Monday, August 10, 2009

Diari 98 – “Orang sakit, sembahyanglah…”

“Ustaz, slot Ustaz pukul 10.30 ye, nanti sampai call saya”, kata seorang urusetia program “Bengkel Latihan Solat Ketika Sakit”.

Hari ini, Ahad 9 Ogos 09, jam 10.30 pagi, saya memenuhi undangan di Jabatan Kejururawatan, Pusat Perubatan UKM. Program ini anjuran Persatuan Pelajar Kejururawatan.

Tajuk pembentangan saya ialah “Rukhsah Solat dan Cara Pengendaliannya.

Saya melangkah masuk ke Dewan Kuliah. Ketika ini, Dr. Abdul Rashid Abdul Kader dari JABATAN PERUBATAN KECEMASAN, PUSAT PERUBATAN UKM sedang membincangkan tajuk “Permasalahan Umum Mengenai Solat Ketika Sakit”.

Dari pembentangannya, sebenarnya, tajuk saya dan Dr. Abdul Rashid hampir-hampir sama. Ini kerana, tajuk Solat ketika sakit bukanlah satu tajuk yang besar perbahasannya.

Ketika habis program, saya sempat mencadangakan agar satu hari nanti, boleh dibuat kursus mengenai “Fiqh Perubatan”. Ini kerana, perbahasan di dalam fiqh perubatan lebih luas.

Di sini, saya kongsikan sedikit isi program ini.

Pertama perbahasan mengenai penunaian solat orang sakit :-

1. Bagi pesakit yang boleh menunaikannya secara biasa hendaklah berbuat demikian.

2. Pesakit yang tidak dapat berdiri hendaklah dia sembahyang secara duduk iaitu: Duduk secara iftirash (seperti duduk antara dua sujud dan tahiyyat awal).

3. Dalam bab menghadap kiblat, jika mampu, maka hendaklah di amenghadapya, jika tidak, maka hadaplah mana-mana pun.

4. Jika tidak mampu untuk rukuk dan sujud, hendaklah melakukan isyarat dengan kepala iaitu tundukan bagi sujud lebih rendah daripada tundukan bagi rukuk.

5. Jika tidak mampu duduk hendaklah dia sembahyang secara mengiring di atas Iambungnya (pada bahagian kanan tubuh, jika tidak dapat, mengiringlah pada bahagian kirinya dengan dihadapkan seluruh badan ke arah kiblat).

6. Jika tidak boleh, sembahyang secara terlentang dengan menjadikan kedua-dua kakinya mengadap ke arah kiblat dan melakukan isyarat dengan kepala atau matanya, jika tidak berdaya juga maka hendaklah dia sembahyang dengan menggunakan isyarat (dengan apa-apa sahaja seperti kepala atau mata dan sebagainya)

7. Bagi yang tidak dapat menghadapkan mukanya ke arah kiblat dan tidak ada orang yang membantunya hendaklah dia bersembahyang di dalam apa-apa keadaan sekalipun.

Inilah tujuh perkara penting di dalam perbahasan solat. Bab kedua ialah bertayammum. Tujuan tayammum adalah:-

i. Ditakuti hilang nyawa sekiranya menggunakan air.
ii. Ditakuti cedera pada anggota yang sakit jika terkena air.
iii. Ditakuti kena penyakit atau bertambah sakit. iv. Ditakuti lambat sembuh penyakit yang ada jika terkena air.
v. Ditakuti kehilangan manfaat anggota seperti cacat atau Iemah dan sebagainya.
vi. Air hanya cukup untuk minuman dan dia sangat berhajat kepadanya.

Manakala rukun tayammum adalah seperti berikut:-

1. Niat.
2. Memindahkan tanah kepada anggota.
3. Menyapu muka.
4. Menyapu dua tangan serta siku.
5. Tertib

Solat merupakan satu ibadah yang wajib dibuat selagi mana kita waras walaupun badan uzur. Jadi, walaupun sakit, maka kita diwajibkan solat semaksima yang mampu.

Program diteruskan dengan aplikasi mengenai apa yang diperbincangkan. Terima kasih pada seorang peserta yang menjadi sukarela untuk mempraktikkan apa yang dibincangkan.

Dari mula program lagi, saya telah nyatakan bahawa, soalan hendaklah bertulis. Ia supaya menjimatkan masa. Tidak perlu menunggu untuk siapa yang mahu bertanya.

Walaupun soalan bertulis diberi, soalan lisan juga dialu-alukan, dan saya menerima lebih 50 soalan bertulis pada pagi ini.

Kaedah ini sebenarnya, seperti yang digunakan oleh guru saya, Allayarham Tuan Guru Hj Abdullah Lubuk Tapah.

Ketika saya belajar di Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas belasan tahun lepas, saya melihat, beliau akan menjawab segala soalan yang diajukan sekalipun soalan itu terlalu remeh.

Ini kerana, kadang kala, memang ada orang yang tak tahu dan ikhlas ingin bertanya. Paling kurang, soalan yang beliau kurang faham, beliau akan mengepek (membebel) sikit dengan katanya:-

“Orghe dok tannyo lagu tuh…(orang tak tanya macam tu..)

Kemudian, beliau akan mengandaikan maksud orang yang bertanya.

Hari ini, Alhamdulillah, amanah ilmu telah dijalankan. Pemergian beliau, melahirkan ribuan orang yang boleh mengganti amanah ilmu ini. Semoga nanti, anak-anak murid dari al-Ijabah pula akan meneruskan amanah ilmu di masa akan datang, amin…

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
10 Ogos 09 jam 11.00 malam
Tempat di mana program dibuat
Saya disambut oleh urusetia program
Antara peserta yang hadir

Gambar orang sakit dan praktikal bertayammum dan bersolat
Semoga memberi manfaat kepada semua

1 comment:

Anonymous said...

Salam Ustaz,
Ini pertama kali saya memasuki laman ustaz dan tidak perasaan kolom pertanyaa, jadi saya bertanya dalam ruangan ini sahaja.

Saya pernah terkandas dalam kesesakan jalanraya yang teruk di bandaraya Kuala Lumpur, keluar jam 6.45 petang,kemudian masuk waktu magrib dan saya menjangkakan tidak akan sampai ke destinasi dalam waktu maghrib. Maka saya sembahyang di dalam kenderaan dengan bertayamum dan saya sampai ke destinasi hampir masuk isyak. Adakah saya perlu sembahyang magrib semula supaya sembahyang maghrib saya lebih sempurna?