Tuesday, March 31, 2009

Universiti Kehidupan 52 - Uzlah

Rusia merupakan sebuah negara yang mempunyai sejarah negara yang panjang. Agama pernah menjadi tunggak kepada pembangunan negara ini. Di sini terkenal dengan pengamalan kristian Orthodok. Susur galur kristian yang mula-mula sebelum terpecah menjadi Katholik dan kemudian menjadi Protesten.


Islam menjadi agama kedua terbesar ketika Rusia mula membuat kesatuan dengan negara-negara Islam seperti Tataristan, Tajikistan, Uzbekistan, Kyrgistan dan negara “Tan” yang lainnya.


Ketika 7 November 1917, berlaku Revolusi Bolshevik yang dipimpin oleh Lenin dengan doktrin komunisnya, dia menggulingkan pemerintahan Nasionalis Alexender Karensky.


Tasr Nikolai II, Tsar terakhir Rusia dan seluruh keluarganya dipenjara setelah Revolusi Bolshevik dan Rusia memasuki era Komunis.

Komunis mengharamkan pengamalan mana-mana agama dan menyamakan agama seperti candu.


Slogan Lenin ialah kerja dan kerja, semua orang mesti bekerja. Apabila agama tidak lagi diamalkan, manusia hidup tanpa panduan. Hasilnya, Rusia antara negara yang mempunyai kadar kebejatan akhlak paling tinggi di dunia.


Minggu pertama saya berada di sini, saya terkejut. Anak-anak muda di sini bercium di mana-mana. Jika kita keluar dari rumah menaiki Metro, dalam setiap lima minit kita akan melihat orang bercium di merata-rata tempat.


Kerosakkan ini bukan sahaja dari peringkat orang yang ditepi jalah. Hingga orang berpelajaran di universiti-universiti pun sama. Mereka berpelukan, bercium, bercumbuan dan tidak ada seorang pun yang menegur mereka.


Pendedahan aurat tak usah nak cakap. Jika musim sejuk pun ada orang yang mendedahkan pehanya, bagaimana pada musim panas?


Di asrama, kondom bersepah-sepah. Dibuang merata-rata tempat. Majalah lucah dijual ditepi-tepi jalan dan anak-anak muda tidak malu membacanya di khalayak ramai. Pelacuran tinggi dan ada orang yang tunggu di tepi-tepi jalan memberikan “business card” untuk tempahan penyakit AIDS.


Saya sendiri bersama Khairul, pelajar kejuruteraan kapal terbang, dengan mudah mendapat “flying kiss” dari pada gadis di sini ketika kami sedang dalam perjalanan ke suatu tempat. Hari pertama lagi ketika saya sampai, murid saya yang menguruskan penginapan saya menawarkan untuk ke kelab malam.


Jika kita membaca artikel ini dengan nafsu, maka kita akan membayangkan yang bukan-bukan. Jika kita membaca dengan akal, kita akan merasakan rimasnya kehidupan seperti ini. Bayangkan jika kita ada adik perempuan, anak perempuan atau isteri yang terdedah dengan cara hidup seperti ini. Jika kita membaca dengan iman, maka kita akan rasa jangkalnya hidup begini dan yang penting, bagaimana boleh kita menyelamatkan iman kita dan orang di sekeliling kita, semaksima yang kita mampu. Kita akan memandang dengan rasa kasihan dan bagaimana ingin bersama memperbaiki masyarakat.


Untuk lari dari keadaan macam ini kita perlu beruzlah (pemencilan diri) Ada dua cara. Pertama dengan apa yang disebut sebagai “uzlah badaniah”, iaitu lari dan duduk sorang-orang tanpa bergaul dengan masyarakat. Atau kita berpindah kepada dari masyarakat yang rosak kepada masyarakat yang baik atau kita bentuk masyarakat yang baik kecil-kecilan dan hiduplah bersama-sama dengan kelompok yang kecil ini.


Cara ini bagus tetapi nanti kita akan menjadi masyarakat pinggiran dan baik seorang diri tanpa merubah masyarakat. Sedangkan kelebihan umat Muhammad adalah ketekunan dan kesungguhannya menyuruh pada perkara baik dan mencegah pada perkara mungkar. Di dalam al-Quran Allah menyebutkan :-


Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. (Ali Imran 110)


Cara yang kedua ialah kita bergaul dengan masyarakat cuma kita jaga hati kita, kita benci dengan keadaan sekeliling, beristighfar dan ada cita-cita untuk merubahnya. Ini disebut sebagai “Uzlah Qalbiyyah”, iaitu badan kita bersama manusia tetapi hati sentiasa bersama Allah.


