Hari ini Rabu 25 November 09. Satu hari sebelum semua tetamu Allah wukuf di Arafah. Selepas balik dari solat subuh di masjid al-Haram, saya memandang ke langit.
“En, macam nak hujan aje” bisik hati saya.
Memang pagi ini, Mekah kelihatan gelap seperti di Malaysia. Awan mula berkumpul dan menjadi gelap dan gelap.
Bermula pagi ini, para tetamu Allah mula meninggalkan kota Mekah menuju ke padang Arafah. Saya dan para Jemaah yang lain pun mula bersiap-siap untuk ke Arafah.
Jam 12.08, minit, tiba-tiba, kota Mekah dibasahi dengan hujan. Semakin lama semakin lebat. Apartment dan Hotel di Mekah kebanyakkan dibuat dengan tidak mengambil kira soal hujan. Ini kerana, di Mekah memang jarang-jarang hujan. Kalau hujan sekalipun hanya dalam lima minit sahaja. Oleh sebab itu, jika hujan, maka akan berlaku masalah.
Bagi saya dan jemaah yang berada di Mekah kala ini, dewan makan apartment yang kami duduk mula bocor dan menitiskan air hujan. Pada peringkat awal, tempat-tempat bocor tersebut kami tadah dengan baldi dan bekas yang ada.
Lama kelamaan, semakin lebat dan semakin banyak ketirisan yang berlaku. Akhirnya, kami pun tak larat dah untuk menadahnya. Biarkan sahaja ia di basahi hujan ini.
Saya memandang ke luar tingkap.
Jemaah yang berpakaian ihram, yang berada di sekitar Masjid al-Haram masing-masing berteduh di dalam masjid, di dalam kawasan tandas dan di dalam kawasan saie. Ada juga berlari-lari ke sana dan ke sini yang dibasahi dengan hujan.
Cuba bayangkan, dengan memakai dua helai pakaian putih yang tidak berjahit, kemudian basah, tentulah ia sejuk.
Sudahlah kain ihram itu kebanyakkannya tebal. Kalau kena air, sudah tentu payah nak kering.
Hujan terus mencurah hingga ke waktu asar. Di Mekah sudah melebih tiga jam. Bilik yang kami duduk juga sudah mula bocor dan menitiskan air.
Di Jedah, beberapa jalan terputus dan menurut berita, sudah ada lebih 100 orang yang terkorban. Banyak rumah tenggelam dan banyak kawasan di landa banjir.
Di padang Arafah, para jemaah yang berada di sana, kebanyakkannya kesejukaan. Ada khemah yang banjir.
Di Mekah, kawasan berbukit mengalirkan air seperti air terjun, banyak dan deras membawa sekali sampah-sampah ke bawah. Burung-burung juga berteduh di bawah ruang-ruang bumbung rumah di sekitar Mekah.
Berbisik di hati saya:-
“Janganlah sampai kawasan Kaabah ni banjir, sebab peristiwa banjir Kaabah ini pernah berlaku”.
Saya mengira dengan baik. Hujan lebat yang turun di kota Mekah semuanya ada tujuh simbahan. Hujan lembat dan berhenti seketika, kemudian turun lagi dengan lebatnya. Kemudian berhenti seketika, kemudian turun lagi.
Sebelum waktu Maghrib, hujan di kota Mekah mula reda. Saya dan jemaah yang lain membersihkan kawasan apartment kami yang sudah basah. Saya membuka tv di dewan makan.
Walaupun hujan telah berhenti di kota Mekah, beberapa kawasan di Saudi ini masih hujan. Di sebelah Madinah, Yanbu’, Tabuk, hujan masih lebat.
Setiap detik, korban semakin meningkat. Mujurlah di Mekah tidak ada apa yang berlaku.
Di Jedah sistem di lapangan terbang mengalami kerosakan menyebabkan banyak penerbangan pulang jemaah haji terpaksa ditangguhkan.
Beginilah saban tahun, berbagai bentuk ujian para tetamu Allah ini. Tahun ini, ujian terbesar adalah simbahan hujan yang lebat. Para tetamu Allah kebanyakkannya basah dan kesejukkan di padang Arafah.
Hikmah yang tersulam kadang kala tidak mampu dicungkil dengan akal yang dangkal ini. Tapi ia pasti tetap ada.
