Showing posts with label Coretan. Show all posts
Showing posts with label Coretan. Show all posts

Thursday, September 2, 2010

Coretan Santai 11 – “Jangan rungsing, adalah rahsia sihat…”

Saya suka bertemu dengan orang tua. Banyak pengalaman yang dapat dikongsikan.

1 September 2010, saya menghadiri majlis berbuka puasa anjuran MARA Pontian Johor.

Duduk di sebelah saya ialah Haji Rushdi, seorang yang berumur 70 tahun. Jika bertemu orang yang kaya dengan pengalaman ini, saya suka bertanya:-

“Haji, apa rahsia jaga kesihatan ni?” tanya saya.

Dan setiap orang yang tua saya jumpa, jawapan mereka sama…

“Hati kena tenang ustaz, jangan ambil pusing sangat benda-benda yang menekan dalam hidup ini..”

Kenapa jawapan mereka sama ye?

Ya, itulah rahsia menjaga kesihatan.

“kalau nak kira masalah dengan anak-anak, dengan itu ini, memang tak habis” tambah Haji Rushdi lagi.

Teringat saya, dua hari sebelum ini, ketika seorang sahabat saya berbual dengan seorang Haji dari Kampung Tengah Puchong.

“Dengar Ustaz nak buat rumah kebajikan untuk anak yatim, belilah tanah saya ni, saya jual murah aje, nak harapkan anak-anak, semua dah derhaka belaka dah….”

Walaupun kisah ini agak mencuit hati, tapi itulah hakikat kehidupan. Jika nak fikir masalah, memang tak habis jika tidak diberi jalan keluar oleh Allah.

Sebab itu, pesanan dari mereka yang sihat ialah,,,,

“tenangkan hati, masalah, cari jalan keluar dan jangan rungsingkan….”

Jika ini rahsianya, maka sejak muda, biasakan tenang dan ukirkan senyuman, semoga kita sihat dalam iman, amin…

“Santai Itu Menghiburkan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

23 Ramadhan 1431/ 2 September 2010 jam 2.30 pagi

IMG_0321

Berbuka puasa dengan MARA Pontian

IMG_0324

IMG_0326

ALC Media di Pontian

IMG_0328

Haji Rushdi, “Nak sihat kena selalu senyum dan tenang…”

IMG_0331

Santai selepas selesai solat maghrib berjemaah…

Monday, July 26, 2010

Corentan Santai 10 – Rahsia Sihat…..

Saya dijemput untuk menyampaikan kuliah tentang membaca surah al-Fatihah di dalam khemah Ibadah yang dianjurkan oleh Kelab Warga Emas di Seksyen 24 Shah Alam pada jam 3.00 petang 24 Julai 2010.

“Macam mana nak masuk Kelab ini?” tanya saya pada seorang Haji yang merupakan salah seorang kepimpinan di dalam Kelab ini.

“Ah.. Ustaz tak boleh lagi, ustaz masih muda….” Jawabnya sambil tertawa.

“berapa umur nak masuk Kelab ini?” tanya saya lagi.

“56 ke atas….”

“Kadang kala, orang kata muda, kadang kala orang sangka tua” hati saya berbisik sambil tersenyum.

Selesai kuliah, kami minum petang. Kalau bertemu dengan orang tua, saya suka bertanya,

“Haji, ada petua ke, sihat lagi sampai tahap ini”

Dan jawapan yang selalu saya terima…

“Ustaz, saya tak ada apa amalan, Cuma, hati kena selalu tenang, jangan susah hati, jangan berdendam, kena selalu senyum….” Kata salah seorang ahli kelab warga emas yang umurnya sudah 70 tahun.

Beruntungnya kalau Allah beri umur panjang dengan iman dan amalan. Lebih-lebih lagi umur panjang dengan kesihatan yang baik.

Ye, itu yang semua orang mahu tetapi tidak semua orang dapat. Kita boleh bercita-cita untuk demikian, tetapi ketetapan adalah dari Allah yang maha Esa.

“Ya Allah, berikanlah kami kebaikan di dunia dan di akhirat dan hindarkanlah kami dari azab api neraka” amin……

“Santai Itu Menghiburkan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

14 Sya’ban 1431/26 Julai 2010 jam 1.55 pagi

IMG_0987

Kuliah petang ini berkaitan dengan “Bagaimana membaca surah al-Fatihah”

IMG_0961

IMG_0991

IMG_0997

Tuesday, July 20, 2010

Coretan Santai 9 – “Seorang tua bernama aku…”

Saya suka bergurau satu perkara. Kalau orang tanya saya, “Apa khabar ustaz?” saya akan jawab….

