat untuk membuatnya kurang, ialah faktor kekurangan penaja. Program Islamik sebenarnya banyak peminat. Al-Hidayah TV 3 sahaja kurang lebih satu juta penonton, al-Kuliyyah tidak jauh bezanya. Tapi yang ingin menaja program seperti ini kurang. Akhirnya, pihak pengurusan hanya mengekalkan program yang sedia ada tanpa boleh menjangkau pada program baru. Alasannya sebab tiada budjet.

Dari pengalaman saya bergaul dengan golongan penerbit, ramai juga di antara mereka yang mempunyai kesedaran Islam. Cuma kadang-kala, keterbatasan budget membuatkan apa yang dicita-citakan agak lambat untuk dilaksanakan.
Kita berharap agar penubuhan TV JAKIM yang sedang diusahakan di negara ini akan segera terlaksana. Semoga medan dakwah untuk mendidik masyarakat akan lebih luas lagi. Masyarakat yang baik akan membentuk negara yang baik. Negara yang baik akan dicucuri rahmat dan berkat oleh Allah.
YM Tengku Muhamad Ismail dan Kak Jun.
Perbincangan di adakan di Sri Pentas Damansara.
Selepas mesyuarat, sambung pula secara santai di kafe
Kak Jun, antara penerbit program agama untuk TV 3 dan TV 9.

Tarbiah dan Dakwah 13 – Seks Di Tepi Jalan

Ustaz!.. bila kali terakhir ustaz beli telifon" kata Dr Mohd Nawar dari PPUM memulakan perbualan.

Beliau menemankan saya ketika jamuan selepas tamat majlis forum di PPR Kerinchi Lembah Pantai pada Sabtu 21 Febuari 09 lalu.

Kenapa Dr? saya bertanya.

"Sekarang ni, kalau beli handphone, nanti tukang jual tu boleh isikan kat memory card kita klip-klip video lucah budak-budak Melayu". Dr Nawar menjelaskan.

Dia orang ni, kadang kala, ustaz, buat kerja tak senonoh tu, dia orang rakam pakai handphone sendiri, lepas tu share dengan kawan-kawan bila balik sekolah kat tepi jalan. Bila jual handphone, dia orang dah padamkan, tapi kedai tu boleh dapatkan balik rakaman dia orang ni. Macam mana ni ustaz, siapa nak dipertanggung jawabkan? Kata Dr Nawar bersungguh-sunggguh.

Dr Nawar terus mengomel dan memberikan pandangannya. Satu tak jawab sepatah pun, hanya tersenyum, jika saya jawab ketika itu pun, tidak akan mengubat penyakit masyarakat. Biarlah Dr yang beri pandangannya, saya dah kehabisan air liur hampir dua jam berforum.

Dalam perjalanan pulang, topik ini terngiang-ngiang di telinga saya. Hinggalah pada petang ini, saya rasa, saya kena menulis sikit mengenainya.

Siapa bertanggung jawab? Soalan yang sangat baik yang dilontarkan oleh Dr Nawar kepada saya.

Bagi saya kita lihat dari tanggung jawab lima golongan.

1. pemimpin
Untuk memberikan solusi secara drastik, ia memerlukan perhatian dari gologan pemimpin negara. Pemimpin negara boleh memberi arahan kepada seluruh penguatkuasa untuk membersihkan perkara ini. Beri tumpuan pada pendidikan, jaga media massa, kurangkan hiburan dan sebagainya.

Cuba kita lihat di negara Iran contohnya. Apabila Media Massa di kawal, rancangan hiburan Islam diperbanyak, maka payah ingin melihat perkara maksiat, malahan tarannum (lagu al-Quran) menjadi kegilaan bagi anak-anak muda.

Tapi jika pemimpin pun gemar pada seks. Maka sudah tentu, kemahuan menghalang itu kurang. Cuba lihat pemimpin pilihan baru-baru ini, belum kahwin dah tidur dengan orang. Soal ia didedahkan oleh parti lawan, itu soal lain, tapi dari sudut moral, agama dan adat ketimuran ia tetap menjijikkan. Bagaimana ingin membetulkan bayang-bayang jika tiangnya sendiri pun bengkok.

2. Perlaksana undang-undang
Para pelaksana undang-undang perlu lebih tegas bagi memastikan ia terkawal. Ada kadang-kala, maksiat depan mata pun, tidak dicegahnya, apabila ditanya, "kami tak dapat laporan". Ia melibatkan penguatkuasa dari kerajaan maupaun dari jabatan agama. Yang dah buat alhamdullillah, kita tidak nafikan usaha itu, tetapi perlu lebih agrsif lagi. Ada soalan sedang menunggu kita di akhirat.

3. Masyarakat
Masyarakat juga perlulah sama-sama turut menjaga keadaan ini. Para artis dan pelakon termasuk anggota masyarakat. Dia yang selalu keluar dan menjadi idola para pemuda. Tetapi jika para artis juga selalu terlibat dengan pergualan bebas, maka contoh itu dilihat oleh remaja, dan gaya hidup itu akan diikuti.

4. Keluarga
Walaupun ibu bapa sibuk, ia tetap perlu meluangkan masa yang kualiti bersama anak-anak. Anak yang terbiar akan lebih selesa mencari penyelesai masalah bersama kawan dari keluarga. Hasilnya, jika ia berkawan dengan golongan yang salah, maka nasihat jahatlah yang selalu dengar.

5. Pertologan dari Allah.
Setelah kita perkasakan keempat di atas, ia tetap tidak sempurna jika tiada restu izin dari Allah. Setelah berusaha semaksima mungkin, semua perlu berdoa. Agar ia dipelihara oleh Allah. Allah berfirman

"Jika sebuah negeri itu beriman dan bertaqwa maka kami akan buka pintu keberkatan dari langit dan bumi."

Ini harapan kita, semua pihak bertanggung jawab. Jika anak muda rosak, siapakah pelapis perjuangan yang boleh kita harapkan untuk membela agama, bangsa dan negara.

Jika seks boleh dilihat ditepi jalan, ia sudah terlalu keterlaluan. Atau benarlah isyarat Nabi SAW,

Demi yang jiwaku berada ditangannya, tidak akan binasa umat ini hinggalah nanti seorang lelaki dan perempuan bersama, maka dilihat mereka berzina di jalan, maka sebaik-baik antara mereka pada ketika itu ialah yang berkata, iskh, berlindunglah sedikit di balik dinding ini" (lihat Asyrat as-Sa'ah, Yusuf Abdullah al-Wabil halaman 139)
Kita tidak akan mampu membetulkan bayang-bayang dari tiang yang bengkok
Apa sudah jadi, jika yang menjadi idola kencing berdiri, sudah tentu yang mengikut akan kencing berlari.

Jawapan Pada Persoalan 13

Alhamdulillah, dengan izinnya, pada kesempatan kali ini, dapat kita berkongsi jawapan pada persoalan yang diajukan.

?Anuar Sy pernah dpt SMS yg menyatakan tak baik kita gunakan perktaan Assalamualaikum dgn singkatan "Askum/Akum sbb dia ada maksud yg buruk, tolong jelaskan 2009-02-14 12:13 AM

+ Maksud buruk saya tidak tahu, tetapi singktan itu membuatkan perkatan tidak memberi makna selamat.

? ingintahu salaam ustaz, dlm univ.khdpn 26 ustaz ada cerita jmaah yg balik dr madain saleh yg mngalami lbam2 mcm digigit sesuatu. saya nak tahu ; bila bangun tdo 2009-02-14 3:03 AM

+ itu salah satu tanda ganguan jin, tapi dia bukan faktor tunggal, mungkin ada sebab lain seperti sakit dan sebagainya.

? Encik Mat Salam ustaz,apa hukum meletup-letupkan jari jemari di dlm masjid?..pastu, boleh tak bersandar dlm masjid?, ada org ckp tak boleh,saya pon tak pasti.. 2009-02-17 2:46 PM

+ tak boleh di sini bermakna makruh sebab dia di luar adab.

? Encik Mat Budak perempuan yg umur 8-9 taun kalo pakai skirt,dosa dia bapa ke yg tanggung? sampai bila yg kanak2 laki@perempuan yg dosanya ditanggung bapa??. 2009-02-17 2:49 PM

+ Kanak-kanak belum baligh belum ada dosa, jika dia baligh barulah ada dosa. Seorang anak perempuan di bawah tanggungan ayahnya hingga dia berkahwin. Anak lelaki hingga umurnya 40 tahun. Di bawah tanggungan bermakna ayahnya kena tegur jika salah. Jika sengaja dibiarkan maka ayah berdosa kerana tidak menegur bukan berkongsi dosa.

? Muhammad Assalamualaikum Ust.,bagaimana sekiranye sy bekerja di pasaraya yg menjual produk yg diboikot,adakah perkara itu subahah ? TQ Ust. 2009-02-17 2:52 PM

+ tidak dikatakan syubhat jika ia bukannya hanya semata-mata barang itu.

? Siti Ustaz, saya baca ayat seribu dinar semasa sujud terakhir solat sunat tahajud & dhuha. Bolehkah saya amalkan juga semasa solat fardhu? 2009-02-18 1:05 AM

+ apa-apa ayat quran jika dibaca di dalam sembahyang tidak membatalkan sembahyang . Ia dibolehkan

? Siti Semasa imam baca doa qunut (waktu solat subuh), adakah kita wajib baca sama, berdiam atau aminkan doa? 2009-02-18 1:12 AM

+Doa qunut itu sendiri hukumnya sunat, Sunat disini ialah sunat dibaca bersama-sama

? shana salam ustaz, ape yg harus sy lakukan apbila teman lelaki mengaku yang dia minum arak. tinggalkan dia?sy tlhpn nasihat..blh buat calon suami ke 2009-02-19 6:31 AM

+ Istikharah dan minta petunjuk dari Allah, jika ia memang sikap dia, payah nak ubah. Sebab jika dia dah jadi tabiat nak ubahnya memakan masa. Kahwin bukannya asal boleh, dia sebuah kehidupan. Cerewet sebelum kahwin lebih baik dari cerewet selepas kahwin.