Apapun, mari kita lihat perbahasan hujan menurut hadis. Di dalam sebuah hadis, ada menyatakan bahawa :-
Adalah Nabi saw, jika baginda melihat hujan, maka baginda akan berkata, “Ya Allah, curahkanlah kepada kami dengan yang bermanfaat” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Di dalam hadis yang lain, Rasullulah telah bersabda,
“Kunci perkara ghaib ada lima yang tidak mengetahuinya melainkan Allah 1. Tidak seorang pun akan tahu apa yang berlaku untuk hari esok, 2. Tidak seorang akan tahu di dalam rahim 3. Tidak seorang pun tahu apa yang diusahakannya esok 4. Tidak seorang pun tahu di tempat mana dia mati 5. Tidak seorang pun tahu dari mana datang arah hujan”
(Hadis Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab al-Jemaah di dalam Bab La Yadri Mata yaji’u la-Matar Ila Allah)
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim di dalam Kitab Solat al-Istisqa bab al-taawwuz Inda ru’ya al-riih wa al-Gayyim wa- al-Farah, Rasullulah akan merasa takutkan azab Allah ketika melihat keadaan gelap di langit, ini kerana banyak kaum terdahulu yang pernah diazab dengan kesengsaraan yang turun dari langit.
Di dalam hadis yang lain, Aisyah berkata bahawa, Rasullullah menyatakan bahawa, ada kaum yang pernah diazab dengan angin kuat dari langit lalu dibacakan ayat:-
Maka tatkala mereka melihat azab itu berupa awan yang menuju ke lembah-lembah mereka, berkatalah mereka: "Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami". (Bukan!) bahkan itulah azab yang kamu minta supaya datang dengan segera (yaitu) angin yang mengandung azab yang pedih, (surah al-Ahqaf ayat 24)
Jika sesuatu hujan itu mempunyai guruh pula, Rasullulah mengajarkan kita doa yang berbunyi
اللَّهُمَّ لا تَقْتُلْنَا بِغَضَبِكَ وَلا تُهْلِكْنَا بِعَذَابِكَ
Ya Allah, jangalah Engkau membunuh kami dengan kemurkaanMu dan janganlah Engkau membinasakan kami dengan azabMu (hadis riwayat al-Tarmizi di dalam Kitab ad-Da’awat bab Ma Yaqul Iza Sami’a al-Ra’d)
Selain itu, di antara saat mustajabnya doa ialah doa yang dipanjatkan ketika hujan turun dengan lebat. Di hadapan Kaabah ketika hujan, orang akan berkumpul beramai-ramai dan berdoa dan bermunajat pada Allah.
Inilah beberapa panduan berhadapan dengan awan yang gelap, hujan dan juga guruh.
Bagi di Mekah kala ini, hujan yang turun memang mengundang rasa hairan. Ini kerana, amat payah jika ingin melihat kota Mekah hujan dengan lebat sebegini, lebih-lebih lagi dalam tempoh yang panjang.
Ada yang berpendapat ia sebagai rahmat, ada yang berpendapat sebagai ujian. Apa pun, semoga ia terus menghampirkan diri pada Allah.
Alam merupakan makhluk Allah juga, ia bergerak dan bertindak menurut perintahNya. Bagi kita manusia, ada amalan-amalan yang disunatkan untuk kita buat jika berhadapan dengan alam ini. Tujuannya ialah untuk melihat siapakah di antara kita yang paling banyak amalannya.
Semoga Allah, terus membimbing kita di dalam memperbaiki diri dan semoga kita terus berusaha menjadi hamba yang soleh.
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Syi’ab Ali Mekah al-Mukarramah
29 November 09 jam 11.30 malam
Waktu pagi, kota Mekah tiba-tiba menjadi gelap
Awan yang hitam menjadikan kota Mekah kala ini suram
bermula 12.08, hujan mula membasahi kota Mekah
Suasana di laman al-Haram menjadi kosong kerana semuanya berteduh di dalam al-Haram dan sekitarnya
di kawasan tandas
dari kawasan berbukit, air mengalir seperti air terjun
air mengalir menuju ke kota al-Haram
air mengalir dengan membawa sekali sampah sarap
para Jemaah berteduh di kawasan Saie
di kawasan tandas
burung Mekah berteduh di kawasan bumbung, barang kali, burung ini pun tidak biasa dengan hujan yang lebat
berita di TV mengenai perjalan jemaah ke padang Arafah
di beberapa kawasan di padang Arafah, air naik dan para jemaah kesejukkan