“Alhamdulillah, sihat-sihat orang tua, macam nilah”

Dan setiap kali jawapan itu diberikan, maka biasanya, yang bertanya akan berkata:-

“Iskh ustaz ni, kalau ustaz dah tua, saya ni lagi tua…..”

Tapi hari ini 18 Julai 2010, saya benar-benar rasa tua….

Saya memenuhi jemputan ceramah Israk dan Mikraj di Gombak jam 3.00 petang. Petang ini, Gombak agak redup dilitupi awan dan akhirnya hujan.

Petang ini juga, saya membawa isteri saya dan anak kecil kami yang berumur 5 bulan ke majlis. Turun sahaja dari kereta, beberapa AJK sambutan majlis menyambut saya.

Melihat isteri saya meletakkan anak kecil kami di kereta roda baby, salah seorang AJK bertanya saya dengan penuh ikhlas.

“Ala ala comelnya, ustaz… cucu ye?....

Saya agak terkejut dengan soalan ini.

“Eh, taklah, anak…” jawab saya ringkas.

Kali ini kakak ini pula terkejut dan spontan memberi komen.

“Oh… masih ada anak kecil lagi ye…”

Rombongan yang bersama saya tidak henti-henti gelak walaupun cuba dikawal.

“Aii,… nampak tua sangat ke?” bisik hati saya.

Hari ini, saya rasa berumur, kerana ada orang yang melihat saya dan menyangka saya telah menjadi datuk.

Sebelum ini, saya biasa ke ceramah membawa  sahabat-sahabat dan ada orang bertanya,

“ustaz, anak ye?...

Di Hospital Klang, pernah saya mengendalikan program di sana, seorang doktor bertanyakan satu soalan. Setelah itu beliau bertanya mengenai pengalaman saya itu dan ini termasuk pengalaman kerja. Saya katakan bahawa saya muda lagi, baru awal 30an. Doktor ini terkejut kerana menyangka saya hampir 50 tahun.

Tapi, dalam banyak-banyak pengalaman di sangka sebagai tua, di Gombak ini paling pecah rekod.

Apa pun, saya rasa sangat gembira bercampur terharu memberikan ceramah di sini. Pendengar hari ini, rata-rata berumur 40 tahun ke atas dan rata-rata cukup menghayati ceramah Israk dan Mikraj hari ini.

Ceramah saya menjadi majlis air mata ketika menceritakan kisah Nabi. Hinggakan pengerusi majlis ketika menutup majlis tersekat-sekat suaranya menahan sebak mengenangkan Nabi.

Subahanallah, sayang betul pada Rasullullah hingga rata-rata boleh menitiskan air mata. Semoga terus dipimpin Allah dan bersama Nabi nanti di akhirat, amin…

“Santai Itu Menghiburkan”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

8 Sya’ban 1431 / 20 Julai 2010 jam 12.30 tengah malam

IMG_0810

“Cucu ke ustaz?” macam mana nak jawab tu….. :)

Gambar: Kenangan bersama AJK program sambutan Israk dan Mikraj

Thursday, July 16, 2009

Coretan Santai 8 - Ikan Keli

14 Julai 09, saya dan semua sahabat-sahabat mengadakan perjumpaan mengenai perjalanan rumah HIV yang telah diusahakan. Hari ini, dengan rasminya, ia dinamakan Darul Ukhwah

Berbagai perkara dibincangkan. Malam ini, sahabat dari akhbar Sinar ada bersama-sama. Mereka memerhatikan dan sekali sekala mencatat sesuatu.

Alhamdulillah, perjalanan rumah ini semuanya baik dan semoga ia terus dibantu Allah.

Dalam seminggu ini, saya dan beberapa orang sahabat, sibuk mencari rumah untuk mereka. Kebanyakan rumah, ketika kita memberi tahu bahawa ia adalah untuk membuat rumah kebajikan, tuan rumah tidak jadi menyewakan kepada kami.

Hinggalah saya bertemu dengan seorang Melayu Islam yang mempunyai dua biji bunglow di sekitar Kampung Melayu Subang.

Saya berterus terang sahaja dengannya sebab saya yakin, bagi orang Melayu Islam, sensitiviti terhadap Islam tetap kuat.

Alhamdulillah, sangkaan saya betul. Dia begitu semangat dan akan membenarkan kita menyewa kedua-dua bunglownya dengan sewa yang rendah.

Mesyuarat pada malam lebih tertumpu pada perjalanan Darul Ukhwah. Di akhir perbincangan, termasuk sikit bab pembangunan ekonomi.

“Ustaz, saya cadangkan, nanti kita bela ikan keli dan ia boleh menjamin pendapatan rumah kebajikan ini” kata salah seorang dari ahli mesyuarat.

