Sunday, September 6, 2009

Diari 111 - Catatan Masjid al-Haram

Pukul 5.30 petang 30 Ogos 09, semua jemaah berkumpul di lobi hotel. Kami bertolak masuk ke dalam Masjid al-Haram, memulakan tawaf.

Semasa tawaf, telah ada orang yang memegang kotak-kotak berisi kurma. Dia akan mempelawa orang ramai untuk mengambil kurmanya.

Orang ramai yang telah habis tawaf akan terus duduk di saf-saf sembahyang. Saya dan jemaah, tamat tawaf 10 minit sebelum azam Maghrib.

“Ok, kita solat sunat tawaf dan terus berbuka. Nanti jumpa dekat tangga sebelah sana untuk saie” kata saya pada jemaah perempuan.

Selesai solat, saya duduk menunggu azan Maghrib. Ramai yang menghulurkan tamar, air dan juga kopi arab.

Tidak akan lapar orang yang tawaf ketika ini. Akan ada sahaja orang yang menghulurkan air dan tamar.

Azan berkumandang, semua yang ada berbuka puasa. Selepas berbuka, kami menunggu iqamat. Malam ini merupakan malam merdeka bagi Negara kita. Semoga Allah terus pelihara kesejahteraannya dan terus menjadikan Islam semakin kuat pengamalannya.

Mata saya tertumpu pada seorang yang lengkap berbaju Melayu dan bersongkok hitam. Begitu patriotik malam pada malam merdeka ini.

Iqamat dilaungkan. Semua jemaah membentuk saf mengelilingi Ka’abah. Takbir mula diangkat.

Berbeza dengan di Madinah, solat Maghrib di Mekah ini lebih panjang dari di Madinah.

Tamat solat, saya membawa jemaah untuk saie. Ketika ini, pekerja Masjid al-Haram sibuk membersihkan masjid. Di simbahkan air sabun dan mereka berlari-lari membersihkan masjid. Saki baki orang berbuka disapu bersih. Termasuk juga kasut-kasut yang diletakkan disekitar tiang masjid.

“Hajee.. Hejee, Hajee..” kata mereka memberi amaran kepada para jemaah yang ada di sekitar masjid al-Haram ini. Kebanyakkan mereka adalah warga Bangladesh. Hanya seorang mandur, memakai jubah putih, dengan serban merah mengarahkan mereka ke sana dan sini.

Pada ketika ini, ramai juga orang di tempat saie. Tetapi kami serombongan dapat menghabiskan dengan cepat. Ketika ini, tempat saie di tingkat bawah dan atas boleh digunakan. Ia mengurangkan kesesakan di tempat biasa.

Di tempat saie ini juga, kerja-kerja pembersihan juga sibuk dibuat. Sekali sekala, kami terpaksa ketepi untuk memberi laluan krew pembersih menjalankan tugas mereka.

Kami selesai membuat saie sebelum waktu isyak. Alhamdulillah, selepas tahallul, bermakna selesailah ibadah umarah untuk kali ini.

Nabi saw menyatakan bahawa, umrah pada bulan Ramadhan akan dikurniakan pahala seperti ibadah haji.
Semoga ia mengundang keredhaan Allah.

“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Hotel al-Marwa Hotel Mekah al-Mukarramah
6 September 09, jam 1.00 pagi
Akan ada orang yang menghulurkan air pada jemaah
Tamar juga diberikan
Kelihatan seorang yang menghulurkan kopi Arab
Malam merdeka di Kaabah, berpakaian lengkap Baju Melayu
Selepas berbuka, ada orang yang mengumpulkan bekas-bekas makanan
Krew pembersih yang membersihkan al-Haram
Kasut juga habis di sapunya
Pembersihan Masjid al-Haram
Kenangan selesai saie bersama beberapa jemaah

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...