Tuesday, March 31, 2009

Universiti Kehidupan 52 - Uzlah

Rusia merupakan sebuah negara yang mempunyai sejarah negara yang panjang. Agama pernah menjadi tunggak kepada pembangunan negara ini. Di sini terkenal dengan pengamalan kristian Orthodok. Susur galur kristian yang mula-mula sebelum terpecah menjadi Katholik dan kemudian menjadi Protesten.


Islam menjadi agama kedua terbesar ketika Rusia mula membuat kesatuan dengan negara-negara Islam seperti Tataristan, Tajikistan, Uzbekistan, Kyrgistan dan negara “Tan” yang lainnya.


Ketika 7 November 1917, berlaku Revolusi Bolshevik yang dipimpin oleh Lenin dengan doktrin komunisnya, dia menggulingkan pemerintahan Nasionalis Alexender Karensky.


Tasr Nikolai II, Tsar terakhir Rusia dan seluruh keluarganya dipenjara setelah Revolusi Bolshevik dan Rusia memasuki era Komunis.

Komunis mengharamkan pengamalan mana-mana agama dan menyamakan agama seperti candu.


Slogan Lenin ialah kerja dan kerja, semua orang mesti bekerja. Apabila agama tidak lagi diamalkan, manusia hidup tanpa panduan. Hasilnya, Rusia antara negara yang mempunyai kadar kebejatan akhlak paling tinggi di dunia.


Minggu pertama saya berada di sini, saya terkejut. Anak-anak muda di sini bercium di mana-mana. Jika kita keluar dari rumah menaiki Metro, dalam setiap lima minit kita akan melihat orang bercium di merata-rata tempat.


Kerosakkan ini bukan sahaja dari peringkat orang yang ditepi jalah. Hingga orang berpelajaran di universiti-universiti pun sama. Mereka berpelukan, bercium, bercumbuan dan tidak ada seorang pun yang menegur mereka.


Pendedahan aurat tak usah nak cakap. Jika musim sejuk pun ada orang yang mendedahkan pehanya, bagaimana pada musim panas?


Di asrama, kondom bersepah-sepah. Dibuang merata-rata tempat. Majalah lucah dijual ditepi-tepi jalan dan anak-anak muda tidak malu membacanya di khalayak ramai. Pelacuran tinggi dan ada orang yang tunggu di tepi-tepi jalan memberikan “business card” untuk tempahan penyakit AIDS.


Saya sendiri bersama Khairul, pelajar kejuruteraan kapal terbang, dengan mudah mendapat “flying kiss” dari pada gadis di sini ketika kami sedang dalam perjalanan ke suatu tempat. Hari pertama lagi ketika saya sampai, murid saya yang menguruskan penginapan saya menawarkan untuk ke kelab malam.


Jika kita membaca artikel ini dengan nafsu, maka kita akan membayangkan yang bukan-bukan. Jika kita membaca dengan akal, kita akan merasakan rimasnya kehidupan seperti ini. Bayangkan jika kita ada adik perempuan, anak perempuan atau isteri yang terdedah dengan cara hidup seperti ini. Jika kita membaca dengan iman, maka kita akan rasa jangkalnya hidup begini dan yang penting, bagaimana boleh kita menyelamatkan iman kita dan orang di sekeliling kita, semaksima yang kita mampu. Kita akan memandang dengan rasa kasihan dan bagaimana ingin bersama memperbaiki masyarakat.


Untuk lari dari keadaan macam ini kita perlu beruzlah (pemencilan diri) Ada dua cara. Pertama dengan apa yang disebut sebagai “uzlah badaniah”, iaitu lari dan duduk sorang-orang tanpa bergaul dengan masyarakat. Atau kita berpindah kepada dari masyarakat yang rosak kepada masyarakat yang baik atau kita bentuk masyarakat yang baik kecil-kecilan dan hiduplah bersama-sama dengan kelompok yang kecil ini.


Cara ini bagus tetapi nanti kita akan menjadi masyarakat pinggiran dan baik seorang diri tanpa merubah masyarakat. Sedangkan kelebihan umat Muhammad adalah ketekunan dan kesungguhannya menyuruh pada perkara baik dan mencegah pada perkara mungkar. Di dalam al-Quran Allah menyebutkan :-


Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. (Ali Imran 110)


Cara yang kedua ialah kita bergaul dengan masyarakat cuma kita jaga hati kita, kita benci dengan keadaan sekeliling, beristighfar dan ada cita-cita untuk merubahnya. Ini disebut sebagai “Uzlah Qalbiyyah”, iaitu badan kita bersama manusia tetapi hati sentiasa bersama Allah.


