Saya mempunyai temu janji dengan Dr Liubov Goriaeva, Senior Researcher, Written Heritage Department, Institute of Oriental Studies, Russian Academy of Sciences. Dia ingin bertemu saya ketika mengetahui saya mengajar di Moscow State Universiti. Dia mahu menunjukkan kepada saya hasil kajian dan terjemahan yang telah dibuatnya mengenai Nusantara.
Temujanji kami pada pukul 4.00 petang. Saya bersama yang lain menaiki Metro dan berhenti di stesyen Kuznetski Most. Dari stesyen ini kami mencari Russian Academy of Sciences. Tepat pukul 4 kami sampai di perkarangan Institut.
Dr Liubov Goriaeva sedang menuggu kami di ruang legar institut.
Kami memasuki bahagian Institut Ketimuran universiti ini. Kami melalui lorong-lorang bilik kajian dan pensyarah. Dr. Liubov menunjukkan isyarat perlahan-perlahan ketika kami melalui satu ruang di sini. Ini kerana, ada beberapa pengkaji yang sedang membuat kerja di dalamnya.
Ada mini perpustakaan mengenai manuskrip dari timur. Kebanyakkannya adalah buku-buku asal. Ada dua orang di dalam perpustakaan mini ini.
Di institut Ketimuran ini, mereka bukan sahaja mengkaji mengenai Nusantara, malahan Negara Islam lain seperti Iran. Saya sempat menjeling beberapa tulisan-tulisan mengenainya.
Saya di ajak masuk ke bilik Dr. Liubov. Beliau adalah orang yang menterjemahkan manuskrip terakhir Melayu yang berada di Perpustakaan Asiatik St. Petersburg.
“Pada masa saya menterjemahkan manusksrip ini, saya menyalinnya dengan tangan saya. Kemudian, di rumah, barulah saya menaipkan kembali”, kata Dr. Liubov yang fasih berbahasa Melayu, Dr Liubov memulakan perbualan.
“Saya dan institut saya telah mendapat copyright di dalam menterjemahkan manskrip ini,” jelasnya.
Menurutnya, orang Melayu mempunyai teks-teks yang unik yang tidak diketahui sendiri oleh orang Melayu. Di St. Petersburg sahaja ada 9 atau 10 manuskrip mengenai Melayu.
“Ketika melihat manuskrip Mahakaramah, saya rasa kagum dan terus berusah untuk menterjemahkannya di dalam bahasa Rusia,” katanya.
Ia mengambil masa lebih sepuluh tahun untuk menyempurnakannya.
Ketika saya bertanya, “kenapa manuskirp Melayu banyak terdapat di merata-rata tempat?”,
Beliau menyatakan, ada perhatian yang besar terhadap Nusantara hingga menyebabkan buku-buku lama ini dibawa ke pusat-pusat kajian di Eropah dan Rusia.
Beliau juga mengatakan, “ada satu manuskrip kecil mengenai Melayu yang terdapat di dalam simpanan Kementerian Luar Negeri di sini, tetapi saya belum dapat melihatnya lagi.”
Kajian Nusantara sekarang lebih kepada interaksi moden seperti perlancongan dan kegiatan praktik. Dahulu ia dikaji kerana ingin memahami Nusantara.
Saya terus mengajukan soalan tentang Nusantara. Ia bertujuan untuk mengetahui apa yang Dr. Liubov tahu.
"Dahulu, kira-kira 50 tahun dahulu, ada institut di US yang mendalami mengenai Nusantara", Dr. Liubov menyambung.
Beliau diam seketika untuk mengingati nama institut ini. Kemudian beliau menyambung kembali,
“Ya.. Namanya Itaka Kornell University, beliau memberitahu dengan sedikit senyuman.
Beliau menegaskan, “Bahasa Melayu merupakan bahasa yang bagus sekali, jika tidak, masakan ia pernah menjadi lingua frangka( bahasa perantaraan) di Nusantara dan kawasan-kawasan yang lain. Inisiatif saya menterjemahkan manuskip Melayu untuk kegunaan di Malaysia dan Indonesia."
Banyak lagi buku-buku Melayu lama dari Nusantara di bawa ke Eropah. Antaranya juga terdapat di Royal Asiatik di London.
Nama Richard Olaf Winstedt sangat terkenal di seluruh dunia sebagai orang yang mengkaji dunia Melayu. Dia banyak menterjemahkan buku Melayu lama dengan memasukkan komentar dan kajiannya sekali.
Saya juga pernah melihat kitab Taj Salatin yang dibawa oleh Roordar Van Eysinga bertarikh 1827 iaitu satu manuskrip yang lebih awal dari salinan Taj Salatin yang berada di Malaysia yang diterjemahkan oleh Khalid Hussain pada tahun 1960an. Manuskrip yang ada di Eropah lebih tebal dan ada bab-bab yang di Malaysia tidak ada.
Kami semua terpegun dengan khazanah Melayu yang hilang ini.
