Sunday, July 12, 2009

Diari 86 - "Kami Dah Nak Putus Asa Dah Mendidik Mereka"

Sabtu 11 Julai 09, saya memenuhi undangan dari Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur, Bandar Tun Razak Kuala Lumpur. Ia sempena Hari Akademi 2009. Ceramah bertajuk “Peranan Ibu Bapa Di Dalam Kecemerlangan Anak-Anak”

Sesampainya di Sekolah ini, YDP, PIBG sedang berucap. Saya terus dibawa ke kerusi hadapan sekali.

Seorang guru duduk di sebelah saya.

“Ustaz, nanti sentuh sikit masalah disiplin pelajar ye, ibu bapa perlu bantu juga kami para guru di sini. Akhir-akhir ini, disiplin pelajar agak teruk”.

Guru ini mengeluarkan satu kertas dan menunjukkan senarai nama pelajar, kesalahan yang dilakukan dan hukuman yang telah dijalankan.

Saya melihat kertas ini. berhelai-helai dan agak panjang senarainya.

YDP PIBG, menamatkan ucapannya. Naik pula Puan Pengetua SMTKL membentangkan program-program yang dijalankan di sekolah ini.

Boleh dikatakan setiap minggu, ada saja program-program besar yang dibuat.

Saya melihat, di sekolah ini, pihak PIBG memberikan sokongan yang baik terhadap pihak sekolah. Keperluan-keperluan sekolah dipenuhi.

Program-program yang bernilai hingga puluhan ribu dapat dilaksanakan hasil sumbangan pihak PIBG. Sebab itulah SMTKL disenaraikan antara tiga sekolah terbaik di dalam kategorinya.

Dari ucapan puan pengetua saya dapat merasakan sesuatu.

“Mmm, saya tahu apa masalah di sini,” bisik hati saya.

Saya dijemput untuk menyampaikan ceramah keibu bapaan ini.

Hari ini, kita membincangkan lapan tips, bagaimana ingin melahirkan anak yang cemerlang sama ada cemerlang di dunia mahu pun akhirat.

Di dalam ceramah ini, saya banyak menyentuh juga, peranan guru.

Guru kena lebih banyak bersabar. Kena beri peluang kepada murid walau senakal mana pun dia. Mungkin hari ini dia nakal, tetapi dengan berkat kesabaran dan doa dari guru, dia boleh berubah.

Walaupun, ceramah ini mengenai keibu bapaan, tetapi hampir 40 % saya menyentuh mengenai peranan guru dan perlunya untuk terus bersabar di dalam mendidik anak-anak bangsa.

Alhamdulillah, rasa hati saya ada sedikit kebenaran. Di akhir ucapan, puan pengerusi menitiskan air mata. Rupanya, guru di sini sudah agak sedih dengan masalah disiplin murid-murid di sini. Ceramah ini, serba sedikti memotivasikan semangat para guru juga.

“Terima kasih ustaz, kami guru di sini dah nak putus asa dengan perangai murid-murid ni, kami tak tahu dah, apa nak buat. Rupanya, memang kami kena terus bersabar, doakan dan berikan mereka peluang” Kata seorang guru ketika jamuan akhir selepas program ini.

“Ye, memang betul. Kita tidak mampu mengubah manusia. Allah yang ubah. Kita hanya bantu dan usahakan yang terbaik. Hari ini kita menegur mereka, bukan kerana marah dekat dia, kita tegur dia, kerana Allah yang suruh kita menegur orang yang salah. Kalau kita faham perkara ini, kita tidak akan berputus asa di dalam mendidik,” Kata saya.

“Dan satu lagi, jika kita menegur kerana Allah, ia akan datang dari hati. Perkara yang datang dari hati, akan jatuh ke hati, tetapi, jika kita marah-marah dengan nafsu, perkara yang datang dari nafsu akan jatuh ke nafsu. Dia tidak akan berubah, malahan akan berdendam dekat kita,” saya menambah.

Semoga seluruh para pendidik dilimpahi dengan kesabaran di dalam mendidik anak-anak bangsa. Golongan inilah yang paling beruntung, Ini kerana, jika murid mereka menjadi orang yang berbakti hasil didikan mereka, selagi mana, muridnya itu berbakti, selagi itulah pahala akan sampai kepada mereka.

Kita mendoakan agar anak-anak kita juga dipelihara oleh Allah dan menjadi anak yang soleh dan solehah, amin..

‘Diari, Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
Ahad 12 Julai 09, jam 4.30 petang


4 comments:

Hunny said...

Bravo!

naaziz said...

What you have penned down is true, Utaz. I have the same probems with my three daughters and I have to keep reminding myself that I have to be patient and all this is Allah swt's dugaan.

I am happy that I have found your blog which serves as an inspiration and guidance for me in educating my daughters.

JazakaAllah hu Khairan Ya Utaz.
Wasalam.

Anonymous said...

Salam.. Syukur alhamdulillah, saya pun setuju sangat2 dan akan mengambil ikhtibar dari pesanan ustaz .. Kata kunci - sabar dan ikhlas dalam mendidik mereka. Selebihnya serahkan kepada Allah s.w.t

yang said...

SALAM..betul saya setuju dgn ustaz..kalau kita marah kerana Allah ia akan smpai kepada ke hati..insya allah saya akan praktikan..ade tak doa yg boleh lembutkan hati mereka.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...