Di dalam satu hadith Nabi saw pernah bersabda:-


“Jika kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangan, jika tidak mampu ubahlah dengan lisan dan jika tidak mampu maka ubahlah dengan hati, dan itulah selemah-lemah iman”.


Pada peringkat awal sebelum kenabian, Nabi selalu ke gua hira’, beruzlah badan seketika, berfikir bagaiman ingin memperbaiki masyarakat.


Ketika turunnya wahyu, Nabi turun ke tengah masyarakat yang rosak, masyarakat penzina, masyarakat peminum arak, masyarakat perasuah bergaul dengan mereka dan memperbaiki mereka. Badan Nabi bersama mereka tetapi hati sentiasa bersama Allah memohon petunjuk dan bimbingan. Inilah disebut sebagai “uzlah qalbiyyah”, (uzlah hati).


Orang Melayu kita telah mengamalkan satu amalan yang baik iaitu membaca al-Quran pada orang yang telah mati. Pahalanya dapat tetapi orang mati itu telah mati. Alangkah baiknya jika kita tingkatkan lagi, kita bacakan al-Quran pada orang yang hidup, maka orang yang hidup insyaAllah boleh berubah. Ini yang dibuat oleh Rasullulah.


Kita bacakan al-Quran dan penghayatannya pada isteri kita, pada anak kita, pada keluarga kita, pada kawan-kawan kita, pada anak buah kita, pada masyarakat dan orang yang kita temui, barulah kita akan menjadi semakin baik, mereka pun akan menjadi semakin baik.


Jika semua orang berusaha menjadi baik, maka kita akan lihat semua orang akan memperbaiki diri. Gabungan individu yang memperbaiki diri akan membentuk keluarga, gabungan keluraga membentuk masyarakat, gabungan masyarakat membentuk negara dan gabungan negara akan membentuk ummah yang baik. Jika ini berlaku Allah akan melimpahi keberkatan pada kita semua. Allah berfirman,

j
ikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, (al-A’raf ayat 96)



Kita kita boleh beruzlah badan jika kita tidak kuat dan takut terpengaruh dengan keadaan sekeliling. Tetapi, jika kita kuat, maka amalkanlah uzlah hati, iaitu badan bersama masyarakat, hati bersama Allah. Badan turun memperbaiki masyarakat, hati memohon pertolongan dan bimbingan Allah.


“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad Abdullah
308, Hostel Kahovskaya Moscow Medical Academy
31 Mac 09, 8.30 pagi

Uzlah satu amalan memperbaiki diri sama ada uzlah badaniyyah atau uzlah qalbiyyah
Orang mabuk berada di mana-mana, kebejatan akhlak terlihat di mana-mana di sini. Cukuplah gambar ini sahaja menceritakannya.

Universiti Kehidupan 51 - Takkan Melayu Hilang Di Dunia (2)

Perjalanan saya ke Saint Petersburg mempunyai satu misi. Saya ingin bertemu dengan Prof. Dr. Alexander K. Ogloblin, pengkaji Nusantara peringkat dunia dari University of St. Petersburg. Seminggu sebelum itu saya telah membuat temujanjinya melalui Dr. Tatiana di Moscow.

Satu hari sebelum bertolak, saya dimaklumkan oleh Dr. Tatiana bahawa beliau tidak ada di St. Petersburg.Saya merasa agak hampa kerana tujuan asal saya ke St. Petersburg ialah untuk bertemu dengannya

27 Mac 09 jam 11 malam, saya, Helmi, Afiq dan Azam bertolak ke St. Petersburg dengan menaiki kereta api. Perjalanan ke St. Petersburg mengambil masa 8 jam. Kereta api yang kami naiki mempunyai gerabak yang ada katil untuk tidur. Perjalanan melalui kampung-kampung, rumah-rumah kayu tradisional dan pokok-pokok pine yang diselubungi dengan salji

Kami merentasi gunung dan kawasan berbukit. Susana di luar sangat sejuk tetapi di dalam gerabak suhunya ialah 22 darjah celcius. Tidak berapa lama kemudian, datang pelayan kereta api bertanyakan keperluan kami. Kami tidak mempunyai apa-apa keperluan cuma, minta dibuatkan air teh. Dia membawakan kami air teh bercampur limau.


Pelayan yang memakai baju seragam berwarna biru tua melimparkan senyuman kepada kami. Teh di dalam kereta api ini berharga 20 Rubel bersamaan kurang lebih dua ringgit. Kami sampai ke Saint Petersburg pada pukul 7.10 pagi.