Arzul mencuit tangan saya dan berbisik:-
“Kalau macam tu, betullah apa yang ustaz cakap, khazanah Melayu banyak ada di tangan orang barat. Kita sendiri pun tidak tahu”
Saya menyambung:-
“Memang, sejarah kita banyak yang disembunyikan atau hilang. Jika kita tidak jumpa Dr. Liubov hari ini, kita pun tak akan tahu manuskrip terakhir Melayu ada di St. Petersburg.”
Begitulah penjajah membawa balik segala khazanah kita. Bangsa Melayu yang sinonim dengan Islam dihilangkan jati dirinya hingga mereka tidak tahu bahawa mereka pernah menjadi bangsa yang hebat.
Kita adalah anak-anak singa yang tidak tahu bahawa kita anak singa. Kita dibesarkan dalam keluarga kucing dan kita ingat kita adalah kucing.
Dengan kejahilan ini, kita selalu rendah diri. Kita rasa kita bangsa lemah dan tidak bermaya. Rambut singa yang tumbuh disekeliling leher dianggap satu yang memalukan kerana kucing tidak ada rambut seperti itu.
Bangsa Melayu merupakan adunan bagi bangsa-bangsa di dunia. Islam akan balik dari sebelah timur. Perkara ini yang telah dikaji. Pihak barat telah merancang untuk menggagalkan jadual Allah ini.
Bermula dengan serangan 1511 ke Melaka, dengan slogan Gold (kekayaan) Glory (kemenangan) dan Gospel (kritianisasi), mereka mengganyang Nusantara. Belanda ke bahagian Indonesia dan Spanyol ke bahagian Filipina. Sultan Sulaiman di Manila syahid di dalam mempertahankan kerajaan Islam di sana, Sultan Saiful Rijal berjaya mempertahankan kerajaan Islam Brunei, Sultan Iskandar Muda berjaya mempertahankan Acheh dan Sultan Kudrat berjaya mempertahankan Mindanao.
Sebanyak dua buah kapal khazanah Melayu Melaka di bawa balik ke Spanyol. Diberitahu kepada kita kapal ini tenggelam. Akhirnya, kita tidak tahu asal usul bangsa ini.
Hari ini, saya bersama empat orang yang lain menyaksikan penerangan Dr. Liubov mengenai khazanah Melayu yang merata-rata berada di Negara barat. Teori pembenaman sejarah Melayu agar orang Melayu tidak mengenal bangsanya kami saksikan hari ini.
Hati kami terharu. Terbayang, betapa pahlawan-pahlawan Melayu berjuang dan gugur syahid di dalam menetang penjajah satu ketika dahulu.Terharu, membayangkan banyak sejarah kita yang bawa keluar dan akhirnya, kita sendiri tidak tahu kewujudannya.
Setelah empat ratus tahun ia tersembunyi. Kita sedar betapa, jika orang jahil mengenai sejarah, maka dia akan mudah dicetak pemikirannya. Ramai orang Melayu yang hilang jati diri dan memaki bangsa sendiri.
Di akhir pertemuan, Dr. Liubov bermurah hati menghadiahkan pada kami terjemahan manuskrip buku Melayu terakhir yang dikajinya. Kami bergilir-gilir membawanya pulang ke tempat penginapan kami. Khiarul yang mula-mula membawanya, kemudian Nabil. Semua kami melangkah dengan semangat. Kami akan membawa balik buku ini ke tempat asalnya iaitu Nusantara. Biarpun hanya salinannya, tapi kami merasa bertuah kerana ia adalah penemuan sejarah yang hilang.
Buku ini membenarkan teori, banyak lagi khazanah mengenai bangsa kita Melayu yang berada di tangan orang barat. Banyak lagi sejarah kita yang tersembunyi dan banyak kehebatan kita yang kita tidak kita ketahui.
Semoga dengan penemuan ini, membuatkan kita lebih menghargai diri kita khususnya dari Nusantara. Dan semoga, yang pernah merasa rendah diri menjadi orang Melayu merubah paradigma ini.
Sesungguhnya, kita adalah anak-anak singa yang tidak mengetahui kita adalah singa.
“Universit Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad Abdullah
308, Hostel Kahovskaya Moscow Medical Akademi
24 Mac 09
Dua orang Oreintalis yang sedang membuat kajian ketimuran
Kami melihat kajian-kajian yang pernah dibuat oleh Dr Liubov Goriaeva, Senior Researcher, Written Heritage Department, Institute of Oriental Studies, Russian Academy of Sciences
4 comments:
Masyaallah ustaz, terharunya saya. semoga boleh kongsi buku tu nanti kalau ustaz buat salinan dan jual pun pasti ramai yang nak beli. seperti menjejak identiti yang hilang. semoga menjadi ikhtibar kepada Islam di Malaysia hari ini.
salam
wow hebat! selama 3 tahun saya dekat russia ni,sorang russian yg boleh cakap melayu pun saya x pnah jumpa.haha
betul tu ustaz...mcam dalam muntalaq; anak2 singa sudah jadi kijang.rajawali sudah jadi burung puyuh.
Salam. JazakALLAH atas perkongsian ilmu ini. Saya berminat untuk mendapatkan salinan manuskrip tersebut, sama ada dalam bentuk bahasa asal ataupun terjemahan. Email saya, budakmaster *at* yahoo *dot* com. Terima Kasih.
nice ustaz -
Post a Comment