? Mat Salam ustaz...apa selawat yg ustaz amalkan kat anak2 yatim al-Ijabah...saya nak tahu jugak...boleh amalkan nant.. 2009-02-21 1:51 AM

+ Saya gunakan dari kitab Berzanji, Diba'i, Burdah dan Diyaul Lami'.

? Mat Ustaz...ade org sembahyg dlm air, ni web nye link ,boleh? 2009-02-21 3:00 AM

+Sembahyang di manapun sah jika syarat sah solat dipenuhi serta rukun solat dijaga dan menjaga perkara yang membatalkan solat.

Syarat sah solat ada lima
1.masuk waktu 2. tutup aurat 3. menghadap kiblat 4. suci dari hadas 5. suci dari najis
Rukun sembahyang ada 13 seperti yang kita semua maklum. Selain itu jaga perkara yang membatalkan solat.

Jika seorang sembahyang, perkara ini dijaga maka solatnya diterima.

? Guest Salam. Ustaz, kemana kita boleh gunakan duit dividen ASB? 2009-02-22 12:55 AM

+ menurut fatwa ASB dibenarkan. Gunakanlah kepada apa yang kita suka

Semoga jawapan menepati kehendak soalan. Jika ada yang kurang jelas, maka bolehlah Tanya kembali

Jawapan Pada Persoalan 12

Alhamdulillah pada kesempatan kali ini, dapat saya menjawab segala soalan yang diajukan.

? Guest salam ustaz, apa hukum onani dan menonton video lucah. Juga apa hukum onani sambil menonton video lucah? 2009-02-08 2:35 AM

+ Haram, jangan biasakan diri dengan maksiat kerana Allah tidak jadiakan maksiat itu ubat bagi hati,

? aini saya stokis directselling,buatpenajaan akan diberi bonos 18%,boleh tak sy beli stok atas nm ahli utk. dpt bonos,kemudian sy jual balek dg. hrga sykt. pasal d.selling tadi,harapkan ahli beli payah krna barang libatkan ribuan rggt.bagaimana jika syberitau ahli sy guna nama dia beli brg. itu.tlg.jelas 2009-02-09 2:35 AM

+ ia boleh kerana sebab ada akad yang jelas dari puan kepada orang yang puan gunakan nama itu. Tetapi, pada pandangan saya, ia tetap terdapat syubhat, jika boleh elak, maka elakkanlah.

? aini uni.wakaf,harap tabongwakafnya dibuka kpd. org.ramai yg. inginmenyertai utk.saham akhirat 2009-02-09 4:35 AM

+ InsyaAllah, jika urusan telah selesai saya akan war-warkan

? yop wajarkah universiti wakaf di buat di pulau besar? saya bimbang institusi ini akan terfitnah 2009-02-09 12:25 PM

+ Pulau Besar di antara cadangan. Ada beberapa sentiment kenapa perlu buat di sana. Pertama bangunan semua telah ada. Kedua jika kita tidak letakkan pusat pendidikan di sana, maka sampai bila tempat ini tidak dapat diperbaiki. Telah lama Majlis agama berusaha membasmi perkara yang salah di sana tetapi tidak berjaya. Semoga anak-anak didik kita akan dapat membersihkannya. Ketiga, di sana tempat asal Islam sampai, jadi, sebagai mengimbau sejarah kegemilangannya, kita bangunkan kembali tampat ini.

? hamba Allah btol ke perkataan bye adelah syirik??? 2009-02-09 1:36 PM

+ Wallahu Alam, saya tak pernah dengar, tetapi tetapi perkara yang saya tidak tahu bukan bermakna tidak ada, rujuk ustaz lain.

? hamba Allah nape kite di lrg menepuk tgn di dlm masjid@surau 2009-02-09 1:38 PM

+ bersalahan dengan adab.

? Guest assalamualaikum ustaz, sy nk tanhya tentang zakat perniagaan, boleh tak ustaz tolong jelaskan...terutamanya tentang pengiraan secara jelas... 2009-02-10 5:21 AM

+ 2.5 % dari keuntungan

? Guest salam ustaz, adakah sah solat kita kalau kita solat dgn memakai baju yg mempunyai gambar binatang atau kartun? 2009-02-10 2:58 PM

+ Sah, cuma bersalahan adab

? guest Salam...ust.batal ker air sembahyang tersentuh dengan anak saudara ipar 2009-02-11 4:43 PM

+ batal

? Anis Hartini Haron ustaz...ada doa kasi hilang selsema tak? 2009-02-12 2:47 AM
+Baca surah al-Insyirah banyak-banyak

? swtyatie@gmailcom Salam ustaz, saya nak tanya sek tahfiz yg ustaz anjurkan utk anak2 tu dimana dan kalau nak tahu lebih lanjut, mcmana ya? pls reply ya...tq 2009-02-12 3:45 AM
+ ia di Sunway.

? Guest salam uztaz,camnr nk tau petunjuk soalt istikarah,takut kite silap tafsir ngan petunjuk Allah,lain Dia kasi,lain kite tafsir n faham 2009-02-12 4:00 AM
+ yang paling dipermudahkan bagi kita, itulah tandanya.

? guest salam ustaz..bolehkah saya tahu kedudukan posisi sebenar seorg isteri bila berjemaah dgn suami?? 2009-02-12 7:15 AM

+ Sebelah kiri suami

? Yanti Salam ustaz,saya mengalami masalah resdung,ada ketikanya semasa solat saya akan bersin 7,8 kali berturut2..adakah itu membatalkan solat saya? 2009-02-12 7:18 AM

+ tidak, kerana bersin adalah semulajadi.

? nurul salam..sy dengar ustaz nak pergi palestin.. betul ke? sy ingin hulurkan sedikit sumbangan kpd mereka melalui ustaz..boleh ustaz bg tau caranya? 2009-02-13 3:42 PM

+ Setakat ini saya tidak buka untuk derma, nanti jika pergi bagi tujuan itu, insyaAllah, saya maklumkan
.
?Mr U Salam...ustaz,kalau kita dah buat solat istikharah, macam mana nak tahu yg sesuatu tu sesuai utk kita,misalnya dlm jodoh laa.. 2009-02-13 4:28 PM

+ Jika semakin ia dipermudahkan Allah, maka itu tandanya ia jodah tuan.

Semoga jawapan menepati kehendak soalan. Jika ada yang kurang jelas, maka tanyalah kembali.

Sunday, February 22, 2009

Universiti Kehidupan 32 – Siapa Punya Rezki?

Pagi 22 Febuari 09, saya dalam perjalanan balik ke rumah. Saya baru sahaja selesai kuliah subuh di Masjid Kampung Lindungan Sunway. Seperti biasa saya melalui bukit Putra Heights tempat di mana banyaknya monyet-monyet. Mereka penduduk asal tanah ini. Setelah semua hutan mula gantikan dengan rumah, bukit ini dan beberapa kawasan belukar di Kampung Kuala Sungai Baru Puchong menjadi tempat kediaman mereka.

Kadang-kala, bukit ini menjadi kawasan tumpuan penduduk Putra Heights apabila mereka membawakan makanan kepada monyet ini. Mereka suka melihat gelagat monyet yang memakan makanan yang dibawa.

Ketika saya mula menghampiri bukit Putra Heights ini, saya melihat sebuah kereta di letakkan di tepi jalan. Ada dua orang berbangsa Cina yang berhampiran dengan kereta ini. Seorang sedang memberi makan dan seorang lagi duduk di sebelah kereta. Sejuk hati saya melihat gelagat kedua ini dari kejauhan. Dari kejauhan saya berbisik di dalam hati,

"inilah manusia, walau apa bangsa dan agamanya, fitrah suka menolong memang ada"

Ketika kereta saya melintasi mereka, saya terlihat seutas tali yang dipasang pada kereta. Ia diikat pada pintu belakang yang dibuka. Tali itu diikat untuk membolehkan ia ditarik. Lelaki yang bersandar di pintu sebelahnya, memegang hujung tali untuk direntap bagi tujuan menutup pintu kereta.

Saya yang telah melintasi mereka berpatah balik untuk memastikan penglihatan saya itu betul. Kedua lelaki ini tersengeh apabila melihat saya. Mukanya agak takut-takut.

Rupanya betul sangkaan saya. Mereka sedang memerangkap monyet yang sedang sibuk menjamu selera pagi. Mereka membawakan makanan pada monyet itu untuk menangkapnya. Di sebalik sifat pemurahnya, ada "udang di sebalik batu".

Saya meninggalkan mereka. Satu pelajaran yang saya dapat pada hari ini. Tidak semua kebaikan itu dibuat mempunyai tujuan yang baik.

Orang jahat selalu berpura-pura baik untuk mendapatkan tujuan mereka. Saya ada seorang sahabat dari Akademi Islam UM yang bekerja di JPJ. Beliau selalu bercerita kepada saya mengenai tawaran-tawaran dari taukey-taukey besar kepadanya.

