Showing posts with label Bicara Hukum. Show all posts
Showing posts with label Bicara Hukum. Show all posts

Friday, September 26, 2008

Bicara Hukum 3 - Bolehkah zakat diberikan kepada adik beradik?

Pada kesempatan kali ini, kita akan mengupas, bolehkah zakat diberikan kepada adik beradik? Kita akan memulakan perbincangan kita dengan membahas mengenai 5 golongan yang tidak boleh menerima zakat.

1. Orang kaya di atas asnaf fakir miskin.
Orang kaya tidak boleh menerima zakat di atas asnaf fakir dan miskin. Walaubagaimanapun mereka boleh menerima zakat di atas asnaf lain seperti amil, fi sabilillah atau ibnu sabil (orang yang terputus bekalan di dalam perjalanan) (Mustafa Khan, et.al, al-Fiqh al-Manhaji 'ala mazhab al-Imam as-Syafie, Damsyik, Dar al-Kalam, hal 324)

2. Golongan yang masih kuat berusaha tetapi malas
Zakat tidak boleh diberi kepada orang yang malas berusaha. Ini kerana, ia akan membuatkan seorang yang malas berusaha itu terus menjadi malas. Malas adalah sikap yang terkeji di dalam Islam. Oleh itu, jika seorang miskin itu mampu berusaha tetapi ia malas, dia tidak layak menerima zakat. (Mustafa Khan, et.al, al-Fiqh al-Manhaji 'ala mazhab al-Imam as-Syafie, Damsyik, Dar al-Kalam, hal 324)

3. Orang kafir muharab (yang diperangi)
Ulama bersepakat, orang kafir yang diperangi tidak layak menerima zakat pada setiap masa dan tempat. Walaubagaimanapun, mereka boleh menerima zakat jika tergolong di dalam asnaf Muallaf iaitu hatinya semakin jinak dengan Islam. Jika dengan pemberian tersebut semakin menghampirkannya pada Islam, maka dia boleh menerimanya (as-Syeikh Muhamad Mutawalli as-Sya'rawi, al-Fatawa, Kaherah, dar al-fath li Imam al-'Arabi, hal 642)

4. Golongan yang berada di bawah tanggungan nafkah seseorang.
Tidak boleh memberi zakat kepada orang yang di bawah tanggungan nafkah kita. Seperti anak ke bawah iaitu cucu, ayah ke atas iaitu datuk dan juga kepada isteri. Ini kerana, jika mereka susah mereka sepatutnya menerima nafkah bukannya zakat(Mustafa Khan, et.al, al-Fiqh al-Manhaji 'ala mazhab al-Imam as-Syafie, Damsyik, Dar al-Kalam, hal 325).

Oleh yang demikian, zakat boleh diagihkan kepada saudara mara yang tidak bersabit hak nafkah seperti abang, adik , bapa saudara dan emak saudara. Pemberian kepada saudara mara lebih utama kerana ia mendapat pahala sedekah dan menghubung silaturrahim (Abdullah nasikh 'Alwan, al-Ahkah az-Zakah 'ala Dhau'i al-Mazahib al-'Arba'ah, Kaherah, Dar as-Salam, hal. 77)

5. Keturunan keluarga baginda Nabi saw.
Keturunan Rasullullah saw tidak layak menerima zakat kerana mereka mempunyai bahagian di dalam harta rampasan perang (ghanimah) dan juga harta yang diperolehi daripada perdamaian dengan orang kafir (fay). Ia berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Muslim, "sesungguhnya zakat tidak boleh diberi kepada ahli keluarga Muhamad"

Walaubagaimanapun, oleh kerana mereka sekarang tidak mendapat bahagian "fay" dan "ghanimah" maka para ulama mengharuskan mereka untuk menerima zakat.

-kesimpulan-
Daripada perbahasan ini, jelaslah bahawa zakat boleh diberikan kepada adik beradik yang susah kerana mereka bukan dibawah tanggungan nafkah kita

Thursday, September 25, 2008

Bicara Hukum 2 - Adakah orang miskin wajib membayar fitrah?

Saya terlibat dengan program 'tanyalah ustaz' tv9. Saya juga mengikuti program ini tiap pagi yang disampaikan oleh sahabat-sahabat ahli penel yang lain. Ada beberapa soalan yang ditanya kandang kala tidak dijawab dengan baik. Saya faham, kadang kala kerana masa yang suntuk. Antara soalan yang ingin kita kongsi di sini ialah "adakah orang miskin wajib membayar fitrah?"