Sesampainya di sini, kami di sambut oleh dua pelajar kejuruteraan kapal iaitu Nasir dan Amin. Mereka membawa kami dirumahnya. Hari pertama kami hanya berjalan sekitar bandar. Kami mencari pusat pengajian Nusantara tetapi pada hari ini pusat ini telah tutup.


Malam ini, saya sempat berkuliah bersama pelajar-pelajar kejuruteraan kapal di sini. Malam ini setelah kuliah, saya menghubungi Dr. Tatiana. Setelah bertanya khabar lebih kurang, saya menyatakan hajat saya untuk berusaha menghubungi Prof. Dr. Goblin. Perbualan kami terputus.


Tidak lama selepas itu, Dr. Tatiana menghatar mesej kepada saya.


“Tadi x dengar. Untk ape nak nbr fone dr Alexander? I dah cakap dn die sehari lalu, katanya sdng sibuk susun kamus x ade masa unk kerja lain”


Saya berbisik di hati saya,


“aik..! semalam kata tak ada, hari ini kata tak nak jumpa pula. Mmm.. jangan jangan memang tidak sudi jumpa kot..”


Selang beberapa ketika, Dr.Tatiana menghantar sebuah mesej lagi,


“Handphone Alexander - **** **** ***, boleh hubungi dia unk dapat tahu ttng manuskrip melayu kuno”


* no saya tidak nyatakan atas tujuan menjaga hak peribadinya


Keesokkannya harinya, Ahad 29 Mac, saya cuba menghubungi Dr Alexander. Dia mengangkat telifon saya. Saya terus memperkenalkan diri dalam bahasa Melayu dan terus menyatakan hajat saya. Dr. Alexander diam seketika. Kemdian dia bertanya,


“kamu sekarang di mana ni?”


Saya menyatakan bahawa saya berada di penempatan pelajar Malaysia di St. Petersburg.

Kemudian dia berkata,


“baiklah, bolehkah bertemu saya di….”


Cepat-cepat saya memberi telifon kepada salah seorang pelajar Melayu di sini.


“Okey Ustaz, saya tahu tempatnya,” Kata Zack pada saya.


Jam menunjukkan pukul 10.30, kami mula bertolak ke tempat yang diberitahu. 45 minit selepas itu kami sampai. Saya menghubungi Dr Alexander dan tidak lama selepas itu dia datang dan menjemput saya ke rumahnya.


Ketika melangkah masuk, Dr. Alexandra mengambilkan baju sejuk saya dan menyangkutkannya. Gayanya seperti ayah-ayah. Beliau mempersilakan kami masuk ke bilik kajiannya. Suasana biliknya penuh dengan buku. Ada yang tersusun rapi di almari dan ada yang bersepah di meja bacaan. Kebanyakkan bukunya mengenai Nusantara.


Beliau menunjukkan saya kajian-kajiannya dan sekarang memang beliau sedang sibuk menyiapakan kamus Bahasa Indonesia – Rusia. Di dalam biliknya penuh dengan buku dan kitab dari Nusantara. Kamus bahasa Jawa- Inggeris pun ada.


Kami memulakan perbualan mengenai bahasa Melayu. Dr Alexandra menyatakan mengenai keindahan bahasa Melayu yang tinggi maknanya.


Saya teringat mengenai kisah seorang sahabat yang dipesan oleh datuknya. Jika hendak merantau maka jagalah pisang sesikat dan jarum di dalam diri kamu. Sahabat ini pening kepada memikirkan apakah yang cuba disampaikan oleh datuk ini.

Setelah cuti semester pertama, maka dia bertanya pada datuknya, apakah makna pisang sesikat dan apakah makna jarum dalam diri. Datuk ini memberi tahu bahawa pisang sesikat ialah cantuman kedua belah tangan seolah-olah bersalaman. Ia memberi makna, kemana sahaja kamu pergi, hormatilah orang lain.


Jarum dalam diri ialah lidah kerana lidah sebenararnya lebih tajam dari jarum. Di tempat orang, hendaklah sentiasa menjaga lidah. Bahasa kiasan seperti ini banyak di dalam bahasa Melayu. Ini cantik dan indahnya bahasa Melayu.


Dr Alexandra berbual dengan saya mengenai sejarah dan kebudayaan di Nusantara.

Dia menunjukan kitab Sulalatus Salatin yang telah diterjemahkan dan diterbitkan di dalam bahasa Rusia. Mereka mempunyai manuskrip asal kitab ini.


