Sunday, July 12, 2009

Diari 85 - Bulan Wakaf

9 Julai 09, hari ini, saya memenuhi undangan forum yang dianjurkan oleh MAIS di Perkarangan Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes, Rawang. Majlis dianjurkan sempena bulan wakaf Negeri Selangor.

Setiap tahun, bulan Rejab merupakan bulan kempen wakaf. Berbagai program dianjurkan untuk menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan wakaf ini. Wakaf merupakan salah satu sedekah jariah (berterusan) yang akan kekal pahalanya walaupun pemberinya telah meninggal.

Di dalam hadith Nabi saw menyatakan:-

“Apabila mati Anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga. Sedekah Jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya”

Forum dipengerusikan oleh Ustaz Rizal Ramli dari Jabatan Mufti Selangor manakala ahli panel pertama ialah Ustas Haslin Baharim, saya pula merupakan ahli panel kedua. Tajuk forum malam ini ialah Rezeki Dunia Harta Akhirat.

Forum bermula dari jam 9.30 malam dan tamat pada jam 11 malam.

Ketika perjalanan pulang, saya berbual dengan Ustaz Hendra dan Ustaz Asyraf yang menghantar saya pulang ke rumah.

“Dalam pengalaman MAIS, mana tempat paling ramai orang membuat wakaf”

“Ooo, ustaz. Paling ramai di Selangor yang membuat wakaf adalah dari kalangan orang-orang kampung. Dari Hulu Selangor contohnya” jawab Ustaz Asyraf

“Tahun lepas ustaz, kami buat program dekat sana, tak menang tangan ustaz. Tengah program pun berduyun orang datang untuk membeli saham wakaf,” Ustaz Asyraf menambah.

“Apa faktornya ye? Mungkin penghayatan orang kampung lebih baik kot?” Saya berfikir sendirian.

Ye.. Mungkin. Tapi sebenarnya, di dalam penghayatan Islam, tidak kira orang kampung atau orang bandar. Sebenarnya, sesuatu penghayatan datang dari orang yang mempunyai kefahaman dan mahu beramal. Tidak kira dari orang kampung atau orang bandar. Orang yang ada kefahaman untuk beramal akan berusaha membuat amalan.

Sebagai contoh, ketika saya kecil dahulu, tidak ramai orang yang membuat ibadah korban pada hari raya Aidil Adha. Tetapi sekarang, rata-rata ada. Malahan, sesetengah masjid, sampai berlebih-lebih bilangan lembunya.

Kita mengharapkan agar wakaf juga begitu. Sekarang mungkin tidak ramai orang yang buat. Tetapi, jika program kesedaran wakaf ini dibuat secara berkala dan sistematik, insyaAllah, kesedaran untuk berwakaf akan dapat ditingkatkan.

Di dalam program ini, saya sempat menyelitkan mengenai kepentingan wakaf untuk umat Islam itu sendiri.

Bagaimana, di negeri Selangor ini, tidak ada pusat perlindungan untuk orang Islam yang berpenyakit HIV. Kenapa gereja boleh buat? Sepatutnya, konsep wakaf boleh menjadikan, di setiap masjid mempunyai unit perlindungan orang-orang Islam.

Semoga, penghayatan wakaf ini menjadikan kita sentiasa ingin berbakti kepada masyarakat kerana Allah dan semoga, setiap kebaikan yang cuba kita usahakan mendapat keredhaan dari Allah.

“Diari, Merakam Sejarah, Mecatat Kenangan”

Al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
Ahad 12 Julai 09 jam 4.15 petang
Forum dipengerusikan oleh Ustaz Rizal Ramli dari Jabatan Mufti Selangor manakala ahli panel pertama ialah Ustas Haslin Baharim, saya pula merupakan ahli panel kedua
Tajuk forum malam ini ialah "Rezki Dunia Harta Akhirat".
antara yang hadir
Sahabat dari MAIS
Kaunter Saham Wakaf

1 comment:

Hunny said...

salam Ustaz,

MAIS ada buat klinik wakaf di dua buah masjid, usahasama dengan KPJ. Satu di Sg Buluh, satu di Ijok. Insyaallah, kita akan perkembangkan.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...