Thursday, March 26, 2009

Universiti Kehidupan 49 - Resam Kopi

Tiga hari sebelum saya datang ke Moscow ini, saya telah di beri taklimat oleh seorang gadis Rusia yang fasih berbahasa Melayu. Namanya Olga. Dia belajar di Malaysia di peringkat Master sekarang. Dia menyenaraikan perkara-perkara penting yang perlu saya bersedia dan tahu sebelum berangkat. Di akhir pertemuan, dia memberitahu saya,

“Abang Muhamad, anda akan rasa sungguh gembira dalam dua minggu, selepas dua minggu duduk di Rusia, anda akan rasa mahu bunuh semua orang” kata Olga.

Saya tergelak besar pada ketika itu,

“Takkanlah sampai macam tu sekali,” bisik hati saya.

Ketika saya menjejakkan kaki di sini, saya bertanya dengan Dr Tatiana.

“Dr, orang dekat sini bagaimana ye, kenapa semua orang cakap kena hati-hati di sini”

Dr Tatiana memberi respons,

“Ya!, kena lebih berhati-hati, bahaya ada di mana-mana. Di Malaysia juga ada bahawa. Sewaktu saya di Malaysia, saya juga pernah kehilangan barang saya.”

“orang sini tidak peramah, tidak suka tegur orang, ramai polis-polis palsu bla..bla..bla..”, Dr Tatiana menyambung taklimat di masa kehadiran saya dua minggu yang lalu.

Ketika saya mula mengenali adik-adik mahasiswa di sini, mereka juga mengatakan perkara yang sama:-

“Di sini kami selalu bertekak, orang sini banyak hal le, kena jadi brutal sikit kat sini,” jelas mereka.

Pagi Rabu 25 Mac 09, saya menyedari bahawa saya kehilangan hampir seluruh duit saya. Hari ini genap dua minggu saya di sini. Saya teringatkan kata-kata Olga sebelum saya datang ke sini. Saya teringat kata-kata Dr Tatiana sewaktu saya sampai di sini. Saya teringat kata-kata adik-adik kat sini.

Hari ini, Rabu 25 Mac, 2009, Saya datang ke kelas lambat. Kelas sepatutnya bermula jam 10.30. Saya sampai di universiti hampir jam 12. Saya menguruskan bagaimana ingin mengirimkan duit dari Malaysia.

Sampai di kelas, Dr. Tatiana terus bertanya saya,

“kenapa datang lambat?

Saya terus memberitahu kepadanya peristiwa yang menimpa saya.

Dr. Tatiana sangat terkejut. Ia meluahkan rasa kesalnya terhadap peristiwa yang berlaku. Rupanya hari ini, dia telah membuat perancangan. Saya, Helmi dan seorang murid tahun satu akan menonton persembahan teater klasik Rusia di Kremlin State Teater. Satu cerita rakyat yang dilakonkan di atas pentas. Dia mahu saya juga memahami budaya Rusia.

Habis persembahan, saya balik ke Universiti. Dr Tatiana memberikan saya alaun pengajaran saya di sini.

“Alhamdulillah, tengah kering macam ni, Allah aturkan alaun mengajar saya,” bisik hati saya.

Saya mendapat alaun setiap seminggu. Rabu lepas pun dapat juga. Barang kali, di sini, kalau kerja jemputan macam ni, gajinya seminggu sekali.

Dr Tatiana kembali menasihati saya, orang Rusia ni macam ni, macam ni, Muhamad kena buat tak tahu kat sini, bla..bla.. bla..

Ketika saya telah sampai di tempat penginapan saya, Dr Tatiana menghubungi saya. Dia menyambung lagi nasihatnya kepada saya.

“Hai.. macam mak-mak pulak dah,” kata Helmi pada saya.

Ramai orang menasihati saya di sini, yang pelik-pelik pun ada. Agym, sahabat saya dari Kurgistan, memberi tahu saya, di sini perlu jadi macam mafia. Barulah selamat.

Saya cuba mengenang kembali sirah Nabi. Pernahkah Rasullullah menjadi ganas setelah baginda di aniaya. Pernahkah Rasullullah jadi gengsters setelah baginda di baling di Taif. Pernahkah Rasullullah jadi Mafia setelah baginda di pulaukan.

Sepanjang tulisan sirah yang saya baca, Rasullullah tidak pernah berubah kerana keadaan. Tetapi semakin diuji baginda akan semakin rapat dengan Allah. Kemudian, Rasullullah bijak mengadaptasi sekelilingnya hingga sekeliling berubah mengikutnya.

Saya rasa orang Arab zaman jahiliyyah lebih keras, jahat dan ganas berbanding orang Moscow sekarang. Ini kerana, ketika zaman Nabi, tertutup pintu kebaikan pada mereka. Mereka tak tahu langsung bagaimana nak jadi baik.

