Tuesday, March 3, 2009

Tarbiah Dan Dakwah 14 – Realiti Kita Dan Rasullullah

Esok 4 Febuari, insyaAllah, semua pembaca jika ada kelapangan, dijemput untuk menghadiri satu program di Yayasan Restu bermula jam 9.00 pagi. Program ini ialah satu program sempena dengan Maulid Nabi. Satu ceramah mengenai Nabi bertajuk "kekasih Allah mencintai kita".

Program ini dibawakan oleh Sahabat Restu, Bil Hikmah Production dan ALC Arabic Language & Consultancy.

Pendekatan ceramah pada hari esok akan disulamkan dengan persembahan multi media.

Sempena dengan kehadiran musim Maulid ini, mari kita renung sejenak, kita muhasabah diri kita. Kita yang selalu mengatakan cintakan Islam dan Nabi, adakah secara realitinya kita mencintainya dan mengikut apa yang baginda ajarkan. Saya ingin mengajak pembaca mengembara sebentar pada hari ini.


Cuba kita bayangkan, katakanlah, dengan seizin Allah, rumah kita didatangi dengan satu rombongan. Katakahlah, rombongan itu adalah rombongan Nabi saw. Baginda datang dan tiba-tiba muncul mengetuk pintu rumah kita.

Baginda datang dengan senyuman kasihnya, dengan serinya wajah baginda, berdiri di muka pintu rumah kita, Apa perasaan kita?

Sudah tentulah kita orang yang paling bahagia kerana banyak-banyak rumah, baginda mahu dan sudi menziarahi rumah kita. Jika diizin Allah, sudah tentu kita akan memeluk baginda beliau erat-erat dan lantas mempersilakan baginda masuk ke ruang tamu kita.

Kemudian, sudah tentu kita akan meminta dengan bersungguh-sungguh agar Rasulullah SAW yang mulia ini sudi bertamu beberapa hari di rumah kita. Baginda tentu tersenyum.

Tetapi sebelum itu, barangkali kita akan meminta Rasulullah SAW menunggu sebentar di depan pintu kerana kita teringat susunan CD yang berbagai-bagai yang mungkin ada yang 18 sx yang ada di ruang tamu. Sudah tentu kita akan tergesa-gesa mengemaskan cd ini dan cepat-cepat meyorokkannya di belakang almari TV. Kita susun buku-buku agama untuk melindungi cd ini dari kelihatan. Baginda tentu tetap tersenyum memerhatikan kita.

Kemudian, kita menjemput baginda masuk, tapi sebelum itu, kita teringat pula gambar-gambar wanita setengah telanjang yang kita pasang dalam rumah kita. Mungkin di bilik anak kita, mungkin gambar-gambar penyanyi yang membuka sana dan sini. Kita akan meminta baginda menunggu lagi sebentar, cepat-cepat kita memindahkan semua gambar ini, kita cabut dan letaknya di bawah katil atau cepat-cepat kita buang di belakang rumah kita. Barangkali kita akan menggantikannya dengan lafaz Allah dan Muhammad. Baginda tentu tetap tersenyum melihat gelagat kita.

Kemudian, kita mempersilakan Baginda masuk. Ketika Baginda melangkah masuk, barangkali kita teringat bahwa anak kita lebih hafal lagu-lagu barat daripada menghafal Selawat kepada Rasulullah SAW. Barangkali kita menjadi malu bahwa anak-anak kita tidak mengetahui sedikitpun sejarah dan sirah Rasulullah SAW kerana kita lupa dan lalai mengajar anak-anak kita.

Barangkali, anak kita balik tanpa memberi salam dan menghulurkan tangan bersalaman dengan tetamu yang hadir, barangkali anak kita akan memasang lagu dengan kuat dan sama-sama menyanyai. Baginda tentu tetap tersenyum.

Barangkali kita menjadi merasa malu jika anak kita lebih mengetahui nama penyanyi dan pelakon dari nama sahabat dann keluarga Rasulullah. Dia lebih kenal jenis-jens Ultraman dan nama anggota Power Rangers.

Kemudian, barangkali kita terpaksa menukar satu bilik mandi menjadi ruang solat. Barangkali, kita akan membasuh sejadah rumah kita yang telah lusuh dan tidak pernah berbasuh, barangkali kita akan meletakkan al-Quran yang telah lama tidak kita baca di bilik, yang kita tukar ke bilik sembahyang itu. Kita juga tentu menjadi malu kerana belum lancar lagi membaca al-Quran dan keluarga kita juga, sangat jarang membaca Al Qur'an.

Barangkali kita baru nak ingat di mana rumah anak yatim. Malu kita jika tidak dapat menjawab jika baginda bertanya mengenainya. Kita tahu baginda amat kasih pada anak yatim sedangkan kita tidak pernah pun tahu kewujudan anak yatim di sekeliling kita. Ini belum lagi mengenai jiran yang kita tidak mengenal antara satu sama lain.