Di dalam satu hadith Nabi saw pernah bersabda:-


“Jika kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangan, jika tidak mampu ubahlah dengan lisan dan jika tidak mampu maka ubahlah dengan hati, dan itulah selemah-lemah iman”.


Pada peringkat awal sebelum kenabian, Nabi selalu ke gua hira’, beruzlah badan seketika, berfikir bagaiman ingin memperbaiki masyarakat.


Ketika turunnya wahyu, Nabi turun ke tengah masyarakat yang rosak, masyarakat penzina, masyarakat peminum arak, masyarakat perasuah bergaul dengan mereka dan memperbaiki mereka. Badan Nabi bersama mereka tetapi hati sentiasa bersama Allah memohon petunjuk dan bimbingan. Inilah disebut sebagai “uzlah qalbiyyah”, (uzlah hati).


Orang Melayu kita telah mengamalkan satu amalan yang baik iaitu membaca al-Quran pada orang yang telah mati. Pahalanya dapat tetapi orang mati itu telah mati. Alangkah baiknya jika kita tingkatkan lagi, kita bacakan al-Quran pada orang yang hidup, maka orang yang hidup insyaAllah boleh berubah. Ini yang dibuat oleh Rasullulah.


Kita bacakan al-Quran dan penghayatannya pada isteri kita, pada anak kita, pada keluarga kita, pada kawan-kawan kita, pada anak buah kita, pada masyarakat dan orang yang kita temui, barulah kita akan menjadi semakin baik, mereka pun akan menjadi semakin baik.


Jika semua orang berusaha menjadi baik, maka kita akan lihat semua orang akan memperbaiki diri. Gabungan individu yang memperbaiki diri akan membentuk keluarga, gabungan keluraga membentuk masyarakat, gabungan masyarakat membentuk negara dan gabungan negara akan membentuk ummah yang baik. Jika ini berlaku Allah akan melimpahi keberkatan pada kita semua. Allah berfirman,

j
ikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, (al-A’raf ayat 96)



Kita kita boleh beruzlah badan jika kita tidak kuat dan takut terpengaruh dengan keadaan sekeliling. Tetapi, jika kita kuat, maka amalkanlah uzlah hati, iaitu badan bersama masyarakat, hati bersama Allah. Badan turun memperbaiki masyarakat, hati memohon pertolongan dan bimbingan Allah.


“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad Abdullah
308, Hostel Kahovskaya Moscow Medical Academy
31 Mac 09, 8.30 pagi

Uzlah satu amalan memperbaiki diri sama ada uzlah badaniyyah atau uzlah qalbiyyah
Orang mabuk berada di mana-mana, kebejatan akhlak terlihat di mana-mana di sini. Cukuplah gambar ini sahaja menceritakannya.

2 comments:

ibnu_maulub said...

salam, ustaz kat cni pon same je ustaz... saya rase mcm dah duduk negare barat.. sini pi mane-mane pompuan pakai seluar pendek... tapi bile cite bab agama mantop beb...

Anonymous said...

Pada mulanya kami mahu mengucapkan terima kasih kepada encik atas tunjuk ajar bahasa Melayu, kata-kata baik megnenai kami di sini, kata pujian.
Namun ada beberapa hal yang kami tak setuju dan nak bantah (maaf). Encik pernah ceritakan bahawa encik pernah ke London dan Spain. Adakah di sana semua orang berpakaian panjang dan tidak berpelukan dan bercium? Kami tak fikir begitu. Jadi keadaan begitu boleh disaksikan di mana-mana pun, bukan saja di Rusia, di Malaysia sama keadaannya. Kami pernah melihat dengan mata kepala sendiri orang muda yang perpelukan di khalayak ramai dan gadis yang berpakaian skirt mini. Bagi encik pelik melihat orang bercium, tetapi agama Rusia iaitu Kristian Ortodoks tidak melarang orang bercium dan berpelukan. Lebih dari itu ciuman adalah sebahagian budaya Rusia. PAda zaman moden pula apabila semua negara ada agama dan budayanya masing-masing, kita semua mesti saling faham-memahami dan hormat-mengormati agama dan budaya satu sama lain untuk mengelakkan ketidakfahaman.
Bak kata pepatah Melayu: Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Salam mesra,
pelajar-pelajar dari Rusia.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...