"Mahu tukar tayar baru ke bos? Kita kautim la.". kata mereka. "Mahu amoi ka?" "Kalaui mahu cuti cakap la, kita urus ma..? Semua tawaran itu timbul.

"Abg Mat, kalau saya tak ada agama, lama saya dah ambil dah", kata sahabat saya yang berkelulusan Syariah Undang-Undang ini.

Beginilah kehidupan. Pemberian orang pada kita, tidak semuanya ikhlas. Ada yang berkepentingan dan inginkan sesuatu. Mereka memerangkap kita dengan hadiah-hadiah untuk menambat dan memperhambakan kita. Oleh itu, hati-hati terhadap orang yang berkepentingan. Dia datang pada kita ketika kita ada sesuatu, tetapi kita akan keseorangan apabila tiada kepentingan yang boleh didapati.

Sifirnya mudah, Sama ada, kita sedang mendapatkan rezki pagi, atau mereka yang sedang mendapatkan rezkinya.

"Universiti Kehidupan, Universiti Sepanjang Hayat"
Bukit Putra Heights yang banyak monyet-monye.t
Gelagat seorang yang berusaha menangkap monyet. Seorang memberikan makan, seorang lagi menunggu untuk menutup pintu kereta jika monyet masuk ke dalam kereta. Kereta telah di ubah dengan ada penghalang di antara kerusi belakang dengan kerusi depan.
Rencam hidup, sama sahaja sifirnya. Semoga menambahkan kematangan kita di dalam kehidupan.

Diari 32 - Forum Sihat di Kerinchi

Hari ini, Sabtu 21 Febuari 09, saya menghadiri Forum di PPR Kerinchi Lembah Pantai. Anjuran JKP Kebajikan & Masyarakat Kolej ke Enam Universiti Malaya.

Forum yang sepatutnya mula pada pukul 9 malam dianjak hingga ke 9.40. Ini kerana pada malam ini hujan lebat dan padang tempat sepatutnya forum disempurnakan dipenuhi air. Jadi, ia terpaksa dipindahkan ke tepi kawasan jalan tempat kediaman.

Malam ini Forum bertajuk "Sihat Rohani, Jasmani dan Mental. Secara keseluruhannya, Forum ini membincangkan bahawa sihat bukan sahaja sihat badan, tetapi perlu juga sihat rohani. Ini kerana jika seorang itu hanya sihat badan tetapi tidak sihat rohani, ia menjadikan kehidupan ini juga pincang.

Orang yang sakit jantung tidak akan membunuh orang lain. Tetapi orang yang mempunyai hasad dengki boleh membunuh orang lain.

Selain itu, di dalam forum ini, saya membincangkan bahawa, sakit hanyalah rencam kehidupan. Ia tidak membawa kematian. Kita mati apabila tempoh hidup kita telah habis. Ia seperti lampu minyak. Apabila minyak telah habis, maka lampu akan padam dengan sendirinya. Jadi, kita tidak perlu takut pada sakit. Yang kita perlu risau ialah persediaan kita untuk ke akhirat.

Menyentuh mengenai usaha menjaga kesihatan, ia adalah perintah dari Allah dan Rasul. Usaha kita menjaga itu diberi pahala padahal, sihat dan sakit itu adalah anugerah dari Allah.

Kita jangan persoalkan hak Allah yang ingin memberikan sihat atau sakit pada kita. Yang disuruh kita perhatikan ialah usaha kita menjaga kesihatan itu. Semakin kita berusaha mematuhi Allah di dalam meningkatkan usaha, semakin ia akan mengundang keredhaanNya.

Sahabat ahli panel saya malam ini ialah Ustaz Mohd Roslan Mohd Nor dari Akademi Islam. Antara kupasan menarik beliau ialah mengenai hubungan solat dengan kesihatan. Dengan mengetahui solat boleh mencegah dan mengubati penyakit, kita akan merasakan berharganya anugerah solat itu kepada kita.
Saya senang dengan Ustaz Roslan ini. Oleh kerana dia dari Universiti, jadi dia faham akan perjalanan forum. Ada sesetengah ustaz yang semangat nak bercakap, hinggakan forum jadi macam ceramah. Setiap pusingan dia seorang sampai 40 hingga 50 minit. Saya pernah berforum dengan seorang Ustaz yang mungkin kurang mahir di dalam berforum, pengerusinya pun tidak menjadi penjaga masa yang baik, akhirnya, ia berakhir pukul satu lebih. Penonton sampai tersengguk-senggguk mendengar. Tapi berforum dengan orang melayu, walaupun tersengguk, tetap setia mendengar. Kalau di negara Arab saya rasa tinggal ahli Panel sahaja yang bercakap.
Saya teringat satu kisah pembentangan satu kertas kerja. Seorang pembentang, sangat lama memberikan hujahnya hingga hanya tinggal beberapa orang sahaja di dalam dewan. Setelah habis membentang, dia turun dari pentas, dan bersalaman dengan hadirin yang tinggal dengan berkata, "terima kasih kerana mendengar ucapan saya hingga akhir". Salah seorang dari hadirin pula berkata, "terima kasih kerana menghabiskan ucapan awak, sebab lepas ini, giliran saya pula naik ke pentas dan membentang kertas kerja". Rupanya yang tinggal hanyalah pembentang seterusnya.
Seni forum berbeza dengan seni berpidato maupun syarahan. Soal masa amat perlu di jaga. Seorang ahli panel hanya boleh bercakap di dalam lingkungan 10-15 sahaja. Jika nak bercakap lebih panjang, forum bukan tempatnya. Ia perlu disampaikan di pentas syarahan atau pidato.

Kesimpulan dari forum ini ialah sakit dan sihat itu dari Allah. Yang kita disuruh jaga ialah usaha kita. Hendaklah kita meningkatkan kesihatan sama ada badan, akal dan hati. Semoga dengan kesihatan, semakin banyak ibadah yang boleh dilakukan.
Forum dimulakan dengan laungan Asma al-Husna. Semua ahli panel dan penonton berdiri melaungkan bersama-sama.
Selepas itu, ia disulami dengan nasyid yang disampaikan oleh kaum ibu penduduk di sini.
Forum ini membincangkan mengenai kesihatan. Ia anjuran Kolej Ibnu Sina Universiti Malaya iaitu kolej untuk para pelajar perubatan Universiti Malaya.
Ahli panel pertama ialah Ustaz Mohd Roslan Mohd Nor dan ia dipengerusikan oleh Sharul Hafiz Ali, pelajar perubatan Universiti Malaya.
Di akhir forum, para pendengar disajikan dengan nasyid dari Muadz. Nasyidnya bagus, ada identiti tersendiri iaitu liriknya dari hadith-hadith Nabi.
Syabas dan tahniah pada penganjur. Walaupun hujan, tetapi majlis forum dapat disempurnakan dengan baik.

Saturday, February 21, 2009

Tarbiah dan Dakwah 12 - Perantis Pewaris Nabi

Baru-baru ini, saya ada dihubungi dengan seseorang yang berfikir mengenai bab "Ulama Pewaris Nabi". Siapakah mereka dan apakah sifatnya. Dia seorang pelajar agama dan ingin tahu bagaimanakah yang dikatakan Ulama Pewaris Nabi itu. Kesempatan kali ini, kita akan bicarakan tajuk ini.

Di dalam pengajaran Ahli Sunnah wal Jamaah, sifat yang wajib pada Nabi ialah :-

1. Siddiq (benar)
2. Amanah (jujur)
3. Tabligh (menyampaikan)
4. Fathanah (bijaksana)

Seorang Nabi merupakan seorang yang amat benar dari segi perlakuan dan percakapannya. Seorang Nabi juga perlu amanah di dalam menunaikan tanggungjawabnya dan juga bersifat Tabligh iaitu senitiasa menyampaikan, tidak menyembunyikan segala risalah dan juga Fatanah iaitu bijaksana di dalam merancang, meneliti dan menilai bagi menjayakan perjuangan tauhid.

Ketika kewafatan Nabi saw, maka tamatlah salsilah kenabian. Jika ada orang yang mengaku Nabi maka orang itu adalah pendusta.

Bagi memastikan risalah yang diturunkan oleh Allah ini berterusan, maka Nabi mengamanahkan penerusan risalah ini kepada para Ulama'. Dalam hal ini, Rasullullah saw bersabda bahawa :-

"Ulama itu pewaris Nabi"

Apabila disebut dengan Ulama itu pewaris Nabi, ia tidak bermakna satu perkara yang boleh dibanggakan oleh orang yang mempunyai ilmu agama. Ia merupakan satu amanah yang amat berat untuk dipikul di dalam memperbaiki masyarakat.

Jika ada para Nabi yang dibunuh, maka ulama perlu bersedia menghadapi kemungkinan ini. Jika ada Nabi yang difitnah, maka ulama perlu bersedia menghadapi perkara ini, jika ada para Nabi yang dibenci, dipukul, disakiti, diaibkan maka para pewaris Nabi perlu memahami, perkara ini juga mungkin akan berlaku kepada dirinya.

Para Nabi ada berbagai keadaanya sama seperti para ulama juga ada berbagai keadaanya.

Tidak semua Nabi yang menjadi pemimpin seperti mana tidak semua Nabi yang terhina dan terbunuh.

Nabi Musa dapat menggerakkan perjuangan menumbangkan kerajaan Firaun yang zalim, Nabi Daud dapat menggerakkan perjuangan mengalahkan Raja Jalut, Nabi Sulaiman dapat menggerakan perjuangan mengislamkan Ratu Balqis dan Nabi kita Muhammmad dapat menggerakkan perjuangan Islam ini hinggalah Rom dan Parsi jatuh ke tangan Islam.