“Mmm, boleh, boleh,” kata saya.

Tiba-tiba, salah seorang penghuni rumah ini menyampuk,

“Tapi ustaz, kami ni, Nampak aje sihat, badan kami ni dah rosak. Mana kami larat nak jaga ikan keli” kata salah seorang penghuni di rumah ini dengan muka yang agak sedih.

Saya tergelak kecil.

“Tak, bukan suruh anda semua yang jaga, orang yang sihat antara kamilah”. Kata saya.

Kami semua tergelak.

Inilah corat coret rumah Darul Ukhwah ini. Semoga ia terus dibantu Allah. Semoga cita-cita untuk mengeluarkan mereka dari gereja mendapat sokongan dari semua. Amin..

“Santai Itu Menghiburkan”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah al-Amin
Shah Alam
Khamsi 16 Julai 09, jam 1.48 tengah hari

Antara yang hadir
Kami semua tergelak membincangkan mengenai ikan keli
En. Abbas membincangkan perjalanan Darul Ukhwah

Friday, April 3, 2009

Coretan Santai 7 - Perhatikanlah KebesaranNya

Pagi 1 April 09, saya dan Helmi bersiap untuk pulang ke Malaysia dari Hostel Kahovskaya Moscow Medical Academy. Penghuni bilik 308 sibuk memasakkan untuk kami makan tengah hari. Terima kasih pada semua yang bersusah payah menyediakan kari ayam.

Masakannya enak. Rasa macam kat Malaysia. Pada pukul satu setengah, Agym, sahabat saya dari Kyrgistan datang ke Hostel Kahovskaya bertemu saya dan mengucapkan salam perpisahan. Saya rasa terharu dengan persabahatan yang terjalin. Begitulah, hubungan antara Islam. Apabila telah di satukan dengan ukhwah Islamiyyah, maka ia akan membuahkan persaudaraan dan kasih sayang. Dia sungguh-sungguh mengajak saya untuk ke negaranya.

“InsyaAllah, ” saya mengucapkan.

Pukul 2.30 kami mula keluar dari hostel. Kami menaiki metro dan kemudian menaiki bas. Sehari sebelum ini, Dr. Yufgenia telah menawarkan pada saya untuk dia menguruskan saya ke lapangan terbang. Alex yang mula-mula mengambil saya ke lapangan terbang dulu sanggup menghantarkan. Tetapi saya lebih senang dengan adik-adik pelajar di sini. Paling kurang ada teman bual di perjalanan. Alex tidak tahu bahasa Inggeris. Petang ini, Syazwan dan Pedas yang menghantar saya ke lapangan terbang

Lebih kurang pukul tiga setengah, kami sampai di lapangan terbang. Saya terus pergi ke kaunter Thai Airways. Setelah memasukkan barang dan mendapat pas penerbangan, baru kami mendapat berita bahawa penerbangan yang di jadualkan pukul 6.30 petang telah ditunda kepada pukul 8.30 malam.

“Kalau macam tu, kita pergi minum dululah”, saya mencadangkan pada semua. Kami semua naik ke tingkat satu dan minum teh di sana.

Dalam pukul 7.00 malam, saya bersiap-siap untuk ke masuk ke balai berlepas. Saya bersalaman dengan Syazwan dan Pedas. Terimbau saya kembali ketika mula-mula saya datang ke sini, tidak pernah terfikir akan bertemu dengan mereka di sini.

Jam 9.00, kapal terbang mula meninggalkan lapangan terbang Moscow, saya melihat dari kejauhan warna-warna putih salji. Saya memandang Helmi dan mengucapkan,

“Selamat pulang ke tanah air, tamat sudah kursus Universiti Kehidupan untuk kali ini”. Jutaan kenangan pahit dan manis di sini.

Kelas Universiti Kehidupan seterusnya sedang menunggu. Satu pembelajaran yang tidak ada penghujungnya. Semoga semakin hari semakin baik dan mendapat pimpinan dari Allah.

Melintasi awan-awan di udara, terasa bergegar seperti kereta melanggar lubang-lubang jalan. Perjalanan kami ke arah Timur sebenarnya menuju ke arah matahari terbit. Perjalanan kami akan ke singgah di Bangkok seketika. perjalanan dari Moscow ke Bangkok mengambil masa hampir 10 jam.