Mari kita kupas syarat yang mewajibkan seorang itu membayar fitrah. Ada tiga syarat.

1. Islam
seorang Islam atau anak-anak orang Islam sekalipun masih bayi wajib menunaikan fitrah. Ini kerana fitrah merupakan zakat diri. Setiap orang Islam wajib membayar zakat fitrah ini. (al-Qardawi, Fiqh al-Zakat, Muassasah ar-Risalah, Beirut hal 928)

2. orang itu berkemampuan
Takrifan orang berkemampuan ialah pada malam hari raya dia mempunyai kecukupan nafkah (Zakariah al-Ansari, Fath Wahab bi as-Sarh Minhaj at-Tullab, Dar Kutub Alamiyyah, Beirut hal. 197)

Nafkah bermakna dia ada kecukupan makan, pakaian dan tempat tinggal. Jadi, jika seorang itu miskin, tapi pada malam hari raya dan siangnya dia mempunyai makanan, pakaian dan tempat tinggal, maka dia wajib menunaikan fitrah ini.

Oleh yang demkian, jika seorang itu kaya, tapi pada malam hari raya rumahnya terbakar dan langsung tidak ada apa-apa kewangan di bank dan sebagainya, maka bagi dia tahun itu terangkat kewajipan fitrah kerana pada malam itu dia ditakrifkan orang yang tidak mempunyai kemampuan.

-Perbahasan-
Siapakah orang fakir dan miskin. Orang miskin ialah orang yang keperluannya tidak mencukupi. Jika dia memerlukan satu hari RM 10 dia hanya memperolehi RM 7 atau 8 sahaja. Orang fakir pula ialah orang yang memperolehi kurang dari separuh keperluannya. Sebagai contoh jika keperluannya RM 10 sehari dia hanya memperolehi RM 3 atau 4.

Orang fakir dan miskin adalah orang yang layak menerima zakat, tetapi jika pada malam hari raya dan siangnya dia mempunyai nafkah iaitu makan, pakaian dan tempat tinggal bagi dirinya dan orang di bawah tanggungannya maka dia juga wajib menunaikan fitrah ini.

3. Melalui dua masa
Yang dikatakan melalui dua masa ialah seorang yang sempat hidup pada bulan Ramadahn dan sempat hidup di dalam bulan Syawal. (Syed Sabiq, Fiqh Sunnah, Beirut, dar Kitab al-'Arabi, hal 412). Oleh yang demikian, jika seorang lahir pada petang akhir Ramadhan dan hidup sampai malam Syawal maka dia wajib menunaikan fitrah. Begitu juga orang yang mati pada malam hari raya, dia wajib menunaikan fitrah, ini kerana dia telah sempat hidup pada Ramadhan dan sempat hidup pada Syawal.

Jadi persoalan kit,a adakah orang miskin diwajibkan membayar fitrah. Jawabannya "ya" dengan syarat pada malam hari raya dan siangnya dia mempunyai kecukupan nafkah dirinya dan orang di bawah tanggungannya.

-Hikmah Zakat-
Cuba bayangkan dari sudut ekonomi. Di Dunia ini orang Islam ada 1.5 billion. Katakan zakat fitrah berharga RM 5 (ini kadar yang agak rendah) maka pada setiap tahun orang Islam telah ada RM 7.5 billion. Ini belum termasuk zakat harta. Sebab itulah orang kafir cukup takut dengan sistem Islam ini. Jika ia diselenggarakan dengan baik maka ia akan dapat membina empayar ekonomi Islam.

Di antara asnaf zakat pula ialah Fi Sabilillah (orang yang berjuang di jalan Allah) US pernah mengatakan zakat ini satu cara menyalurkan duit kepada pengganas. Ini kerana orang berjuang itu ditakrifkan sebagai pengganas. Tetapi, jika zakat disalurkan dengan betul, ia akan menjadikan perjuangan Islam itu mempunyai pembiayaan yang hebat. Dengan sebab itulah dakwah Islam dapat disampaikan ke seluruh pelusuk dunia.

