Saturday, August 8, 2009

al-Ijabah 16 - Isu Muslim Di Gereja : "Berehat Di Kubur"

Aloo, boss, saya lali kelai pelaboot, mau antar you punye balang sekalang ni (saya dari kedai perabut, mahu hantar you punya barang sekarang ini), kata seorang Cina melalui panggilan ke telifon saya.

“Bila masa saya ada beli apa-apa barang ni” bisik hati saya.

“ You silap number lah” kata saya. Kemudian saya meletakkan telifon.

Ketika ini, 7 Ogos 09, jam 2.30 petang, saya dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur. Perjalanan jauh yang meletihkan ini, kadang-kala menyebabkan saya tidak mengangkat telifon dari nombor yang saya tidak kenali.

Telifon beberapa kali berdering. Saya mengangkat.

“Aloo, boss, ini lu punya balang kat you punya lumah PJ sana” kata lelaki Cina ini pula.

Oooh, jangan-jangan barang keperluan yang MAIS beli untuk rumah perlindungan HIV Darul Ukhwah.

“Ok, ok, you hantar sahaja, saya sekarang ada dekat Kuantan. Sana rumah, ada orang, nanti malam, baru saya sampai,” kata saya pada lelaki Cina ini.

Jam 8.30 malam. Saya sampai di Kuala Lumpur, terus ke Petaling Jaya melihat, barang-barang yang sampai.

Sesampai di rumah ini, Alhamdulillah, ustaz Yazid yang juga warden bagi rumah HIV Darul Ukhwah sedang mengajar seorang penghuni membaca al-Quran.

“Aliff, Baa, Taa”, penghuni HIV bernama Ali Abdullah, seorang muallaf yang mahu ikut bersama-sama kita di sini.

Dia begitu bersungguh-sungguh ingin mendalami Islam. Baginya, tidak ada istilah terlambat. Beberapa kali dia membisikkan kepada penghuni yang lain mengenai keinginannya untuk bersunat.

“Nanti insyaAllah, kita urus satu satu ye” kata saya.

Saya memasuki rumah Darul Ukhwah. Melihat barang-barang yang baru sampai. Ada katil, tilam, bantal, peti ais, mesin basuh dan sebagainya. Barang-barang ini sumbangan dari pihak MAIS.

Terima kasih kita ucapkan pada sahabat-sahabat dari MAIS yang telah bersama-sama berusaha membangunkan Darul Ukhwah ini, walaupun ada sesetengahnya, pada permulaan pernah marah pada saya:-

“Apalah ustaz Muhamad tu, tulis kat blog dia”

Banyak kali saya dipesankan:-

“Ustaz, jangan tulis ye”

Kalau perhatikan dari gaya tulisan saya, mana saya perlecehkan usaha sahabat-sahabat ini, orang lain banyak bersifat demikian. Ini kerana, saya tidak berniat untuk salahkan pihak sana dan sini. Ini bukan masanya untuk saling salah menyalahkan. Ini masa untuk bertindak, bekerja dan berbuat sesuatu. Sebab itu, saya sangat gembira apabila sahabat-sahabat semua turun sama ke sini.

Sesungguhnya, perkara ini merupakan tanggungjawab semua orang Islam. Ia merupakan maruah Umat Islam khususnya di Selangor.

“Ustaz, kami perlukan almari baju dan getah paip untuk bersihkan sekeliling rumah ini” kata salah seorang penghuni ini.

“InsyaAllah, nanti kita usahakan” kata saya.

“ Kenderaan macam mana ustaz ye, kami memang perlu selalu pergi ke Hospital” kata seorang lagi.

Saya hanya terdiam. Kalau di gereja tempohari, semua telah lengkap ada. Kita di sini bertatih perlahan-lahan.

Petang tadi, sebelum sampai ke KL, saya sempat menghubungi Ustazah Hafizah dari bahagian Riqab MAIS. Kenderaan telah ada. Cuma perlukan seminggu lagi untuk sedikit baik pulih. Ini kerana, kenderaan yang ada di MAIS hanyalah van-van mayat yang belakangnya ada keranda.

“Takkan nak duduk dalam keranda”, mereka berseloroh sesama sendiri.

Ustaz Anuar, Ketua Bahagian Pembangunan Insan MAIS, ketika mengetahui keperluan penghuni di sini , begitu bersungguh-sungguh ingin membantu. Hingga dia telah memberikan cadangan agar mencari mana-mana van untuk disewa. Nanti pihak MAIS akan membayarnya.

Terima kasih pada semua sahabat dari MAIS. Walaupun sibuk, tetapi masih tetap memandang serius perkara ini.

Jam menunjukkan pukul 10.00 malam. Setelah habis berbincang dengan penghuni di sini, saya terus menghubungi sahabat saya. Dia memang mempunyai perniagaan di dalam penyewaan kenderaan ini.

Kami berjanji untuk bertemu di Seksyen 9 Shah Alam. Saya terus ke sana. Saya menceritakan serba sedikit latar belakang peristiwa yang berlaku.

Bukan main semangat lagi dia.

“Tak apa Mat, aku beri paling murah. Ko tak akan dapat kat mana-mana tempat “Rental Car”, aku nak beramal juga” kata sahabat saya Mahdi.

Dia pernah belajar bersama saya tahfiz di Pakistan dahulu, cuma sekarang menjadi ahli korporat, tidak di dalam khidmat ilmu untuk masyarakat.

“Ok, Mahdi, nanti hari Isnin tolong fax terus ke MAIS ye”, kata saya sambil memberikan nama pegawai yang ingin dihubungi.

“Ah..lega,semua selesai, boleh balik dan rehat” bisik hati saya.

Tiba-tiba saya teringat arwah ayah saya, ketika dia ditanya selepas habis satu program ceramah sedangkan di rumah ada tetamu yang sedang menunggu.

“Ustaz, tak penat ke, bila ustaz rehat”

“rehat di kubur” jawabnya selamba.

Hari ini, saya tersenyum mengingatkan jawapan ini. Dia telah rehat sekarang. Kita yang hidup ini, selagi mana ada kehidupan, selagi itu tak boleh nak rehat banyak. Kena kerja untuk mencari keredhaan Allah.

Dan sebenarnya, Nabi yang ajarkan yang sedemikian :-

“Sesungguhnya, kematian itu kerehatan bagi orang mukmin”.

Semoga kita berpenat-penat di dunia ini, untuk mendapat kerehatan di akhirat, jangan terlalu berehat di dunia hingga tidak dapat berehat di akhirat.

Tetapi, semoga segala kepenatan, disertai dengan keikhlasan, kerana penat tanpa ikhlas, bermakna, penat di dunia, penat di akhirat.

Yang penting, hati sentiasa berusaha mencari keredhaannya, kerana kita ke syurga,adalah kerana keredhaanya.

“Mencari Kepulangan Yang Diredhai”

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights 8 ogos 09
Jam 6.10 petang
Dalam perjalanan, hujan turun agak lebat. Terdapat eksiden di pertengahan jalan
Ustaz Yazid yang juga warden bagi rumah HIV Darul Ukhwah sedang mengajar seorang penghuni membaca al-Quran
Mesin basuh untuk penghuni dari MAIS
Tilam, bantal, katil dan alas
“Ustaz, kami perlukan almari baju dan getah paip untuk bersihkan sekeliling rumah ini” kata salah seorang penghuni ini.
Sebelum meninggalkan mereka, Alhamdulillah, ustaz Salleh, seorang lagi ustaz memimpin mereka untuk solat berjemaah. Semoga terus dipermudahkan Allah.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...