Satu permandangan yang paling saya suka lihat di dalam hidup saya ialah pertukaran malam dan siang. Dari atas, kita dapat melihat sebahagian bumi ini siang dan sebahagaian lagi masih malam. Pemandangan begini boleh kita lihat apabila mula masuk waktu Maghrib atau mula masuk waktu Subuh. Kita dapat melihat firmah Allah;-

“Engkaulah yang memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam”

Sesungguhnya, Allah menunjukkan segala kebesarannya pada penciptaan langit dan bumi. Apakah kita memerhatinya.
Gambar akhir saya di lapangan terbang Moscow
Gambar ini gambar ketika saya ke China, kita boleh lihat bandar Guang Zhou yang telah malam tetapi di sebalik bandar ini masih siang
Sebelah kiri yang telah malam dan sebelah kanan yang masih siang

Sunday, March 29, 2009

Coretan Santai 6 - Masjid Dari Masjid

Hari ini 28 Mac 09, saya bersama-sama pelajar Malaysia di sini berjalan sekitar bandar St. Petersburg, bandar lama yang pernah menjadi pusat pemerintahan di zaman Tsar Rusia. Keadaan di sini lebih sejuk dari Moscow. Di tambah pula dengan tiupan angin yang kuat menyebabkan kaki, tangan dan telinga menjadi kebas kesejukkan.

Pada ketika ini sebahagian sungai Neva menjadi beku. Sungai Neva ialah sungai di barat laut Rusia. Ia merupakan sungai ketiga terbesar di Eropah

Waktu Zuhur, kami singgah di Sabornaya Mecet (Masjid St. Petersburg).Ia merupakan satu-satunya masjid yang boleh digunakan sekarang. Satu lagi masjid iaitu Kolomies Kaya masih tutup kerana baik taraf. Ia hanya akan dibuka pada tengah tahun ini.

Masjid ini terletak di pusat bandar St. Petersburg dan dapat dilihat dari jembatan Tirnity yang melintasi sungai Neva.

Masjid St. Petersburg ini telah dibina pada tahun 1913 dan merupakan masjid paling besar di Eropah pada ketika itu.

Menaranya mempunyai ketinggian 49 meter dan kubanhnya setinggi 39 meter.

Pada tahun 1910, jumlah orang Islam di sini telah mencecah 8000 orang. Pada ketika itu, Amir Bukhara Mohammad Alim Khan membina masjid ini. Beliau yang pernah belajar di St. Petersburg menghadiahkan masjid ini untuk kegunaan muslim di sini. Masjid ini dibina hampir menyerupai Gur-e-Amir iaitu makam Timurlane di Samarkand. Ia siap dibina ada tahun 1921.

Pada ketika perang dunia kedua, masjid ini ditutup dan dijadikan gudang penyimpan barang.

Pada tahun 1956, Presiden Indonesia, Soekarno melawat bandar St. Petersburg. Hubungannya dengan Rusia agak rapat hingga pernah dituduh sebagai seorang yang Pro Komunis. Di atas permintaannya, masjid ini telah diberikan kembali kepada komuniti Islam. Ia diberikan sepuluh hari selepas permintaannya.

Ketika kami sampai, seorang penjaga masjid berbangsa Tataristan menunjukkan kami tempat wudhuk.

Di kawasan tempat wudhuk saya bertemu dengan seorang pembant mufti berbangsa Turki dan seorang lagi yang berasal dari Beirut Lubnan.

Kami berbual mengenai Islam di St. Petersburg ini. Mereka memberitahu saya mengenai keadaan masjid.
Masjid ini hanya dibuka untuk solat Zohor, Asar dan Maghrib sahaja.

Selepas solat mufti akan menyuruh penjaga masjid menguncinya.

Solat Subuh dan Isyak tidak didirikan di masjid ini.

Setelah mengambil wudhuk kami pun bersembahyang berjamaah di dalamnya.

Nabi saw bersabda :-

“barang siapa yang mendirikan masjid kerana Allah, maka Allah akan mendirikan baginya rumah di syurga.”

Para Ulama dan pendakwah terdahulu, mereka akan mendirikan masjid sebagai tempat kesatuan. Selain dari kelebihan membina masjid yang telah mereka fahami, mereka mendirikan masjid sebagai tempat ibadah dan ukhwah. Segala keperluan umat Islam akan dibincangkan dan diusahakan untuk diurus.

Muhamad Abdullah
Student Cheski Abshezhiti 2 Avtova St. Petersburg
28 Mac 09 jam 11.15


Masjid Gur-e-Amir di Samarqand Uzbekistan
Yang hitam adalah makam Timurlane, panglima Islam yang agak kontroversi di zamannya. InsyaAllah saya akan ceritakan kemudian.
Di hadapan masjid Gur-e-Amir
Masjid Gur-e-Amir dari jauh
Masjid St. Petersburg yang dibina mengikut binaan Gur-e-Amir


Bersama pelajar Malaysia di Rusia. Gambar di hadapan masjid bersejarah St. Petersburg

Tuesday, March 24, 2009

Coretan Santai 5 - Hulubalang Melayu

Hari ini, pada waktu pagi, saya bersama Nabil, Azrul dan Khairul menguruskan hotel untuk Helmi. Setelah beberapa hari Helmi duduk di hotel yang sama, kami mencarikan untuknya hotel yang lain .