Apa kelebihan yang ada pada Nabi yang berjuang dan mengubah dunia ini? Ia adalah sifat Fathanah (kebijaksanaannya).

Bagaimana ingin mendapatkan Fathanah (kebijaksanaa). Mari kita bincangkan.

Fathanah (bijaksana) ialah gabungan di antara cerdik dan pandai. Seseorang akan menjadi pandai jika dia banyak belajar. Semakin banyak dia belajar semakin pandai dia. Cerdik pula akan datang hasil interaksi seseorang dengan alam. Ia dipanggil pengalaman. Semakin banyak pengalaman seseorang itu semakin cerdik dia.

Sebab itu, ada orang yang pandai kerana tinggi pengajiannya tetapi tidak cerdik. Walaupun pandai tetapi tetap kena tipu, tetapi tidak mahir mengurus rumah tangga, perniagaan dan sebagainya. Ada orang yang darjah enam pun tak lulus, tetapi oleh kerana banyak pengalamannya dia menjadi cerdik di dalam menyelesaikan segala permasalahan hidup. Kadang kala, orang seperti ini leih menonjol dari orang yang pandai.

Bijaksana pula ialah gabungan di antara pandai dan cerdik. Seorang yang mempelajari ilmu dan sentiasa meningkatkan ilmunya dalam waktu yang sama mencari pengalaman dan sentiasa meningkatkannya. Jika kita perhatikan, di dalam al-Quran Allah ada menyuruh kita belajar dan juga ada ayat yang menyuruh kita berjalan untuk melihat agar dapat menimba pengalaman.

Tradisi ulama terdahulu mereka belajar dan terus belajar dan juga mereka mengembara dan berhubung langsung dengan masyarakat untuk meningkatkan pengalaman. .

Setelah kita tahu, bagaimana ingin mendapatkan bijaksana, kita bincangkan, apakah setinggi-tinggi kebijaksanaan.

Setinggi-tinggi kebijaksanaan ialah apabila kebijaksanaan itu dipimpin oleh Allah. Ketika itu, setiap apa yang dilakukannya akan sentiasa terkehadapan dan para musuhnya tidak dapat membaca segala pergerakkannya.

Kita lihat bagaimana Rasullullah membuka kota Mekah, kita lihat bagaimana Sultan Salahuddin al-Ayubi mengalahakan tentera salib dan cuba kita lihat sejarah bagaimana Sultan Muhamad al-Fateh menumbangkan kota Konstantinople. Semua ini hanya beberapa cebis sejarah dari jutaan yang ada. Selain dari perancangan yang luar biasa, ia sentiasa dibantu gerak hatinya oleh Allah. Nabi saw pernah bersabda

"takutlah kamu firasat orang mukmin, sesungguhnya dia melihat dengan cahaya Allah".

Berbalik kepada perbincangan kita, semua kita boleh mengusahakan kebijaksanaan, tetapi bagi orang agama yang ingin membahu perjuangan Nabi, merekalah satu golongan yang perlu lebih tekun meningkatkan diri.

Sesungguhnya, warisan perjuangan Nabi bukannya ringan. Ia perlu kepada Fathanah (kebijaksanaan) yang dibantu Allah. Ini kerana, di ketika umat semakin rosak, sepatutnya usaha memperbaiki perlu lebih hebat.

Jika Islam itu sifatnya global, maka dakwah juga perlu bersifat demikian. Mari sama-sama kita membahu perjuangan Nabi. Sekurang-kurangnya, jika kita tidak mampu buat semua, kita tidak meninggalkan semuanya.

Thursday, February 19, 2009

Diari 31 - Jadi dan Tak Jadi

Rabu 18 Febuari, jam 3.00 petang, saya bersama beberapa orang, bermesyuarat mengenai program Palestin di pejabat Gerbang Perdana Petaling Jaya. Jika diikutkan jadual asal, saya akan ke Palestin pada 25 Febuari 09 ini hingga 7 Mac 09, walaubagaimana pun, oleh kerana beberapa hal dari seorang ahli rombongan, program ini ditangguh hingga ke 20 April 09.

Pukul 4.30 petang, saya bermesyuarat dengan Prof Dr Ahmad Hidayat Buang di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Dengan sokongan beberapa orang sahabat, saya telah ditawarkan menjadi pensyarah jemputan di Moscow State University di Moscow Rusia. Tempoh saya berada di sana ialah satu semester. InsyaAllah, saya akan bertolak ke sana pada 20 Mac 09.

Jika saya jadi ke ke Moscow, saya mungkin tidak dapat bersama di dalam program Palestin kecuali jika saya mendapat pelepasan dari Universiti untuk keluar.

Keberadaan saya di Moscow membuatkan Prof Dr Ahmad Hidayat mencadangkan saya untuk menyambung pengajian saya di peringkat Phd di sana. Beliau mencadangkan untuk saya mengambil International Law (undang-undang Antarabangsa) dari segi perbandingan dengan undang-undang Islam.

Beliau meminta saya menyambung di sana untuk membuka ruang baru bagi dunia akademi. Ini kerana, jika Doktor atau Professor dari Malaysia, kebanyakkannya berlatar belakangkan UK atau US.

"nanti pemikiran semua sama, tak ada kelainan", tegas beliau.

Saya belum membuat apa-apa keputusan mengenai pengajian ini. Setakat ini, yang saya terima ialah tawaran mengajar di Moscow. Jika sesuai, insyaAllah, saya akan sambung pengajian di sana, tetapi jika tidak, maka saya akan sambung di Malaysia sahaja.

Belajar satu proses yang tidak habis, ia berterusan hingga ke akhir hayat. Seorang akan menjadi jahil kerana dua sebab.

1. apabila malas ingin menuntut ilmu, maka dia akan menjadi jahil di dalam lingkungannya
2.Apabila seseorang telah merasa alim dengan ilmu, maka bermulalah kejahilan di dalam dirinya.

Ini kerana ilmu sentiasa berkembang dari sehari ke sehari. Oleh itu, proses pengajian juga mesti terus aktif walau di mana kita berada.

Kemudian, setelah mendapatkan ilmu, maka hendaklah seseorang itu tawadhuk dengan ilmu. Orang yang sombong dengan ilmu, hilanglah keberkatan pada ilmu itu.
Sesungguhnya, hebatnya manusia kerana ilmu dan hebatnya ilmu kerana berkat. Ini kerana, dengan keberkatan ilmu, akan lahir iman dan amal. Gabungan antara ilmu iman dan amal akan melahirkan kesyumulan (menyeluruh) di dalam usaha.
Masing-masing sibuk dengan penagguhan. Banyak yang perlu diurus kembali dari segi penempahan hotel, penempahan tiket yang telah dibuat dan visa.
antara ahli rombongan yang akan pergi
Merancang tarikh baru untuk pergi.
Kenangan, surat untuk menguruskan visa ke Rusia Kenangan, surat tawaran mengajar di Rusia, Semoga, ia memberi pendedahan yang baik pada saya dan dapat kita berkongsi pengalaman di sana. InsyaAllah.

Tuesday, February 17, 2009

Tarbiah dan Dakwah 11 - ia mudah jika dipermudahkan Allah

Alhamdulillah, saya selamat sampai ke tanah air jam 2.45 petang. Sesampainya saya di rumah, saya terus bersiap-siap ke ofis di Shah Alam melihat beberapa urusan yang mungkin tertangguh sepeninggalan saya ke Guang Zhou China.

Malam ini, insyaAllah saya akan mengadakan pertemuan dengan sahabat dari Yayasan al-Ijabah untuk membincangkan perjalanan anak-anak yatim al-Ijabah, pembelian bas dan sebagainya.

Seminggu saya tiada, kebetulan banyak perkara yang berlaku di rumah al-Ijabah, dengan seorang yang patah jari kerana main bola, yang bergaduh berasal dari gurauan yang lebih dan sebagainya.

“Hmm.. anak-anak yang disayangi, besar sungguh perhatian yang perlu diberikan pada kalian ni.. semoga kalin semua menjadi orang hebat satu hari nanti,” amin..

Ramai orang yang mengatakan bahawa beruntung orang yang menjaga anak yatim, ini kerana Nabi saw telah bersabda,

“aku dan penjaga anak yatim begini di syurga, sambil baginda menunjukkan jari telunjuk dan jari tengahnya”.

Nampak hadith ini seakan memberitahu kita akan peluang yang mudah ke syurga. Tetapi, apabila kita menemui hadith-hadith mengenai peluang masuk ke syurga, fahamilah bahawa, di sebalik galakan itu, ia juga memberitahu kita bahawa cabarannya sangat besar, ujian hebat dan badainya menggulung.

Syurga tidak semudah yang kita sangkakan. Kalaulah bukan dengan bimbingan dan rahmat dari Allah, amat payah untuk kita ke sana.

Berbalik dengan penjagaan anak yatim, ia berkaitan dengan lima perkara:-

1. anak itu sendiri
Biasanya, anak-anak yatim adalah golongan yang kurang perhatian. Mereka agak nakal. Ini kerana mereka tidak ada ayah dan penjagalah yang mengambil tugas sebagai ayah. Sebagai ayah, kita kena fikirkan bagaimana mereka boleh Berjaya di dunia dan di akhirat. Kita kena fikirkan bagaimana akhlak dan sikap mereka. Jika mereka nakal, macam mana hendak didik mereka. Ini cabaran yang besar untuk anak-anak ini.

