Sunday, September 6, 2009

Diari 110 - Catatan Perjalana Madinah - Mekah

Saya dan ahli jemaah bertolak dari Madinah jam 12.00 pagi 30 Ogos 09. Kami perlu sampai ke Mekah pada waktu Asar. Perkiraan saya, pada bulan Ramadhan ini, lebih baik tawaf selepas Asar. Jika dibuat pada waktu malam sudah tentu ramai orang.

Perjalanan ke Mekah dipimpin oleh pemandu kami, Abu Iwad.

Perjalanan merentasi padang pasir antara Mekah dan Madinah. Abu Iwad membawa van yang kami naiki dengan laju.

Saya yang duduk di hadapan terasa goncangan angin dari kanan jalan, ketika Abu Iwad memecut selaju 150 km/ jam.

Sekali sekala, saya bersuara juga:-

“Intabih Abuya…” (jaga-jaga ayah..)

Barulah dia memperlahankan kenderaan. Agak lama, laju balik. Sampai malas nak tegur. Ikutlah, semoga selamat.

Melihat saya diam, dia cuba mengajak saya berbual.

“Engkau tahu tak, di Saudi ni, yang paling laju bawa kereta ialah orang Saudi dan orang Mesir. Tapi mereka cekap dan mahir” katanya.

“Kenapa? Kamu ingin cakap kamu ni cekaplah ye?” kata saya menyindir.

Abu Iwad ketawa besar. Dia yang berasal dari Qabilah Harabi agak peramah orangnya. Qabilah Harabi ialah Qabilah yang berasal dari Madinah. Selain dari Qabilah Harabi, yang agak terkenal di Madinah ialah Qabilah Zahrani dan Qabilah Qahthani.

Lagi 150 km untuk sampai Mekah, tiba-tiba, jalan dilanda ribut. Kenderaan yang kami naiki bergoyang dilanda ribut.

Ribut di sini tidak seperti ribut di Malaysia. Ribut di sini membawa bersama pasir-pasir dari bukit di kanan dan kiri jalan.

Saya berpaling ke belakang. Semua ahli rombongan sedang tidur. Perlahan saya membacakan doa untuk keselamatan perjalanan.

Di dalam mana-mana perjalanan, kita terdedah dengan berbagai risiko. Kita boleh mengurangkan risiko sesuatu tetapi Allah sahaja yang menyelamatkan.

Saya pernah berbual dengan Dato’ Hj. Masnawi Aton dari Irna Yakin Travel. Beliau menceritakan mengenai jemaah pertama beliau yang eksiden ketika dalam perjalanan dari Jedah ke Madinah. Beberapa jemaah meninggal dan dikebumikan di Baqi’ baru di Madinah.

Begitu juga dengan jemaah dari Zahafiz Travel yang pernah mengalami kejadian yang mengorbankan Allahyarham Haji Khairil Anuar.

Sebab itu, untuk selamat dalam perjalanan, selain dari usaha yang kita tingkatkan, hendaklah kita selalu berdoa pada Allah s.w.t.

Allah yang menyelamatkan dan Allah yang Maha Kuasa mengasihi setiap dari kita yang memohon kepadaNya.

Alhamdulillah, kami sampai ke Mekah jam 4.30 petang. Kami duduk di al-Marwa Hotel, jalan Ibrahim Khalil, Misfalah. Ia 180 meter dari Masjid al-Haram.

Itu untungnya jemaah dari Malaysia, selalu dapat Hotel yang agak dekat dengan Masjid al-Haram. Pada masa ini, Mekah agak ramai. Maklumlah, sekarang bulan Ramadhan.

Jemaah dari Semenanjung Tanah Arab ada yang duduk sebulan, beribadah untuk mendapatkan kelebihan bulan Ramadhan.

Alangkah indahnya setiap kali azan dilaungkan. Tenang dan memanggil setiap individu untuk ke Masjid.

Pada ketika tulisan ini dibuat, saya merasa agak sedih ketika berkesempatan melihat berita dari TV 9 yang memaparkan orang bukan Islam sudah mula berani mempertikaikan azan yang dilaungkan.

Dahulu, saya hanya dapat berkongsi surat bantahan penduduk bukan Islam mengenai azan yang dihantar pada MAIS. Hari ini, saya dapat dengar dengan telinga saya sendiri.

“Mmm, apa mahu jadi?”

Apa pun, kita harap yang terbaik untuk umat Islam di Negara kita. Laungan azan telah dilaungkan sejak sebelum wujudnya Malaysia, sejak ratusan tahun dahulu.

Jangan sampai ia terhenti kerana kelemahan kita.

Semoga, Allah terus memberikan kekuatan dan keikhlasan untuk pejuang Islam di Negara kita, amin…

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Hotel al-Marwa Hotel Mekah al-Mukarramah
6 September 09, jam 12.30 tengah malam
Ribut pasir yang berlaku sekitar 150 km sebelum sampai ke Mekah
Ribut menghayunkan kenderaan yang lalu lalang di sini
Mekah yang agak sesak ketika ini

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...