Jam menunjukkan pukul 3 petang.

“Alamak, lambat dah ni, petang ni saya ada janji dengan Dr Liubov di Institutnya, kita semua pergi sekalilah nak tak” tanya saya pada yang lain.

Semua mereka bersetuju. Kami pun menaiki Metro ke Kuznetski Most.

“Dia nak jumpa saya ni pasal kajian dia mengenai Nusantara, haa, mungkin banyak yang kita boleh belajar nanti,” kata saya.

Kami berempat berjalan, bertanya orang sana sini mana Institute of Oriental Studies, Russian Academy of Sciences.

Setelah lama berjalan, kami pun tiba tepat pukul 4 seperti yang dijanjikan.

“Ustaz kenyang tak? Tanya Helmi mengusik kami yang memang belum makan tengah hari lagi. Kami semua tersenyum.

Kami disambut oleh Dr Liubov Goriaeva. Dia menyambut kami dengan ramah sekali.

Dia kemudiannya membawa kami ke biliknya dan menceritakan mengenai sejarah Melayu dan khazanahnya yang terdapat di tangan orang barat.

Azrul mencuit saya dan berkata:-

“Kalau macam tu, betullah apa yang ustaz cakap, khazanah Melayu banyak ada di tangan orang barat. Kita sendiri pun tidak tahu”

Saya menyambung:-

“Memang, sejarah kita banyak yang disembunyikan atau hilang. Jika kita tidak jumpa Dr. Liubov hari ini, kita pun tak akan tahu manuskrip terakhir Melayu ada di St. Petersburg.”

Dr. Dr Liubov Goriaeva menghadiahkan kami hasil kajiannya.

Ketika kami melangkah keluar, semua kami berbincang-bincang mengenai sejarah Melayu yang kita sendiri pun tidak tahu.

“Jangan-jangan, Sultan Mahmud mangkat dijulang tu ada cerita sambunganya tak?” Azrul mula berceloteh.

“Ye la, jangan-jangan lepas dia kena tikam, dia pergi berubat,” sambung Nabil.

“Lepas tu agaknya, dia kahwin dengan orang kampung, lepas tu dia pun hidup seperti orang biasa,” Azrul menambah.

Kami semua tertawa.

Setelah menemui manuskrip Melayu terakhir, macam-macam yang kami semua bualkan. Dari yang kelakar sampai yang serius. Serius sampai bersemangat macam hulubalang Melayu lama.

“Haa, nanti Khairul bolehlah ditulis dalam sejarah orang pertama yang membawanya keluar untuk di bawa balik ke Malaysia,” kata Nabil pada Khairul.

“Ini dia, lima hulubalang Melayu lama”, Helmi mencelah.

Saya hanya tersenyum melihat semangat adik-adik mahasiswa ni. Kalaulah semua anak-anak muda di Malaysia bersemangat macam mereka pada hari ini, saya rasa, ramai yang akan balik menghargai apa yang ada pada kita.Lebih-lebih lagi akan merasa izzah sebagai bangsa adunan dari seluruh bangsa. Yang penting, Melayu tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Jadi, menghargai jati diri Melayu bermakna kembali kepada ajaran Islam yang murni.

Kami bergilir-gilir membawa terjemahan manuskrip ini hinggalah sampai ke tempat kediaman kami. Suasana sejuk di sekeliling terasa hangat dengan semangat Nusantara, satu semangat yang tidak boleh dipisahkan dengan Islam.

Dari kanan, Nabil, Helmi dan Azrul
Di belakang saya, Khairul.

Mereka semua gembira dapat bersama pada petang ini menyaksikan teori mengenai khazanah Melayu yang dibawa oleh penjajah, disembunyikan atau dihilangkan.

Thursday, March 19, 2009

Coretan Santai 4 - Telatah 2

17 Mac 09. Hari ini saya bersama pelajar-pelajar tahun 3 dari pukul 4 petang sampailah pukul 7.20.

Kami membicangkan berbagai topik mengenai Malaysia, orang Melayu dan Islam. Mereka sangat bersungguh mahu mendalami tentang orang Melayu. Punya minat dengan Melayu hingga setiap dari mereka mempunyai nama ala Malayu sendiri.

Ada nama Abdullah, Aini, Kamilah, Jamilah dan sebagainya.