Ramai orang boleh ambil anak yatim, bawa ke KFC,makan dan hantar balik, tetapi tidak ramai yang sanggup duduk bersama mereka, makan bersama mereka dan didik mereka secara langsung.

Kaedah yang saya gunakan untuk anak-anak al-Ijabah ialah dengan mengaturkan mereka menghafal al-Quran, hadith dan selalu membaca selawat dan nazam-nazam mengenai Nabi.

Dengan keberkatan al-Quran dan Selawat serta bantuan dari Allah, biasanya, anak-anak kita di al-Ijabah lebih lembut dan mahu mendengar arahan para guru dan penjaga di sini.

2. waris anak
Ada waris yang seperti mahu buang anak ini, ada yang terlalu tinggi harapan, ada yang hanya ingin mencari salah dan sebagainya. Para waris kadang-kala lupa bahawa kita hanya membantu anak-anak ini. Peranan waris juga perlu membantu. Bukan ditinggalkannya anak ini begitu sahaja.

3. masyarakat
Ada masyarakat yang membantu, ada yang mencebek, ada yang memandang rendah usaha ini, dan ada yang memandang serong. Sebab itu, yang mengurus, jangan terlalu sensitif kerana takut orang kata. Antara ciri orang beriman, Allah menyatakan

“dan mereka tidak takut celaan orang yang mencela”.

Kehinaan tidak datang dari manusia seperti mana kemuliaan tidak datang dari mereka. Ia dari Allah.

Saya biasa denga sindiran yang tajam dalam hal ini. Dan yang aneh, sindiran ini biasanya datang dari orang yang tidak membantu, orang yang berusaha apa-apa. Yang sama-sama membantu biasanya akan terus membantu walaupun orang tidak tahu. Ini kerana, mereka faham, yang memuliakan bukan dari manusia, tetapi Allah.

4. Kemampuan
Kita tidak mampu untuk menguruskan semua keperluan mereka tetapi yakinlah bahawa, yang mencukupkan mereka bukan kita, tetapi Allah. Allah sebut di dalam al-Quran:-

“Tidakkah dia mendapati engkau yatim maka dia mencukupkan” surah ad-Dhuha ayat 6

Kita sebagai pengurus sahaja, tetapi keperluan dari Allah. Kita cuma tolong usahakan. Itu sebabnya kadang-kala saya rasa hairan, Allah cukupkan itu dengan berbagai cara yang tidak disangka-sangka.

Sebagai contoh, bayaran bas untuk anak-anak al-Ijabah ialah RM 4500 sebulan, setakat ini, tidak ada sebulan pun yang tersangkut, sampai masa boleh dibayarkan. Itu belum keperluan-keperluan yang lain.

5. Diri sendiri.
Ini yang paling payah, menyayangi orang lain yang kita tidak mempunyai kepentingan kepadanya. Mengorbankan harta, masa dan diri untuk orang yang kita tidak mengharapkan apa-apa balasan dari mereka.

Ramai orang yang boleh jaga anak yatim, tetapi menyayangi tidak semua yang mampu. Tidak ramai orang yang boleh menangis kerana melihat akhlak mereka teruk dan pelajaran mereka teruk. Ini yang paling susah.

Jadi, jika Nabi bersabda,

“aku dan penjaga anak yatim begini di syurga, sambil baginda menunjukkan jari telunjuk dan jari tengahnya”.

Ia juga bermakna, ketahuilah bahawa, ujiannya juga besar, kerana perkara yang berkaitan dengan syurga memerlukan pengorbanan yang besar.

Tetapi, walau sebesar mana ujian, ia akan jadi mudah jika dipermudahkan oleh Allah…

Sunday, February 15, 2009

Universiti Kehidupan 31 - Apa yang kamu baca?

Kita nak bincang sedikit mengenai membaca.

Ayat yang pertama diturunkan oleh Allah ialah mengenai membaca. Kita digalakkan membaca sama ada membaca buku atau membaca alam ini.

Orang yang banyak membaca akan mempunyai gambaran kehidupan yang luas. Dia bukan sahaja dapat maklumat tetapi boleh membanding dan menilai sesuatu maklumat dengan yang lain. Yang paling tinggi ialah apabila dari maklumat yang banyak itu dapat dijadikan satu jawapan terkini mengenai permasalahan hidup.

Walaubagaimana pun, tidak semua bahan bacaan itu baik untuk kita, Sebab itu di dalam ayat yang pertama Allah menyatakan bahawa:-
Iqra bismirabbikal khalaq (bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan)

Barang yang perlu kita baca ialah yang menjadikan kita semakin mengenal Tuhan. Nabi selalu suruh kita membaca doa agar Allah memberikan kita ilmu yang bermanfaat iaitu ilmu yang semakin membawa kita kepada Tuhan. Saintis barat sendiri seperti Albert Einstein pernah mengatakan bahawa penghujung sains adalah agama.

Ayat kedua
Khalaqal insana min alaq (yang menciptakan manusia dari segumpal darah)
Kita disuruh membaca hingga menemukan hakikat kehidupan. Ramai orang yang semakin membaca semakin tidak kenal dirinya, dia semakin sombong dan takabbur. Dia ego dengan ilmunya. Ayat ini menyuruh kita mengkategorikan ilmu di dalam kehidupan kita.

Ayat ketiga
Iqra wa rabbukal akram (bacalah dan TuhanMu yang lebih Mulia)
Di suruh kita menjaga adab di dalam menuntut ilmu. Diingatkan kita mengenai keTuhanan agar kita menjaga adab di dalam ilmu.

Ayat keempat
Allazi Allama bil Qalam (yang mengajar dengan perantaraan pen)
Ayat ini menyuruh kita bersungguh di dalam mempelajari sesuatu, menulis, menilai dan menganalisis apa yang kita pelajari.

Ayat kelima
Allamal insan ma lam yaklam (yang mengajar manusia apa yang dia tidak tahu)
Sesunguhnya ilmu itu dari Allah, jadi selain berusaha, kita disuruh meminta ilmu dari Allah. Banyak orang yang mendapat ilmu lebih dari apa yang dia belajar secara formal. Tetapi ilmu langsung (laduni) mesti didahului dengan pengajian supaya seseorang tidak tertipu.

Di dalam hadith Nabi pernah mengatakan:-
Barangsiapa yang mengamalkan ilmu yang dia tahu, Allah akan mengajarkan kepadanya ilmu yang dia tidak ketahui.
Dari kelima-lima ayat ini, kita disuruh untuk melihat dan memerhatikan apa yang kita belajar dan apa yang kita baca. Tidak semua ilmu bermanfaat dan tidak semua bahan bacaan memberi ilmu.

Ketika saya di China ini, saya melihat, kebanyakkan majalahnya mengenia perempuan. Saya teringat ketika saya berada di Iran, kebanyakkan majalah di sana mengenai baby dan anak-anak kecil serta keibu bapaan. Jika di negera Arab, kebanyakkkan majalahnya mengenai agama dan perbahasan hukum. Di Malaysia bagaimana? Kita dapat menilai diri kita dan bangsa kita dengan apa yang mereka suka baca.

Majalah MASSA ditutup kerana mahasiswa sendiri tidak minat membaca mengenai perbahasan ilmiah.

Otak kita lebih tidak pandai dari perut dari segi menilai apa yang masuk ke dalamnya. Jika perut kita makan perkara yang tidak baik, dia akan memulas dan cuba mengeluarkannya dengan berbagai cara, tetapi otak, semakin banyak kita membaca perkara yang tidak baik, semakin dia akan mempengaruhi.

Oleh itu, banyakkan membaca dan pilihlah bacaan yang berkualiti untuk pembangunan minda kita, anak kita dan bangsa kita.
]
Universiti Kehidupan, Universiti Sepanjang Hayat.

Jom Kongsi Pengalaman 29 - China (Guang Zhou 1)

Pada kesempatan kali ini, kita akan berkongsi pengalaman mengenai bandar Guang Zhou, bandar ekonomi dan perdagangan di China. Sebenarnya, di sini, saya tidak boleh melihat blog saya, saya hanya boleh menambah artikel, tak tahu sebab apa. Jadi saya tidak boleh membaca dan menjawab segala komen.
Ke Guang Zhou paling jimat dengan menaiki Air Asia. Tapi cuba tengok air cond dia, berasap macam musim salji.
Perjalanan mengambil masa 3 jam 50 minit, tapi kami dimaklumkan sampai 20 minit lebih awal, agak-agak pilot tu merempet agaknya. Kami sampai di Bayun International Airport. Bersama saya ialah anak orang Yaman yang saya saya kenal di dalam kapal terbang. Orang Arab ni selamba aje, dia nak ke toilet dia tinggal aje anak dia kat saya. Kalau saya bawa lari pun dia tak tahu.
Ini pemandangan biasa di sini, datang dari jauh, dah malam, malas sewa hotel, tidur ajelah dekat tepi jalan
jarang terdapat kedai buku dan jual majalah di sini, orang di sini kuat kerja, tetapi kurang membaca.
Ini adalah masjid yang tertua di China, Islam mula-mula sampai di sini iaitu pada zaman Saidina Uthman lagi.
Masjid ini dibena dengan seni binaan China, kalau di Malaysia, negeri Melaka sahaja ada bentuk akan-akan macam ni.
tandasnya ada dua daun pintu, macam tingkap rumah kampung kita dahulu,
tempat mengambil wudhuk, di sini tandas tak ada paip air, hanya di tempat orang Islam sahaja yang ada, jadi kalau nak berjalan di sini kena bawa botol kosong, kalau tidak, susah nak beristinjak.
terdapat tuala wakaf dan juga selipar wakaf di sini. kalau musim sejuk, orang ambil wudhuk dan terpaksa lap anggota sebab sejuk sangat.
suasana di dalam perkarangan masjid.
di dalam kawasan masjid, terdapat pokok bongsai
dewans sembahyang masjid
tulisan khat dalam masjid
tiang dalam masjid yang dihiasi dengan tulisan khat

bangku orang tua membaca al-Quran
orang tua ini bersenam dengan senaman Tai Chi di dalam masjid.
InsyaAllah, nanti kita akan berkongsi lagi gambar-gambar di sini.