Oleh itu, tunaikan zakat dengan sempurna. Ia menjadikan kita hebat di dunia dan selamat di akhirat.
Gempa bumi di Pakistan pada Oktober 2005 bersamaan Ramadhan 1425. Orang yang pada awal berkemampuan tetapi pada hari raya tersebut tidak mempunyai nafkah makan, pakaian dan tempat tinggal, maka terangkatlah kewajipannya membayar fitrah. Gambar di atas khemah sementara yang dibuat di lereng pergunungan

Dengan izin Allah, saya dan abang saya Ustaz Jazlan dapat sama-sama menghantar bantuan dan memberikan bantuan kemanusiaan di sana. Gambar atas penempatan sementara mangsa terlibatRumah mereka hancur sama sekali. Mujurlah ramai bantuan dari negara Islam tiba. Di atas pergunungan ini, duit sudah tidak ada nilai lagi. Mereka memerlukan selimut, khemah dan bahan makanan.

Friday, September 19, 2008

Bicara Hukum 1 - Berapakah nilai zakat fitrah kita sebenarnya?

Alhamdulillah, dengan izin Allah, selama lima tahun, saya telah terlibat dengan kajian penetapan kadar fitrah di beberapa negeri di Malaysia ini. Sempena dengan bulan Ramadhan ini, saya ingin berkongsi cara menunaikan kadar zakat fitrah dengan sempurna.

Ibnu Umar menyatakan bahawa Rasullullah telah memfardhukan zakat fitrah yang wajib dibayar ialah satu sha ( satu gantang Baghdad)

Ada dua isu di dalam menentukan kadar zakat fitrah. Pertama, satu gantang Baghdad itu berapa kilogram. Yang kedua ialah, setelah kita dapat tahu, ia mesti dinilaikan dengan apa yang biasa kita makan.

Isu pertama, para ulamak berselisih pendapat berapa kilogramkah satu gantang Baghdad ini. Ini kerana gantang Baghdad adalah alat untuk menyukat bukan untuk menimbang. Jika satu gantang ini kita isi dengan tamar ia lebih ringan jika ia diisi dengan beras. Perselisihan ini bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia. Mesir mengatakan satu gantang Baghdad ialah 2.5 kg, Iran mengatakan 1.75. Di Malaysia pada tahun 2000, Selangor, Terengganu, Perak mengatakan 2.27 kg. Kelantan mengatakan 2.56 kg, Kedah mengatakan 3.063 kg. Di Malaysia, tidak ada negeri yang menyimpan gantang Baghdad kecuali negeri Kelantan. Ini kerana tuan-tuan guru pondok yang ada di sekitar Kelantan ada menyimpan gantang ini.

Untuk menyelaraskan timbangan ini, JAKIM melalui keputusan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 11 Mac 2002 telah mencadangkan kepada negeri di Malaysia satu gantang Baghdad bersamaan dengan 2.7 kg. Sejak dari itu ada negeri yang menggunakan cadangan JAKIM ini.

Isu kedua, setelah kita menetapkan kadar satu gantang Baghdad ini, ia perlulah ditimbang dengan beras yang biasa kita makan. Contohnya, jika kita makan beras yang berharga sekilo RM 2.00, di darabkan dengan 2.7 kg dapatlah harga fitrah kita RM 5.40. Jika kita makan beras yang berharga RM 5.00, jadilah bayaran fitrah kita RM 13.50.

Setiap orang tidak sama berapakah kadar fitrah mereka. Walaupun setiap negeri ada mencadangkan kadar fitrah, pada saya setiap dari kita hendaklah mengiranya sendiri. Ini kerana setiap orang tidak akan sama apa yang dia makan sedangkan Nabi memerintahkan ia hendaklah dibayar dengan perkara yang biasa kita makan. Orang Bandar sudah tentu makan beras yang lebih baik jika dibandingkan dengan orang di luar Bandar. Itu tidak termasuk kemampuan kita yang selalu makan di luar dan sebagainya. Untuk itu, bayarlah fitrah kita dengan tepat. Darabkan 2.7 kg dengan beras yang biasa kita makan. Bagaimanakah cara ingin membayar lebih? Antara yang dicadangkan ialah lebihkan bilangan. Sebagai contoh, kalau tanggungan kita seramai 4 orang, kita bayarlah untuk 6 orang.

Inilah gantang Baghdad yang berada di dalam simpanan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Gantang ini berada di dalam simpanan al-Marhum Tuan Guru Abdullah Tahir Bunut Payung. Ketika Tuan Guru meninggal dunia, warisnya menyerahkan gantang ini kepada Majlis AgamaGambar gantang Baghdad dan ukurannya
Semoga kita dapat menunaikan zakat fitrah kita dengan sempurna. Amin..







 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...