Mereka juga mempelajari budaya Melayu hingga ada di antara mereka yang mempelajari tarian tradisonal Melayu seperti Zapin di Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Jika mereka Islam, barangkali, bolehlah ditakrifkan sebagai Melayu. Ini kerana takrifan Melayu mengikut Perlembagaaan ialah

1. orang yang berbahasa Melayu
2. mengamalkan kebudayaan Melayu
3. beragama Islam.

Cerita Sepet telah dikhatamkan beberapa kali hingga setiap skripnya telah dituliskan. Perkataan yang baru seperti “Pengkid” mereka tak faham. Tapi setelah saya terangkan mereka cepat memahami.

Di akhir kelas, saya bertanya kepada mereka soalan yang telah saya tanya beberapa kali sebelum ini,

“sebenarnya, kenapa kamu semua nak belajar pasal Melayu ye”

Aini, salah seorang dari mereka berkata,

“soalan ini kan telah ditanya sebelum ini, okeylah, kami semua masing-masing ada sebab kenapa nak belajar pasal Melayu dan bahasa Melayu.

Pertama, ada di antara kami nak kahwin dengan orang Melayu,

Kedua, ada di antara kami pernah ke Malaysia dan nak tulis buku mengenai orang Melayu

Ketiga, satu hari kami jalan, ada di antara kami nampak poster mengenai Melayu, kami minat dan terus nak belajar.

Keempat, ada di antara kami bermimpi, datang seorang tua berbangsa Melayu dan bercakap:-

"Kamu hendaklah belajar bahasa Melayu", Aini menggaraukan suaranya.

Kelima, ada di antara kami yang kena tangkap dengan alien. Kemudian, dia pegang badan kami dan berkata,

"Kamu hendaklah belajar pasal orang Melayu".

Lepas itu, kami balik, jadi gila sekejap dan kemudian terus nak belajar bahasa Melayu,

Kami semua tergelak besar mendengar celoteh dari Aini. Dengan menggayakan badan seolah-olah seperti alien.

Cuba kita bayangkan, seorang gadis berambut perang bermata biru, bergurau dengan bahasa Melayu. Di dalam kelas, jika saya tutup mata, saya seolah-olah sedang bersama mahasiswa dari Malaysia. Mereka sangat fasih berbahasa Melayu, Cuma memang kadang-kala loghat orang luar tu, kedengaran juga.

Walauapa pun, kesungguhan mereka mendalami sesuatu itu boleh dicontohi.
Skrip dari cerita "Sepet"

Wednesday, March 18, 2009

Coretan Santai 3 - Islam di mata mereka

17 Mac 09, Saya bersama para pelajar dalam kelas. Kami mula membincangkan mengenai isu-isu berat di Malaysia. Bermula dengan politik, agama hingga pada agama. Kesempatan membincangkan mengenai Islam, saya bertanya pada mereka,

“Apa pandangan kamu semua mengenai Islam?”

Mereka menjawab :-

“Okey”

“Apa makna okey, kan ramai orang yang berpendapat bahawa Islam itu ganas”, sengaja saya mahu melihat pandanga mereka.

Saya cuba bertanya demikian kerana di Moscow dahulu pernah dua orang muslimah Chechen meletupkan diri di tengah orang ramai.

“Jika kita ingin faham Islam, kita tidak boleh baca dari internet, dengar dari orang, lihat dari apa yang berlaku. Kita mesti belajar dengan sumber yang betul.” Kata mereka.

“Pada kami Islam okey. Kami juga di sini ada mempelajari subjek Islam”. Mereke menambah.

Okeylah, kalau macam tu, tentu mereka boleh mendalami lagi. Jika seseorang dari awal sudah membuat tembok di kepalanya, maka susah sikit hendak diajak berbincang dengan matang.

Kebanyakkan orang di sini beragama kristian ortodoks atau tidak tidak beragama langsung. Agama Islam menjadi agama kedua terbesar pengembangannya selepas kristian.

Orang yang bertanggungjawab mengembangkan Islam di sini ialah dari bangsa Tataristan dan Checen.

Mereka berdakwah dengan gigih. Ada juga dari jemaah Tabligh.

Bagi gologan terpelajar, saya rasa tidak ada masalah. Mereka golongan yang berfikir dengan matang dan juga boleh membaca. Tetapi masyarakat umum mungkin ada masalah mengenai pandangan mereka terhadap Islam. Walauapa pun, kita mengharapkan yang terbaik untuk semua.

Tuesday, March 17, 2009

Coretan Santai 2 - Telatah

Hari ini 16 Mac 09, pukul 8.30 lagi saya sudah bertolak ke kuliah. Kuliah saya terletak di bangunan Asian African Institute Moscow State University.