Saturday, February 14, 2009

Universiti Kehidupan 30 - Antara Rajin Bekerja Dan Rajin Membaca

Pagi di China menyaksikan rakyatnya sudah mulai membanjiri jalan-jalan dan keluar untuk bekerja.

Pagi di Mesir dan kebanyakkan Negara-negara Arab, Bandar masih kosong dan hanya pukul 10 pagi atau 11 pagi baru mereka bangun untuk berniaga.

Pagi di China, tidak banyak kedai buku dan surat khabar yang ada.

Pagi di Mesir, orang membaca di mana-mana, kedai buku banyak, kedai surat khabar banyak dan kedai kitab banyak.
Dari China banyak barang-barang dilahirkan, mana-mana "made in China" hingga serban di Mekah juga dari sini.
Dari Mesir lahir para pemikir yang hebat-hebat, satu-satunya Universiti yang mempunyai ahli fatwanya sendiri, di dalam kitab menyebut "wa qaala Azhariyyun" (ahli Azhar berkata) di samping fatwa dari mazhab-mazhab yang lain. Dari sini lahir tokoh seperti Yusuf Qardawi dan lain-lain.

Antara kedua-dua tabiat ini, mana yang lebih baik?

Pada saya kedua-duanya baik dan melahirkan masyarakat yang berbeza. Yang pertama masyarakat yang bekerja membangunakan lahiriyyah, dan yang kedua masyarakat yang berteori yang membangunkan teori-teori dan akhirnya diterima di peringkat dunia

Bagaimana pula bangsa Eropah? mereka rajin membaca dan juga rajin bekerja. Universiti yang terdapat di Eropah sahaja (tidak termasuk US dan lain-lain) lebih banyak dari bilangan Universiti yang berada di seluruh Negara Islam. Syarikat-syarikat perniagaan mereka ada di mana-mana termasuk di pusat agama kita iaitu Mekah. Padahal mereka paling memusuhi Islam.

Rajin bekerja dan rajin membaca bukan sifat orang barat sahaja. Dia sifat orang yang berjaya membangunakan dunia. Orang Parsi pernah ada sifat ini dan dia pernah membangun dunia, Orang India pernah ada sifat ini dan dia berjaya membangun dunia, Orang Turki pernah, orang Uzbek pernah dan orang Melayu juga pernah mempunyai sifat ini dan mereka pernah memimpin empayar Nusantara.

Terbuktilah kata-kata Nabi, "siapa yang ingin dunia hendaklah dicari dengan ilmu, sesiapa yang inginkan akhirat maka hendaklah dia mencari dengan ilmu, dan siapa yang ingin kedua-duanya maka hendaklah dia mencari dengan ilmu".

Hadith juga mengatakan bahawa, "bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup selamanya".

Sedangkan al-Quran pula mengatakan :

Maka katakanlah, "Bekerjalah, maka Allah akan melihat pekerjanmu, dan Rasulnya dan Orang yang mukin".

Oleh itu, binalah bangsa yang rajin bekerja, dan rajin membaca. Gabungan ini akan melahirkan satu bangsa yang hebat dan kuat, kemudian gabungan bangsa yang hebat dan kuat ini digabungkan pula dengan iman dan Islam, maka kita akan lihat satu bangsa baru iaitu bangsa Muslim yang hebat dan akan menerajui Dunia, amin..

Universiti Kehidupan, Universiti Sepanjang Hayat.

Universiti Kehidupan 29 - Agama Mempersaudarakan Bangsa

Sesampainya saya di Guang Zhou ini, barang pertama yang saya cari ialah kedai makan muslim. Ia lebih penting dari mencari hotel. Setelah bertemu dengan kedai makan muslim, barulah saya mencari hotel yang berhampiran.

Hampir dua jam saya mencari, akhirnya saya bertemu dengan kedai kecil yang di miliki orang Paksitan di jalan Renmin Zhonglu. Saya masuk dan terus bertanyakan sesuatu dengan bahasa Urdu, kebetulan saya memang boleh bertutur dengan bahasa urdu.

Saya memperkenalkan nama saya. Pelayan kedai menyambut saya dengan ramah sekali setelah mengentahui saya adalah Islam. Saya terpaksa memperkenalkan diri kerana muka saya memang macam cina sikit, jadi tak semua orang cina di sini Muslim. Nama pelayan ini Abdul Ghani. Saya meminta minuman panas dan berbual sesuatu dengannya. Perbualan kami rancak sekali.

Setelah selesai minum, dia bertanyakan kepada saya mengenai tempat penginapan. Saya memberi tahunya bahawa saya belum menempah mana-mana hotel lagi.

Dia pun menarik tangan saya dan menunjukkan hotel yang tidak jauh dari kedai makannya. Dia bercakap sesuatu dengan penjaga hotel dalam bahasa cina. Saya hanya diam dan terkebil-kebil kerana saya tidak menguasi bahasa cina. Saya pernah mengambil kursus bahasa cina di UIAM ketika saya belajar di sana dahulu tetapi oleh kerana tidak mempraktikkan maka banyak vocab telah lupa.

“Okey Bai, eder me tike, sista wala” (okey bang, sini okey, murah aje) kata Abdul Ghani.

Hotel di sini hanya RMB 138 bersamaan kurang lebih RM 70. Okey lah tu.

Setelah selesai urusan hotel, saya bertanya kepadanya,

“Ap ka, kaha siyyya”? (awak asal dari mana).

Am China Siyyya (saya dari China) jawab Abdul Ghani

Ha!, sayye bai (ye ke?) jawab saya hairan, saya ingit Abdul Ghani dari Pakistan.

Rupanya, dia dari China, dia menguasi bahasa Urdu kerana sudah lapan tahun bekerja di kedai Paksitan ni.

Saya tak sangka, saya orang Melayu, dia orang Cina, kami dihubungkan dengan bahasa Urdu. Inilah kebesaran Allah yang menjadikan bahasa sebagai perantaraan.

Saya tersenyum dan teringat satu pengalaman yang lebih mencabar iaitu ketika saya berada di Uzbekistan Julai 2008. Saya duduk di sana seminggu dengan hanya berbahasa isyarat. Orang sana tidak boleh berbahasa Arab mau pun Inggeris. Tetapi, oleh kerana Negara sana negara Muslim, saya tidak asing berada di sana. Malahan saya tidak banyak duduk di hotel di sana. Kebanyakkannya menjadi tetamu di rumah-rumah penduduk tempatan.

Orang Islam diikat dengan satu pertalian ukhwah. Walau di mana mereka pergi, mereka bersaudara walaupun berlainan bangsa.

Perasaan ini lahir dari akidah yang satu iaitu kita menyembah Allah yang sama dan menjunjung syariat yang sama. Kiblat kita sama dan rujukan kita iaitu al-Quran dan Hadith kita sama.

Walaupun orang tidak beramal dengan agamanya, tetapi jika berada di Negara yang bukan Islam, dia ada perasaan kesamaan ini.

Kembara menjadikan kita lebih menghargai orang lain dan ingin mencari kesatuan. Benarlah kata Imam as-Syafie, air yang bergerak sentiasa bersih dan segar. Air yang hanya bertakung mudah menjadi kotor dan dan berbau.

“Universiti Kehidupan, Universiti Sepanjang Hayat”

Friday, February 13, 2009

Diari 30 - Walau Ke Negeri China..

Alhamdulillah, pada hari ini 13 Febuari 2009, saya selamat berada di Guang Zhou China. Saya ke sini kerana beberapa urusan yang ada. Saya bertolak pada petang semalam jam 4.00 petang dengan menaiki Air Asia. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Guang Zhou memakan masa selama 3 jam 50 minit. Ia seakan-akan kita pergi ke Pakistan.

Jam di sini tidak ada beza dengan di Malaysia. Waktu sembahyangnya juga tidak jauh berbeza. Dari segi budaya, kita juga tidak terkejut. Ini kerana perwatakan mereka hampir sama dengan masyarakat China di Malaysia.

Saya duduk tidak jauh dari Masjid Hua Shing, masjid tertua di China. Perhubungan Arab dengan China telah wujud ribuan tahun dahulu. Rombongan dakwah pertama yang sampai ke sini adalah pada zaman Saidina Uthman lagi.

Terdapat makam rombongan seorang sahabat dan tabiin di Guang Zhou ini. Mereka dipimpin oleh Abi Waqqas. Ramai orang berpendapat Abi Waqqas ini adalah Saad bin Abi Waqqas. Walaubagaimana pun, di dalam kitab Muwatta, Imam Malik mengatakan bahawa Saad bin Abi Waqqas meninggal di Madinah dan di makamkan di sana.

Walau siapapun Abi Waqqas ini, beliau seorang yang sangat berjasa di dalam usaha menyebarkan dakwah Islamiyyah di bumi China ini.

Semoga kita mencontoi sifat sahabat. Ke mana mereka pergi, apa juga tujuannya, sama ada berniaga atau merantau, Islam tetap mereka kembangkan.

InsyaAllah, kita akan kongsikan lagi pengalaman di sini.

