Monday, August 24, 2009

Diari 101 - Rehlah Ilmu Yang Tidak Berpenghujung

“Tuntutlah ilmu dari buaian sampai ke liang lahad”

Itu yang selalu dipesankan oleh Allahyarham Tuan Guru saya, Tuan Haji Abdullah Lubuk Tapah, kata-kata yang selalu beliau ulangkan ini, menurut sesetengah pandangan adalah hadith manakala sesetengah lagi berpendapat ia hanyalah kata-kata hukama’. Perkataan ini sering diulangkan pada kami, 5 orang budak UM Nilam Puri yang selalu berkunjung ke Pondoknya.

Ketika saya memasuki UM Nilam Puri, saya mengajak 4 orang lagi sahabat-sahabat untuk bersama-sama ke Pondok yang telah saya kunjungi sejak berada di Kelantan tiga tahun sebelum itu lagi.

“Amin.., belajar setinggi yang dapat, zaman kamu nanti, cabaran agama lagi hebat dari zaman abah,” kata Allahyarham Ayahanda saya yang juga seorang ustaz dan pendakwah. Beliau sering berpesan pada saya perkara ini.

“Bila nak sambung…, bila nak sambung”. Ini pula perkataan yang selalu diucapkan oleh Guru saya Prof. Dr Ahmad Hidayat Buang, Pengarah Akademi Islam yang selalu memberi semangat pada saya untuk meneruskan belajar.

Hinggalah pada 14 Ogos 09, jam 8.11, pagi, saya menerima sms dari beliau:-

“pakai baju jangan ketat, sebelum pakai hendaklah mandi, Sarjana Syariah sudah dapat, bila hendak sambung Phd – saja seloka pagi jumaat – Tahniah. AHB"

Tersenyum sendiri saya membaca sms beliau.

Yang ini pula datang dari Isteri saya, setiap kali anak saya membelek gambar saya di Universiti :-

“Abah korang kena belajar tinggi-tinggi, dia banyak tanggung jawab, ibu ni, dapat master dalam jaga korang aje”

Alhamdulillah, kata saya. Mujur ada isteri yang memahami dan sentiasa memberi sokongan pada apa yang saya buat.

Dan yang tak kalah penting juga ialah, apabila mengenangkan anak-anak yatim yang berada di bawah tanggungjawab saya.

Saya selalu berpesan pada mereka:-

“Saya selalu bisikan pada diri saya, insyaAllah, dengan izinnya, saya mahu kamu semua berjaya seperti mana orang ada ayah, kamu kena belajar betul-betul”.

Bagi tujuan ini, saya nak mereka mempunyai contoh untuk diikuti. Contoh dalam bidang pelajaran ini, saya mahu mereka melihat dari orang yang dekat dengan mereka sendiri. Tak perlu orang jauh. Jadi, setiap penjaga mereka, memang saya galakan untuk terus sambung belajar untuk menjadi contoh dalam hidup mereka.

Kelima-lima sebab di atas menjadi penguat bagi diri ini untuk terus belajar. Ini kerana belajar itu satu proses yang tidak akan habis.

Semakin banyak perkara yang kita tahu, semakin banyak sebenarnya perkara yang kita tidak tahu. Jika belajar dan kita dah rasa jadi alim, salahkan orang sana dan sini, bid'ah orang sana dan sini, kena teruskan belajar hingga dapat ilmu dan adab. Perkara yang kita tak pernah dengar bukan bermakna tidak ada.

Saya cuba mendampingi guru yang ditemui, belajar dengan mereka, bertamu di rumah mereka dan yang paling penting adalah mempelajari kehidupan mereka.

Di celah-celah kesibukan jadula harian, Alhamdulillah, dapat saya mencuri masa, menyiapkan proposal untuk pengajian saya.

Kelima-lima sumber semangat saya di atas menyebabkan saya menggagahkan diri untuk meneliti dan menyemak setiap keperluan kemasukan.

Akhirnya, hari ini 24 Ogos 09, jam 12.00 tengah hari saya telah berjaya membuat pendaftaran bagi calon Phd di Universiti Malaya.

Alhamdulillah, semua keperluan untuk pendaftaran dapat dipenuhi. Syukur pada Allah yang terus memberi peluang dan kemahuan untuk belajar.

Selesai urusan, saya cuba mendail nombor Prof Dr. Ahmad Hidayat. Biasanya, beliau memang jarang mengangkat telifon lantaran kesibukan kerja-kerja sebagai Pengarah Akademi Islam.

Tapi, kali ini nasib saya baik, beliau mengangkat telifon.

“Dr, ada kat API (Akademi Pengajian Islam) tak? Hajat nak jumpa sekejap” kata saya.

“Hah.. datanglah..” kata beliau.

Sesampai di Pejabat Pengarah Akademi Pengajian Islam, setiausahanya mempersilakan saya masuk.

"Hah, apa cerita?" Katanya yang memang agak peramah tapi tegas.

Kami berbual-bual mengenai perjalanan Akademi Islam. Semuanya ok.

“ana saja nak jumpa Doktor, hari ini, ana dah daftar untuk Phd” kata saya.

“Haa, baguslah tu,” kata beliau. Sebelum ini, beliau pernah menyuruh saya menyambung Phd di Rusia sana tu. Kaji manuskrip Melayu yang saya temui di St. Petersburg.

Alhamdulillah, dengan berkat doa dan rangsangan dari kelima-lima orang di atas, hari ini saya dapat menyambung amanah ilmu yang ditinggalkan oleh orang-orang terdahulu.

Semoga Allah terus memberi kekuatan untuk itu dan semoga rehlah ilmu ini terus diberkati. Agar satu hari nanti, dapat berkhidmat untuk Agama dan Negara.

Apa yang penting ialah, setiap detik perjalanan ini, mudah-mudahan diredahi Allah.

“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam
3 Ramadhan/ 24 Ogos 09
Jam 3.38 petang.
Prof. Dr. Ahmad Hidayat Buang, Pengarah Akademi Islam
Beliau banyak mendidik saya terutamanya di dalam bidang penulisan akademik. Terima kasih di atas tunjuk ajar selama ini. Semoga tuan sentiasa di rahmati Allah

1 comment:

Anonymous said...

Tahniah Ustaz, abg ali sujud syukur dan gembira kerana Ustaz berjaya menyambung pengajian untuk Phd. Dunia Islam dahagakan cendekiawan seperti ustaz untuk memimpin kami bagi menghadapi arus cabaran mendatang dan bagi terus memertabatkan Islam. Teruskan perjuangan demi Islam. Jangan lupakan kami di Panasonic Johor & selamat menunaikan umrah...