Sunday, March 15, 2009

Universiti Kehidupan 36 - Belajar Menghargai

Satu ketika, saya pernah bertanyakan sebuah gambar di Kuala Lumpur.

“Berapa harga ini”, Tanya saya.

Penjual itu menjawab, “seni tidak boleh dinilai dengan wang ringgit, anda mahu bayar, hanyalah hadiah”.

Saya selalu teringatkan peristiwa ini. Ada perkara di dalam hidup kita ini, tidak boleh dinilaiakan dengan wang ringgit.

Ketika saya berada di Moscow, saya selalu melihat ukiran-ukiran bunga di stesyen Metro (kereta api bawah tanah).

Saya berfikir, “berapa gaji orang yang mengukir bunga-bunga ini?

Kemudian saya terfikir lagi, “kenapa ada orang yang sanggup membayar duit hanya untuk meletakkan ukuran seni bunga di sini. Kan banyak lagi boleh digunakan duit ini di tempat lain?

Ketika 3 orang murid saya, Shasa, Natasha dan Eliana mengajak saya berjalan sekitar Moscow, kami berjalan ke tempat-tempat seni. Ada orang melukis lukisan, ada orang bermain muzik. Ketika kami menaiki Metro, mereka mengatakan kepada saya,

“cantikkan bunga di sini, di stesyen sana pun ada, tapi bunganya lain”.

“Stesyen Metro di Moscow adalah yang paling cantik di dunia”, kata Eliana pada saya.

“Ya ya, di Prancis stesyen mereka tak cantik, saya pernah ke sana” Natasya pula mencelah.

“Sini penuh dengan ukiran dan bunga-bunga”, kata Shasa pula.

Baru saya perasan, ada orang yang menghargai kewujudan ukiran bunga di sini.

Tukang jahit, akan menghargai kehalusan jahitan di baju.

Tukang andam akan menghargai kehalusan dandanan.

Tukang besi akan menghargai halusnya ukiran sesebuah parang atau keris.

Saya bertanya soalan yang sama pada anak murid saya ini,

“adakah kecantikan dan seni yang dihargai itu boleh dinilai dengan wang”.

Mereka semua diam. Kemudian salah seorang mereka berkata,

“Boleh, cuba lihat model, dia terima wang banyak”.

“Adakah ia dihargai atau hanya menggunakannya sebagai bahan melakukan majalah”, kata saya.

Mereka diam lagi.

Setelah berbual panjang mengenai hal ini, akhirnya mereka bertiga mengatakan,

“Betullah, tidak semua perkara boleh dinilai dengan wang”.

“Kami tak belajar falsafah di universiti”, kata salah seorang dari mereka sambil tertawa kecil.

Jika kita melihat perkara disekeliling kita, sebenarnya ia penuh dengan kecantikan dan seni. Dari pada pakaian, tempat tinggal, makanan, kenderaan dan sebagainya.

Adakah kita menghargai seni yang ada di sekeliling kita. Jika kita menghargainya, maka nanti kita akan mula menghargai orang lain yang menghasilkan seni ini. Jika kita tidak melihat dengan mata hati, kita tidak akan menghargai apa-apa. Akhirnya, kita kurang menghargai orang lain.

Lihatlah sesuatu dengan rasa menghargai, nanti kita akan lebih menghargai diri kita dan diri orang lain. Yang lebih penting, kita akan menghargai hidup ini.

Dengan menghargai, timbullah sifat kasih terhadap sesuatu.

Sekarang cuba lihat pula tubuh badan kita.Allah yang menyuruh kita memerhati badan kita. Di dalam al-Quran, Allah berfirman:-

dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan? (az Zariyat ayat 21)

Begitu cantik dan halusnya kejadian kita manusia. Dari struktur bentuknya hinggalah kepada susunannya. Sangat sempurna, halus dan berseni. Berapa yang kita harus bayar pada Allah yang menjadikan hidung kita, mata kita, jantung kita, kaki kita dan sebagainya.

Pernahkah Allah menghantar bil buat kita untuk di nilaikan dengan wang?

Bukan sahaja tidak pernah, malahan diberi pula kita makan, minum. Udara Allah, tidak pernah ada bil. Berapa banyak kita ingin sedut, kita boleh sedut.

Adakah kita boleh nilaikan segala pemberian Allah ini. Allah tidak pernah suruh kita nilaikan. Allah hanya suruh kita hargai sahaja nikmat yang dianugerahkan. Di suruh kita syukur. Bersyukur salah satu jalan untuk menghargai nikmat. Malahan siapa yang bersyukur akan ditambah lagi nikmat yang ada. Allah berfirman:-

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Se- sungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (ni'mat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (ni'mat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". (surah Ibrahim ayat 7)

Sekarang, mari sama-sama kita tanya diri kita, bilakah kali terakhir kita lafazkan kesyukuran? Sama-sama kita jawab dan renungkan.

Sesungguhnya, tidak semua di dunia ini boleh di nilai dengan wang ringgit.

Memahami perkara ini akan menyebabkan kita lebih menghargai diri kita dan menghargai orang lain.

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
Muhamad Abdullah
Moscow

Bersama anak murid saya dan sebahagian pelajar Melayu di sini





Semoga kita lebih belajar untuk menghargai di dalam hidup ini.

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...