Sunday, March 22, 2009

Universiti Kehidupan 45 - Inside Russian

Kita akan berkongsi beberapa perkara mengenai cara berfikir orang Rusia. Pada 19 Mac 09, saya bersama pelajar saya dan Dr Yufgenia membicarakan mengenai Malaysia. Ada beberapa teks yang dibincangkan.

Kelas yang hampir tiga jam itu berlanjutan kepada perkara yang di luar teks. Para pelajar saya dan Dr Yufgenia bertanyakan pada saya mengenai kepercayaan lama orang Melayu.

Kesempatan ini, saya gunakan untuk bertanya perkara yang sama iaitu mengenai kebiasaan dan kepercayaan orang Rusia.

Kebanyakkan mereka suka cerita Hindustan selain cerita dari Rusia sendiri. Mereka semua bersepakat mengatakan bahawa cerita-cerita dari US adalah cerita-cerita bodah.

Salah seorang dari pelajar saya Serge berkata:-

“Tapi, saya memang suka beberapa cerita US”.

Dr Yufgenia berkata,

“tapikan, cerita dari US semuanya bodoh”

Serge menjawab selamba

“ya.. saya suka cerita-cerita yang bodoh”.

Semua yang ada di dalam kelas ketawa besar.

“Ada yang suka cerita hantu?” Tanya saya

Ada di kalangan mereka yang suka dan ramai yang tak suka.

“Di sini, jika beragama Kristian akan percaya pada hantu, tapi, kalau orang yang moden, dia tidak akan percaya”, Dr. Yufgenia mencelah.

Kemudian, Dr. Yufgenia mula bercerita mengenai kepercayaan dan kebiasaan orang di Rusia ini.

Kebiasaannya, orang di sini, jika pada waktu malam, mereka akan menutup semua bekas-bekas air. Jika tidak dapat penutup yang sempurna, mereka akan meletakkan kayu di atas bekas ini. Mereka percaya, makhluk ghaib akan masuk mengkotori air ini jika tidak ditutup.

Di gereja pula, terdapat air suci. Kadang-kala di sesetengah gereja terdapat mata airnya. Mereka percaya, air ini boleh bantu sembuhkan penyakit. Jadi, ada hari-hari tertentu, mereka akan datang untuk mengambil air suci ini dari gereja.

Dr Yufgenia menyambung lagi.

Kebiasaan di sini, jika mereka hendak pergi berjauhan, setelah mengemaskan barang, mereka semua akan duduk sebentar seolah-oleh bertafakkur. Ia supaya perjalanan ini selamat. Amalan ini ada di tengah masyarakat Rusia walaupun orang yang tidak percaya pada agama.

Mereka akan duduk sebentar walaupun kadang-kala dengan keadaan bergurau.

“Ya.. saya kalau mahu pergi kelas pun akan duduk sekejap, kadang-kala duduk sekejap dan tertidur, sebab itu datang kelas lambat” Serge mencelah.

Semua sekelas ketawa.

“Serius”, Dr. Yufgenia meninggikan suaranya.

Dr. Yufgenia menyambung lagi, jika kita di dalam perjalanan ke mana-mana, kita terserempak dengan kucing hitam, tandanya perjalanan itu tidak baik.

Jika kita memulakan perjalanan dan terserempak orang membawa bekas yang kosong, maka ia juga tanda tidak baik. Sebaliknya, jika terserempak dengan orang membawa bekas yang penuh, maka itu petanda perjalanan itu baik.

“Bagaimana pula dengan kematian”, tanya saya.

Dr Yufgenia memberi respons pada soalan saya,

Di sini kalau orang mati, dia akan diuruskan mengikut agama masing-masing sama ada kristian, Islam, budha. Kalau atheis, dia akan ikut cara kristian.

Selalunya, mereka akan meletakkan gambar dan letakkan segelas vodka dan sebuku roti hitam. Mereka percaya roh orang yang mati akan balik dan minum serta makan roti ini.

Setelah majlis pengebumian selesai, semua orang akan datang ke rumah si mati dan akan ada ada hidangan untuk dimakan sebagai ingatan.

Mereka akan buat majlis ingatan mati pada hari pertama, kesembilan dan hari keempat puluh. Kemudian, setiap setahun sekali akan diadakan majlis ingatan oleh keluarga.

Perkara ini diamalkan walaupun zaman komunis yang mengharamkan agama. Mereka datang untuk sama-sama merasakan kesedihan.

Berkenaan dengan budaya membaca, Dr Yufgenia menerangkan, anak-anak muda sekarang sudah kurang membaca. Orang lama memang amat suka membaca. Setiap rumah akan ada mini perpustakaan walapun dari keluarga yang tidak berpelajaran tinggi.

“Anak muda sekarang baca internet,” Serge sekali lagi menyampuk dengan suara nakalnya.

“Awak suka membaca Dash”, tanya Dr Yufgenia pada seorang pelajar perempuan.

Ya, suka, saya suka baca novel.

Di sini, novel menjadi bacaan yang digemari. Kualiti novel juga bagus. Ia mengajak pembaca berfikir secara kritis.

“Okey, kelas di sambung esok.” Kata Dr. Yufgenia. “Tolong siapkan latihan nombor sebelas.”

Bagi kita orang Melayu, kita juga mempunyai kepercayaan-kepercayaan tertentu. Tetapi, Islam membersihkan kepercayaan yang karut dan membentuk keimanan.

Keimanan yang tinggi menyebabkan kita tidak akan rasa takut dan gentar kepada keadaan sekeliling. Ini kerana Allah yang empunya mudharat dan manfaat. Sekalipun berkumpul orang di timur dan di barat untuk memudharatkan kita, jika tidak diizinkan Allah, maka ia tidak akan berlaku.

Sekalipun berkumpul orang di timur dan di barat untuk menyelamatkan kita, jika tidak diizinkan Allah, maka ia tidak akan berlaku.

Semua dari Allah dan kepada Allah kita berserah. Jika mengimani perkara ini, maka hilanglah rasa takut dan bimbang dan akan lahirlah rasa berani yang luar biasa. Berani kerana segalanya dari Allah dan Allah tidak akan menzalimi hambanya.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
22 Mac 09

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...