Saturday, July 25, 2009

Diari 93 - Isu Muslim Di Gereja "Rumah Oh Rumah..."

"Baiklah, saya mahu perkara ini selesai dalam dua minggu", kata Dato' Khusrin ketika mempengerusikan mesyuarat mengenai rumah alternatif untuk pesakit HIV yang ditempatkan di gereja pada Khamis 16 Julai 09.

Yang hadir saling memandang antara satu sama lain. Saya hanya mengangkat kening, Hani hanya tersenyum.

"Tak kira, apa pun tarikhnya, yang penting kerja mesti berjalan" bisik hati saya.

Semenjak dari hari itu, saya dan sahabat-sahabat yang ada, ke sana dan ke mari mencari rumah.

Berbagai reaksi ketika mencari rumah ini. Ada yang pada mulanya bersetuju tetapi akhirnya tidak, ada yang bersetuju tetapi mahu tunggu kerana terpaksa membaik pulih rumah dan sebagainya.

Hinggalah pada hari Khamis 23 Julai 09 apabila pagi ini saya ada mesyuarat dengan Kak Liza di USJ 9.

"Ustaz, kak ada tengok satu rumah di PJ. Bagus, ada lapan bilik, sewanya RM 3700" kata Kak Liza pada saya.

"Cantik tu Kak, boleh tak kita tengok rumah tu pagi ni" kata saya.

"Ok, kak telifon ejen rumah tu sekarang" kata Kak Liza.

Tak lama selepas itu, ejen rumah memberikan respons.

"Ok, ustaz, pukul 9.30 di PJ" kata Kak Liza

Saya membelek jam ditangan. Sekarang menunjukkan jam 9.00 tepat.

"Kak, kita kena gerak sekarang ni, dah pukul 9.00" kata saya..

Kami dan beberapa orang lagi menaiki kereta melalui lebuh raya NKVE dan terus ke Petaling Jaya. Sesampainya di rumah ini, tuan rumah telah menunggu.

Kami diajak melihat rumah lapan bilik ini. Tempatnya memang sesuai.

"Kuranglah sikit sewa ni, kami bukan nak buat keuntungan, untuk rumah amal saja" kata saya pada tuan rumah berbangsa Cina ini.

"Ok lah, RM 3600," katanya.

"Ala, genapkan RM 3500 lah," kata saya pada tuan rumah ini.

"Oklah, oklah", katanya setelah berfikir sejenak.

Setelah selesai berbincang harga, ejen rumah sampai.

"Ok, nanti esok saya siapkan agreement," kata ejen rumah.

Jumaat 24 Julai 09, jam 5 petang. Saya menyiapkan cek bernilai RM 12 750, untuk sewa 2 + 1, deposit api air, dan pengurusan yang lain. Nilaian ini diberi pinjam oleh seorang Datin. InsyaAllah akan segera dipulangkan jika MAIS mula bersama-sama di dalam operasi ini.

Setelah menandatangani beberapa dokumen, ejen mula menyerahkan kunci pada saya.

"Alhamdulillah, di sini ia bermula" bisik hati saya.

Saya meminta Syamsul, anak buah mengambil kamera dan merakamkan detik ini.

"Ya, ia baru sahaja bermula", bisik hati saya.

Syukur pada Allah, yang telah memudahkan ia mula berjalan. Walaupun dimulakan dengan pinjaman, tak apalah, sekurang-kurangnya ia telah mula berjalan.

InsyaAllah, bermula esok, rumah akan dibersihkan. Minggu depan katil akan dimasukkan dengan izin Allah.

Cabaran seterusnya ialah, meyakinkan penghuni di gereja, kita boleh menyediakan pusat penjagaan yang baik buat mereka.

Jika semuanya berjalan lancar maka, mudah-mudahan, saudara seIslam kita akan dapat mula dikeluarkan.

Rumah ini bukan milik saya, bukan milik sahabat-sahabat yang membantu, bukan milik MAIS, tetapi milik semua orang Islam yang merasa bertanggung jawab untuk mengusahakannya.

Ia telah dimulakan, bermakna ia perlu diselesaikan. Kita tidak mahu dilebal sebagai satu umat yang hangat-hangat tahi ayam.

Kita mahu menjadi seperti umat terdahulu, satu umat yang sentiasa berjuang untuk meninggikan kalimah Allah.

Semoga, ia terus mendapat bantuan Allah dan mendapat sokongan dari semua. Yang penting, apa pun yang kita lakukan, keredhaan Allah yang diutamakan.

"Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan"

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
25 Julai 09 jam 12.20 tengah malam
Rumah lapan bilik di PJ
Tawar menawar harga sewa
Perjanjian untuk penyerahan kunci
Semoga semuanya terus dipermudahkan

6 comments:

nazrulshoppe said...

boleh ustaz bagi no akaun. kami akan membantu dari segi kewangan .terima kasih.

Hunny said...

Salam Ustaz

Way to go!!

Azarudin Bocheh said...

alhamdulillah...

acik jon @ azul said...

ALHAMDULLILLAH USTAZ

mamadamia21 said...

Alhamdullillah..akhirnya berjaya juga ustaz utk menyelamatkan saudara2 kita itu. Moga dengan bantuan dari rakan2 kita ini, Allah akan permudahkan segala urusan dan moga kalian dirahmamti dan dilimpahi rezeki.. amin..

Anonymous said...

ustaz...
baiknya datin yang bagi pinjamkan duit tu...mudah2an bila ustaz dah dapat bantuan dari MAIS nanti cepat2 bayar...jangan buat2 tak ingat pulak..allah murka tau..

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...