Thursday, February 12, 2009

Tarbiah dan Dakwah 10 – Sanad (salsilah ilmu) dan kepentingannya.

Ketika Rasullullah berdakwah, perkara yang paling sukar bagi baginda ialah tentangan yang datang dari ahli kitab. Ini kerana merekalah yang mengatakan bahawa Rasullullah mencipta agama baru sedangkan pada pandangan mereka, merekalah yang membawa risalah agama yang benar yang diwarisi dari Nabi-Nabi terdahulu.

Hal ini berterusan hinggalah Rasullullah diisrak ke langit. Rasullullah ditemukan dengan Nabi-Nabi terdahulu. Akhir sekali bertemu Allah dan mengambil risalah langsung dari Allah.

Ketika sekembalinya Rasullullah, ahli kitab kelu apabila baginda dapat menceritakan dengan tepat ajaran yang dibawa oleh para Rasul terdahlu. Baginda juga dapat menjelaskan penyelewengan ahli kitab dan rekaan mereka terhadap agama.

Bagaimana Rasullullah dapat mengetahui semua ini. Baginda telah mendapat tunjuk ajar langsung dari Allah(salsilah ilmu itu langsung dari Allah)

Selepas itu, baginda menyampaikan agama ini kepada para sahabat. Para sahabat menyampaikan kepada Tabiin. Para Tabiin menyampaikan kepada para Tabi' Tabiin. Dan semua salsilah ini bersambung dan inilah yang dikatakan sanad.

Sistem sanad ini berterusan hingga para Ulama menyatakan "di antara kelebihan umat ini (umat Muhamad) ialah ilmunya bersanad (lihat Sobri Abdul Rauf. Athar al-Qiraat fi Feqh al-Islami. Adhwa' as-Salaf, Riyadh. halaman 70).

Fungsi sanad ini diambil alih oleh Institusi pada ketika wujudnya beberapa Universiti seperti Universiti al-Azhar di Mesir dan Universiti Qarawiyyin di Tunisia.

Pada zaman ini, walaupun sistem sanad talaqqi (salsilah guru) masih digunakan tetapi ada ulama-ulama yang menyandarkan tempat belajar sebagai sanadnya.

Sistem sanad mula kurang diendahkan apabila penjajahan Negara Barat terhadap negara Islam. Orang barat lebih menumpukan institusi dari salsilah guru. Akhirnya, ada guru-guru dari insititusi yang mengajarkan perkara salah mengenai Islam. Tetapi, kerana fungsi institusi lebih besar, maka orang tetap mengiktiraf mereka.

Sistem sanad tidak boleh ditinggalkan sekalipun fungsi institusi lebih menyerlah sekarang. Ada tujuh perkara yang penting mengenai sanad

1. Mengetehui kesahihan ilmu
Orang yang ada sanad bermakna dia ada salsilah guru. Maknanya, kita dapat tahu dari mana dia belajar dan siapa gurunya. Apabila sesuatu salsilah itu bersambung hinggalah ke Rasullullah, maka ia akan menjadikan kita yakin dengan kupasan ilmunya. Muqaddimah kitab Sahih Muslim ada menekankan mengenai kepentingan sanad ini.

Dari Ibnu Sirin " sesungguhnya ilmu itu adalah agama kamu, maka hendaklah kamu melihat dari siapa kamu ambil agama kamu.(perbahasan ke 26 mengenai sanad)

Dalam perbahasan ke 27, Dari Ibnu sirin "Apabila berlaku fitnah (perselisihan) kamu tanyakan, siapa guru kamu?
2. Keberkatan
Dengan belajar secara berguru dan bertalaqqi dan kita tahu salsilah guru kita, ia akan menambahkan lagi keberkatan di dalam belajar.

3. Persaudaraan
Dengan mengambil sanad, kita akan dipersaudarakan dengan murid-murid lain yang mempunyai sanad. Katakan seorang yang belajar secara bersanad di Shah Alam, dia berjumpa dengan seorang murid dari Mesir. Melihat sanadnya, maka ada persamaan guru, maka ia membuatkan seseorang lebih rapat lagi. Ia seperti kita bertemu dengan seseorang yang sama universiti dengan kita. Ia akan menjadikan kita lebih mesra.

4. Tanggungjawab
Orang yang memegang sanad, dia bertanggungjawab menyampaikan pula ilmu yang dia ada pada orang lain. Katakanlah ada 100 orang murid yang belajar secara bersanad, maka setiap seorang mengajar lagi seratus, maka ilmu itu akan terus berkembang. Apabila semakin ramai orang yang faham agama, maka semakin baik masyarakat.

5. Pahala.
Apabila ilmu yang disampaikan itu diamalkan, maka Allah akan memberi pahala kepada kita sekalipun kita telah mati. Ia berdasarkan hadith bahawa antara amalan yang kekal pahalanya ialah seseorang itu menyampaikan ilmu yang berguna kepada orang lain.

6. Bimbingan
Orang yang banyak berguru, dia akan terus mempunyai hubungan dengan gurunya. Jadi, gurunya itu akan terus dapat membimbingnya. Ini kerana ramai orang berilmu rosak apabila tidak ada orang yang dapat menegurnya. Dia rasa dia telah alim dan dia boleh keluarkan fatwa apa yang dia suka. Sedangkan manusia perlu sentiasa diingatkan mengenai kebenaran dan kesabaran. (maksud surah al-Asr)

7. Hubungan di akhirat.
Ketika di akhirat, kita akan dibariskan dengan beberapa barisan. (Surah Naba'). Sudah tentu kita hendak mengikut saf yang dipimpin oleh Rasullullah. Tetapi kita tidak kenal nabi. Yang kenal Sahabat, kita tidak kenal sahabat, yang kenal sahabat tabiin. Kita juga tidak kenal tabiin, yang kenal mereka ialah pendakwah-pendakwah Islam yang mengembangkan Islam. Kita juga tidak kenal mereka. Yang kenal mereka ialah tuan-tuan guru kita. Maka kita akan mengikut tuan-tuan guru kita, tuan-tuan guru akan mengikut para pendakwah, para pendakawah mengikut tabiian, tabiin mengikut sahabat dan sahabat sudah tentu mengenali dan akan mengikut saf Rasullullah. Akhirnya kita akan disafkan bersama Rasullullah.

Dengan sanad mudah-mudahan kita kenal guru-guru kita hinggalah ke Rasullullah saw.

Inilah kepentingan sanad. Belajarlah dan mengembaralah mencari ilmu. Yang terbaik apabila kita belajar secara besanad.

Sesungguhnya, sistem ini telah mula ditinggalkan, tetapi ia tidak akan putus. Ini kerana salsilah ilmu ini akan sentiasa ada yang menyambungnya. Oleh yang demikian, jadilah kita sebahagian dari orang yang mempunyai sanad di dalam ilmu-ilmu Islam ini.
Pada 15 Safar 1430 bersamaan dengan 11 Febuari 2009 majlis khatam Kitab Sahih Muslim dan penganugerahan sanad disempurnakan di Yayasan Restu Shah AlamHari ini seramai hampir seratus orang dianugerahkan sanad kitab sahih Muslim. Semoga mereka pula akan menyampai dan mengajarkan kepada orang lain.
Di antara kelebihan umat Muhamad ini ialah ilmunya bersanad (bersalsilah) hinggalah ke Rasullullah.

Diari 29 - Dunia Untuk Akhirat

Hari ini, 11 Febuari, krew TV 3 yang telah membuat appointment dengan saya sejak minggu lepas menghubungi saya.

"Abg Mat, tolong bagi alamat rumah, kita orang terus ke rumah Abg Mat", kata Shadiya yang mengetuai rombongan krew.

Saya menghantar SMS alamat rumah saya. Saya yang baru habis majlis khatam dan anugerah sanad Kitab Sahih Muslim di Yayasan Restu bergegas balik ke rumah. Sebenarnya, konsep baru program al-Hidayah kali ini saya tak tahu. Akhir sekali bersama al-Hidayah ialah hujung 2008.

Krew sampai seperti yang dijanjikan. Kami menunaikan solat zohor berjemaah. "okey, kita buat cepat-cepat lepas tu kita pergi makan ye". Pelawa saya. Saya memang dah faham tugas mereka. Biasanya, kalau mereka buat program kadang-kala makan pun tidak menentu.

Tapi mereka semua suka, kerana di arahkan membuat program agama. "Barulah berbaloi ustaz, pahala pun dapat" kata salah seorang dari mereka. Krew yang membuat program agama ini beruntung sebenarnya. Mereka dapat bertemu dengan ramai ustaz dan ustazah serta orang-orang agama. Mereka boleh bertanya terus persoalan dan mereka dapat membina kenalan dengan ramai orang agama.

Rasullulah pernah bersabda, "barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, akan difahamkan mereka pada agama." Antara cara Allah ingin memberi kefahaman terhadap agama ialah dengan dijinakkan hatinya kepada majlis ilmu dan dirapatkan mereka dengan orang-orang agama. Semoga Allah terus memberi kebaikan dan bimbingan kepada saya dan mereka semua.

Tajuk perbincangan kita hari ini ringkas, tetapi ia penting. Ini kerana, dari pengamatan penerbit, ramai orang yang menonton program ini, dari kalangan orang awam yang baru hendak mengenal Islam. Jadi, program akan membahaskan perkara asas di dalam lingkungan rukun Islam seperti solat, puasa, haji dan zakat.

