Friday, March 12, 2010

Bicara Ilmu 14 – Tanyalah Ustaz (Membina Kesatuan Ummah)

Hari ini, 12 Mac 2010, Alhamdulillah, hari pertama saya di program Tanyalah Ustaz TV9. Perbincangan hari ini ialah membentuk kesatuan ummah.

Hari pertama ini, saya hanya membawakan dalil dari al-Quran dan hadis mengenai betapa pentingnya ukhwah Islamiyyah dan persaudaraan di dalam Islam.

Perkara ini Nabi tekankan di dalam hadis yang membawa maksud.

“Tidak sempurna iman kamu hinggalah kamu mengasihi saudara kamu seperti mana kamu mengasihi diri kamu sendiri”

Di dalam al-Quran, Allah juga menekankan mengenai persaudaraan di dalam Islam. Kita boleh rujuk ayat dari surah al-Hujurat ayat ke 10 dan juga dari surah Ali Imran ayat 103.

Apa pun, bersatu di dalam Islam bukannya bersatu pada kemungkaran, bukan pada darah keturunan, bukan pada pangkat, tetapi pada apa yang diajarkan oleh Rasullullah dan apa yang diajarkan oleh Allah swt.

Bersatu di dalam Islam bererti kita bersatu dari lima sudut.

1. Bersatu dari sudut akidah

Akidah kita seperti yang diajarkan oleh Allah melalui al-Quran dan lisan NabiNya saw. Dengan akidah, kita akan bertuhankan Allah yang satu, berkiblat dengan kiblat yang satu, merujuk pada al-Quran yang satu dan cara hidup seperti yang diajarkan oleh Rasullullah dengan cara yang satu. Seluruh dunia kita pergi kita akan bersatu jika akidah kita satu.

2. Bersatu dari sudut syariat

Segala amalan dan cara hidup mestilah dari apa yang ditunjukkan oleh Rasullulah. Jika ia dijaga, maka :-

Amalan sunat antara individu tidak sepatutnya membawa kepada perpecahan. Perkara furu’ sepatutnya tidak membawa kepada perpecahan dan begitu juga perkara khilafiah, sepatutnya tidak membawa kepada perpecahan.

Kita berlapang dada pada perkara yang kita khilafkan

3. Bersatu dari sudut akhlak

Akhlak Islamiyyah adalah akhlak seperti yang ditunjukkan oleh Rasullah. Ia merupaka cara hidup. Jika kita faham akhlak Nabi maka:-

Perbezaan ilmu sepatutnya tidak membawa kepada perpecahan, perbezaan status pangkat sepatutnya tidak membawa perpecahan.

4. Bersatu dari sudut ukhwah

Ukhwah Islamiyyah adalah ikatan persaudaran di atas nama agama. Ia akan melebihi ikatan nasab. Jika ia difahami maka:-

Perbezaan keturunan sepatutnya tidak membawa kepada perpecahan. Perbezaan bangsa sepatutnya tidak membawa kepada perpecahan.Perbezaan harta sepatutnya tidak membawa kepada perpecahan

5. Bersatu dari sudut jihad

Jihad adalah untuk meninggikan kalimah Allah yang tinggi. Ia berbagai bentuk.

Ada orang senang berjihad dengan cara pergi ke masjid dan mengajak orang ke masjid, itu cara dia, dan kita tidak boleh nafikan sumbangannya. Sebab itu antara cara meninggikan kalimah Allah.

Ada orang yang berdakwah dengan cara membangunkan ekonomi, kita tidak boleh menafikan sumbangannya. Sebab itu antara cara meninggikan kalimah Allah.

Ada yang berdakwah di dalam saluran rasmi seperti sahabat dari pejabat agama, pejabat zakat, JAKIM, kita tidak boleh nafikan sumbangan dia. Sebab itu antara cara meninggikan kalimah Allah.

Ada yang berjihad dari sudut tulisan, seperti Doktor dan Professor di dalam university, kita tidak boleh nafikan sumbangan dia. Sebab itu antara cara meninggikan kalimah Allah.

Ada yang berjihad dari sudut kepimpinan dan politik, kita tidak boleh nafikan sumbangan dia. Sebab itu antara cara meninggikan kalimah Allah.

Semua itu bertujuan untuk meninggikan kalimah Allah yang mulia. Apa pun bidangnya. semua mempunyai tugasan meninggikan kalimah Allah.

Saya mempunyai bidang saya, dan semua orang mempunyai bidang mereka masing-masing. Bidang apa pun yang kita ceburi, ia sebagai hanyalah wadah untuk kita mendapat keredhaan Allah.

Jika ini orang fahami, maka mereka akan membangunkan apa juga bidang mereka untuk meninggikan kalimah Allah.

Yang salahnya ialah merendahkan cara orang lain dan berbangga, hanya cara kita betul.

Antara keindahan Islam ialah, semua orang bergerak dengan satu matlamat yang satu. Bidangnya masing-masing, matlamatnya satu, iaitu untuk mendapat keredhaan Allah. Apa pun wadahnya, ia hanya ladang untuk beramal.

Semoga kita dapat bersatu pada perkara yang boleh bersatu dan berlapang dada pada perkara yang khilaf.

Jangan sampai asyik menyalahkan sana dan sini, tapi muslim di gereja pun tidak ada yang mempedulikan.

Semoga Allah terus memimpin kita ke jalan yang diredhainya, amin…

“Ilmu Pelita Hati”

Al-Faqir Ila Rabbihi

Muhamad bin Abdullah

Putra Heights

12 Mac 2010 jam 11.50 malam

IMG_2627

Semoga kesatuan dapat dibina untuk kebaikan semua, amin..

1 comment:

Anonymous said...

As'km Ustaz,
Saya tertarik tentang pandangan Ustaz tentang Borobodur dan Bali semasa penutup ranc hari ini. Menaik untuk kita fikirkan.
Saje nak kongsi dgn Ustaz bahawa semasa kuliah saya tentang 'musim' kepada pelajar saya kami bincangkan tentang winter, summer, autumn dan spring dan keunikan setiap musim tersebut. Saya tanyakan pelajar 'best tak kalau kaabah berada kat London' 'kalau kat Kuala Lumpur' dan beberapa tempat lain. Akhirnya mereka bersetuju Mekah ialah tempat terbaik untuk Kaabah ... Tak perlu risau pasal salji, hujan atau nak tebang pokok untuk besarkan kawasan masjid. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Subhanallah.

 Alhamdulillah syukur di atas pembukaan Kapal Dive Lodge dibawah selian Ustaz Muhamad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin ...