Thursday, September 17, 2009

Universiti Kehidupan 112 - Disebalik Kegembiraan Kita

Semalam 15 September 09, saya dihubungi dengan seorang yang memperkenalkan dirinya dengan nama kak Nor.

“Saya dapat nombor telifon ini dari surat khabar, keluar cerita ustaz keluarkan orang dekat gereja tu”. katanya menelifon no. ofis saya di Shah Alam

Sebenarnya, suami saya adalah pesakit HIV yang pernah menghuni gereja tersebut, dan telah meninggal awal tahun ini” dia menambah.

“Kakak nak minta tolong la, anak kakak 6 orang, semuanya kecil lagi, macam mana kak nak dapatkan bantuan anak kak merengek nak baju, dah hubungi pusat zakat, lambat sangat” dia menambah.

Selepas itu, PA saya, Ustaz Muhamad Zamhari yang pernah bekerja di bahagian zakat memberitahu prosedur yang perlu dibuat untuk mendapatkan bantuan ekspres dari zakat.

Pagi ini, 17 September, sepagi saya sibuk menguruskan mengenai tanah kompleks Yayasan al-Ijabah di Puchong. Hampir tengah hari, isteri saya menghubungi saya:-

“Bang, kakak semalam tu dah ada kat pusat zakat, dia dapat RM 400. Dia kata, macam mana kalau dia nak mohon lebih. Rasanya macam tak cukup”

“Mmm, suruh datang ofis, nanti setengah jam lagi Abang sampai” kata saya.

Jam 1.00 tengah hari.

Saya sampai di ofis dan kelihatan seorang perempuan menunggu.

“Ooo, inilah ustaznya” katanya.

Dia mula menceritakan kisah suaminya yang sakit HIV dan bagaimana hingga dia menghantarnya ke gereja tempohari.

“Alhamdulillah, waktu akak baca surat khabar ustaz keluarkan, saya bersyukur sangat, tapi suami saya tak sempat, dia dah meninggal”

Saya hanya diam mendengarnya bercerita. Hinggalah dia menceritakan mengenai anak-anaknya.

Anak kakak ini pandai-pandai, tapi tak ada pembelaan. Salah seorangnya berada di dalam sekolah menengah sains di Perak.

“Pihak gereja baru-baru ini, ada menghubungi kakak, nak bagi bantuan, tapi kakak tak pergi” katanya.

“Itu yang nak tanya ustaz, ustaz tahu tak cara nak minta lebih sikit zakat ni, kak rasa macam tak cukup nak raya. Kak dapat 400 sahaja dari pusat zakat” katanya.

“Saya tahu, kalau prosedur memang agak lama, tapi boleh diusahakan” saya menjelaskan.

Saya masuk ke dalam bilik saya.

Kemudian, saya memberikannya RM 1000, duit zakat anak-anak murid saya yang diamanahkan kepada saya.

Tiba-tiba kakak ini, menangis teresak-esak. Berulang kali dia mengatakan ucapan terima kasih.

Suasana di sekeliling tiba-tiba menjadi sayu, melihat seorang yang sangat terdesak dan tiada tempat untuk mengadu, ayah dan ibu sudah tiada, suami juga telah meninggal.

Dalam beberapa ketika, kakak ini mulai reda. Tak putus-putus dia mengucapakan terimanya. Dia menemui saya bukannya untuk meminta derma, hanya ingin bertanya ruang, bagaimana jika ingin mendapatkan bantuan yang lebih dari pusat zakat.

Isteri saya menghantarnya hingga ke pintu depan. Dia mengesat air matanya. Dengan ucapan salam, dia meninggalkan kami.

Semua staf saya yang ada terdiam. Semua sayu, semua terharu.

“Semoga Allah membelanya” ucap saya perlahan.

Allah menjadikan kita berharta adalah untuk Dia melihat, adakah kita mahu menggunakan harta ini kepada perkara yang diperintahkan.

Kadang kala orang lupa, bahawa di dalam harta mereka terdapat hak orang lain yang perlu diberikan. Jika kita menahan hak orang lain, maka Allah akan menahan hak kita nanti.

Ramai orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat dan sedekah, di hujung usia, Allah ambil balik kekayaan yang dimilikinya.

Pernah menjadi orang hebat waktu muda, tetapi di hari tua dengan keadaan yang penuh kesusahan, harta tidak ada, anak derhaka, isteri memeningkan. Akhirnya, hidup keseorangan dihimpit masalaha dan hilang ketenangan. Ini kerana ketika senang, lupa Allah, maka ketika susah Allah biarkannya bersendirian.

Semoga, Allah terus menjadikan kita ini orang yang sentiasa menunaikan hak kepada orang lain, agar, setiap detik, kita sentiasa dirahmati Allah.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-Fakir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Shah Alam

17 September 09 jam 3.30 petang.

2 comments:

Anonymous said...

Saya terharu terhadap nasib kak Nor yg telah kehilangan suami dan anak kehilangan bapa akibat HlV dan mendapat pembelaan drp ustaz melalui zakat yg diterima. Kata2 ustaz mengenai "di dlm harta kita terdapat hak-hak org lain yg wajib diberikan" menyentuh perasaan saya. Bolehkah ustaz berikan saya alamat/hp kak Nor. Tanggungjawab semua org islam membela nasib sesama islam. Dikuatiri per-tolongan dari pihak gereja ada udang di sebalik batu, walahuallam. azahnan@yahoo.com

Ustaz Amin said...

014- 224 5406

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...