Hari ini, saya membahaskan mengenai perkara yang berkaitan dengan solat. Alhamdulillah, sekejap sahaja ia dapat disempurnakan. Cuma apa yang menarik di dalam perbincangan solat ini ialah mengenai cara mengetahui arah kiblat dengan berpandukan bintang.

Salah satu kasih sayang Allah ialah, Dia menjadikan salah satu bintang di langit ini arah kepada kiblat. Ketika saya belajar ilmu ini, saya selalu berfikir, adakah ia digunakan di Malaysia sahaja atau di seluruh dunia.

Ketika saya mula mengembara di negara-negara luar dari Malaysia, saya selalu memerhati langit dan melihat kedudukan bintang kiblat ini. Rupanya, di mana-mana pun ia boleh dijadikan panduan. InsyaAllah, kita boleh bincangkannya kemudian nanti atau tunggulah di dalam rancangan al-Hidayah TV 3.

Selain dari itu, banyak perkara di dalam lingkungan ilmu falaq syarie (kajian bintang Islam) yang berkaitan dengan solat jarang dibincangkan. Ia seperti pertembungan kaedah melihat langit dan penggunaan jam di dalam menentukan waktu sembahyang.

Saya berpendapat, antara ilmu yang perlu disusun dan dipermudahkan pembelajarannya ialah ilmu falaq syarie (ilmu kajian bintang Islam). Ia di antara ilmu teknikal dan praktikal yang berguna. Setelah kejatuhan empayar ilmuan Islam, banyak disiplin ilmu yang disambung oleh orang barat. Ini menyebabkan ramai orang mengagungkan barat sedangkan banyak ilmu terknikal dan praktikal ini berasal dari ilmuan Islam.

Kita selalu mendengar sistem pengajian pondok dan madrasah di Malaysia. Ia hebat di dalam mempertahankan ilmu-ilmu keagamaan. Cuma beza sistem pondok di zaman kegemilangan Islam, ia juga menjadi tempat kajian sains semasa. Akhirnya, sains tidak dipisahkan dengan agama. InsyaAllah, kita cuba fikirkan bersama.

Semoga, Universiti Wakaf yang cuba diusahakan dapat disusun dengan pendekatan ulama silam, ulama yang disepadukan antara ilmu dunia dan ilmu akhirat. Sesungguhnya, ilmu dunia membina tamadun, dengan tamadun lebih banyak kebaikan dapat dibuat, ilmu akhirat untuk memastikan amalan tersebut selaras dengan syarak agar perpindahan pahala ke akhirat tidak tersangkut di dunia.

Rakaman al-Hidayah yang dibuat di rumah saya
Ia membahaskan mengenai perkara asas di dalam Islam
Antara yang menarik ialah perbincangan mengenai mengetahui arah kiblat melalui bintang
Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua.

Tuesday, February 10, 2009

al-Ijabah 5 - Dari Ipoh ke Depoh

Sudah agak lama saya tidak bersama anak-anak yatim dan tahfiz al-Ijabah. Pada Ahad 8 Febuari, saya bersama mereka mengendalikan majlis selawat dan bacaan sirah Nabi dengan menggunakan kitab ad-Dibaie.

Majlis dibuat dirumah Ibu saya di USJ 4 Subang Jaya. Setelah semua berkumpul, baru saya dapat rasakan bilangan mereka kini semakin ramai. Sejuk hati saya melihat mereka melaungkan bait-bait selawat bersama-sama.

Selesai majlis, saya didatangi tetamu dari Perak. Mereka ialah waris Allahyarham Ustaz Mohammad Khairuddin. Jika kita semua ingat, Allahyarham ialah seorang Ustaz dan pada waktu petang Allahyarham membuat kerja sampingan bekerja di sebuah stesen Petronas di Gunung Lang Ipoh Perak.

Pada 11 November 2008, datang beberapa perompak cuba merompak setesen Petronas ini. Allahyarham yang bekerja pada hari itu ditetak dan kembali ke rahmatullah pada pagi itu.

Melihat pada anak Allahyarham ini, hati saya terus berbisik, semoga Allah menjadikan anak ini seperti ayahnya, pemegang amanah agama hingga akhir hayatnya. Saya terus menghubungi Abang Saya Ustaz Jazlan untuk bertanyakan kekosongan di Pusat Pendidikan al-Amin Bandar Sunway.

"Mungkin tempat penuhlah, tapi tak apa, nanti aku tengokkan" kata Ustaz Jazlan yang juga Mudir Pusat Pendidikan al-Amin.

Seterusnya saya menghubungi bahagian pentadbiran Yayasan al-Ijabah, En Azizi.

"Bang, ada seorang anak dari Ipoh nak masuk, apa pandangan?. Saya bertanya.
"Ustaz, kalau ikut baget memang dah tak cukup, tapi insyaAllahlah, kita usahakan". Suara Azizi penuh Yakin.

Perkataannya sekarang dah macam ustaz. Kalau dulu, dialah yang selalu menyebut, "ustaz, cukup lah tu, baget kita mana ada".

Saya tersenyum sendirian. "Mmm..dah macam ustaz sekarang, alhamdulullah", bisik hati saya.

Perkara yang ketiga yang saya fikirkan ialah pengangkutan anak ini ke sekolah. Kalau ikutkan, bas memang dah tak muat.

Mmm, macam mana ye, bisik hati saya.

Tiba-tiba saya teringatkan seseorang. Saya teringatkan Abang Rosli dan Kak Pi sekeluarga. Sewaktu di Mekah baru-baru ini, dia ada bercerita pada saya mengenai abangnya, Hj Razali mempunyai banyak bas untuk dijual.

Pada petang itu juga saya menghubungi Abang Rosli, "Bang, ari tu kata Hj Razali ada bas nak jual. Ada lagi tak bang? Saya bertanya.

Ha..ada ustaz. Esok pagi ustaz datang rumah, kita bincang". Dia memberikan cadangan.

Pada Isnin 9 Febuari, jam 11 pagi, saya ke rumah Abang Rosli di seksyen 8. Beliau mengajak saya bertemu dengan abangnya Hj Razali.

Setelah berbincang, Hj Razali bersetuju untuk menjualkan basnya dengan harga kos.

"Ok ustaz, saya kira kos aje lah ye" kata Hj Razali.

Hati saya berdebar-debar, berapa le agaknya harga kos ni.

Ok ustaz, siap semua servis harga RM 30-35 ribu ustaz. Bas baru lagi insyaAllah. Terang Hj Razali.

"RM 30 ribu, boleh juga", bisik hati saya. Sekarang pun, saya membayarkan RM 4500 sebulan untuk bas anak-anak Yatim dan Tahfiz ni. Kalau 10 bulan pun dah RM 45 ribu. InsyaAllah kalau ada kemampuan, saya usahakan dua biji. Ini kerana anak-anak kita pun dah 70 orang dan semakin bertambah setiap hari.

"Boleh lah Bang", jawab saya. Saya bersalaman dan pada tengah hari itu juga saya, Abang Rosli dan beberapa orang sahabat lain melihat bas yang bakal dibeli di depoh simpanannya di Seri Muda Shah Alam.

"Mmm, RM 30 Ribu sebiji. Kalau dua biji, Mana nak cari duit ni." Bisik hati saya. Tapi tak apa. Kalau betul ada rezki anak-anak ini, pasti Allah berikan kemampuan nanti. Sebenarnya, bukan kita yang menjaga anak Yatim dan Tahfiz ini, Allah yang menjaga dan sudah tentu Allah yang akan mencukupkan.

Saya beri tempoh dua minggu untuk membuat bayaran. Dan saya yakin ia akan dapat dibuat. Cara bagaimana, saya tak tahu, Cuma saya akan usahakan dengan semaksima mungkin.

Petang ini, saya bermesyuarat dengan semua kakitngan saya dari ALC. Kita ada misi besar. Tolong susunkan untuk saya kursus yang saya akan buat di beberapa tempat. Mereka semua bersemangat. Jika Kursus yang kita buat berjaya, kita akan dapat sedikit sumber kewangan. Ia akan dibuat bayaran permulaan bagi bas ini.

Semua kakitangan ALC, bersemangat. Dan saya yakin akan kemampuan mereka semua. Keajaiban pertama muncul apabila hari ini saya dihubungi oleh Universiti Malaya dan meminta saya membuat Kursus solat untuk pelajar-pelajar. Hari ini, 10 Febuari, Jabatan Mufti Johor memberi laluan untuk saya dan ALC membuat kursus Solat Nabi Menurut Mazhab Imam as-Syafie Dan Kursus bacaan fatihah secara bersanad.

Bermula dengan kedatangan seorang anak yatim dari Ipoh, ia membawa kepada pembelian dua buah bas. Jika ini berlaku, maka kita akan saksikan janji Allah bahawa, bukan kita yang membela mereka, tetapi Allahlah yang menjadi pembela mereka. Kita cuma jalan penyebab sahaja.

Semoga usaha ini mendapat bantuan Allah dan sokongan semua. Amin..
Bacaan selawat dan sirah Nabi melalui kitab ad-Dibaie

Selawat ini disyorkan oleh Habib Umar bin Hafiz untuk saya ajarkan kepada anak yatim dan tahfiz bagi melembutkan hati. Ia cadangan yang diberi oleh Habib Umar ketika saya bertamu di rumahnya di Hadramaut Yaman pada 2004
Waris Allahyarham Ustaz Mohammad Khairuddin dari ipoh.
Sebelah saya Abag Rosli ketika melawat Depoh Bas di Seri Muda.
Sahabat seperjuangan dalam ALC, Ustaz Esamuddin

Semoga niat yang baik diperbaiki oleh Allah.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...