Barangkali kita teringat bahawa isteri dan anak perempuan kita tidak memiliki pakaian yang sempurna untuk menutup aurat bila berhadapan dengan Rasulullah SAW. Beliau tentu tersenyum melihat kerut dahi kita yang sedang berfikir dengan rasa bersalah.

Ini belum lagi koleksi komik, majalah artis, majalah fasyen dan buku-buku moden yang kita terlalu agungkan berbanding kitab akhlak dan agama. Belum lagi koleksi kaset dan CD kita dan anak-anak kita. Belum lagi koleksi karaoke, mana kita hendak sorokkan semua koleksi ini demi menghormati junjungan kita ?

Barangkali kita menjadi malu kerana rumah kita dibina dengan duit riba, kereta kita yang besar dengan harta rasuah. Rumah kita penuh dengan barang-barang pejabat yang kita angkut bawa balik. Kertas pejabat, pen pejabat, klip kertas pejabat.

Belum lagi sikap kita yang tidak pernah ke masjid meskipun azan berbunyi. Pada saat azan Maghrib keluarga kita sibuk di depan TV, kadang kala waktu itu barulah hendak keluar ke pasar malam.

Barangkali kita menjadi malu kerana kita menghabiskan hampir seluruh waktu kita untuk mencari kekayaan dengan melupakan masa yang perlu diuntukkan pada keluarga, duduk mendidik mereka. Kita buru kesenangan duniawi hingga tipu harta orang lain, tipu harta pusaka, tipu amanah orang lain. Baginda tentu terus tersenyum pada kita.
Bayangkan apabila Rasulullah SAW tiba-tiba muncul di depan rumah kita, Apa yang akan kita lakukan? Masihkah kita akan memeluk junjungan kita dan mempersilakan baginda masuk dan menginap di rumah kita, atau akhirnya, dengan berat hati, kita akan menolak Baginda bertamu di rumah kita kerana kedatangan baginda meyebabkan kita terlalu penat untuk mengemaskan itu dan ini.

Akhirnya, mungkin kita akan berkata,

"Maafkan kami Ya Rasulullah, nanti saya hantarkan ke hotel berdekatan ye..". Baginda akan tetap tersenyum melihat kita. Baginda tetapi tersenyum melihat kita umat yang sangat dikasihi ini, baginda tetapi terseyum, tetapi, senyum yang bagaimana? Senyum pilu, senyum sedih dan senyum getir...

Betapa malunya kita yang sering mengatakan aku cintakan Islam dan cintakan Nabi tetapi realitinya, kita tahu apa yang kita buat.

Sekadar renungan. Mari sama-sama meningkatkan diri kita. Semoga, niat yang baik diperbaiki oleh Allah.

Selamat mengingati Nabi, ingatlah, kekasih Allah, mencintai kita.

Sekali lagi, dijemput untuk kita menghadiri program esok.

Ya Allah, bimbinglah kami semua….

4 comments:

faridah said...

Salam.apa hukumnya menyuntuk ubat perancang keluarga untuk mengelak daripada mengandung bagi tujuan sambung belajar?

FauzyCaterers said...

Assalammualaikum....
Saya ada mengambil tender-tender mencuci longkang dikawasan perumahan. kerja-kerja tersebut saya perolehi drpd kontraktor yg besar (main contractor), sy hanya menjadi sub-kontraktor sahaja... dan dibayar mengikut persetujuan antara sy dan Main-contractor... bukan dibayar mengikut harga yg dibayar oleh Majlis Bandaraya kpd Main-Contractor. Sy tiada kena-mengena langsung ttg urusan mendapatkan projek2 drpd Majlis.

Sekarang sy mendapat tahu projek-projek yg diluluskan oleh Majlis Bandaraya kpd Main-contractor tersebut adalah melalui cara melobi pihak atasan majlis bandaraya...dgn memberi sejumlah wang kpd mereka..(bukti sahih)

soalan..
1)Adakah melobi utk mendapatan projek seperti memberi rasuah..?
2) Adakah pendapatan saya halal... ?
3) Apakah yg harus sy buat...?

Shahabudeen Jalil said...

orang dok tanya soalan nie dah jadi serabut.. kat mana2 pun diorang tanya. kat shoutbox dan kat sini.

Ustaz kena buat sistem, mintak diorang emailkan. Ini lebih baik dan sistematik. Sekurang-kurangnya orang yang ingin bertanya pun tak perlu malu dan berlapik2. Ustaz boleh jawab soalan tu dan letak jawapan kat umum setelah ubah identiti soalan.

Orang nak berak pun ada tempatnya ustaz. Takkan kat berak merata-rata. Orang2 ini perlu dibela.

OK.. balik kepada artikel di atas. Bagus artikel nie. Terima kasih.

Nurhani Salwa Binti Jamaluddin said...

Insyaallah,

I'll be there..