Saturday, July 11, 2009

al-Ijabah 11 - “Ustaz, bagaimana ingin membantu ye?”

“Dari Pihak MAIS, kita nak tengok dulu dokumen dan akaun. Jika tidak ada yang bantu, barulah nanti kami pertimbangkan permohonan bantuan,” Kata Ustazah Hafizah, pegawai dari bahagian Riqab, MAIS.

Saya memahami prosedur yang perlu diikuti untuk sesuatu permohonan. Walaupun agak ketat, ia bagi tujuan menjaga ketelusan amanah orang ramai. Tetapi, saya juga yakin, di hati kecil sahabat-sahabat kita dari MAIS, mereka juga mahu mengusahakan saudara-saudara seIslam kita dikeluarkan dari gereja ini secepat mungkin.

Kalau tidak masakan di akhir pertemuan, ketika semua ahli NGO tidak ada, Ustazah Hafizah berkata pada saya:-

“Ustaz, kalau ustaz yang jaga, insyaAllah saya akan sokong permohonan ini, saya tahu ustaz akan jaga amanah ini,” katanya.

Kalau tidak, masakan Ustazah Nurhani Salwa tiap-tiap hari ke sana kemari, bertemu dari yang atas hingga ke bawah untuk sama membantu. Hari ini, dia dan Ustazah Noraini Nordin, Ketua Audit Dalam, bahagian Audit MAIS, hampir sejam menelifon sana dan sini, membuat temu janji dan merancang, bagi menjayakan usaha ini.

Masa terus berlalu untuk maruah umat Islam.

Minggu depan 16 Julai 09, pihak gereja dengan kerjasama Majlis Aids Malaysia akan mengadakan satu program memperingati Hari Aids sedunia. Program akan dirasmikan oleh "orang besar" dari Kementerian Kesihatan di gereja ini. Adakah ini satu pengiktirafan buat mereka?

Masa terus berlalu. Apa yang kita buat?

Mmm, masih terus saling salah menyalah?

Masih terus mempertahankan diri dan berkeras bahawa, kita sudah buat banyak perkara?

Masih terus tidak merasakan ini satu perkara penting bagi maruah umat Islam.

“Ya Allah, apa kemampuan yang aku ada” bisik hati saya.

Anak Yatim al-Ijabah sendiri memerlukan komitment yang banyak. Sebulan tidak kurang dari RM 30 000 untuk itu.

Beberapa kedai yang saya ada hanya cukup untuk rumah anak yatim al-Ijabah. Jika mahu tambah lagi, saya pun tak tahu bagaimana.

Sahabat-sahabat yang ada? Ya, mereka juga bukan dari orang yang senang.

“Saya hanya penjual karipap dan barangan bundle” kata seorang kakak yang bersama mengusahakan perkara ini sambil air matanya mengalir.

Suasana dalam mesyuarat 7 Julai 09 lepas tiba-tiba menjadi sayu. Semua yang hadir terdiam dan tunduk.

“Tak apalah, Allah akan bantu”, kata saya menenangkan keadaan.

“Kita mulakan dengan mencari rumah dahulu” kata saya pada sahabat yang hadir.

“Abis, perbelanjaannya macam mana ustaz? “ salah seorang dari mereka bertanya saya.

“Cari rumah dulu kak, nanti kita akan usahakan,” jawab saya walaupun secara jujur, saya juga tidak tahu dari mana sumbernya.

Masa terus berlalu.

Alhamdulillah, hari ini, saya dan beberapa sahabat, kami telah menyetujui sebuah rumah. Sewanya RM 2300. Setakat ini, ruang rumah Semi-D ini, cukup untuk memulakan usaha ini.

Hari ini juga, Ustazah Noraini dari MAIS telah cuba mendapatkan katil-katil hospital dari PUSRAWI. Mudah-mudahan berjaya.

Ramai yang bertanya:-

“Ustaz, bagaimana ingin bersama-sama membantu?”

Setiap kali soalan itu diajukan, saya akan merenung panjang. Renungan itu kerana saya tidak mahu satu stigma,

"Kalau ustaz aje derma"

Tetapi akhirnya, saya rasa, patut juga ia diwar-warkan bersama.

“Beginilah. tolong bantu anak yatim al-Ijabah kita, agar saya boleh berikan tumpuan pada hal ini. Lebih baik perkara ini kita panjang-panjang bersama. Jika ada keperluan mendesak, saya akan war-warkan di dalam blog ini” kata saya.

InsyaAllah, untuk ketelusan, program perlindungan saudara seIslam kita yang HIV ini juga akan diletakkan di bawah naungan Yayasan al-Ijabah.

Bagaimana caranya?

InsyaAllah, dalam waktu dekat ini, saya akan memaparkan nombor akaun Yayasan al-Ijabah. Saya akan paparkan di blog ini jumlah terkumpul di dalam akaun setiap minggu. Dan saya akan tuliskan juga ke mana wang ini dibelanjakan. Agar seluruh dunia tahu secara telus.

Yang mungkin mahu poskan cek, boleh berbuat demikian di atas nama "Yayasan al-Ijabah". Nanti saya akan beritahu, alamat untuk diposkan.

Saya juga memerlukan sukarelawan bagi progam anak-anak Yatim al-Ijabah dan juga sukarelawan bagi program tempat perlindungan HIV ini.

Paling kurang, yang tidak mampu bersama-sama, doakan kami semua. Saya amat yakin dengan keajaiban doa dan telah banyak kali merasainya.

Sesiapa yang berminat, mari sama-sama kita usahakan. Jika Allah beri kemampuan untuk kita bersama-sama, sama ada dari sudut kewangan atau tenaga, kita juga memohon agar Allah berikan kita keikhlasan.

Jika usaha yang kita buat ini menjadikan kita rasa hebat dan sombong, semoga Allah menggantikannya dengan peluang amal yang lain, yang lebih menjadikan kita tawadhuk.

Kita mahu bertemu dengan Allah dengan sedikit usaha mencari keredhaannya, padahal, segala usaha juga di atas kehendakNya.

Semoga Allah memudahkan segalanya, untuk Islam dan umatnya, amin…

“Mencari Kepulangan Yang Diredhai”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
11 Julai 09, jam 1.00 pagi.
Alhamdulillah, hari ini, kita sudah menyetujui sebuah rumah untuk saudara-saudara seIslam kita
Rumah ini cukup untuk usaha permulaan. Semoga terus dipermudahkan Allah.

4 comments:

ss said...

salam,

ustaz, saya percaya ramai yg ingin membantu dari segi kewangan. Harap dapat ustaz dapat memberikan no akaun supaya projek ini dapat disegerakan meskipun saya paham pengurusan dana sebegini memerlukan ketelitian. Saya percaya ustaz mampu melakukannya dan menjadi leader dalam hal ini. teruskan perjuangan. mabruk..

Menakbar said...

Salam, saya try nak hulurkan bantuan guna Maybank2u tadi, tapi kena minta recipient id pula... Kalau ustaz bole beri apa2 no id/ic etc, bolehlah saya teruskan membantu, insyaALLAH...

azura abka said...

Assalammualaikum,

Ustaz saya berminat untuk menjadi sukarelawan di rumah anak2 yatim kelolaan ustaz. Bagaimana caranya?

uminorr said...

Aslmkm,saya ingin cadangkan disediakan kemudahan untuk disalorkan sumbangan bulanan,eg. potongan gaji.Moga usaha ini dipermudahkan serta mendapt redhaNya jua..Amin..

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...