Hari ini, Jumaat 26 Jun 09, saya diajak untuk menziarahi masjid seorang sahabat, Saidina Abu Ayub al-Ansari.
Saidina Abu Ayub al-Ansari antara sahabat besar di Madinah. Ketika Nabi mengucapkan hadith bahawa:-
"Kota Konstantinople akan dapat dibuka, dan orang yang membukannya, pemimpinnya sebaik-baik pemimpin dan tenteranya sebaik-baik tentera"
Abu Ayub ingin menjadi orang yang disebutkan di dalam hadith ini. Beliau bersama angkatan tentera Islam menuju ke kota Konstantinople sendangkan umur beliau pada ketika itu sudah sangat lanjut.
Ketika sampai ke benteng kota Konstantinople ini, tentera Islam telah bertempur dengan tentera Rom. Antara yang gugur ialah Abu Ayub al-Ansari.
Beliau dimakamkan di luar benteng Kota Konstantinople ini.
Makam beliau ini bersebelahan dengan sebuah masjid.
Saya memasuki kawasan makam. Ramai yang menzirahi makam ini. Untuk masuk ke kawasan ini seseorang akan meletakkan kasut mereka ke dalam beg plastik yang disediakan oleh pihak pentadbir.
Ada seorang penjaga yang akan memastikan semua orang yang masuk ke dalam kawasan ini memakai tudung. Ada tudung yang disediakan oleh pihak pentadbir.
Di dalam kawasan makam ini, saya melihat berbagai gelagat manusia. Ada yang membaca al-Quran, ada yang berdoa, ada yang duduk melihat, ada yang duduk berbual-bual dan sebagainya.
Di satu sudut, saya melihat ramai orang berkumpul. Rupanya, mereka melihat bekas tapak kaki Nabi saw.
Ketika Khilafah Islam berpindah dari Bani Abasiah kepada Uthmaniah, banyak khazanah Islam di bawa dan diamanahkan kepada orang Turki. Mereka menyimpan banyak barang-barang Nabi saw. Sekarang, ada yang diletakkan di dalam Muzium Topkapi dan ada yang di tempat-tempat lain. Saya pernah menziarahi Konya di Turki. Di sana, tersimpan janggut Nabi saw.
Kita mungkin terfikir, bagaimana boleh ada kesan tapak kaki Nabi-Nabi terdahulu? Di hadapan Ka'bah ada tapak kaki Nabi Ibrahim yang dipanggil Makam Ibrahim, di Busra Syria terdapat bekas unta Nabi berteleku dipanggil Mabruk an-Naqah.
Ada banyak sebab berlaku seperti yang demikian.
Antaranya ialah untuk Allah tunjukkan tanda kebesaran Allah. Batu yang biasanya keras, juga boleh menjadi lembut di tapak kaki kekasihNya.
Selain dari itu, ada ketika-ketika penurunan wahyu, bukan sahaja berat ditanggung oleh Nabi dari sudut psikologinya, tetapi juga dari sudut zahirnya. Hingga pernah ketika mendapat wahyu, unta yang ditunggang Nabi terduduk.
Kerana berat ini jugalah, batu tempat para Nabi ini berpijak boleh melekuk.
Melihat tapak kaki Nabi ini, sepatutnya, ia dikaitkan dengan kebesaran Allah. Ada sesetengah orang yang melihat perkara seperti ini dikaitkan dengan khurafat dan kuasa-kuasa ghaib yang boleh didapati dari tempat seperti ini. Ia bertentangan dengan apa yang diajarkan oleh Nabi. Ini kerana, yang berkuasa hanyalah Allah.
Saya melangkah keluar dari makam ini. Ada sesetengah orang yang keluar dari makam ini dengan cara mengundur. Ia supaya tidak membelakangkan makam ini.
Sebenarnya, apa pun yang kita lakukan hendakalah berdasarkan ilmu. Dan ilmu yang sejati ialah apa yang diajarkan oleh Allah dan disampaikan Nabi saw. Lanjutan dari itu, apa yang dibahaskan oleh para Ulama kita yang Muktabar.
Kefahaman kepada ilmu akan menyebabkan kita dapat menilai sesuatu itu bertepatan atau tidak.
Keluar dari sini, saya memasuki masjid menunaikan solat tahyatul masjid. Masjid-masjid di Turki mempunyai binaan yang lebih kurang sama sahaja. Jika kita pertama kali ke Turki, kita akan mendapati semua masjid seperti Masjid Biru. Tetapi, binaannya memang cantik.
Binaan kubah-kubah yang melengkung menyebabkan pantulan bunyi di dengar di seluruh masjid. Pada zaman dahulu, mereka tidak akan mempunyai masalah untuk mendengar khatib berkhutbah walaupun tanpa pembesar suara. Inilah kecerdikan yang Allah berikan pada manusia.
Orang di sini kebanyakkannya dari Mazhab Hanafi dan Syafie. Selain itu, mereka ada cara tersendiri selepas solat. Selepas solat wajib mereka akan berzikir ringkas dan membaca doa bersama-sama. Cuma bezanya, imam hanyalah akan membaca muqaddimah doa sahaja. Kemudian, dia akan diam. Dalam diam inilah semua jemaah akan membaca doa masing-masing. Setelah agak lama, maka imam akan sama-sama mengakhiri bacaan doa.
Saya melangkah keluar dari masjid. Hari ini, ramai orang di perkarangan masjid . Mereka semua bersiap untuk menghadiri solat Jumaat. Kesedaran solat sudah semakin tinggi di Turki. Anak-anak muda juga sudah mula ke masjid. Dan sebenarnya, kesedaran dan kebangkitan Islam telah bercambah di seluruh dunia. Ia membenarkan janji bahawa Islam pasti akan gemilang nanti.
Semoga kita juga terus memperbaiki dan merubah diri untuk lebih menghayati Islam. Sesungguhnya, perubahan itu bermula dari hati dan ia memerlukan keazaman yang tinggi.
"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"
Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
3 Jun 09, jam 2.26 pagi
Bekas pelastik untuk membawa kasut
Blog yang membicarakan mengenai perjalanan kembara dakwah, soal-jawab agama, masalah rumah tangga, keluarga dan rakaman rancangan Usrah TV9, Tanyalah Ustaz TV9, IKIM.fm Persona de Zahra, Al-Kuliyyah TV3, rumah kebajikan anak yatim dan hiv, juga undang-undang keluarga.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...
-
Perjalanan saya ke Saint Petersburg mempunyai satu misi. Saya ingin bertemu dengan Prof. Dr . Alexander K. Ogloblin, pengkaji Nusantara per...
-
7 April 2012, saya bersama dengan ahli rombongan ke Ben Yehuda St, penempatan orang Yahudi di Jerusalem ini. Nama jalan ini diambil sempena ...
-
“Mmm, ustaz, boleh tak ceritakan bagaimana Nabi Yahya dibunuh” Tanya seorang anak murid pada saya. Rupanya ada yang mengikuti kisah Nabi ...
2 comments:
Terima kasih kerana berkongsi pengalaman tuan. InsyaAllah saya akan menziarah Turki bersama keluarga bulan Disember 2009 ini.Tempat yang paling istimewa di Istanbul sudah tentu Makam Abu Ayyub Al Ansari, sahabat Rasulullah yang terkenal itu.
Di mana kah masjid terletaknya makam Abu Ayub Al_Ansari
Post a Comment