Saya berbual dengannya dan dia memberitahu saya mengenai tulisan Aksara, tulisan Melayu kuno sebelum wujudnya tulisan jawi. Ia penemuan lama, sudah lebih sepuluh tahun.


Dia menerangkan kepada saya mengenai penemuan barunya iaitu satu undang-undang bertulis Melayu yang baru ditemui di dalam bahasa Aksara. Ia undang-undang Melayu lama.


Jika ia dapat dikaji dengan baik, ia akan mengetepikan bahawa orang Melayu tidak menulis undang-undang. Manuskrip ini mempunyai lebih dari 100 helai.


Jika ini terdedah, maka akan berubahlah fakta sebelum ini yang mengatakan orang Melayu tidak mempunyai undang-undang bertulis. Hanya adat yang diturunkan dari generasi ke generasi. Setakat yang ditunjukkan kepada saya, undang-undang bertulis itu mirip dengan ajaran Islam.


Contohnya seperti, sesiapa yang menendang orang lain maka dia perlu membawakan makan dan minum. Ia seperti kifarah yang memberi fakir dan miskin makan.


Jika sesebuah bangsa telah mempunyai tulisannya sendiri, telah mempunyai undang-undangnya sendiri, bermakna, bangsa itu adalah satu bangsa yang mempunyai tamadun yang tinggi.


Tetapi kenapa kita tidak tahu semua ini? Kenapa manuskrip-manuskrip ini berada di luar Nusantara? Kenapa seolah-olah ada konspirasi menyembunyikan sejarah bangsa ini? Kenapa hindu dan budha yang pernah ditonjolkan sedangkan Melayu mempunyai jatidirinya. Kenapa Islam dikatakan lambat datang ke sini? Lambat atau sejarahnya dihilangkan? Kenapa dihilangkan? Apakah yang sangat ditakuti pada bangsa ini? Adakah benar bahawa Islam itu akan bangkit dan ia bermula dari timur jauh ini? Jika benar, adakah itu tujuan utama dihilangkan sejarah bangsa kita, agar bangsa ini dipisahkan dari Islam atau hilang jatinya?

Persoalan-persoalan itu bermain di benak pemikiran saya. Saya sudah menemui titik-titik penyambung sejarah bangsa Melayu.


Saya yakin, Islam bermula lebih awal dari apa yang diberitahu kepada kita. Dan saya yakin, jati diri bangsa ini, tidak boleh dipisahkan dari Islam.

Jika kita menerima bahawa Islam lambat ke Nusantara, maka jatidiri Islam dalam darah orang
Melayu tidak akan dipedulikan.


Sesungguhnya, Islam menguatkan semua bangsa. Nilai dan jatidiri orang Melayu dibentuk dari ajaran Islam yang syumul. Orang Melayu yang menolak Islam akan menyaksikan hilangnya jatidiri dalam hatinya. Bermula dengan mempertikai, akhirnya akan memaki bangsa sendiri.


Sesungguhnya Salman al-Farisi, Abu Huzaifah al-Yamani, Saad al-Ghifari dan lain-lain para sahabat berasal dari suku dan bangsa yang berbagai. Tetapi, mereka disatukan dengan satu nama. Mereka adalah muslim, mereka menyembah Allah Yang Satu dan mereka menurut syariat yang satu.


Jika semua bangsa menjadikan Islam sebagai keutamaan, kita akan melihat lahirnya sebuah bangsa besar. Bangsa Muslim yang sentiasa mahu kebaikan dan mengcegah kemungkaran.


Perkara ini yang telah disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran :-


Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. (Ali Imran 110)

Inilah Bangsa besar hamba Allah dari Ummat Rasullullah.


“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”


al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad Abdullah
308, Hostel Kahovskaya Moscow Medical Akademi
30 Mac 09 jam 11.15 malam

Saya, Helmi dan Zack (pelajar Melayu di St. Petersburg) berkunjung ke rumah Prof Dr. Dr. Alexander K. Ogloblin, pengkaji Nusantara peringkat dunia dari University of St. Petersburg. Gambar kanan sekali ialah Prof.
Menerangkan kepada kami yang hadir mengenai Melayu dan Nusantara
Menunjukkan kepada saya kajian-kajiannya mengenai Nusantara


Kitab sejarah Melayu yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia
Senarai kajian-kajian bermula tahun 1950an lagi
Manuskrip Melayu terkini yang dikaji, undang-undang bertulis bangsa Melayu di dalam tulisan Aksara
Mereka telah terjemahkan tulisan ini

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...