Saya sampai ke fakulti pukul 9 lebih. Kelas hanya akan bermula pukul 10.40. Masa yang ada saya gunakan untuk menulis apa-apa nota untuk pelajaran dan juga catatan perjalanan saya. Dalam pukul 10.00, saya turun sekejap ke kantin, minum teh panas.

Pukul 10.40 kelas bermula. Pagi ini, saya bersama pelajar tahun satu di Universiti ini. Hari ini, kelas mereka lebih kepada tatabahasa Melayu.

Banyak juga yang mereka telah tahu perkataan bahasa Melayu. Pelajar ini memberitahu saya, dalam setahun mereka dikehendaki menghafal 1500 perkataan bahasa Melayu.

Tatabahasa bahasa Melayu mudah. Ia tidak sesusah bahasa Inggeris, Arab dan Rusia sendiri. Tetapi baru saya perasan, bahasa Melayu kaya dengan kosa kata terutamanya kosa kata sifat dan yang berbentuk perasaan. Mereka payah ingin bezakan antara cantik dan elok.

Kelas berjalan dengan santai. Satu ketika seorang pelajar yang tidak memakai cermin mata seolah-olah tidak dapat melihat tulisan di papan hitam.

Dia berkerut-kerut cuba melihat tulisan itu. Ketika ditanya kenapa tidak pakai cermin mata? Dia kata, bukan tak nampak, tapi tulisan cikgu buruk. Kami sekelas ketawa. Bayangkan, orang luar boleh bergurau dengan menggunakan bahasa Melayu.

Rehat pada tengah hari saya gunakan untuk makan dan bersolat. Di sini tidak ada surau, hanya di celah-celah meja pensyarah.

Pada pukul 2.30, saya bersama pelajar tahun 3 pula. Mereka lebih mahir dan boleh bercakap dengan lancar.

Hari ini mereka membicarakan satu teks pencapaian Malaysia setelah lima puluh tahun.

Saya sangat kagum dengan mereka. Mereka boleh bercakap tentang Malaysia dari sekecil perkara sampai sebesar perkara.

Mula-mula mereka membicarakan bagaimana di Malaysia anak petani dan nelayan pun sudah ada yang jadi professional.

Orang Melayu sekarang ada yang mengetuai syarikat-syarikat besar.

Kemudian mereka berbicara mengenai Petronas. Petronas merupakan antara 500 syarikat yang terbaik dunia.

Mereka boleh berbicara mengenai ekonomi.

“Di Malaysia, jurang di bandar dan di luar bandar semakin berkurangan”.

Mereka berbicara mengenai usaha membasmi kemiskinan.

Mereka boleh berbicara banyak perkara,

Mengenai pendidikan, ada dua buah universiti iaitu Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi 200 universiti terbaik dunia.

Mengenai kereta buatan sendiri Proton dan Produa.

Mengenai taraf hidup yang baik, mengenai Putrajaya hinggalah kepada wawasan 2020 dan Misi Nasional.

Subhanallah, saya memang kagum. Kita di Malaysia pun, mungkin ramai yang tidak tahu mengenai Misi Nasional dan intipati wawasan.

Saya kagum dua perkara, pertama kesungguhan mereka belajar mengenai Malaysia, kedua keberkesanan modul yang disusun oleh pihak universiti. Jika mereka ingin mengambil tahu sesuatu, mereka dapat menguasai dengan baik.

Kelas hari ini diakhiri dengan melihat cerita “Sepet”. Ada tiga ayat yang mereka tidak faham.

Di dalam cerita “Sepet” ada perkataan “kurang ajar”, mereka minta saya jelaskan apa makna kurang ajar itu.

Keduanya perkataan “mak encik”, sebab, selama mereka belajar mereka tidak pernah jumpa perkataan ini.

Dan ketiganya, ada satu dialog di dalam cerita sepet,

“kalau kau lupa bawa ini (beg) macam mana nak beli sayur dan ikan? Nasib baik benda kau tu melekat, kalau tak, dah berterabur semuanya.

“alamak! Macam mana nak terangkan ni”.

“Aa.., mm.., mm..”, pelahan-pelahan saya terangkan dengan malu-malu.

Cepat-cepat saya kata, okey, kelas tamat, kita jumpa lagi hari Rabu.

Mereka semua tersenyum, kami faham..kami faham..

Sesungguhnya, orang yang bersungguh di dalam sesuatu perkara itu, akan dianugerahkan dengan kecemerlangan yang mereka cari. Banyak perkara yang saya belajar di sini. Inilah “Universiti kehidupan”, satu proses pembelajaran yang tidak ada kesudahannya.

Muhamad Abdullah
Moscow
Pelajar tahun satu
Kebolehan mereka hingga pernah menjuari pidato Bahasa Melayu di Kuala Lumpur.

