Friday, March 27, 2009

Universiti Kehidupan 50 - Rezeki Sang Itik

Hari ini 26 Mac 09, pukul 11.30 pagi saya bertolak ke MSU dan mengajar seperti biasa. Kelas yang bermula jam 12.20 habis pada jam 1.50.

Hari ini, Hazrul, Nabil dan beberapa orang lagi mengajak saya berjalan sekitar Moscow. Kami bertemu di Moscow State Universiti ini. Saya mengajak mereka makan tengahari di sini. Di sini banyak pelajar Muslim dari negara-negara seperti Tajikistan, Uzbekistan, Kurgistan dan lain-lain. Jadi pihak kantin menyediakan makanan halal.

Kemudian, kami berjalan di celah-celah kesejukan bandar Mosow menyebabkan kadang-kala telinga dan jari-jari menjadi kebas. Mula-mula kami pergi ke Gorky Park, tempat di mana aktiviti out door seperti ice skating di adakan.

Taman ini tutup. Kami berjalan-jalan di dalamnya. Setelah itu kami pergi ke Volga River (Sungai Moscow).

Di sungai yang cantik ini saya melihat beberapa kumpulan itik dan burung-burung penghijrah.

Saya teringat ketika saya melihat itik seperti ini di Sungai Zayandeh Rud di Isfahan Iran.

Sungai Zayandeh Rud yang merentang dari barat ke timur sepanjang 360 kilometer dan melalui Esfahan menjadi tempat persinggahan kepada beribu-ribu itik serta burung penghijrah tanpa gangguan. Itik dan burung-burung ini berpindah dari Rusia ke India dengan jarak lintasan 50 000 km dan menjadikan sungai Zayandeh Rud salah satu tempat persinggahan sementara.
Ketika di Isfahan, saya diajak oleh penduduk tempatan untuk melawat Jambatan Sio Sieh Pol. Ia berusia ratusan tahun. Di namakan sebagai Sio Sieh Pol kerana terdapat 33 tiang. Ada laluan rahsia di bawah jambatan tersebut.

Cuba kita lihat betapa agongnya Allah. Dia menjadikan semua makhluk dan menetapkan ketentuannya.

Bagaimana sekumpulan itik dan burung penghijrah ini terbang tanpa kompas, merentasi perjalanan 50000 km dan tidak tersesat arahnya.

Bagaimana rezeki burung dan itik-itik ini.

Di dalam al-Quran Allah menyatakan bahawa:-

60. Dan berapa banyak binatang yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (surah al-Ankabut ayat 60)

Melihat itik-itik dan burung ini, mengingatkan saya betapa manusia sering merungut mengenai rezekinya.

Dia lupa bahawa yang mencukupkan adalah Allah. Kita selaku manusia hanya perlu memaksimakan usaha kita, tetapi anugerah rezeki itu adalah milik Allah.

Jika rezeki itu datang dari makhluk, maka itik dan burung penghijrah ini tidak akan makan apa-apa. Ia tidak mampu mengusahakan yang lebih-lebih.

Di dalam mengusahakan rezeki, yang perlu kita jaga ialah keberkatan kepada rezeki. Selain dari menjaga halal dan haram, kita perlu menjaga soal adab di dalam mencari rezeki.

Ada tiga tanda keberkatan pada rezeki seseorang itu:-

1. Rezeki itu membawanya kepada keadaan yang lebih baik. Semakin banyak rezeki semakin pemurah, semakin selalu ke Mekah, semakin menunaikan zakat. Ramai orang yang semakin ada rezeki semakin jauh dari Allah. Semakin kaya semakin simpan perempuan, semakin sombong dan sebagainya.

2. Semakin ada rezeki semakin tenang. Ini kerana keperluan kita telah dicukupkan. Orang yang hiang keberkatan pada rezekinya tidak akan tenang. Ramai orang yang mencarinya pun tidak tenang, mencarinya takut tak dapat. Dah dapat pun tak tenang, dah dapat takut hilang, membelanjakannya pun tak tenang, membelanjakannya takut habis. Akhirnya, rezeki bukannya membawa ketenangan tetapi semakin merungsingkannya.

3. Rezki yang ada keberkatan membawa kepada kecukupan. Orang yang hilang keberkatan rezekinya, semakin banyak semakin rasa tak cukup. Semakin ada rumah semakin nak rumah lagi. Ini yang Nabi saw sebut

“jika anak Adam ada dua lembah dari emas maka dia akan tetap mengharapkan yang ketiga (kerana rasa kurang) dan tidak akan mencukupkan perut anak Adam melainkan tanah (kematiannya)”

Melihat itik dan burung penghijrah, mengingatkan kita mengenai percaturan rezeki dari Allah. Hari ini kita tanya diri saya, adakah rezeki kita semakin membuatkan kita tenang atau semakin membuatkan rungsing mengenainya.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad Abdullah
308, Hostel Kahovskaya Moscow Medical Akademi
27 Mac 09 jam 8.00 pagi
Sungai Zayandeh Rud di Isfahan Iran
Jambatan Sio Sieh Pol
Volga River (Sungai Moscow)
Burung Penghijrah
Itik-itik penghijrah


Manusia selalu lupa bahawa yang membuatkan dia rasa tidak cukup ialah sifat tamaknya. Dengan sentiasa bersyukur, kita akan meraskan bahawa anugerah itu sangat berharga walaupun sedikit.

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...