Tuesday, July 28, 2009

Universiti Kehidupan 98 - "Pada Siapa Saya Ingin Mengadu Ustaz?"

"Ustaz, mak cik sedihlah, anak makcik ni baik, cuma kalau dia marah, dia tengking-tengking mak cik" kata seorang ibu ketika menghubungi saya pada pagi Jumaat 24 Julai 09.

Dia tinggal bersama anak perempuannya, isteri kepada seorang Dato'.

"Semalam, entah apa mood dia tak baik, dengan makcik sekali kena marah" suara ibu ini tersekat-sekat.

"Makcik tak mahu dia jadi derhaka, makcik selalu doakan dan maafkan dia, makcik rasa macam nak keluar saja dari rumah ini" dia menambah.

Spontan keluar dari mulut saya:-

"Makcik, makcik tinggal dengan saya aje lah"

Tiba-tiba, ibu ini menangis teresak-esak.

"Ustaz, dulu arwah ayah ustaz pun pernah cakap macam ni kat makcik, ustaz cakap macam ni, makcik sedih, makcik teringat pada arwah ayah ustaz" katanya sambil tangisannya semakin kuat.

Ibu yang berumur 75 tahun ini rupanya pernah berkongsi masalah dengan arwah ayah saya.

Saya terdiam. Seorang ibu yang sudah tua, disedihkan oleh anak yang dikandungkannya sendiri, mana dia nak mengadu.

Ketika arwah ayah saya masih ada, dia selalu berpesan pada saya ketika saya mengikutnya, mendengar masalah-masalah masyarakat sekeliling.

"Amin, kalau kamu ada masalah, kamu ada Abah nak mengadu, tapi kalau Abah ada masalah, mana Abah nak mengadu" katanya pada saya.

Perkataan itu berlalu begitu sahaja hinggalah arwah ayah saya meninggal pada tahun 2004.

Hari ini setelah dia tiada, saya begitu menghargai perkataannya. Hari ini, jika saya ada masalah, tiada siapa yang dapat saya mengadu, hanya pada Allah sahaja.

"Amin, ketika kamu kecil, Abah selalu dukung kamu" kata arwah ayah saya.

"Ah ah, nanti kalau Amin dah besar, Amin nak dukung Abah pulak" kata-kata ini saya ucapkan ketika umur saya tujuh tahun ini, ia terimbau, ketiaka saya mengangkat jenazahnya dan mengusungnya ke kubur.

Kali terakhir saya tatap wajahnya ialah pada 1 Muharram 1425 bersamaan 22 April 2004, seorang ayah yang membentuk hidup saya, mengajarkan pada saya arti kehidupan.

"Ustaz, apa doa yang patut saya baca ye"pertanyaan ibu ini mengembalikan lamunan saya.

Kasihan ibu ini, pada siapa dia hendak mengadu? Titisan air matanya menyebabkan saya juga merasa sedih. Perlahan-lahan, fikiran saya menukilkan bait-bait ini…

Kita kalau susah, kita cari ibu, kalau senang kita selalu lupa ibu.

Kalau kita sedih, baru kita cari ibu, tapi kalau kita gembira, selalu kita lupa ibu.

Kalau kita sedih, ibu juga tumpang sedih dengan kita, kalau ibu sedih, kita biarkan ibu keseorangan.

Kalau ibu salah, kita tengking ibu, tapi kalau kita salah, ibu selalu memaafkan kita.

Kalau kita susah hati, ibu akan belai kita, kalau ibu sedih, ada kita kongsi kesedihan ibu?

Sesibuk mana ibu, ibu tak pernah lupa dekat kita. Hari ini kita, sibuk, ada kita ingat ibu? Bila kali terakhir kita telifon ibu?

Kalau kita sakit, ibu turut tidak tidur di sisi kita, hari ini, bila kali terakhir kita bertanya mengenai kesihatan ibu?

Kita cukup susah hati kalau kekasih kita kecil hati dekat kita, kita beli bunga pada dia, kita beli hadiah pada dia, ada kita hiraukan kecil hati ibu pada kita?

Kita raikan hari jadi kita bersama kawan-kawan? Ada kita raikan hari jadi ibu dan buatkan ibu gembira?

Ibu bukan mahu banyak dari kita, cukup, hanya kita sentiasa menyenangkan hatinya. Cukup hanya kita selalu bertanya khabar padanya.

Mari kita semua hubungi ibu kita, jangan kecilkan hatinya, minta maaf padanya, senangkan hatinya, dan jika ibu telah tiada, setiap hari, mari kita sedekahkan fatihah buatnya.

Al-fatihah….

"Universiti Kehiduapan, Pengajian Sepanjang Hayat"

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
Selasa 28 Julai 09
Jam 8.50 pagi

3 comments:

PINATBATE said...

Ustaz,
saya jadi sedih pulak..
mudah-mudahan tazkirah ini akan sentiasa jadi peringatan utk saya agar lebih memulia dan menghargai ibu..

Name: Wah said...

Posting ni amat mengesankan. Mmg kadang kita lupa pada ibu masa kita senang. Moga2 sifat itu dijauhkan. Nak mintak izin utk letakkan nukilan ttg ibu tu kat blog saya, boleh??

Hunny said...

Salam ustaz,

Semua orang ada tempat untuk mengadu dan meluah perasaan. Yang meluah mungkin lebih lega, yang mendengar lebih matang kerana mengambil pengalaman. Tak semua orang boleh menjadi pakar rujuk, hanya orang2 yang terpilih dan dipilih, yang mana Allah memberikannya kemampuan untuk memberikan penyelesaian atau paling kurang untuk mendengar keluhan. Kita manusia biasa. Ada masanya, orang paling kuat pun akan menjadi selemah2 orang. Saya yakin ustaz boleh selesaikan..

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...