Kelas pandang dengar
Buku rujukan. Kamus bahasa Melayu Sunda pun ada.

Pelajar tahun tigaPagi ni sejuk sikit, salji renyai-renyai turun
Bangunan universiti yang telah berumur 250 tahun.

Thursday, March 12, 2009

Coretan Santai 1 - Hari Pertama

Alhamdulillah, saya selamat tiba di Moscow. Saya bertolak dari KLIA pada pukul 7.50 terus ke Bangkok. Perjalanan ke Bangkok pukul 9.50.

Pada tepat pukul 12.00, saya meninggalkan Bangkok terus ke Moscow. Perjalanan dari Bangkok ke Moscow hampir 10 jam. Saya sampai di Moscow pukul 9.30 waktu Malaysia. Waktu tempatan ialah 4.30 petang. Beza antara Malaysia dan Rusia ialah 5 jam.

Jika kita mendarat di Malaysia, kita akan melihat keadaan sekeliling yang hijau kerana banyaknya pokok. Jika kita mendarat di Negara Arab kita akan melihat keadaan sekeliling yang coklat kehitaman kerana padang pasir. Ketika kapal terbang mendarat di Moscow, saya melihat semuanya putih denga salji. Walaupun sekarang sudah mulai masuk musim bunga, tetapi ia tetap penuh dengan salji.

Urusan imigresen tidaklah susah. Barang saya tidak diperiksa langsung. Ketika keluar, saya telah ditunggu oleh seseorang. Orang ini orang Rusia. Namanya Alex, dia memegang nama saya.

Alex tidak fasih berbahasa Inggeris. Dia hanya tersenyum pada saya. Kami tidak berbual apa-apa. Kadang-kala dia akan berhenti dan kata pada saya

“foto?..”

Rupanya, dia suruh saya ambil gambar dengan salji yang ada disekitar ini. Barangkali dia tahu, di Malaysia tidak ada salji. Kami berhenti dibeberapa tempat untuk mengambil gambar.

Dari lapangan terbang ke Universiti sejauh 22 km. Saya lihat Alex bukan main laju lagi membawa kereta. Padahal, jalan basah dengan air salji.

Saya dibawa ke Moscow State Univerisity. Di sana ada dua orang pelajar yang sedang menunggu saya. Seorang lelaki namanya Serge. Dia mengatakan dia ada nama Malaysia. Nama Melayunya Abdullah. Serge boleh berbahasa Melayu. Dia belajar bahasa Melayu di Moscow State University.

Seorang lagi namanya Natasha.

“Nama saya Natasha, nama Melayu saya Laila”. katanya

“kamu semua ada nama Melayu ke? Tanya saya.

“Ya, Kami di sini belajar bahasa Melayu, jadi kami ada nama Melayu”. Mereka menerangkan dengan bangga.

Teringkat pula saya akan orang Melayu yang berbangga menukar nama mereka kepada nama orang putih. Sharifah jadi Serry dan sebagainya.

Saya dibawa masuk ke dalam Universiti. Ia seperti sebuah kota tertutup. Jika di Malaysia ia seakan-akan bangunan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Di Moscow State Univerisity ini, semua kelas, pejabat dan lain-lain bilik ada di dalam bangunan. Ia bersesuaian dengan keadaan di sini yang senitasa sejuk.

Pintu masuknya menggunakan pintu pusing. Jika di Malaysia, pintu masuk ke pusat membeli belah ada tirai angin yang menghalang dari udara sejuk keluar, di sini tirai anginnya ialah angin panas. Ia untuk menghalang dari udara sejuk masuk ke dalam kawasan universiti.

Di dalam bangunan yang sama ada asrama, ada kedai dan kantin. Semuanya telah lengkap. Pelajar tidak perlu keluar ke bangunan tempat lain lagi.

Saya didaftarkan dan diberi bilik di asrama. Bilik pelajar di sini seperti apartment. Ada satu pintu masuk, kemudian ada dua bilik. Di situ ada satu tandas dan satu bilik air.

Saya duduk disebelah seorang pelajar Kirgistan. Dia seorang Muslim, tapi apabila saya tanya kedudukan kiblat, dia mengatakan sudah lama dia tak sembahyang. Tapi nanti dia tanyakan pada kawannya yang sembahyang.

Pendaftaran tempat penginapan selesai. Saya diajak untuk minum kopi. Jam menunjukkan pukul 1 waktu Rusia. Saya mula merebahkan badan dan berehat. Esok ada tugas yang perlu dibuat.

Persepsi pertama saya mengenai Rusia adalah baik. Orangnya suka menolong. Semoga terus dipermudahkan Allah.

Muhamad Abdullah
Moscow Rusia

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...