14 September 09, buat pertama kalinya, dua rumah kebajikan di bawah naungan Yayasan al-Ijabah membuat program secara rasmi iaitu Rumah Anak Yatim al-Ijabah dan Darul Ukhwah.
Anak-anak yatim dan tahfiz al-ijabah bertolak dari Subang Jaya dengan menaiki Bas Ijabah. Bas second hand yang dibeli ini asyik rosak saja. Hari ini, perjalanan mereka tanpa penghawa dingin. Sudahlah bas memang hanya mempunyai tingkap kecil bahagian atas cermin tepi, amat sedikit angin yang masuk. Ia membuatkan mereka semua berpeluh kepanasan. Tapi setakat ini, itu sahaja yang mampu.
Perlahan-lahan bas bergerak dan sampai ke Petaling Jaya hampir jam 7.00 malam. Buka puasa hari ini, seperti biasa, kurma dan air mineral. Segera semua mereka solat berjemaah dan kemudian makan bersama-sama.
Malam ini, banyak yang saya dapat belajar. Saya melihat dua generasi yang berbeza. Satu, generasi anak-anak kecil yang sedang di didik dengan keagamaan. Satu lagi, generasi yang pernah melalui pengalaman hitam di dalam hidupnya lantaran kurangnya didikan agama.
Walau apa latar belakang pesakit HIV ini, ada di antara mereka pernah bertugas sebagai pegawai kerajaan. Maknanya, terdiri dari orang yang mempunyai pelajaran tinggi. Tetapi, kekuatan akal tidak akan mampu menahan nafsu.
Nafsu hanya dapat dididik dengan kekuatan agama.
Kami bersolat Isyak berjemaah seterusnya solat tarawikh lapan rakaat berjemaah. Selepas solat saya memberikan sedikti tazkirah kepada yang hadir pada malam ini.
Tazkirah pada malam ini bertajuk “perjalanan hidup manusia”
Kita pernah dikumpulkan ke dalam alam roh. Setelah itu kita diletakkan ke dalam alam rahim ibu kita.
Setelah beberapa ketika di dalam rahim, kita di pindahkan ke alam ketiga iaitu alam dunia. Di dunia ini, yang paling terpenting adalah usaha kita mencari kerdhaan Allah.
Selepas itu, kita dipindahkan ke alam ke empat iaitu alam barzakh. Di sini merupakan satu antara dua lubang sama ada lubang keselamatan atau lubang kesengsaraan.
Selepas di alam Barzakh, kita akan ke alam yang terakhir iaitu alam akhirat.
Amat beruntung seseorang yang ketika di dalam dunia dia beramal dan mencari keredhaan Allah, maka selamat dia di alam seterusnya.
Sesungguhnya, kita sedang melalui perjalanan yang sangat jauh, dan kita memerlukan persediaan untuk itu.
Habis tazkirah, ada disediakan moreh. Semua warga al-Ijabah dari kedua rumah menjamu selera. Tidak berapa lama selepas itu, anak-anak Ijabah beransur pulang.
Yang tinggal penghuni Darul Ukhwah. Malam ini, saya bermesyuarat ringkas dengan pentadbir dan penghuni Darul Ukhwah.
Saya memperkenalkan mereka dengan PA saya, Ustaz Muhamad Zamhari. Jika saya tidak ada di Malaysia, maka Ustaz Muhamad Zamhari akan melihat segala perjalanan Darul Ukhwah.
Ini kerana, minggu depan, saya akan ke Iran dan Uzbekistan untuk tempoh dua minggu lebih. Semua keperluan dalam tempoh dua minggu akan disediakan sebelum saya bertolak. Semoga, semuanya dipermudahkan oleh Allah.
“Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”
Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Shah Alam
16 September 09 jam 5.30 petang
anak al-Ijabah bersedia untuk tarawikh
moreh
mesyuarat pentadbiran Darul Ukhwah
Di akhiri dengan doa
No comments:
Post a Comment