Mereka merasakan perbuatan jahat itu adalah baik. Paling kurang orang sekarang, kalau buat jahat pun, dia tahu dia buat jahat. Kebenaran itu nampak dan dapat dirasakannya.

Kita boleh memilih untuk berubah dengan keadaan. Tetapi di dalam Islam, kita disuruh mengadaptasikan keadaan sekeliling dalam diri kita. Semua keadaan perlu dilalui dengan iman dan bukan kita lari dari hakikat kehidupan.

Mari kita lihat resam perkara di bawah.

Kita lihat resam telur. Pada asalnya telur adalah cair. Ketika telur diletak ke dalam rebusan air panas, ia akan berubah menjadi pejal. Maknanya, yang cair telah menjadi keras. Telur yang telah menjadi pejal tadi telah berubah tanpa merubah keadaan air

Kita lihat pula resam kentang. Resam kentang ialah keras. Ketika kentang diletakkan di dalam rebusan air panas, ia juga bertukar. Kentang telah menjadi lembut dan boleh dilenyek. Maknanya dari yang keras menjadi lembut. Ketang menjadi keras tanpa mengubah apa-apa pada air.

Sekarang, mari kita lihat pula resam kopi. Ketika kopi diletakkan ke dalam rebusan air, kopi akan meresap dan mengubah air. Ia akan merubah air menjadi hitam. Ia akan mengeluarkan bau harum kopi hingga membuatkan seseorang itu selera untuk meminumnya. Terbau air kopi orang akan teringat biskut kering, ubi rebus bersama sambal ikan bilis. Orang akan menghirup kopi dengan selera lebih-lebih lagi ketika hujan. Kopi telah merubah air menjadi air kopi.

Ketika kita menghadapi ujian hidup, kita boleh memilih untuk berubah menjadi orang yang keras, ganas, samseng. Tapi apakah ia akan menjadikan kita semakin baik dan sekeliling kita juga menjadi lebih baik.

Kita juga boleh memilih untuk berubah menjadi lemah, kecut, takut, menyendiri, murung. Tapi apakah ia akan membuatkan kita bahagia dan keadaan sekeliling kita lebih baik.

Cara terbaik ialah harungi masalah itu dengan berani, tidak putus asa, tidak mengeluh, tingkat dan lipat gandakan usaha, maksimakan kerja, tabahkan hati. Merubah keadaan sekeliling.

Susah! ya memang susah, dalam susah kita membina sesuatu yang lebih hebat. Bukan menjadi ganas tanpa membina atau menjadi lemah tanpa usaha.

Rasullulah di baling di taif, adakah Rasullullah kemudian lari merajuk dalam gua. Dirancang untuk mengIslamkan Taif. Sepuluh tahun setelah peristiwa Taif, bumi itu dapat di Islamkan.

Rasullullah dipulau di Mekah, apakah Rasullulah bertukar menjadi ganas? Tidak, malahan dirancang untuk merubah keadaan, lapan tahun setelah peristiwa itu, Mekah dapat diIslamkan.

Utusan Rasullullah ke Parsi dihina. Apakah Rasullulah menjadi marah-marah, membuku tak puas hati, membenci setiap orang Parsi? Tidak. Dirancang pasukan sahabat untuk mengIslamkan Parsi. Tidak sampai tujuh tahun dari kewafatan Nabi, Parsi jatuh ke tangan Islam.

Utusan Rasullullah ke Rom telah dibunuh, apakah Rasullullah sedih dan duduk bilik menyendiri? Apakah baginda menjadi kecut dan takut? Tidak. Dirancang dan diutus pasukan sahabat ke Muktah. Hasil pasukan pertama ini, tidak sampai 10 tahun dari kewafatan Nabi, satu persatu, jajahan Rom dapat di Islamkan.

Cuba lihat resam kopi, meresap dan merubah keadaan bukan keadaan yang merubah kita.

Oleh yang demikian, walau apa pun yang kita lalui, tabahkan hati, buat perancangan, tingkatkan usaha, gandakan kerja, jadilah resam kopi, meresap dan merubah, bukan diubah menjadi ganas atau menjadi pengecut.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad Abdullah
308, Hostel Kahovskaya Moscow Medical Akademi
26 Mac 09 jam 8.30 pagi

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum, ya ustaz!
Terngiang-ngiang di kepala saya surah an-Nahl 16:126 waktu membaca post ustaz.

"Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang yang sabar"

Indah bangat kat al-Qur'an tuh?
Wallahualam..

Naftalena 'Nafty' said...

Assalamualaikum Ustaz,

Salam sejahtera dari Desaria. tentunya Ustaz sibuk dengan kuliah dan kerja harian. Tentunya menggembirakan hendaknya.

Kami tumpang gembira dapat melihat gambar2 yang di blog ini.

Jumpa lain kali.

Salam mesra dari Abg Lan~

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...