Sunday, July 5, 2009

al-Ijabah 8 - KITAB

Jumaat 3 Julai 09, jam 10 pagi, saya bertolak ke Pulau Pinang bersama tiga orang lagi sahabat. Ada dua tujuan saya ke Pulau Pinang ini. Pertama menziarahi Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (Kitab) Pulau Pinang, dan kedua menziarahi seorang bekas guru di Kampung Dodol Pulau Pinang.

Kami serombongan sampai ke KITAB selepas Jumaat lebih kurang jam 3 petang. Saya bertemu dengan Rektor Kitab, Dr. Mustafa Kassim.

Kami berbincang mengenai kerjasama pendidikan yang boleh dibuat antara anak-anak al-Ijabah dan kolej ini.

InsyaAllah, jika keputusan SPMnya ada, maka KITAB sedia memberikan tempat, untuk anak-anak al-Ijabah. Perbincangan berjalan dengan baik.

Kitab ialah sebuah kolej swasta yang telah beroperasi selama tiga tahun. Ia terletak betul-betul di sebelah Masjid Negeri Pulau Pinang.

Ia dimiliki sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP). Pengajian di sini adalah peringkat Diploma sebelum para pelajar boleh menyambung pelajarannya di tempat lain bagi peringkat Ijazah.

Di KITAB, terdapat tiga Kuliyyah iaitu Kuliyyah al-Quran, Kuliyyah Syariah dan Kuliyyah Kewangan Dan Perbankan.

Para pelajar akan diajar melalui tiga medium bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Syarat untuk memasuki KITAB ini, tidaklah tinggi. Pelajar yang mempunyai SPM dengan sekurang-kurangnya mendapat 3 kepujian dalam mana-mana matapelajaran, boleh diterima ke sini. Tempoh pengajian di sini ialah dua tahun setengah.

Dari segi pengambilannya pula, KITAB membuka tiga kali pengambilan iaitu pada Febuari, Mei dan Oktober.

Alhamdulillah, satu lagi perbincangan mengenai pendidikan anak-anak al-Ijabah dapat dilakukan.

Rumah al-Ijabah menitik beratkan pendidikan. InsyaAllah, sesiapa yang bersama kita di dalam Rumah al-Ijabah ini, kita akan uruskan pendidikan setinggi yang boleh.

Teruatamanya bagi anak-anak Yatim yang tidak mempunyai ayah. Kita mahu, mereka berjaya seperti mana orang yang ada ayah berjaya.

Semoga satu hari nanti mereka akan dapat mencurahkan bakti, bukan sahaja pada keluarga, malahan lebih dari itu iaitu untuk agama, bangsa dan negara.

Semoga pertemuan ini membuahkan kebaikan untuk anak-anak al-Ijabah.

"Mencari Kepulangan Yang Diredhai"

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Height
5 Julai 09, jam 3.50 petang.
Kereta api di jalan raya, -santai perjalanan ke Penang-
berbincang dengan Dr Mustafa

Kenangan sebelum berpisah

No comments:

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...