Hari ini 29 Mac 2010, selepas solat Subuh, seperti biasa, saya akan duduk sebentar, beriktikaf di dalam Masjidil Haram.
“Mmm, tenangnya, patutlah Nabi cukup menggalakkan beriktikaf” bisik hati saya.
Siapa yang berikan ketenangan? Bukan manusia, kerana sekaya mana manusia, dia tidak mampu membeli ketenangan.
Kalau tidak, masakan firaun itu cukup gundah hatinya, padahal dia merupakan orang paling kaya, berpengaruh dan cukup hebat berkuasa di zamannya.
Tetapi yang memberikan ketenangan adalah Allah. Dialah yang empunya ketenangan dan Dialah yang menitiskan ketenangan pada siapa yang Dia kehendaki. Allah berfirman:-
Dia-lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mu'min supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana (Surah al-Fath ayat 4)
Ketika matahari mula menyinsing, saya melangkah keluar dari Masjidil Haram.
Di jalan pulang ke Hotel, terdapat ramai penjual-penjual kaki lima.
“Ya Jawa, Ya Jawa, Lima Riyal, Lima Riyal ya Jawa…”
Saya dikejutkan dengan panggilan seorang wanita penjual makanan burung. Memanggil saya dengan nama Jawa, dengan pelat Arab cuba bercakap bahasa Melayu.
Dengan wajah bertutup dengan kain purdah hitam, hanya kelihatan dua biji matanya, dia berusaha menjual makanan burung tersebut pada saya.
Pagi ini, burung merpati Mekah banyak berkumpul di dataran masjid, dan beberapa orang menaburkan makanan burung yang dibeli.
Saya memerhati burung ini. Rezkinya Allah datangkan melalui tangan manusia yang menderma.
Begitulah Allah menjadikan kitaran rezki makhluknya. Selagi mana ada nyawa, selagi itulah rezki tetap ada. Di dalam al-Quran Allah menyatakan bahawa:-
Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezkinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh mahfuzh) (Surah Hud ayat 6)
Melihat burung yang selesa makan dan kemudian terbang ke sana ke mari, menjadikan hati ini mengkagumi kebesaran Allah.
Dialah yang menciptakan makhlukNya, dan Dialah yang menciptakan rezki bagi mereka.
Kita manusia, selalu risaukan mengenai rezki kita sedangkan ia memang telah disediakan oleh Allah selagi mana kita ada nyawa.
Selagi mana kita memerlukan sesuatu keperluan, pasti ia akan dicukupkan oleh Allah.
Yang menyebabkan kita rasa kurang bukan kerana tidak cukup, tetapi kerana rasa tamak kita.
Dengan rasa tamak, kita cuba memiliki sesuatu, walaupun caranya salah, walaupun sumbernya salah, walaupun hasilnya salah.
Akhirnya, keghairahan untuk memiliki menghilangkan rasa tenang pada diri.
Kita akan merasa sentiasa cemas dan takut.
Mencari rezki, takut tak dapat, dah dapat, takut tak cukup, membelanjakan, takut habis.
Akhirnya, rezki yang sepatutnya menjadi hamba pada kita, kita pula menjadi hamba pada rezki.
Inilah kebanyakkan manusia. Hilang kebahagiaan hidupnya kerana rasa tamak untuk memiliki.
Satu yang perlu kita faham adalah, mintalah pada Allah yang Maha Memiliki, dan fahamilah bahawa, sesungguhnya kita ini tidak memiliki dan tidak dimiliki.
Tenangkan hati, usaha semaksima mampu, serahkan pada yang Maha Memberi, nanti, kita tidak akan kecewa, hati akan sentiasa bahagia.
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Baity Bakkah Hotel, Makkatul Mukarramah
13 Rabiul Akhir 1431/29 Mac 2010 jam 7.45 pagi
“Lima Riyak Ya Jawa….”
Penjual makanan burung di dataran masjid
anak-anak peminta sedekah di Mekah.
1 comment:
ustaz teruskan menulis. tulisan ustazmembantu saya membersih jiwa. nk jadi lebey baik. tulisan ustaz membuat saya lupa dgn harta dunia. membuat saya berfikir..hala tuju saya. kadang2 saya lupa. teruskan menulis ustaz. semoga allah memberi kesenangan dan keberkatan ke atas rezeki kita. aminn...
Post a Comment